Images
  • racial harmony day
    Kanak-kanak semasa sambutan Hari Keharmonian Kaum. (Gambar fail: MOE)

KOMENTAR: Hubungan kaum dan agama lebih kukuh dengan semua menolak fahaman eksklusif

BERITAmediacorp: Sebagai anggota masyarakat majmuk, bagaimana kita boleh berperanan memastikan keharmonian agama dan perpaduan sosial bukan hanya dapat dilindungi, malah semakin utuh dan mekar sepanjang masa.


(Gambar fail: Mediacorp)

Singapura merupakan sebuah negara yang mempunyai landskap masyarakat yang unik.

Keunikan masyarakatnya terletak pada kepelbagaian kumpulan agama dan kaum untuk hidup sebagai masyarakat Singapura di bawah satu sistem pemerintahan yang sekular.

Namun, pemahaman dan pelaksanaan sistem sekular di negara ini berbeza dengan yang lazimnya difahami ramai dan diamalkan di negara-negara barat.

Istilah sekular merujuk kepada perpisahan antara negara dan agama (separation between states and religion). Ini intipati maksud sekular pada umumnya.

Walaupun sistem pemerintahan di Singapura ini berbentuk sekular, pemerintah mempunyai peranan untuk mengatur dasar-dasar yang berkaitan isu keharmonian agama dan kaum di sini.

Ini supaya kestabilan negara yang juga tergantung kepada keharmonian agama dapat dikekalkan dengan peraturan dan undang-undang yang teratur.

Walau demikian, ini tidak bermakna pengamalan agama di sini tersekat dan terbatas. Dalam urusan pengamalan dan ritual agama, pemerintah tidak campur tangan.

Apa yang menjadi keprihatinan pemerintah adalah setiap kumpulan agama itu dapat menjalankan pengamalan agama masing-masing tanpa berlaku sebarang konflik dan ketegangan di antara kumpulan-kumpulan agama di sini.

USAHA BERTERUSAN

Sekiranya kita lihat, banyak inisiatif telah diwujudkan untuk meningkatkan kesedaran tentang peri pentingnya keharmonian agama dan perpaduan sosial.

Hakikatnya, usaha-usaha ke arah membina masyarakat harmoni ini telah bermula pada tahun-tahun awal negara ini merdeka dan berterusan sehingga ke hari ini.

Tiada cara yang boleh kita pastikan agar keharmonian ini berkekalan melainkan dengan usaha yang berterusan.

Masyarakat tidak seharusnya merasa bosan dengan banyaknya penekanan dan tumpuan yang diberikan kepada usaha mengukuhkan keharmonian kaum dan agama di sini.

Kita tidak boleh leka dalam apa sahaja usaha yang membawa kepada kestabilan negara dan keharmonian masyarakat.

Pada Jun tahun lalu, Singapura menjadi hos kepada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS), anjuran Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Dalam sidang itu, para pemimpin agama yang mewakili pelbagai kepercayaan di sini telah membuat komitmen bergelar: ‘Komitmen untuk Melindungi Keharmonian Agama’.

Komitmen ini dibuat berikutan beberapa perbincangan di kalangan pemimpin agama tempatan dengan sokongan dari pemerintah Singapura.

KUNCI KEHARMONIAN 

Dengan Komitmen ini, pertubuhan keagamaan di sini mengesahkan nilai dan cara hidup warga Singapura yang menjadi dasar keharmonian agama masyarakat majmuk Singapura.

Para pemimpin agama di sini akur bahawa hubungan antara agama yang kukuh merupakan kunci keharmonian agama.


30 pemimpin dan wakil kanan agama berhimpun dalam satu majlis jamuan teh di Masjid An-Nahdhah pada 1 Jul 2019. (Gambar fail: Pusat Harmoni)

Dalam Komitmen itu, mereka menjelaskan “Walaupun kepercayaan kita mungkin berbeza, kita mempunyai nilai-nilai yang sama, seperti kerja amal, kasih sayang, sikap hormat dan ihsan. Ini selaras dengan nilai-nilai kita yang bertujuan menggalak interaksi yang kerap”.

Usaha seperti ini menegaskan keperluan setiap golongan agama untuk melindungi, menghargai dan juga menggalak keharmonian agama di sini.

Ia juga menekankan banyak cara positif yang rakyat Singapura boleh melakukan untuk berinteraksi dengan masyarakat lain dengan lebih baik lagi.

Kepentingan Komitmen ini selain dari membina masyarakat yang lebih bersepadu, membolehkan rakyat Singapura mencegah amalan segregasi dan eksklusif daripada berakar umbi dalam masyarakat.

ASAS PENTING 

Masyarakat dunia hari ini berdepan dengan ancaman ideologi ekstremis dan eksklusivis serta amalan segregasi yang boleh menjejas keharmonian agama dan perpaduan sosial.

Singapura tidak terkecuali dari berhadapan dengan ancaman sedemikian.

Oleh kerana pentingnya nilai keharmonian agama dan perpaduan sosial pada hari ini, kita harus terus berusaha untuk memastikan agar ia terus berkekalan dan mekar sepanjang zaman. Pendekatan baru lagi segar juga diperlukan.

Demi menjamin keharmonian agama ini, tiga perkara menjadi asas dalam sebuah masyarakat majmuk iaitu (1) kesaksamaan; (2) mewujudkan peluang dan (3) memanfaatkan sepenuhnya alat komunikasi moden.

KESAKSAMAAN 

Kesaksamaan adalah nilai penting dalam sesebuah masyarakat. Kita harus mewujudkan sebuah masyarakat yang saksama dan adil. Pedamaian dan keharmonian hanya dapat diwujudkan dengan keadilan.

Dalam Islam, Allah swt menyuruh hamba-hambanya untuk menegakkan keadilan dan keihsanan seperti dalam Surah An-Nahl ayat 90:

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan (ihsan) serta membantu kaum kerabat. Dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran”.

Anak-anak muda kita dididik untuk membantu golongan yang lemah tidak kira kaum dan agama serta merapatkan jurang sosial dan ekonomi dalam masyarakat.

Dengan kesaksamaan ini, masyarakat akan mampu untuk hidup lebih harmoni dan penuh rasa ihsan dan kasih sayang.


(Gambar fail: Mediacorp)

MEWUJUDKAN PELUANG

Mewujudkan peluang bukan hanya setakat melawat rumah ibadat kaum lain dan juga mengunjungi mereka pada hari perayaan agama mereka sahaja.

Masyarakat harus beralih dari hanya menyedari perbezaan yang wujud antara kita kepada hidup dengan perbezaan tersebut. Ini dapat dilakukan dengan mewujudkan peluang interaktif harian yang dibina atas kepentingan bersama.

Sebagai contoh, kita boleh mengambil peluang daripada musim durian sekarang ini. Ramai orang dari semua kaum dan agama suka menikmati buah durian.

Kita mungkin boleh menganjurkan pesta durian atau pertemuan untuk semua pencinta durian tidak kira latar belakang mereka. Durian menjadi sebab pertemuan dan interaksi yang lebih bermakna.

Pertemuan sedemikian akan membawa kepada perbualan yang lebih intim mengenai kehidupan seharian kita seperti pendidikan anak-anak, perkongsian pengalaman di tempat kerja dan sebagainya.

Ini semua akan membawa kita sedar bahawa kita mempunyai lebih banyak kesamaan daripada yang dijangkakan.

ALAT KOMUNIKASI MODEN

Akhir sekali, kita harus memberikan penumpuan kepada cara bagaimana kita dapat lebih memanfaatkan wadah media sosial semasa yang ditawarkan dunia moden.

Lebih-lebih lagi, keadaan wabak COVID-19 kini seakan memaksa kita untuk memanfaatkan wadah teknologi ini.

Lazimnya, kita mendapati bahawa media sosial ini digunakan oleh golongan ekstremis untuk tujuan yang negatif seperti menghasut dan memisahkan antara masyarakat.

Di samping mengawal pengaruh negatif ini, kita boleh mengambil satu langkah lagi menggunakan media sosial untuk berkongsi kisah mereka yang telah melakukan ihsan dan perubahan kepada kehidupan orang.

Media sosial juga boleh digunakan untuk menyatukan mereka dari pelbagai agama dan latar belakang dengan berkongsi maklumat tentang perhimpunan sosial yang dianjurkan dan sebagainya.


FAHAMAN MEMECAH BELAH 

Kestabilan negara banyak bergantung kepada keutuhan masyarakatnya. Dalam masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama, keharmonian agama dan perpaduan sosial merupakan tunggak yang mengukuhkan masyarakat.

Kestabilan dan keutuhan ini harus dijaga dengan baik. Kita harus memastikan bahawa tiada sesuatu yang dapat menggugat keharmonian agama di sini.

Ancaman seperti fahaman ekstremis, eksklusivisme, segregasi dan juga sentimen anti-agama harus ditentang sekuatnya.

Ancaman-ancaman ini amat berbahaya sekali dalam masyarakat kita.

HARUS TEGAS 

Justeru, kita harus memastikan para pendakwah agama tidak boleh mempromosikan ideologi dan amalan segregasi yang boleh membawa kepada ketidakharmonian dan keretakan pada fabrik sosial.

Mereka harus tegas dengan pendirian bahawa memberikan ucapan selamat kepada penganut agama lain ketika perayaan keagamaan mereka adalah sesuatu yang tidak bertentangan dengan kepercayaan agama.

Malah ia adalah baik demi menunjukkan muhibah kepada orang yang berlainan agama.

Nilai kesamaan dan menolak fahaman yang memecahbelahkan masyarakat yang berterusan adalah asas dalam masyarakat yang padu.

Sebagai anggota masyarakat majmuk, kita berperanan dan memikul tanggungjawab dalam memastikan keharmonian agama dan perpaduan sosial yang kita nikmati hari ini bukan hanya dapat dilindungi, malah semakin utuh dan mekar sepanjang masa.

MENGENAI PENULIS:


Dr Mohamed Ali ialah Penolong Profesor di Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Naib Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai. 

- BERITAmediacorp/tq

Top