Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Hati-hati sebelum tandatangani kontrak kerja; jangan sesal kemudian

Mengapa pekerja perlu meneliti kontrak pekerjaan sebelum menurunkan tandatangan supaya tidak menjadi mangsa amalan pengambilan kerja yang tidak beretika.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Hati-hati sebelum tandatangani kontrak kerja; jangan sesal kemudian

TADM berjaya mengembalikan semula sebanyak $29 juta berupa hutang gaji majikan kepada para pekerja.

BERITAmediacorp: Mengapa pekerja perlu meneliti kontrak pekerjaan sebelum menurunkan tandatangan supaya tidak menjadi mangsa amalan pengambilan kerja yang tidak beretika.

Satu laporan berita baru-baru ini menyatakan bahawa Perikatan Tiga Pihak Bagi Menghuraikan Pertikaian (TADM) berjaya mengembalikan semula sebanyak $29 juta berupa hutang gaji majikan kepada para pekerja.

Laporan itu mengongsi kisah seorang pekerja, Cik Quek, yang diberi surat peguam oleh majikannya yang menuntut gaji dua bulan sebagai ganti rugi kerana dia berkhidmat kurang dari setahun - seperti yang dinyatakan dalam kontrak pekerjaan yang telah ditandatanganinya.

Mujur, dia meminta pertolongan dari TADM dan selepas beberapa pusingan perantaraan, isu itu diselesaikan.

Yang menariknya, majikan pada mulanya tidak mahu mengalah, mungkin kerana berpendapat mereka betul kerana kontrak kerja ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Tahniah kepada TADM yang menangani kes ini dengan baik, tetapi majikan seperti ini patut berasa malu dengan tingkah lakunya yang tidak beretika itu.

Malangnya, ada ramai lagi orang seperti Cik Quek yang menghadapi kesulitan sama kerana klausa yang salah dan tidak beretika.

TIDAK BERETIKA

Dengan persekitaran perniagaan yang mencabar, terdapat majikan yang menggunakan amalan atau taktik tidak betul untuk menangani masalah yang mereka hadapi, tanpa mengambil kira jika ini akan menjejaskan pekerja mereka.

(Gambar: helloquence/unsplash)

Sesetengah majikan akan memasukkan ke dalam kontrak pekerjaan klausa tertentu yang tidak adil kepada pekerja untuk menangani penangguhan kakitangan, menampung kerugian akibat ganti rugi yang dibubarkan, atau melindungi perniagaan mereka.

Walau apa pun, memasukkan klausa yang tidak adil adalah tidak beretika kerana mereka mengambil kesempatan terhadap kedudukan lemah para pekerja.

GANTI RUGI

Ganti Rugi Dibubarkan (Liquidated Damages) yang Ditanggung oleh Pekerja: Dalam industri perkhidmatan penyumberan luar, seperti pembersihan dan keselamatan, ia adalah satu kebiasaan untuk pembeli perkhidmatan menyenaraikan dalam kontrak ganti rugi pembubaran yang ditanggung pekerja.

Kes Benar: Potongan Gaji haram kerana kerugian dibubarkan: Seorang pekerja menandatangani kontrak pekerjaan untuk menjadi pengawal keselamatan, dan mendapat gaji bulanan asas $1,100, tetapi kontrak itu mengandungi senarai ganti rugi yang harus dibayar oleh pekerja jika ada pelanggaran kontrak.

Bagaimanapun, menurut laman web MOM, potongan gaji untuk ganti rugi tidak patut dibuat walaupun persetujuan telah diperolehi dari pekerja, kerana ia tidak memberi manfaat kepada pekerja.

Sekiranya dilaporkan kepada TADM, majikan perlu membayar balik potongan yang timbul daripada "senarai kerosakan ganti rugi" kepada pekerja. Sebenarnya, sesetengah majikan berbuat demikian kerana ada pekerja berpendapatan rendah yang tidak tahu hak mereka ataupun takut melaporkan majikan kerana takut hilang kerja.

Mereka juga mungkin berfikir bahawa mereka telah bersetuju dengan potongan ini, dan oleh itu membenarkan majikan mereka melakukannya.

DENDA MENAMATKAN KONTRAK

Kes Benar: Denda kerana menamatkan kontrak: Klausa yang tidak adil dalam kontrak pekerjaan terdapat dalam pelbagai bentuk.

Dalam satu kes, seorang pekerja yang mendapat gaji bulanan asas sebanyak $2,000, klausa dalam kontrak pekerjaannya menyatakan bahawa jika kontrak itu ditamatkan dalam tempoh satu tahun, baik oleh pihak pekerja atau majikan, pekerja harus membayar syarikat itu denda $50 untuk setiap hari kalendar dari tarikh notis penamatan sehingga jangka satu tahun.

(Gambar hiasan: Pixabay)

Apa yang lebih tidak masuk akal adalah denda itu perlu dibayar walaupun penamatan telah dibuat oleh majikan!

Adakah klausa sebegini dalam kontrak pekerjaan itu masih sah? Di bawah Undang-undang Kontrak, bolehkan ia dikuatkuasakan di mahkamah?

Adakah pekerja dapat mencabar klausa pekerjaan yang tidak adil jika kes itu dibawa ke mahkamah?

Apakah kedudukan mahkamah kita terhadap klausa tidak adil sekiranya majikan enggan menyelesaikannya semasa perantaraan di TADM dan bertegas membawa kes ini ke mahkamah?

SYARAT TIDAK ADIL

Kes Benar: Pekerja Mesti Melaksanakan Notis dan memberi ganti rugi kepada Syarikat: Dalam satu lagi kes seorang pekerja matang yang bekerja sebagai seorang pemandu dan pekerja stor yang memperoleh gaji bulanan asas $1,650.

Kontrak kerja yang ditandatanganinya menyatakan bahawa jika dia menamatkan kontrak dalam masa dua tahun, dia harus membayar ganti rugi gaji satu bulan sebagai tambahan kepada tempoh notis.

Walaupun kerja itu melelahkan, dia terpaksa menanggungnya kerana dia tidak mempunyai cara untuk membayar balik syarikat itu, dan takut tindakan undang-undang akan diambil sekiranya dia meletakkan jawatan.

(Gambar hiasan: Pixabay)

Berdasarkan kes-kes undang-undang biasa, nampaknya ganti untuk kerugian dibubarkan yang bukan anggaran sebenar tidak dapat dikuatkuasakan - tetapi ini tidak jelas kepada majikan dan pekerja.

Mungkin, rakan kongsi tiga pihak atau 'Tripartite Partners' perlu memberi keprihatinan dan meletakkan beberapa garis panduan mengenai kegunaan dan menguatkuasakan klausa tidak adil dalam kontrak pekerjaan.

Ini akan menggalakkan syarikat daripada memasukkan klausa sedemikian untuk menakut-nakutkan pekerja.

PMET TIDAK TERKECUALI

Klausa Tidak Bersaing / Kekangan Perdagangan: Anda akan terkejut bila diberitahu bukan hanya pekerja yang berpendapatan rendah yang menjadi mangsa kontrak pekerjaan yang tidak adil.

Kita mungkin berfikir seorang PMET, yang lebih berpendidikan, akan lebih berhati-hati ketika menandatangani kontrak pekerjaan. Tetapi ada dari golongan ini yang tidak berbuat demikian.

Seorang graduan baru PMET teruja kerana ditawarkan pekerjaan baru dengan gaji yang baik, sepadan dengan kelayakan akademik dan profesionalnya.

Kontrak pekerjaan yang dia diminta menandatangani mengandungi klausa di mana dia dikehendaki membayar kerugian $100,000 kepada syarikat itu, sekiranya dia berhenti kerja untuk ke syarikat lain dalam industri yang sama.

Bos majikan baru meyakinkannya bahawa ia adalah klausa yang biasa atau "standard".

Selepas bekerja untuk syarikat itu selama beberapa bulan, dia mahu meletak jawatan tetapi syarikat itu mahu menggunakan klausa itu.

Jika kes ini ke mahkamah, kemungkinan mahkamah akan berpendapat yang klausa ini tidak sah, kerana jumlah $100,000 itu berlebihan dan dapat dianggap sebagai klausa mendenda.

Sekali lagi, untuk menghadap mahkamah dalam kes sedemikian adalah satu proses yang menyakitkan dan amat melelahkan untuk pekerja.

KEPENTINGAN SYARIKAT

Terdapat juga majikan yang menggunakan klausa "Kawalan Perdagangan" walaupun pada pekerja buruh.

Klausa ini bertujuan untuk melindungi kepentingan syarikat dengan menghalang golongan karyawan yang berjawatan tinggi daripada bersaing dengan syarikat selepas tamat bekerja.

Walau bagaimanapun, dalam satu agensi keselamatan, ia digunakan untuk menghalang pengawal keselamatan mereka meletak jawatan dan bekerja untuk agensi lain.

Kontrak itu menyatakan bahawa agensi itu akan mengambil tindakan undang-undang jika pegawai tersebut bekerja untuk agensi keselamatan lain dalam tempoh empat bulan setelah meninggalkan syarikat mereka.

Jelas, klausa-klausa seperti ini yang digunakan terhadap pekerja tidak digalakkan.

Tetapi malangnya, pada sidang sebelum perbicaraan (PTC), pekerja tidak diwakili oleh peguam dan tidak dapat mencabar tuntutan majikan.

(Gambar: Reuters) 

Sekiranya pekerja mencabar tuntutan itu, kemungkinan besar Mahkamah akan mengambil tindakan untuk menghentikan klausa Halangan Perdagangan yang dikenakan ke atas pekerja.

KONTRAK TIDAL ADIL

Undang-undang akan menyebelahi kepada pekerja dalam aspek ini, tetapi pekerja mesti membawanya ke mahkamah jika dicabar oleh majikan. Malangnya, ramai pekerja yang berpendapatan rendah atau terdedah tidak akan berbuat demikian.

Ia sungguh menyedihkan untuk melihat kontrak pekerjaan, yang seharusnya memberi faedah dan melindungi kedua-dua majikan dan pekerja dengan mencegah kemungkinan salah faham, digunakan oleh majikan yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan daripada pekerja.

Pekerja yang tidak dinasihati dengan betul tentang hak mereka mungkin akan menerima tuntutan yang tidak munasabah majikan yang lebih kuat dari segi kewangan.

Oleh itu, amatlah patut bagi rakan kongsi tiga pihak untuk memberikan kejelasan dan bimbingan mengenai amalan kontrak yang adil dan tepat.

PENDIDIKAN DIPERLUKAN

Sememangnya, lebih banyak boleh dilakukan untuk mendidik pekerja mengenai kontrak pekerjaan.

(Gambar: Facebook/TAFEP)

Rakan kongsi tiga pihak telah menerbitkan garis panduan mengenai syarat-syarat pengambilan pekerja secara bertulis (Tripartite Guidelines on the Issuance of Key Employment Terms (KETs) in Writing) dan garis panduan mengenai amalan pengambilan pekerja yang saksama dan progresif (Tripartite Alliance for Fair and Progressive Employment Practices, TAFEP).

Walaupun ia bertujuan menyokong usaha dengan menyediakan nasihat melalui laman web mereka tentang bagaimana untuk mengkaji hak kontrak anda, kes kontrak pekerjaan yang tidak adil masih wujud.

BATALKAN KONTRAK

Untuk Ahli Kesatuan NTUC, bantuan boleh didapatkan melalui TADM @ NTUC, NTUC U Care Centre atau kesatuan masing-masing.

Walaupun dengan usaha sedemikian, kes kontrak pekerjaan yang tidak adil masih wujud. Perlu ada usaha yang lebih untuk membantu pekerja memahami kontrak pekerjaan, dan usaha ini boleh bermula di institusi pengajian tinggi, sebelum mereka masuk ke alam perkerjaan.

(Gambar: Mediacorp)

Mungkin, MOM juga ingin mempertimbangkan "cooling off-period" (mungkin sehingga lima hari) yang membolehkan pekerja membatalkan kontrak kerja yang ditandatangani, tanpa denda.

Syarikat-syarikat yang menggunakan taktik seperti membawa kes ke mahkamah mungkin mempunyai hak untuk menguatkuasakannya, tetapi secara moral, mereka salah untuk menindas pekerja yang lemah.

Mungkin, untuk mengelakkan taktik sebegini, MOM atau TADM ingin mempertimbangkan memulakan senarai pantau atau 'watch-list' jika syarikat didapati atau dilaporkan mempunyai klausa yang tidak adil dalam kontrak pekerjaan mereka.

Denda pentadbiran perlu dikenakan ke atas syarikat-syarikat di dalam senarai ini.

MAINKAN PERANAN

Pertikaian pekerjaan dapat dikurangkan apabila kedua-dua pekerja dan majikan mengambil tanggungjawab tentang peranan masing-masing.

Walaupun anda teruja kerana mendapat pekerjaan yang diperlukan, anda harus selalu meneliti kontrak pekerjaan dan memahami syarat utama pekerjaan (Key Employment Terms) sebelum menandatangani apa-apa.

(Gambar hiasan: Pixabay)

Sekiranya anda menghadapi masalah, ingatlah anda sentiasa boleh mencari NTUC, kesatuan sekutu dengannya, ataupun TADM untuk mendapatkan bantuan.

Majikan juga harus memainkan peranan secara bertanggungjawab dengan memastikan kontrak pekerjaan mereka mengambil rujukan dari amalan terbaik dalam industri itu.

Apabila majikan dan pekerja memainkan peranan mereka, dan memegang prinsip timbal balik, ia menjadikan tempat kerja lebih baik untuk semua.

Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Zainal Sapari. (Gambar: Zainal Sapari/ Facebook)

Encik Zainal Sapari adalah Penolong Setiausaha Agung NTUC yang juga Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol. Beliau berkelulusan ijazah sarjana dalam Pengurusan Pendidikan dan pernah berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun.

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan