Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Huraian bagi masalah dadah, mengapa perlu bersikap tegas

Apakah ura-ura di beberapa negara untuk tidak lagi menganggap pengambilan dadah sebagai kesalahan jenayah boleh menimbulkan pelbagai kesan ke atas kita?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Huraian bagi masalah dadah, mengapa perlu bersikap tegas

Penyalah guna dadah baru terus membentuk sebahagian besar jumlah keseluruhan penyalah guna dadah yang diberkas. (Gambar: Gaya Chandramohan)

BERITAmediacorp: Apakah ura-ura di beberapa negara untuk tidak lagi menganggap pengambilan dadah sebagai kesalahan jenayah boleh menimbulkan pelbagai kesan ke atas kita?

Usaha-usaha membanteras penagihan dadah di negara-negara jiran kita semakin bertambah rumit dengan cabaran-cabaran yang mereka sedang hadapi.

Dari pengendalian sumber yang disalurkan untuk menjalankan operasi-operasi penangkapan penyalahgunaan dadah, ke pengurusan program pemulihan bekas penagih, ke langkah membendung perbuatan dan pengedaran dadah, hinggalah kepada suasana kesesakan di penjara-penjara.

Semuanya membuktikan bahawa masalah penyalahgunaan dadah merupakan masalah bertindih yang membimbangkan pemerintah masing-masing.

Seperti di sesetengah negara Barat, rang undang-undang yang diluluskan untuk membenarkan penagihan dadah adalah langkah-langkah terdesak yang diambil untuk mengendalikan isu-isu sosial lain yang mereka kurang berupaya menanganinya.

Langkah-langkah yang sama juga malangnya sudah mula mendapat sokongan pemerintah beberapa negara ASEAN.

Di Thailand misalnya, negara itu telah membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan; dan kini jiran terdekat kita Malaysia sudah mula mempertimbangkan kemungkinan menakrif penagihan dadah sebagai tidak menyalahi undang-undang.

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad. (Gambar: Bernama)

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad. (Gambar: Bernama)

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dinukil sebagai berkata: “Dikriminalisasi perlu dilakukan bukan dengan memansuhkan atau meminda akta sedia ada, tetapi lebih kepada tindakan pentadbiran dengan menakrif penagih sebagai pesakit dan fokus kepada rawatan serta pemulihan berbanding menghukum.”

Ketagihan dadah itu mungkin adalah suatu kondisi yang memerlukan perhatian dan bantuan perubatan dari sudut perspektif penyakit.

Tetapi penagih sering kali membuat pilihan sendiri untuk melibatkan diri dengan dadah dan disebabkan pilihan itulah yang menjerumuskan mereka ke dalam ketagihan.

MESEJ MENGELIRUKAN

Justeru itu dikriminalisasi (tidak menganggap sebagai kesalahan jenayah) ketagihan dadah akan memberikan mesej yang mengelirukan tentang perbuatan yang membinasakan itu.

Malah usaha-usaha untuk membendung ketagihan dadah juga tidak akan berkesan kerana kesan-kesan yang akan dihadapi si penagih dadah yang dengan secara rela terlibat dalam tabiat itu tidak begitu jelas.

Ia juga akan memberi kesan yang negatif terhadap masyarakat umumnya dalam jangka panjang kerana ia melemahkan keupayaan perundangan untuk mengambil tindakan yang diperlukan.

Gambar fail Mahkamah Tinggi.

Gambar fail Mahkamah Tinggi

Singapura dari awal lagi telah mempertahankan pendiriannya terhadap penyalahgunaan dadah dengan undang-undang yang tegas; merangkumi setiap aspek dari penghasilan, pengedaran dan penagihan.

Hukuman mati yang akan dikenakan ke atas mereka yang terlibat dalam jenayah dadah yang melebihi had yang telah ditetapkan, telah terbukti berkesan dalam membendung masalah ini.

Sebenarnya berbagai usaha yang telah dilakukan untuk membantu mereka yang ketagih dadah mengatasi cabaran ini.

Program-program peningkatan, kawal nafsu, kembali semula ke pangkuan masyarakat dan banyak lagi telah dilaksanakan oleh pemerintah melalui badan-badan bantu diri dan para sukarelawan.

Setiap pesalah dadah itu menerima rawatan dan bimbingan yang berunsur nilai-nilai baik dan bimbingan agama.

Tidak dapat dinafikan bahawa cara yang paling berkesan dalam mencegah berulangnya ketagihan adalah dengan menyekat pengaruh-pengaruh buruk yang berkaitan dengan dadah.

Dengan memberi tumpuan kepada keperluan dan kestabilan emosi, menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berguna dan mengukuhkan struktur sokongan di peringkat mikro.

MENGGUGAT NEGARA JIRAN

Ura-ura kerajaan Malaysia untuk dikriminalisasi penagihan dadah adalah langkah yang boleh menggugat usaha negara-negara jirannya yang sudah bertahun-tahun bertindak keras terhadap kes-kes yang berkaitan dengan dadah.

Dengan dikriminalisasi penagihan dadah tidakkah ini besar kemungkinan akan menggalakkan ramai pelawat mengunjungi Malaysia untuk sekadar melepaskan gian dadah.

Dengan bilangan ketagihan dadah yang akan bertambah, ia akan juga menjejas daya upaya Singapura sebagai jiran yang terdekat secara fizikal dalam memerangi dadah kerana kemudahan dan akses yang tersedia ada yang menanti di seberang tambak.

Gambar fail Pusat Pemeriksaan Woodlands. 

Pusat Pemeriksaan Woodlands

Turut dikhuatirkan apabila kerajaan Thailand mengambil keputusan untuk mengesahkan ganja sebagai bahan perubatan dan Malaysia pula dengan langkah dikriminalisasi penagihan dadah, ini akan menimbulkan keraguan dalam kalangan sesetengah belia sama ada dadah itu benar-benar berbahaya.

Sikap yang agak liberal di kedua-dua negara itu juga akan mengelirukan pendirian rantau ini terhadap dadah dan akan mencabar batas moral kita pada kaca mata masyarakat lain.

Penagihan dadah membawa kesan yang merosakkan bukan hanya pada diri yang ketagih tetapi juga kepada ahli keluarga, sahabat handai dan juga masyarakat umum.

MENJEJAS USAHA

Keupayaan seseorang untuk mendapatkan dadah dengan mudah melalui saluran-saluran di luar negara terutama sekali jika usaha itu tidak melecehkan akan dengan secara langsung menjejas ikhtiar kita untuk mencapai matlamat bebas dadah.

Ini akan meningkatkan lagi kos perjuangan kita dari segi membiayai program-program pemulihan penagih, pencegahan, pembasmian dan penghapusan kegiatan jenayah yang berkaitan dengan dadah dan juga kesan negatif terhadap produktiviti yang dijangka menurun di tempat kerja.

Pembentangan tentang kesan dadah ke atas prestasi kerja penagih (Gambar ihsan: Khalid Awang)

Hakikatnya terdapat cukup bukti bahawa dadah menjejas kelakonan seseorang dan penagihan dadah memincang dan merosakkan masyarakat, bangsa dan negara.

Anggota masyarakat kita yang keluar negara untuk memuaskan nafsu ketagihan mereka perlu maklum yang bekas bahan dadah menetap dalam sistem badan sehingga beberapa bulan dan jika mereka disahkan mengandungi bahan tersebut semasa mereka pulang ke tanah air, mereka boleh diberkas.

Malah, perbuatan menyalahi undang-undang yang mereka lakukan di luar negara boleh menyebabkan mereka dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan di sini.

KERJASAMA SEMUA

Kempen memerangi dadah yang ampuh bergantung kepada kerjasama negara-negara serantau.

Setiausaha Parlimen Dalam Negeri Amrin Amin (pakai jaket cokelat) dalam kempen 'Dadah Itu Haram'. (Gambar: Taufiq Zalizan/BERITAMediacorp)

Kempen Dadah itu Haram dilancarkan pada 2017 dengan dokongan segenap masyarakat (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITA Mediacorp)

Pepatah Inggeris: “We are as strong as our weakest link”, menekankan peri pentingnya setiap negara memainkan peranan masing-masing dan bersatu padu dalam menghadapi berbagai masalah yang berkaitan dengan dadah.

Adalah diharapkan agar negara-negara yang merancang untuk tidak lagi menganggap pengambilan dadah sebagai kesalahan undang-undang supaya memikirkan semula niat mereka.

Fikirkan langkah tersebut semasak-masaknya demi kestabilan dan kemakmuran rantau ini.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan