Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Hari Kebangsaan dan Aidiladha- mesej utamanya sama, perkukuh perpaduan dan kesetiaan

Perkukuh perpaduan dan semangat berkorban selaras dengan nilai-nilai agama dan negara. Kedua-duanya bermatlamat ke arah membentuk masyarakat bersepadu, aman tenteram dan makmur.

Anggaran Waktu Membaca:

Hari Kebangsaan sebagai peringatan kemerdekaan negara merupakan peluang bagi rakyat membaharui komitmen untuk melafazkan kesetiaan dan rasa bangga terhadap tanah air tercinta.

Hampir serentak tahun ini adalah sambutan Hari Raya Aidiladha yang merupakan hari penting bagi umat Islam menegaskan sekali lagi semangat pengorbanannya kepada agama dan juga negara.

Walaupun adanya perbezaan antara kesetiaan kepada negara dan agama, hakikat di Singapura adalah kedua-duanya mempunyai matlamat besar iaitu untuk memastikan segala kesejahteraan, kemakmuran, keamanan dan kemajuan yang dikecapi sejauh ini dapat terus dikekalkan.

Bagi memastikan ini terjamin adalah penting kedua-dua negara dan masyarakat beragama mempunyai kesepakatan yang utuh tentang apa yang baik bagi negara dan rakyat.

TIADA PERCANGGAHAN

Masyarakat Islam seperti masyarakat-masyarakat lain harus meyakini bahawa dalam soal-soal prinsip tiada suatu pun matlamat negara – seperti menjamin kesejahteraan, perpaduan dan keamanan – bercanggahan dengan tuntutan agama.

Para hadirin Upacara Memperingati Hari Kebangsaan anjuran MUIS bersama Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli (tengah). (Gambar: MUIS)

Setiap warga negara itu mestilah jelas tentang apa yang membentuk identiti nasionalnya dan di mana letaknya kedudukan mereka sebagai rakyat.

KESEDARAN IDENTITI

Tanpa kesedaran jelas tentang apa itu identiti nasional kita dan nilai-nilai utama yang ditekankan, adalah sukar bagi seseorang rakyat – tidak kira apa latar belakangnya sekalipun – memainkan peranan aktif masing-masing sebagai warga negara.

Identiti nasional itu bukan sahaja membentuk peribadi dan kesedaran rakyat untuk menjadi warga negara yang baik dan berperanan.

Ia juga bertindak sebagai tali pengikat kita bersama dengan memastikan adanya rasa kekitaan dan rasa bangga yang mendalam terhadap negara dan rakyat satu sama lain.

Soal identiti nasional yang lebih besar dan cukup berfungsi semakin menjadi penting hari ini memandangkan adanya banyak trend sejagat yang lebih menggalak kepada perpecahan dan pengasingan dan bukannya perpaduan dan penyatuan.

TREND MEMBIMBANGKAN

Di Singapura sendiri, trend-trend begini masih ketara seperti dalam insiden iklan kontroversil dan hasil kajian Institut Kajian Dasar IPS mengenai hubungan kaum dan agama baru-baru ini.

Kajian IPS itu menunjukkan bahawa tarikan agama baik dari segi ajaran dan paras kepercayaan penganut terhadap kepimpinannya adalah lebih tinggi dibandingkan dengan kepercayaan terhadap undang-undang dan kepimpinan negara.

Ia boleh menjadi trend yang membimbangkan sekiranya berlaku sebarang konflik antara kepercayaan agama seseorang itu dengan mana-mana dasar negara. Di manakah ketaatan seseorang itu akan diberikannya dalam keadaan sebegini?

Bagi mengelakkan sebarang jurang sedemikian bertambah luas, adalah penting untuk  memastikan adanya pemahaman sehaluan antara kepentingan negara dengan kepentingan agama.

Tanpa rasa sepakat dan tiadanya rasa terikat terhadap nilai-nilai utama ini sering menjadikan seseorang rakyat itu hilang panduan dan kerap rasa terasing daripada negara dan masyarakat umum. 

GEJALA PERPECAHAN

Dalam kajian beliau terhadap trend-trend global hari ini, pakar sains politik Francis Fukuyama melihat salah satu huraian bagi gejala perpecahan, pengasingan, sikap ekstrem dan radikal hari ini adalah dengan negara menegaskan kembali konsep identiti nasional yang luas dan inklusif.

Beliau melihat kebanyakan masalah keterasingan atau pemencilan diri (menjadi kumpulan-kumpulan sosial dan agama yang lebih kecil), ada kaitannya dengan kegagalan seseorang individu untuk melihat dirinya sebagai sebahagian penting daripada identiti nasional itu.

Oleh kerana mereka tidak melihat diri mereka terkait dengan negara dan nilai-nilai yang dipegangnya, mereka kemudian merasa kekosongan jiwa dan perlu mencari sesuatu yang lain untuk mengisi kekosongan tersebut.

Sebahagian daripada mereka mengisi kekosongan tersebut dengan mencari kepercayaan dan jati diri yang lebih tegas dan ekstrem sehingga mendorong mereka menjadi radikal.

Inilah antara masalah besar yang dihadapi oleh dunia hari ini termasuk di kalangan umat Islam sendiri tidak kira di mana mereka berada.

IDENTITI INKLUSIF

Kekosongan dan rasa terpencil yang mereka rasai itu sebenarnya mencerminkan keinginan mereka bagi jati diri kolektif seperti identiti nasional yang lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan emosi, psikologi, malah juga kehendak spiritual mereka.

Ia adalah jati diri yang membolehkan seseorang itu bukan sahaja menjadi penganut dan pembela yang cukup taat kepada agama.

Malah mereka juga tegas dan jelas dalam prinsip dan tindak tanduk untuk sedia berkorban apa sahaja demi kepentingan negara dan rakyatnya.

 


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan