Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ideologi radikal – beban sejarah yang perlu ditangani bersama

Sejarah yang diwarisi memang kompleks dan adakalanya boleh menimbulkan pelbagai tanggapan dan fahaman yang kurang tepat terhadap Islam. Apakah ini antara punca lahirnya fahaman-fahaman salah termasuk ideologi radikal?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Ideologi radikal – beban sejarah yang perlu ditangani bersama

Sekumpulan anggota Al Qaeda Semenanjung Arab AQAP pada 2014. (Gambar: Wikipedia)

Ketika peradaban Eropah memasuki ‘zaman kegelapannya’ pada kurun ke-13, dengan agama Kristian banyak dipengaruhi dengan unsur-unsur tahyul, anti-sains dan anti-pemikiran sihat, seorang ahli falsafah Kristian, Roger Bacon mengambil satu langkah bijak. 

Beliau mempelajari kitab-kitab dari dunia Arab-Islam (yang diterjemahkan ke bahasa Latin) yang mengandungi pelbagai buah fikiran para pemikir dunia Arab-Islam mengenai falsafah, sains, perubatan dan juga matematik.

Dari apa yang dipelajarinya, terutama daripada pemikir dan ahli falsafah seperti Ibn Rushd, Bacon berjaya  menanamkan semangat baru dalam dunia pemikiran Eropah.

Ia adalah apa yang dipanggil ‘kaedah saintifik’ – iaitu kaedah yang berasaskan pemerhatian objektif dan pertimbangan akal sihat dalam semua bidang penguasaan ilmu.

Ini sekali gus membuka jalan kepada Eropah untuk keluar daripada ‘zaman kegelapannya’ kepada ‘zaman pencerahan’.

Sejak keterbukaan pemikiran,  Eropah  perlahan-lahan mengakhiri zaman kemunduran dan kegelapannya itu, malah berjaya pula mengatasi dunia Arab-Islam dalam menguasai ilmu pengetahuan, sains dan teknologi.

Kalau selepas ‘zaman pencerahannya’ (sekitar kurun ke-16 dan seterusnya) kemajuan sains dan ilmu pengetahuan Eropah berkembang pada kadar yang amat pantas, ini berbeza pula dengan peradaban Arab-Islam yang kurun demi kurun semakin hilang sinarnya.

NADI PERADABAN

Dibandingkan Eropah, dunia Arab-Islam bukan sahaja ketinggalan di belakang dalam bidang sains dan teknologi tetapi juga dalam penguasaan ilmu pengetahuan dan dalam bidang-bidang kehidupan lain.

Salah sebuah pusat peradaban yang menjadi medan persaingan antara Eropah dengan dunia Arab-Islam tentunya adalah Mesir, dengan kota ilmiahnya Kaherah.  

 Lukisan Kaherah sebagai pusat ekonomi, ilmu dan budaya kurun ke-19

Suatu ketika dahulu ramai sarjana mengkaji Mesir dan Kaherah untuk memahami nadi peradaban,  kebudayaan dan pemikiran dunia Arab-Islam keseluruhannya.

Namun kini ramai pula yang memberikannya tumpuan untuk memahami satu lagi gejala ‘baru’, atau ada yang melihatnya sebagai krisis dalam peradaban Islam terkini: yakni persoalan mengenai ideologi radikal dan ekstrem yang dikaitkan dengan Islam.

Tiga penulis: Fawaz Gerges, Graeme Wood dan Peter Hessler, antara sebahagian sarjana dan pengamat yang mahu memahami bagaimana ideologi radikal boleh berputik dari sebuah kota yang dahulunya pernah menjadi pusat pencerahan bagi dunia Arab-Islam.

Gerges (Making the Arab World),   Wood (The Way of the Strangers), dan Hessler (The Buried: An Archaeology of the Egyptian Revolution), mengambil contoh Mesir sebagai paksi bagi bermulanya ideologi pengganasan dalam zaman moden Islam.

BATU ASAS

Ramai pakar sepakat bahawa ‘batu asas’  fahaman dan perjuangan gerakan Salafi-Jihadi yang membenarkan kekerasan hari ini banyak dipengaruhi malah dipelopori oleh Sayyid Qutb, tokoh pemikir kumpulan Ikhwanul Muslimun (yang telah dikenakan hukuman mati oleh rejim Presiden Nasser pada 1966).

Seperti kata orang kuat Al Qaeda, Ayman al Zawahiri, seruan jihad Qutb lebih setengah abad lalu merupakan percikan api yang membakar ‘semangat revolusi’ kumpulan mereka.

Ia bermakna ideologi pengganasan berasaskan Islam seperti yang diperjuangkan oleh Al Qaeda, ISIS, Jemaah Islamiah dan Hizb Tahrir adalah suatu fenomena ‘baru’, sekitar lima atau enam dekad lalu.

Sebagai ideologi yang berasaskan buah fikiran, kerangka berfikir dan juga pandangan dunia Qutb, ia juga tidak terlepas daripada pengalaman sejarah Mesir sendiri.

Terutama sekali dalam pertembungannya dengan Eropah, dalam perjuangannya melawan penjajahan dan dalam pergelutannya dalam soal pemodenan, pembangunan, ketidakadilan sosial, ketidaksamarataan dan sebagainya.

Sebagai mewakili peradaban Arab-Islam ketika itu, pertembungan dan pergeseran tersebut yang melibatkan pelbagai ‘pemain’ – tokoh, pemimpin, elit dari semua lapisan masyarakat – melambangkan pelbagai ideologi, kecenderungan dan kepentingan yang bertentangan.

Misalnya, dalam soal pemodenan dan pembaharuan,  ada yang cenderung kepada model yang berasaskan ilmu dan  teknologi, malah nilai dan budaya dari Barat seperti golongan nasionalis-modenis.

PERTEMBUNGAN PEMIKIRAN

Ada juga yang cenderung ke arah model yang berasaskan nilai-nilai tradisi dan agama yang mahu membawa masyarakat kembali ke zaman ‘kegemilangan’ yang difikir pernah wujud suatu ketika dahulu.

Malangnya, dalam pengalaman sejarah Mesir, pertembungan dua aliran pemikiran utama ini tidak berakhir dengan baik.

Ia  mengakibatkan konflik dan perbalahan berdekad-dekad lamanya, sehingga menyebabkan pertumpahan darah yang berlanjutan (terbaru semasa kegelisahan menyusuli rampasan kuasa tentera tahun 2013).

                       Gamal Abdel Nasser, Presiden kedua Mesir, 1962 

Titik tolak utamanya berlaku dalam era 50-an dan 60-an melibatkan pihak nasionalis-tentera di bawah Gamal Abdul Nasser dengan kumpulan reformis-agama seperti  Ikhwanul Muslimun.

Ia merupakan titik tolak yang penting bukan sahaja kepada Mesir, malah juga dunia Arab dan dunia Islam yang lain.

Di sinilah garis pemisah ideologi dan kefahaman yang berbeza-beza bukan sahaja gagal dirapatkan, malah bertambah luas jurangnya.

PAKSI PENTING

Dari situlah ideologi dan fahaman radikal yang lahir daripada buah fikiran Sayyid Qutb menjadi paksi penting lahirnya ideologi ekstrem yang diperjuangkan kumpulan-kumpulan tegar seperti Al Qaeda, ISIS dan Jemaah Islamiah.

Wood dan Hessler mahu menunjukkan menerusi profil yang diwawancara tentang bagaimana ideologi keras itu dimanifestasikan oleh para anggota dan pensimpati Al Qaeda atau ISIS di Mesir.

Gerges pula mahu menjelaskan bahawa semua aspek pentafsiran semula yang lebih keras yang dibuat oleh Qutb (baik mengenai penolakan masyarakat dan sistem jahiliyah moden hinggalah kepada keperluan untuk mewujudkan sistem pemerintahan yang lebih autentik ciri Islamnya), banyak didorong oleh pengalaman pahitnya di bawah rejim Nasser.

Gerges cuba menunjukkan bahawa saingan hebat antara kedua-dua tokoh telah meninggalkan legasi yang agak menyedihkan.

Nasser dengan legasi fahaman nasionalis-sosialis Arabnya yang sekular dan keras tidak berkompromi dengan golongan tradisionalis.

PERANG IDEOLOGI

Kedua-dua ideologi sekular-nasionalis di bawah Nasser dan ideologi utopia radikal Salafi-Jihadi Qutb, jelas  dua polar bertentangan yang jauh terlalu esktrem dan tidak mencerminkan nilai-nilai kesederhanaan Islam.

Tetapi itulah warisan sejarah yang telah menjerumuskan bukan sahaja Mesir dan dunia Arab, malah juga dunia Islam umumnya ke dalam kerangka perang ideologi yang berpanjangan sehingga hari ini.

Ia adalah perang ideologi yang menyediakan kita dua pilihan salah: iaitu pilihan sama ada untuk maju dan membangun seperti orang lain tetapi perlu ‘meninggalkan’ jati diri agama dan budaya sendiri;

Atau pilihan bahawa umat Islam ada huraian ‘istimewa’ untuk hidup dengan cara dan gayanya sendiri mengikut nilai, lunas dan sistemnya sendiri (suatu utopia yang tidak berpijak pada realiti hari ini?).

Tentunya kedua-dua itu adalah pilihan yang tidak tepat dan tidak mencerminkan matlamat sebenar Islam sebagai rahmat yang diturunkan untuk seluruh alam – dan juga untuk setiap zaman.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan