Images
  • new zealand
    51 orang Muslim maut susuli serangan masjid Christchurch. (Gambar: AFP/STR)

KOMENTAR: Ideologi kebencian boleh dilawan dengan kasih sayang dan toleransi

BERITAmediacorp: Ucapan kebencian jika dibiarkan boleh menimbulkan risiko besar termasuk bahaya keganasan. Apakah ia boleh dihapuskan dengan memupuk kasih sayang?


Gambar hiasan TODAY.

MENTERI Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam baru-baru ini membentangkan dalam Parlimen pentingnya Singapura melarang ucapan kebencian demi memelihara keharmonian kaum dan agama di Singapura.

Beliau menekankan risiko besar dan bahaya keganasan yang boleh timbul akibat ucapan kebencian. Antaranya ia boleh menyebabkan perpecahan antara masyarakat beragama di sini.

Pendirian tegas pemerintah Singapura tentang isu ucapan kebencian ini timbul dari pengalamannya ketika berhadapan dengan ancaman keganasan akibat dari rusuhan kaum yang berlaku pada awal-awal tahun kemerdekaan Singapura.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, tindakan tegas terhadap ucapan kebencian dirasakan perlu demi menjaga keharmonian agama dan kerukunan antara masyarakat.

CABARAN BESAR

Ucapan mahupun pernyataan yang berunsur kebencian merupakan antara cabaran sosial yang besar masa kini. Ia dianggap satu ancaman yang berpotensi menggugat keselamatan dan juga keharmonian.

Bahkan, ucapan kebencian ini menjadi antara punca timbulnya fenomena Islamofobia iaitu perasaan takut terhadap segalanya tentang Islam.


Seramai 258 orang, termasuk 45 warga asing, maut akibat serangan-serangan yang dilancarkan di Sri Lanka pada Hari Easter. (Gambar: AFP)

Aksi keganasan yang berlaku di Sri Lanka baru-baru ini dan kejadian tembakan ganas yang berlaku di Christchurch pada bulan Mac yang lalu adalah contoh bagaimana perasaan benci boleh membawa kepada keganasan dan kemusnahan.

Inilah realiti kehidupan kita hari ini di mana keganasan menjadi simbol yang kita saksi setiap hari.

Hakikatnya, banyak keganasan yang berlaku hari ini timbul dari ideologi kebencian dan sikap tidak toleran yang mendorong seseorang itu melakukan keganasan.

KEBENCIAN MENDALAM

Bagi kumpulan ekstremis seperti Al-Qaeda dan ISIS, ideologi kebencian ini didasarkan atas tafsiran agama yang melampau dan tidak menitikberatkan nilai rahmah dan cinta.

Bagi kumpulan ekstremis sayap kanan pula, kebencian mereka didasarkan pada keyakinan mereka terhadap keperluan menghapuskan mereka yang berlainan identiti mahupun yang berkeadaan lebih rendah.


Para pejuang ISIS di bandar Raqqa di Syria. (Gambar: Associated Press)

Pada asasnya, pengganas adalah individu yang memiliki sifat kebencian yang mendalam. Mereka gagal memahami nilai kemanusiaan, kesucian hidup dan kewujudan bersama yang harmoni. Mereka didorong oleh kepercayaan bahawa kepelbagaian dan perbezaan antara manusia harus didasarkan atas kebencian dan permusuhan. Akibatnya, mereka menolak dan memusuhi sesiapa sahaja yang mereka anggap sebagai "yang lain" atau "musuh".

Persepsi seperti ini diwujudkan untuk menganjur dan membenarkan keganasan, pencerobohan dan juga pembunuhan. Kesemua ini berpunca daripada perasaan benci yang tidak terkawal.

EMOSI PERMUSUHAN

Kebencian sering digambarkan sebagai emosi permusuhan yang sengit, yang umumnya dikaitkan dengan keinginan untuk menghindari, menyekat, menghapus, atau menghancurkan objek yang dibenci.

Ia juga digunakan untuk menggambarkan perasaan prasangka, ketaksuban dan kutukan terhadap seseorang atau sekumpulan orang. Ia adalah antara emosi yang paling biasa dialami oleh manusia.

Kebencian adalah emosi yang dipelajari; manusia tidak dilahirkan dengan keupayaan untuk membenci. Rasa kebencian, prejudis dan ketaksuban ditimbulkan untuk mereka yang dianggap berbeza, sama ada dari segi bangsa, kaum, agama, budaya dan lain-lain.


(Gambar: Joel Ford / AFP)

Apabila perasaan benci menjadi kuat dan mendalam, ia boleh menimbulkan keinginan untuk menjatuhkan atau menghapuskan mereka atau objek yang dibenci akibat gagal untuk menerima hakikat wujudnya kepelbagaian dan perbezaan.

Satu soalan utama ialah mengapa orang yang mempunyai perasaan benci sanggup menggunakan kekerasan dan keganasan terhadap orang lain.

PSIKOLOGI KEBENCIAN

Menurut Erich Fromm, pakar psikologi sosial Jerman, terdapat dua jenis kebencian: 'kebencian rasional', yang timbul sebagai tindak balas apabila wujudnya ancaman terhadap kebebasan, kehidupan atau idea seseorang.

Dan 'kebencian tidak rasional', iaitu ciri yang wujud dalam sesetengah orang seperti kesediaan untuk bermusuhan dengan orang lain. Mereka juga berhasrat melumpuhkan kehidupan orang lain akibat didorong sifat agresif dan kejam.

Gambar: Associated Press

Mereka yang mempunyai sifat kebencian seperti ini mencari sasaran untuk menyerang.

Mereka tidak menunggu peluang, bahkan menciptanya. Orang seperti ini dapat ditemui dalam kalangan pemimpin kumpulan perusuh dan organisasi perkauman dan juga dalam kalangan pemimpin ideologi gerakan benci.

Berdasarkan dua jenis kebencian ini, dapat kita memahami bahawa kedua-dua jenis kebencian wujud dalam ideologi golongan ekstremis.

KEBENCIAN DAN KEGANASAN

Keganasan adalah jenayah yang dilakukan kerana kebencian. Selain itu, perbuatan pengganas yang kita saksikan hari ini sering merupakan produk budaya kebencian dan ekstremisme yang sudah lama wujud.

Pengganas adalah manusia yang hati dan mindanya telah dibentuk untuk menerima ideologi kebencian.

Dalam sebuah artikel yang bertajuk "Cara Membuat Orang Muda Kita Cinta Kehidupan” yang diterbitkan dalam penerbitan harian Kuwait Al-Siyassa, Dr Abd Al-Hamid Al-Ansari, mantan dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang di Universiti Qatar, berkata: 'Keganasan adalah buah (hasil) kebencian - kebencian terhadap kehidupan, kebencian terhadap tamadun dan zaman moden, kebencian terhadap masyarakat dan negara dan kebencian terhadap manusia seluruhnya.

Beliau juga menambah bahawa orang muda yang telah menjadi alat pembunuhan dan bom bunuh diri adalah anak-anak yang hidup dalam budaya kebencian dan juga budaya fanatik dan ideologi ekstremis yang tidak menghargai nilai kehidupan, kenikmatan dan kemanusiaan.

Akhirnya motif politik, ekonomi, sosial dan agama yang mendorong golongan muda untuk meletupkan diri mereka itu dasarnya satu- dan itulah budaya kebencian.

KASIH SAYANG BUKAN KEBENCIAN

Sebagai salah satu sifat negatif yang wujud dalam diri manusia, kita harus menyedari bahawa kebencian harus dihilangkan untuk menjamin dunia yang penuh dengan kedamaian dan kasih sayang.

Ia adalah kejahatan buatan manusia dan tidak boleh dipersalahkan atas agama apa pun. Yang salah adalah mereka yang menetapkan kebencian, bukan kepada agama atau pengikut agama.

Menggalakkan kebencian dan segregasi berdasarkan perbezaan agama, bangsa dan warna sama sekali tidak dapat diterima dan juga bertentangan dengan ajaran semua agama.


Pemimpin belia raikan Minggu Keharmonian Silang Agama Sedunia di Masjid An-Nahdhah. (Gambar: MUIS)

Begitu juga ucapan kebencian yang mampu membawa kepada perpecahan, permusuhan mahupun keganasan.

GALAKKAN KASIH SAYANG

Atas dasar ini, pendirian tegas pemerintah Singapura terhadap ucapan kebencian ini amat penting sekali dan harus diberi sokongan. Sebagai negara yang kecil dan masyarakat yang majmuk, kita tidak mampu untuk membiarkan ucapan kebencian ini berakar umbi dalam masyarakat.

Banyak pengajaran yang boleh kita pelajari dari bahayanya ucapan kebencian ini. Contohnya, kejadian keganasan di Christchurch dan Sri Lanka telah mengajarkan dunia suatu pelajaran yang sangat penting - nilai cinta, belas kasihan, pengampunan dan penghormatan bagi semua orang.

Ini penting untuk membina budaya damai dan memastikan kebencian dan keganasan tidak menular dalam masyarakat.

Dalam dunia yang penuh cabaran hari ini, terdapat keperluan mendesak untuk menggalak kasih sayang dan toleransi serta menolak kebencian terutama dalam kalangan golongan muda.

Hanya dengan mengekalkan moral dan nilai akhlak yang tinggi ini, dapat kita memastikan keamanan dan kestabilan di dunia terus wujud dan mekar, di samping kita memenangi pertempuran melawan kebencian dan keganasan.

Mengenai Penulis:


Dr Mohamed Ali ialah Penolong Profesor di Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Naib Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai. 

- BERITAmediacorp/sm

Top