Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Hikmah di sebalik wabak COVID-19 – apa yang boleh kita pelajari daripadanya

Kita boleh mendidik diri kita supaya sentiasa berpandangan positif terhadap sesuatu perkara walaupun ia adalah sesuatu yang negatif seperti penularan virus COVID-19. Bagaimana kita boleh pelajari hikmah di sebaliknya?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kita boleh mendidik diri kita supaya sentiasa berpandangan positif terhadap sesuatu perkara walaupun ia adalah sesuatu yang negatif seperti penularan virus COVID-19. Bagaimana kita boleh pelajari hikmah di sebaliknya?

Ustaz Zahid Zin bersama kakitangan Masjid An-Nur. (Gambar-gambar: Zahid Zin)

Sekiranya kita ambil waktu sejenak untuk memerhati dan merenung setiap kejadian dan reaksi yang timbul daripada krisis penularan virus COVID-19, maka kita akan dapati banyak hikmah dan kebaikan daripadanya yang boleh dijadikan teladan dan pengajaran.

Hikmah ini hanya akan dihargai oleh mereka yang dapat melihat krisis ini dengan lensa positif lagi terbuka.

1. MEMBENTUK TABIAT MURNI

Tidak dinafikan bahawa membentuk satu tabiat itu ada permulaannya dan memerlukan disiplin yang kuat untuk mengekalkan tabiat tersebut sepanjang masa.

Antara contoh tabiat murni yang kita boleh mulakan sekarang dan mengekalkannya sepanjang hayat adalah penjagaan kebersihan.

Sejak bermulanya krisis wabak, ini, kita sangat digalakkan untuk meningkatkan tahap kebersihan diri kita ke tahap yang lebih baik.

Begitu juga kita digesa untuk amalkan tabiat kebersihan awam yang baik.

(Petikan video dari Facebook/Masjid Jamiyah Ar-Rabitah)

Antaranya ialah mencuci tangan dengan kerap dengan menggunakan sabun, menggunakan “hand sanitizer” jika ketiadaan air, menggunakan tisu apabila batuk dan bersin, memastikan kebersihan tandas awam dan lain-lain.

Hakikatnya, tabiat menjaga kebersihan ini bukan hanya perlu diwujudkan ketika kita menghadapi krisis ini.
Menjaga kebersihan diri dan tempat awam adalah sesuatu amalan yang seharusnya menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.

Namun, inilah masanya untuk kita pertingkatkan dan mulakan satu tabiat murni dan cuba mengekalkannya sepanjang hayat.

2. MENYEMAI SIFAT IHSAN

Sejak kebelakangan ini, kita lihat ramai dalam kalangan masyarakat telah tampil untuk memberi bantuan dan sokongan kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan untuk membendung penularan wabak ini.

Bantuan dan sokongan masyarakat dihulurkan dalam pelbagai bentuk seperti memberi makanan, hadiah, ucapan terima kasih dan sebagainya.

Perbuatan ini mencerminkan sifat ihsan yang harus dimililik oleh setiap insan ke atas insan lain tidak kira apa latarbelakang mereka.

Sifat ihsan, kasih sayang, saling menghormati dan bantu-membantu merupakan antara nilai-nilai utama yang harus ditonjolkan ketika berada dalam krisis sebegini.

Pada masa yang sama, kita menolak segala sikap sebaliknya seperti diskriminasi, hinaan, cacian yang dilemparkan oleh segelintir anggota masyarakat kepada sebahagian jururawat, pemandu teksi dan kereta sewa.

Begitu juga hinaan kepada sesuatu golongan kaum disebabkan wabak ini adalah sesuatu yang harus ditentang sama sekali.

3. PEMAKANAN DAN RIADAH

Wabak COVID-19 ini dipercayai berpunca daripada pemakanan sebahagian jenis haiwan. Bahkan, kebanyakan jenis penyakit yang dihadapi manusia dipercayai disebabkan pemakanan mereka, Justeru, inilah masanya untuk kita memperbaiki tabiat pemakanan kita.

Mengawal diet dan pemakanan dapat membantu kesihatan kita. Hakikat ini amat jelas sekali dan telahpun diketahui umum.

Namun, cabarannya adalah mendisiplinkan diri kita untuk mengambil makanan yang dapat mempertingkatkan kesihatan kita seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan yang kurang kolesterol dan sebagainya.

Perlawanan persahabatan dianjurkan sempena pelancaran rasmi Walking Football For Health (WaF4H). (Gambar: BERITAmediacorp)

Tidak kurang pentingnya juga waktu pemakanan dan juga jumlah makanan yang kita ambil.

Banyak nasihat pakar pemakanan yang boleh kita ambil dan amalkan. Ajaran Nabi Muhammad s.a.w. yang menggesa kita supaya makan apabila terasa lapar dan berhenti sebelum terasa kenyang adalah sesuatu yang sangat penting dan dapat membantu meningkatkan kesihatan dan juga kecerdasan kita.

Selain pemakanan, riadah juga perlu dilakukan demi memastikan kesihatan kita terjamin.

4. MANFAATKAN MASA BERSAMA KELUARGA

Penularan wabak COVID-19 ini telah memberi impak yang negatif kepada ekonomi dan telah menjejas sektor seperti perniagaan dan pelancongan.

Akibatnya, ramai orang menghabiskan masa mereka di rumah. Mereka memilih untuk keluar hanya jika ada keperluan penting sahaja.

Disebabkan itu tempat-tempat seperti pusat beli-belah dan lapangan terbang agak lengang daripada orang ramai ketika ini.

