Images
  • Dr Norshahril Saat
    Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

KOMENTAR: Indonesia masih model kepada dunia walau ada yang perjuangkan fahaman konservatif

BERITAMediacorp: Jika suatu waktu dahulu, perbahasan mengenai pemikiran Islam pernah dibahagikan kepada ‘kaum muda’ dan ‘kaum tua’. Kini perbahasannya menggunakan istilah 'Islam progresif’ dan ‘Islam konservatif’.

Dalam usaha untuk terus memburu pemikiran intelektual atau progresif tentang Islam, perlukah masyarakat Melayu/Islam Singapura merujuk kepada pakar-pakar dari Amerika, Eropah, atau Timur Tengah? Dalam artikel KOMENTAR yang disumbangkan kepada BERITAMediacorp ini, Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat berpendapat, sebenarnya Islam di Indonesia boleh menjadi model bukan sahaja untuk rantau ini, tetapi di seluruh dunia. Ini hujah-hujah beliau:


(Gambar: Saifulbahri Ismail)

APABILA kita menyebut tentang masyarakat Islam di Indonesia hari ini, ramai sarjana akan bangkitkan soal dua himpunan besar pada November dan Disember 2016. Dua protes tersebut yang berlangsung di Jakarta dianjurkan oleh pemimpin-pemimpin konservatif.

Mereka membantah tindakan Gabenor Jakarta pada masa itu, Basuki Tjahaja Purnama atau “Ahok”, yang dituduh sebagai menghina Islam dalam satu ceramahnya. Pada masa itu beliau sedang berkempen bagi pilihan raya Jakarta yang diadakan pada bulan Februari tahun ini.

Ahok mendapat peratusan undi terbanyak berbanding dua pasangan calon lawannya, tetapi tewas pada Anies Baswaedan pada pusingan kedua yang diadakan pada bulan April lepas. Ahok kemudian didapati bersalah dan dihumban ke penjara atas tuduhan menghina Islam.

Reaksi terhadap penangkapan Ahok berbeza. Ada sesetengah orang yang menyatakan bahawa Ahok difitnah kerana beliau tidak bermaksud untuk menghina Islam, dan penangkapannya bersifat politik untuk mengakhiri kerjaya politiknya.


(Gambar: REUTERS/Tatan Syuflana/Pool)

SUARA MODERAT PUPUS DI INDONESIA?

Namun ada pula masyarakat Islam yang berasa tersinggung dengan kata-kata Ahok agar masyarakat Islam di Indonesia jangan terkeliru dengan ayat 51 Surah Al-Maidah. Beliau mahu penduduk Jakarta memilih beliau semula sebagai Gabenor biarpun dia seorang beragama Kristian dan berbangsa Cina, sedangkan majoriti penduduk Jakarta dan Indonesia pada keseluruhannya adalah Muslim.

Insiden tersebut digambarkan sebagai sesuatu yang membimbangkan oleh sesetengah penganalisis. Ada yang menyatakan suara-suara moderat sudah pupus di Indonesia. Ada pula yang menyatakan Indonesia sudah semakin Islamis (golongan yang memperjuangkan agenda negara Islam).

Mekarnya ideologi pengganasan seperti ISIS di Indonesia juga tidak membantu masyarakat Islam di negara itu mengubah persepsi negatif tersebut.

ANALISIS PESIMIS MENGENAI KEADAAN DI INDONESIA

Walau bagaimanapun, saya sifatkan penganalisis yang pesimis dengan keadaan wacana Islam di Indonesia sebagai golongan yang tersisih daripada realiti kehidupan di negara tersebut.

Kalau Indonesia disebut sebagai Islamis, yang dimaksudkan itu golongan mana? Atau Muslim dari daerah mana? Bagaimana pula dengan pengaruh golongan tersebut? 


(Gambar: AFP)

Indonesia adalah sebuah negara Islam terbesar di dunia, dan jika kita cermati betul-betul, masyarakatnya adalah sebuah masyarakat yang rencam. Hakikatnya, Islam di Indonesia boleh menjadi satu model bukan sahaja pada rantau ini, tetapi di seantero dunia, sekalipun ada golongan tertentu yang memperjuangkan Islam secara konservatif.

PERBEZAAN PANDANGAN SIHAT DI INDONESIA

Sudah sekian lama, Islam di Indonesia digerakkan oleh pemerintahnya dan juga masyarakat sivil. Ia mempunyai dua organisasi massa yang terbesar mungkin di dunia: Muhammadiyah, yang ditubuhkan pada tahun 1912 dan Nahdlatul Ulama yang ditubuhkan pada tahun 1926.

Gerakan-gerakan ini telah banyak berjasa pada negara, terutama sekali dalam membina kemaslahatan masyarakat, memodenkan pendidikan agama, dan juga memajukan wacana intelektual. Sudah hampir seabad organisasi-organisasi ini wujud, kepimpinan kedua-duanya bertukar ganti antara golongan konservatif dan progresif.

Namun, jika dahulu, perdebatan antara Muhammadiyah dan Nahdlatul Ulama berkisar soal bid’ah atau ritual, kini mereka ada titik temu dalam cuba memahami agama dalam konteks moden. Kedua-dua organisasi ini juga telah bersetuju untuk tidak bersetuju.

PERDEBATAN SIHAT ANTARA GOLONGAN KONSERVATIF DENGAN PROGRESIF

Tentu sekali ada juga pemimpin-pemimpin yang konservatif di kedua-dua organisasi ini. Namun, wujud perdebatan yang sihat antara golongan tersebut dengan golongan progresif. Ini yang tidak dilihat oleh sarjana yang hanya memberi fokus terhadap golongan konservatif, terutama sekali golongan yang mengapi-apikan kemarahan dalam kes Ahok.

Sebenarnya, golongan progresif di Indonesia menyanggah tindakan sempit terhadap Ahok, tetapi suara-suara tersebut tidak diangkat oleh media-media antarabangsa. Saya sendiri kenal ramai tokoh-tokoh Indonesia yang tidak setuju dengan tingkah laku sesetengah pihak mempolitikkan isu Ahok, walaupun mereka mungkin tersinggung dengan kata-katanya.

Mewujudkan perdebatan yang sihat dalam ilmu agama ini sangat dialu-alukan agar masyarakat boleh memilih pandangan yang sesuai dengan keadaan hidup. Islam menggarisbawahi nilai-nilai universal dan ia seharusnya menjadikan masyarakat lebih berpandangan ke hadapan dan maju.

Perbezaan pandangan juga harus dilakukan dengan adab yang betul. Pernah saya berjumpa dengan seorang tokoh intelektual Indonesia dan dia menyatakan bahawa dalam Islam, selagi masih ada yang menukil Al-Quran, beliau belum boleh disebut sebagai sesat atau “liberal”. Individu tersebut mempunyai pandangan berbeza dalam menafsir ayat-ayat tersebut.

(Gambar: AFP/MOHD FYROL)

PEMIKIR ISLAM MODEN

Persoalannya, perlukah masyarakat Melayu-Islam di Singapura merujuk kepada pakar-pakar dari Amerika, Eropah, atau Timur tengah untuk mendapatkan pemikiran intelektual atau progresif tentang Islam?

Perlukah kita adakan satu acara besar-besaran, di hotel-hotel mewah, untuk mendengar Profesor besar daripada Amerika atau Eropah berbicara tentang Islam di Asia Tenggara?

Saya yakin kita boleh belajar daripada ulama-ulama di rantau ini kerana mereka lebih faham budaya dan bahasa, walaupun tokoh-tokoh dari negara yang disebutkan tadi berpandangan progresif. Kita sering milihat tokoh yang pandai berbicara, menggunakan baju jaket dan dasi sebagai lebih pandai daripada cendekiawan Islam yang berbaju batik dan bersongkok (istilahnya berpeci) hitam.

Indonesia juga telah menghasilkan pentafsir Quran yang hebat yang masih hidup, seperti Prof Quraish Shihab. Beliau seringkali memberikan pandangan yang berbeza pada satu isu, dan melihat konteks rantau ini.

RAMAI CENDEKIAWAN IMBANGI SAINS DAN ILMU AGAMA

Selain beliau, ramai sekali tokoh intelektual seperti Ahmad Syafii Maarif (Muhammadiyah) dan juga Prof Said Aqil Siroj (NU). Cendekiawan-cendekiawan ini telah menghasilkan banyak sekali buku-buku ilmiah, dan mereka ini mengimbangi sains moden dan juga ilmu agama.

Justeru, adalah penting bagi kita untuk meraikan perbezaan pandangan dan tidak mudah menghukum seseorang ulama sebagai “liberal” atau sesat. Kadangkala, mereka mempunyai dasar ilmu yang lebih luas, dan berjaya mempunyai pengalaman yang luas hidup di tengah-tengah masyarakat yang heterogen dan majmuk.

Usahlah kita terpedaya dengan wacana yang diketengahkan oleh sesetengah sarjana yang memberikan gambaran negatif terhadap Indonesia. 

Kita boleh belajar daripada pengalaman Indonesia dalam mewujudkan suasana harmoni dan berwacana secara matang.


(Gambar: Dr Norshahril Saat)

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat ialah Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak dan pensyarah sambilan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Timbalan Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHC).          

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top