Images
  • sars sg 1
    Sekitaran luar Hospital Tan Tock Seng pada Mac 2003 di tengah penularan wabak SARS (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

KOMENTAR: Gunakanlah pengalaman lalu dalam kita bergelut dengan penularan virus COVID-19

BERITAmediacorp: Setelah melaluinya sendiri pengalaman semasa SARS, apakah yang boleh dipelajari oleh seseorang dalam kita menangani penularan virus korona COVID-19?


Imbasan suhu tubuh di Lapangan Terbang Changi pada 8 Mei 2003 ekoran wabak SARS (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)
Pernah satu hari sepulangan saya ke Singapura selepas seminggu di Pulau Pinang tiba-tiba saya jatuh sakit. Seperti biasa, saya mengambil ubat Paracetamol dan rehat di rumah dengan harapan agar saya cepat sembuh. Tetapi, setelah tiga hari demam saya tidak berkurangan dan ketika itu suhu badan saya telah melonjak ke paras melebihi 39º Selsius.

Ketika itu, jangkitan SARS telah mula merebak dan menjejas ramai orang di sini. Kunjungan saya ke A&E disertai dengan ujian darah dan pemeriksaan rapi dan setelah beberapa jam dalam pemerhatian saya diberikan ubat demam dan diarahkan untuk terus berehat di rumah.

Selepas dua hari menyusuli lawatan saya ke A&E, saya terpaksa ke rumah sakit sekali lagi kerana demam panas saya tidak pulih, malah berterusan dengan suhu badan semakin meningkat. Tiba sahaja saya di A&E, ujian darah saya dijalankan dengan segera.

Keputusannya, kiraan platlet darah saya terlalu rendah, ia amat mencemaskan. Saya dimasukkan ke dalam wad jagaan pengasingan kerana kumpulan doktor yang memeriksa saya mengesyaki yang saya telah dijangkiti virus SARS.

Saya tidak membenarkan isteri saya untuk menziarahi saya di rumah sakit kerana pada ketika itu, beberapa kematian akibat wabak SARS telah dilaporkan. Pada tahun 2003, anak-anak saya masih kecil lagi dan saya khuatir akan keselamatan mereka jika mereka datang melawat.

Selama beberapa hari sejak saya di wad jagaan pengasingan, ujian darah kerap dijalankan dan setiap kali pasukan perubatan memasuki bilik saya untuk menjalankan pemeriksaan, mereka memakai pakaian yang tertutup rapi dari hujung rambut hingga ke hujung kaki seolah-olah mereka itu angkasawan.

RAWATAN RAPI

Pengunjung Hospital Tan Tock Seng diimbas suhu badan pada 9 Sep 2003 susuli penularan virus SARS (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Setelah lima hari di bawah jagaan ketat di rumah sakit NUH, saya didampingi oleh sekumpulan doktor tetapi kali ini mereka berpakaian biasa tanpa sebarang peralatan perlindungan.

Buat pertama kali saya dapat melihat wajah mereka. Teramat gembira apabila saya diberitahu bahawa saya bukan penghidap penyakit SARS tetapi denggi. Beberapa hari kemudian saya dibenarkan keluar hospital.

Singapura diisytiharkan bebas dari wabak SARS pada 30hb Mei 2003, lebih kurang tiga minggu setelah virus ini meragut nyawa seorang lagi kakitangan perubatan, kali ini Jururawat Hamidah Ismail (sebelum itu dua orang doktor menemui maut).

Dalam masa yang singkat, lebih 8,000 orang di merata dunia telah dijangkiti penyakit ini. 238 orang di Singapura berjaya menjalani rawatan dan dapat diselamatkan. Malangnya, seramai 774 orang termasuk 33 di Singapura tewas dan terkorban.

AMAT MENAKUTKAN

Serangan epidemik SARS adalah satu episod yang amat menakutkan. Virus itu merebak dengan begitu pantas dan membunuh tanpa mengira siapa mangsanya.

Namun, berkat kerjasama antara banyak negara dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga rakyat masing-masing, wabak itu akhirnya terkawal.


Seorang pengunjung ke Hospital Tan Tock Seng diimbas suhu badan pada 9 Sep 2003 ekoran penularan SARS di S'pura (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Walaupun kehidupan seharian kita terjejas akibat penyakit berjangkit berbahaya ini, infrastruktur dan perkhidmatan asas hanya terpincang buat seketika dan tidak berpanjangan kerana pihak-pihak berkuasa bersama rakyat jelata berganding bahu memainkan peranan masing-masing.

Semangat positif dan sikap tenang sesama kita adalah formula kejayaan kita. Kejadian malang ini telah melahirkan satu rangka kerja yang menyeluruh bagi negara kita dalam membentuk prosedur keselamatan dan protokol pengurusan krisis.

Ia supaya kita lebih bersiap sedia dalam mengatasi krisis-krisis sedemikian pada masa akan datang. Bak pepatah “ada hikmah di sebalik setiap kesulitan”.

SEJARAH BERULANG

Kini sejarah berulang kembali pada tanggal 31 Disember 2019 dengan penularan virus korona COVID-19 yang dipercayai dari Wuhan, China.

Dengan ribuan orang kini disahkan mengalami jangkitan virus tersebut, tidak hairanlah orang ramai semakin prihatin dan mula memikirkan langkah-langkah yang perlu mereka ambil dengan segera untuk mengelakkan daripada terjangkit.

Ada yang menjadi panik apabila terbaca berita-berita yang mensensasikan keadaan dengan berlebihan dan ini menyebabkan mereka bertindak mengikut emosi yang semakin tidak terkawal.

Kelakuan tidak rasional ini akan menyebabkan keadaan yang semakin kucar-kacir dan tidak tenteram seperti mana yang kita saksikan di beberapa pasar serbaneka dengan pembelian borong barang-barang keperluan secara panik.

Yang menghairankan, keadaan “panic buying” ini tidak berlaku sama sekali semasa kita dilanda SARS pada tahun 2003 dulu.

Kelakuan sekawan atau “herd mentality” membeli bekalan dan barangan keperluan untuk dikumpulkan dan disimpan yang berdasarkan kebimbangan didorong oleh khabar angin dan berita sensasi yang boleh menyebabkan tekanan yang keterlaluan ke atas sumber-sumber kita.

BERSIKAP TENANG

Dalam menghadapi situasi genting, tersangat penting untuk kita bersikap tenang, mematuhi arahan daripada pihak-pihak sahih dan bertindak pantas dengan apa yang diarahkan.

Seperti kita di bangku sekolah dulu (masih dipraktikkan pada hari ini), murid-murid diarahkan semasa latihan kecemasan untuk menghentikan sebarang kegiatan, masuk garisan beratur dan dengan pantas bergerak secara teratur ke kawasan yang telah ditetapkan.


Gambar fail seorang lelaki memegang pelitup muka di Singapura pada 1 Feb 2020 di tengah kebimbangan penularan virus korona baru (Gambar: Reuters/Feline Lim)

Pihak sekolah akan mencatat kehadiran murid untuk memastikan semua dalam keadaan selamat. Bagi mereka yang memerlukan bantuan disebabkan kecemasan tersebut, pihak sekolah boleh dengan segera memberikan bantuan yang diperlukan itu.

Nah, ini menandakan betapa pentingnya setiap murid dan pihak sekolah untuk tidak cemas semasa menghadapi sebarang situasi krisis. Cuba bayangkan sekiranya murid-murid itu diarahkan untuk cabut lari ketika sesuatu kecemasan berlaku … keadaan akan dengan serta-merta menjadi kecoh dan sikap panik mereka akan menyebabkan kebingungan, kecederaan dan mungkin juga kehilangan nyawa.

Seperti yang dimaklumkan, virus korona COVID-19 berasal dari keluarga virus SARS-CoV tetapi ia bukanlah virus yang sama. Ini bererti, penyebaran patogennya serupa dengan virus SARS dan virus influenza yang lain.

LANGKAH PENCEGAHAN

Dengan pengetahuan ini, langkah-langkah untuk mencegah jangkitannya agak asas. Jika kita tidak biasa mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan ‘sanitizer’ tangan sebelum menyentuh muka kita, inilah peluang yang baik untuk kita memulakan tabiat baik ini.

Mengelakkan diri daripada tempat-tempat yang sesak sekiranya kita tidak sihat juga merupakan satu perbuatan yang bertanggungjawab dan sekiranya kita perlu keluar rumah sedangkan kita tidak sihat, gunakan pelitup muka. Dengan menggunakannya dengan betul ia akan mencegah virus dari badan kita dijangkiti oleh orang yang berada berdekatan.

Ini semua boleh membantu kita mengawal merebaknya jangkitan tersebut dan akhirnya membawa kepada terhapusnya virus itu sama sekali.

Pokoknya, kita janganlah mudah cemas tetapi sebaliknya amat giat dalam mengambil langkah-langkah pencegahan.

MENGENAI PENULIS:


Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads for Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah. 

- BERITAmediacorp/tq

Top