Maka inilah masanya kita dapat memanfaatkan masa di rumah bersama keluarga dengan lebih bermakna.
Sering kita mengadu tentang kekurangan masa untuk bersama keluarga sewaktu sibuk berkerja. Maka apabila kita ada peluang seperti sekarang ini, maka ia tidak harus disia-siakan.

Banyak aktiviti kekeluargaan dapat dilakukan di rumah juga. Ini termasuk belajar dan membaca bersama, menonton TV bersama, bermain ‘game’ bersama ataupun setakat berbual bersama dengan tujuan merapatkan hubungan dan meningkatkan komunikasi bermakna antara ahli keluarga.

5. FAHAMI KONSEP AGAMA

Segelintir anggota masyarakat Muslim mempunyai salah faham tentang beberapa ajaran dan konsep agama.

Ini dapat dilihat ketika kita menghadapi krisis COVID-19 ini. Terdapat suara dalam kalangan masyarakat Muslim yang mendakwa bahawa berlakunya wabak virus ini adalah bala’ disebabkan balasan Allah swt ke atas sesebuah kaum seperti kaum Cina.

Ini adalah satu dakwaan yang salah dan harus diperbetulkan.

Sebagai seorang Muslim dan beriman, kita percaya bahawa krisis ini adalah ujian yang Allah swt berikan kepada hamba-hambanya.

Ujian seperti ini telah dilalui oleh umat manusia sebelum ini dalam pelbagai bentuk dan cara.
Ia memperlihatkan kekuasaan Allah swt dan kedaifan kita semua sebagai hambanya agar kita melahirkan syukur dan bukan mendabik dada.

Sebagai krisis yang global, virus ini menyasarkan mangsanya di mana sahaja tidak kira tempat dan latar belakang mereka.

Walaupun sumber asal wabak ini dipercayai bermula dari negara China, mengaitkan krisis ini sebagai balasan hukuman Allah ke atas kaum Cina adalah sesuatu yang tersasar dari sifat kita sebagai hambaNya.

Ini kerana kita seolah-olah ingin menjadi sang Pencipta makhluk yang arif tentang sebab-musabab suatu kejadian dengan sepenuhnya.

Masjid Assyakirin antara tiga masjid yang menjalankan inisiatif bakar semangat pekerja barisan hadapan jagaan kesihatan. (Gambar fail: Masjid Assyakirin) 

Hukum berjabat tangan itu adalah sunnah dan setiap hukum itu boleh berubah mengikut keadaan dan juga panduan dari ulama yang muktabar.

Apa yang penting dari bersalaman ini adalah ungkapan salam yang mengandungi doa dari pemberi salam kepada penerima salam tersebut. Itulah erti salam yang sebenar.

6. ANJAKAN PARADIGMA

Krisis COVID-19 ini menguatkan lagi kekata yang membawa maksud, “Satu-satunya perkara yang tidak akan berubah adalah perubahan”.

Ini membawa maksud bahawa setiap dari kita seharusnya bersiap sedia untuk menyesuaikan diri dengan jayanya dalam apa keadaan sekali pun.

Persediaan terpenting adalah dari sudut mental, iaitu kebolehan mengalih atau melepasi batasan pemikiran atau perasaan demi untuk kebaikan diri dan masyarakat.

Contohnya, mereka yang mungkin terjejas mata pencarian mereka akibat krisis ini, harus bersikap positif dalam mengukir kemahiran baru demi kesejahteraan keluarga.

Mereka yang dihantui perasaan takut dan cemas lalu menimbun barang-barang keperluan dari pasar raya harus mengurus kecemasan mereka di samping berusaha untuk mengutamakan maslahat umum.

Diharapkan anjakan paradigma sebegini akan menjadikan kita insan yang lebih cekap, cekal dan dapat terus menjadi golongan yang memberi dalam mengharungi keadaan dunia yang sentiasa berubah-ubah walaupun setelah krisis ini telah berlalu pergi.

7. TAQWA DAN TAWAKKAL

Sejak timbulnya krisis wabak ini awal bulan lalu, banyak usaha, perubahan, inisiatif dan penyesuaian telah dilakukan.

Kesemua ini adalah usaha-usaha yang harus kita lakukan demi membendung penularan yang lebih besar lagi.

Namun, sebagai seorang Mukmin, kita percaya bahawa usaha kita sahaja tidak memadai untuk mencapai apa yang kita hajatkan.

(Gambar hiasan: Saeed Khan/AFP)

Di samping berusaha, peningkatan taqwa dan juga tawakkal amat perlu sebagai bantuan kerohanian yang tidak kurang pentingnya untuk kita miliki.

Dengan adanya semangat usaha yang gigih, keutuhan sifat taqwa dan tawakkal yang jitu, kita dapat bersama-sama berjaya mengharungi krisis ini dengan bantuan Ilahi.

Tidak lupa juga kepentingan berdoa dan memohon bantuan Allah swt ketika berhadapan dengan krisis ini adalah sesuatu yang tidak harus dilupakan.

Kesimpulannya, kita harus mendidik diri kita supaya sentiasa berpandangan positif terhadap sesuatu perkara walaupun perkara itu adalah sesuatu yang negatif.

Menghayati dan menghargai hikmah di sebalik krisis ini merupakan pendekatan yang harus kita ambil dalam usaha kita mengharungi cabaran krisis COVID-19.

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohamed Bin Ali. (Gambar: Dr Mohamed Bin Ali)

Dr Mohamed Ali adalah Penolong Profesor bagi Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Naib Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan