Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Hidup ‘terkurung’ akibat COVID-19 banyak cabaran dan tekanannya; banyak juga cara menanganinya

Tidak harus biarkan cabaran dan tekanan yang dihadapi berterusan. Ia boleh diatasi jika kita mengambil langkah ke hadapan dengan lebih positif.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tidak harus biarkan cabaran dan tekanan yang dihadapi berterusan. Ia boleh diatasi jika kita mengambil langkah ke hadapan dengan lebih positif.

Pandemik COVID-19 terus menular. Penghujungnya masih belum kelihatan.

Di sebalik itu semua, semakin ramai di antara kita mulai sedar tentang cabaran hidup terkurung di dalam rumah kerana ia luar dari kebiasaan kita.

Bagi yang ditentukan untuk bekerja dari rumah, mereka perlu menyesuaikan diri bekerja dengan keberadaan ahli keluarga di sekeliling.

Mereka perlu atasi keadaan seperti anak-anak yang inginkan perhatian dari masa ke semasa, mengawal bunyi bising semasa menghadiri mesyuarat dalam talian, memastikan kerahsiaan maklumat tugasan dan menjaga kebersendirian (privacy).

Anak-anak yang bersekolah pula perlu menjalani pembelajaran di rumah (HBL) yang menggunakan komputer dan memerlukan pemantauan ibu bapa. Ini mendatangkan tekanan tambahan bagi kedua-dua belah pihak.

Bagi si anak, mereka berhadapan dengan tekanan untuk memberi tumpuan di dalam suasana yang berbeza dari bilik darjah.

Ibu bapa pula mungkin rasa tidak berdaya untuk membantu anak-anak mereka apabila tahap pemahaman mereka sendiri tidak mencapai skop pembelajaran sekolah.

MENJEJAS KESIHATAN

Tekanan hidup di dalam suasana terkurung lebih kritikal bagi mereka yang telahpun berkeadaan demikian sebelum penularan virus, misalnya, warga senja yang hidup sebatang kara dan terasing.

Mereka yang mengharapkan kunjungan dari pekerja sosial, sukarelawan dan pendamping tidak boleh terputus hubungan kerana penularan virus semata-mata.

Gambar fail TODAY.

Keadaan terasing yang berpanjangan boleh menjejas kesihatan mental dan mengakibatkan kemurungan.

Keadaan akan semakin tertekan bagi warga tua yang menghadapi komplikasi penyakit kronik dan perlukan bantuan untuk bergerak dan melakukan aktiviti harian.

BANTUAN TAMBAHAN

Mujurlah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah menggembleng tenaga Pejabat Generasi Warga Senja (Silver Generation Office) untuk melawat dan mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan tambahan dalam jangka masa pemutus rangkaian jangkitan.

Badan-badan sosial seperti Lion’s Befrienders juga masih tetap meneruskan lawatan ke rumah bagi warga senja yang dikenal pasti untuk meninjau kemaslahatan mereka, walaupun masa kunjungan telah dipendekkan.

Gambar fail warga emas.

Malangnya, ada sebahagian warga senja yang tidak dikenali oleh badan-badan bantuan.

Mereka mungkin dahulunya menghabiskan masa di tempat-tempat awam seperti kedai kopi, bersembang dengan rakan di taman awam dan di bawah kolong blok mereka.

PERTAMBAHAN KES

Kita telah melihat beberapa kes warga senja yang masih mahu bersembang di luar kerana mereka berasa bosan bersendirian dan inginkan interaksi di luar rumah walaupun menghadapi risiko jangkitan virus.

Ada pula mereka yang berhadapan dengan cabaran risiko keganasan keluarga kerana berada di dalam lingkaran yang rapat buat jangka masa yang panjang bersama pelaku keganasan.

Sebelum ini, mangsa keganasan keluarga mungkin dapat sedikit kelegaan apabila si pendera keluar untuk bekerja. Kini, keadaan mereka di rumah ibarat telur di hujung tanduk memandangkan mereka terkurung bersama.

Gambar hiasan (Gambar: Try Sutrisno Foo)

MSF telah melaporkan peningkatan 14% pada jumlah pertanyaan dalam talian melibatkan keganasan keluarga dua minggu setelah pemutus rangkaian jangkitan dikuatkuasakan.

PELBAGAI CARA

Tekanan yang menjejas kesihatan mental juga boleh bersebab oleh rasa cemas kerana keadaan yang tidak menentu rentetan daripada penularan COVID-19.

Ada yang risau dengan pemberhentian kerja, kehilangan sumber pendapatan dan perniagaan yang terjejas.

Ada juga yang risau tentang menghadapi risiko dijangkiti kerana memikul tugas sebagai pekerja barisan hadapan.

Ada juga yang sebelum ini sudahpun mempunyai isu kesihatan mental seperti gangguan kebimbangan (anxiety disorder) dan gangguan obsesif kompulsif (obsessive compulsive disorder) yang dimudaratkan lagi oleh perasaan cemas dijangkit virus.

Sebelum menjadi runcing, tekanan boleh diatasi dengan pelbagai cara termasuk perkara-perkara yang boleh diusahakan berikut.

TERUS BERHUBUNG

Walaupun kita mengasingkan diri, kita masih boleh terus berhubung. Gunakan teknologi untuk membantu.

Selain daripada telefon, kita juga boleh menggunakan panggilan video dan kaedah panggilan persidangan maya (virtual conference call) untuk memastikan hubungan keluarga dan kenalan terus terjaga.

Sokongan ahli keluarga dan kawan-kawan akan memberi kekuatan emosi. Perhubungan yang berterusan juga dapat memantau keadaan mereka yang terdedah kepada risiko.

MAKLUMAT DIPERCAYAI

Kita mudah terkesan dengan berita yang sensasi. Berita buruk yang menular membawa kepada perasaan cemas dan tekanan.

Dapatkan maklumat daripada sumber yang rasmi dan boleh dipercayai. Elak daripada menyebarkan berita yang tular kerana ia hanya melanjutkan lagi perasaan tertekan kepada orang lain.

FIZIKAL DAN MENTAL

Mungkin beriadah dan senaman di luar agak sukar buat masa ini, tetapi ia masih boleh dilakukan jika kita mematuhi peraturan jarak selamat dan memakai pelitup.

Ramai juga yang melakukan senaman ringan di dalam rumah untuk terus menjaga kesihatan.

Ada banyak sumber video dalam talian (online) yang boleh dirujuk untuk bersenam di rumah. Ada juga video-video yang membantu anda melakukan aktiviti yang bermanfaat kepada kesihatan mental.

(Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

Luangkan cukup masa untuk berehat, melakukan aktiviti yang menenangkan fikiran seperti aktiviti keagamaan, membaca, memasak, bercucuk tanam dan berbagai lagi.

BOLEH DIKAWAL

Dengan keadaan yang tidak menentu, banyak perkara yang kita rasa tidak terkawal. Situasi berubah-ubah bergantung kepada tahap penularan.

Ketidakpastian ini akan memberi tekanan jika kita membiarkannya mengganggu fikiran. Sebaliknya ada juga perkara-perkara yang kita boleh kawal dan ini akan memberi kita kuasa untuk teruskan kehidupan dengan lebih tenang.

Misalnya, kita boleh pastikan penjagaan kebersihan diri, duduk di rumah dan mengelak daripada berkumpul, menguruskan jadual harian dan menetapkan matlamat harian yang boleh dicapai.

Kita masih boleh merancang untuk masa hadapan.

KHIDMAT KAUNSELING

Tidak semua yang kita lakukan akan membuahkan hasil yang diinginkan. Jika tekanan kehidupan menjadi semakin sukar untuk ditangani, jangan segan untuk mendapatkan pertolongan.

Khidmat kaunseling dalam talian ada disediakan.

Misalnya khidmat 24 jam National CARE Hotline (1800-202-6868 ) telah disediakan untuk membantu memberi sokongan emosi kepada pemanggil.

Pegawai profesional yang mengendalikan khidmat ini juga boleh merujuk anda kepada khidmat bantuan lain yang diperlukan.

Situasi COVID-19 mungkin akan berpanjangan dan perlukan penyesuaian kepada norma baru yang semakin ketara.

Cabaran dan tekanan yang dilalui boleh diatasi jika kita mengambil langkah ke hadapan dengan lebih positif.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan