Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Hutang Gaji, Mesti Bayar! Bagaimana pekerja boleh dapatkan bantuan jika majikan enggan membayar gaji

Setiap kita yang bekerja memanglah mengharapkan bayaran gaji sekurang-kurangnya setiap bulan. Namun ada para pekerja yang kurang bernasib baik apabila majikan gagal melunaskan gaji mereka. Apakah huraian-huraian yang boleh didapatkan seseorang pekerja yang menghadapi masalah tersebut?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Hutang Gaji, Mesti Bayar! Bagaimana pekerja boleh dapatkan bantuan jika majikan enggan membayar gaji

Gambar fail para pekerja di Singapura. (Gambar: TODAY)

BERITAmediacorp: Setiap kita yang bekerja memanglah mengharapkan bayaran gaji sekurang-kurangnya setiap bulan. Namun ada para pekerja yang kurang bernasib baik apabila majikan gagal melunaskan gaji mereka. Apakah huraian-huraian yang boleh didapatkan seseorang pekerja yang menghadapi masalah tersebut? Dalam blognya, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan NTUC, Zainal Sapari menulis tentang langkah-langkah yang boleh diambil seseorang pekerja jika berhadapan dengan keadaan di mana majikan gagal membayar gaji mereka. Berikut petikan tulisan beliau:

Mantan AP GRC Pasir Ris-Punggol Zainal Sapari berucap di Parlimen pada 15 Mei. 

Kecuali anda seorang sukarelawan, semua pekerja berharap mendapat gajinya setiap bulan.

Walaubagaimanapun, ada segelintir pekerja yang tidak dibayar gaji tepat pada masanya, dan ada pula yang tidak dibayar sama sekali!

Menurut Akta Pekerjaan, ia adalah kewajipan majikan untuk membayar gaji pekerja mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali dan dalam masa 7 hari selepas tamatnya tempoh gaji mereka.

Malangnya, terdapat pekerja yang dihutang gaji tetapi mereka tidak melaporkan majikan mereka kepada Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) ataupun Kesatuan Sekerja mereka dalam tempoh yang sesuai untuk menuntut gaji mereka.

Kadang-kadang, pekerja ini tidak tahu apa yang patut mereka lakukan apabila dihutang gaji dan hanya menunggu dengan harapan gaji mereka akan dibayar.

Walaupun kebanyakan pekerja berjaya menuntut gaji mereka dengan penuh selepas melaporkan perkara tersebut kepada TADM atau kesatuan sekerja, ada juga yang tidak begitu bernasib baik.

MAJIKAN HILANGKAN DIRI 

படம்: ara pekerja di Raffles Place. (Gambar fail: Ngau Kai Yan)

Dalam kes hutang gaji yang melibatkan enam warga emas yang berkerja sebagai pembersih, pekerja-pekerja ini tidak dibayar gaji setelah meyelesaikan kerja mereka, walaupun majikan mereka yang mengendalikan perniagaan pembersihan yang berlesen, telahpun menerima bayaran perkhidmatan daripada pembeli khidmat.

Malangnya, agak susah untuk perkerja-pekerja ini mencari majikan mereka untuk menuntut gaji yang dihutang ataupun menguatkuasakan ‘Writ of Seizure and Sale’ (WSS) kerana syarikat itu dikendalikan oleh satu orang dan alamat perniagaan yang didaftar adalah ruang pejabat yang disewa dan telah dikosongkan beberapa tahun yang lalu.

Majikan yang bersalah ini telah menggunakan taktik yang sama untuk menipu pekerja lain yang mungkin tidak berdaya atau kurang pasti apa yang perlu dilakukan untuk menuntut gaji mereka.

Bagaimanapun, pekerja-pekerja ini telah diberi pertolongan oleh Pusat U Care NTUC (UCC) dan kes mereka dirujuk kepada pihak berkuasa.

Selepas siasatan dilakukan, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) membuat keputusan untuk membatalkan lesen syarikat tersebut.

MAJIKAN ‘TEMBERANG’ 

Dalam kes lain yang melibatkan lapan perkerja, syarikat mereka tidak membayar gaji pekerja mereka dan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPFB) juga mendapati bahawa syarikat itu tidak menyumbang kepada CPF pekerja-pekerja itu.

(Gambar fail: Calvin Oh)

Untuk mengelakkan dari dijejaki oleh CPF, majikan tersebut menyuruh pekerjanya meletak jawatan dan menandatangani kontrak baru walaupun dengan bos yang sama.

Pekerja-pekerja ini terpaksa bersetuju dengan berat hati kerana diberitahu jika tidak, syarikat itu akan membayar CPF dahulu sebelum membayar gaji mereka.

Malangnya, apabila perkerja-pekerja ini menyedari bahawa majikan mereka tidak akan membayar gaji mereka, kebanyakan pekerja ini dihutang lebih daripada gaji sebulan dan ada juga yang dihutang gaji tiga bulan.

MASALAH KEWANGAN 

Para pekerja patut sedar jika syarikat sentiasa tidak membayar gaji pekerja tepat pada waktunya, ia menjadi tanda bahawa besar kemungkinan syarikat itu menghadapi masalah kewangan.

Malangnya, ramai pekerja terpaksa bekerja berterusan walaupun dihutang gaji kerana takut sekiranya mereka melaporkan majikan mereka kepada TADM ia akan memburukkan hubungan dengan majikan.

Ramai yang takut kehilangan pekerjaan jika mereka membuat aduan. Pekerja-pekerja ini menderita dalam diam dan terus berkerja mengharapkan sesuatu yang luar biasa akan berlaku dan nasib mereka akan berubah.

SEGERA DAPATKAN BANTUAN

Untuk segelintir pekerja, kelewatan bagi mendapatkan gaji mereka bermakna mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk barang-barang seharian ataupun komitmen yang lain.

Gambar fail.

Jadi apakah yang harus anda lakukan jika majikan anda gagal membayar gaji?

Pertama, cuba berbincang dengan majikan anda tentang gaji yang dihutang.

Kemudian, jika majikan anda tidak dapat melakukannya ataupun enggan membayar, cuba minta pertologan dari TADM ataupun Kesatuan Sekerja anda secepat mungkin.

Ini akan mengelakkan jumlah yang dihutang menjadi lebih besar, dan memberi peluang yang paling baik untuk mendapatkan semula gaji anda.

Lazimnya, kebanyakan Kesatuan Sekerja NTUC telah berjaya menolong pekerja-pekerja yang terjejas untuk mendapatkan balik gaji yang dihutang.

Dalam sesi perantaraan TADM, ‘Settlement Agreement’ (SA) atau Persetujuan Penyelesaian akan diberi selepas penyelesaian dicapai antara kedua-dua pihak.

Jikalau penyelesaian tidak dapat dicapai dalam sesi tersebut, kes itu akan dirujukkan kepada Tribunal Tuntutan Pekerjaan atau Employment Court Tribunal (ECT).

Kebanyakan pekerja akan menerima gaji yang dihutang kepada mereka sepenuhnya selepas kes mereka dirujuk kepada TADM ataupun ECT.

Pekerja yang masih tidak dapat gaji yang dihutang kepada mereka dengan sepenuhnya selepas SA dan ECT akan dirujuk oleh TADM kepada UCC untuk menolong pekerja tersebut mencari jalan lain untuk mendapatkan balik gaji mereka.

Dari 1 April 2017 hingga 30 Jun 2018, UCC telah mengendalikan 320 kes gaji yang diutang (sekitar 20 kes sebulan).

Secara purata, pekerja dihutang gaji sekitar 2 hingga 3 bulan, dengan segelintir diutang gaji sehingga 9 bulan.

Jumlah keseluruhan gaji yang dihutang dalam kes-kes ini mencecah $1.66 juta.

WRIT MAHKAMAH 

Jikalau perkerja masih tidak dibayar gaji yang telah dihutang kepada mereka selepas SA ataupun ECT, mereka akan diberi pilihan untuk membuat WSS.

(Gambar fail: Xabryna Kek).

WSS yang dikeluarkan oleh mahkamah memberi izin kepada pekerja tersebut untuk mengambil milik aset syarikat. Pekerja ini boleh menjual aset tersebut untuk menuntut gaji yang dihutang.

Bagaimanapun, ini adalah proses yang memakan masa yang agak lama dan kos boleh mencecah beberapa ratus hingga ribuan dolar bergantung kepada peringkat WSS dan jumlah aset yang disita dan dilelong.

Bagi pekerja yang menimbangkan pilihan ini, UCC akan bantu menilai sama ada ini merupakan cara yang paling baik untuk mendapatkan balik gaji mereka dan membimbing pekerja melalui proses tersebut.

Dalam kes di mana UCC menilai bahawa WSS dapat dilaksanakan, WSS terbukti berkesan, dan kadar kejayaan pemerolehan gaji adalah tinggi.

Dalam 12 daripada 13 kes tuntutan gaji, di mana pekerja dibantu oleh UCC untuk menjalankan WSS, majikan akhirnya membayar gaji yang dihutang tanpa apa-apa aset majikan disita.

Walaubagaimanapun, terdapat pekerja yang enggan mencuba WSS kerana kosnya yang agak tinggi berbanding dengan jumlah gaji yang dihutang.

Lebih-lebih lagi, tidak ada jaminan bahawa mereka akan mendapat semula gaji yang dihutang kerana ia selalunya tidak jelas berapa banyak aset yang ada pada syarikat itu.

Dalam kes di mana syarikat tidak lagi beroperasi atau telah dijual kepada pihak lain, WSS bukanlah satu pilihan sama sekali.

BANTUAN JANGKA PENDEK

Pekerja berpendapatan rendah yang tidak mendapat semula gaji mereka kerana syarikat itu telah berhenti beroperasi, akan dibantu di bawah Dana Bantuan Jangka Pendek atau Short Term Relief Fund (STRF) TADM yang dibiayai oleh MOM.

STRF memberi bantuan kewangan jangka pendek kepada pekerja tempatan yang berpendapatan rendah sebagai usaha terakhir, di mana majikan tidak dapat membayar gaji mereka kerana syarikat itu telah berhenti beroperasi.

Setakat ini, sejak pelaksanaan STRF pada April 2017, kira-kira sepertiga kes pekerja tidak dibayar gaji adalah pekerja berpendapatan rendah yang gagal mendapat balik gaji mereka dengan SA atau ECT, telah menerima bantuan kewangan daripada STRF.

Di Britain, jika sebuah syarikat bankrap dan pekerja telah diberhentikan, pekerja boleh menuntut sebahagian atau seluruh gaji mereka yang belum dibayar daripada Dana Insurans Kebangsaan atau National Insurance Fund (NIF) yang dibayar oleh pekerja, majikan dan pekerja bebas.

Di Singapura, kita tidak mempunyai NIF. Mungkin, MOM dan TADM boleh meneroka bagaimana STRF boleh membantu lebih ramai pekerja dan bukan setakat mereka yang bergaji rendah.

MELINDUNGI DIRI ANDA 

Memang sukar bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan apabila syarikat itu ditutup, apalagi tidak menerima gaji untuk kerja yang telah mereka lakukan.

Pekerja tidak boleh dipaksa bekerja secara percuma, dan mungkin para pekerja patut mencari kerja alternatif jika ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa tempat pekerjaan mereka mungkin mengalami masalah kewangan.

Setiap pekerja harus mengambil inisiatif untuk mengurangkan risiko mereka tidak dibayar gaji.

Sebagai permulaan, cuba dapatkan pekerjaan di syarikat di bawah kesatuan sekerja, atau menjadi ahli kesatuan sekerja untuk memastikan anda mendapat bantuan yang diperlukan jika sebarang masalah timbul di tempat kerja, termasuk dalam soal tuntutan gaji.

Sekiranya anda mendapati diri anda dalam keadaan yang malang, ataupun jika anda tahu seseorang yang telah menjadi mangsa, ingatlah bahawa peluang untuk mendapatkan balik gaji yang dihutang lebih tinggi apabila syarikat masih beroperasi.

NTUC, U-Care Centre, serta MOM dan TADM, akan menyokong anda. Kami hanya boleh berharap agar anda datang berjumpa kami secepat mungkin.

KEPADA MAJIKAN…

Kehidupan pekerja bergantung kepada anda. Kerana itu, anda mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mereka dibayar tepat pada masanya.

Jika anda mempunyai perniagaan, pastikan anda mempunyai cara untuk menjaga pekerja anda. Jika tidak, kalau anda berhutang gaji, anda perlulah melunaskannya!

Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Zainal Sapari. (Gambar: Zainal Sapari/ Facebook)

MENGENAI PENULIS:

Zainal Sapari adalah Penolong Setiausaha Agung NTUC yang juga Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol sejak 2011. Beliau berkelulusan ijazah sarjana dalam Pengurusan Pendidikan dan pernah berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun.     

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan