Images
  • social media
    Gambar fail aplikasi-aplikasi media sosial yang biasa digunakan orang ramai. (Gambar: AFP/ Kirill Kudryavtsev)

KOMENTAR: Gunakan media sosial untuk tingkatkan perpaduan bukan perpecahan


Sebelum pihak berkuasa Singapura menarik balik sekatan peniagaan makanan kecil-kecilan dari rumah (Home Based Businesses), media sosial tempatan hangat dengan kontroversi yang melibatkan seorang selebriti tempatan dengan isu perniagaan dari rumah.

Isu ini banyak memberi kita pelajaran tentang bagaimana masih ada ruang bagi masyarakat kita untuk memperbaiki cara menggunakan media sosial dengan hemah, supaya tidak membawa kesan riak (ripple effect) negatif.

Ia bermula dengan video selebriti itu yang cepat mendapat perhatian orang ramai di media sosial mengundang banyak reaksi dan mencetus pelbagai perasaan di kalangan warganet, terutama warganet Melayu.

Ada yang masih menyoalkan nasihat yang diberikan oleh selebriti tersebut dan ada juga yang cepat naik angin kerana menganggap selebriti berkenaan telah mengusik periuk nasi mereka.

Sebelum larangan perniagaan dari rumah itu ditarik balik (yakni berkuatkuasa mulai 12 Mei), pihak berkuasa menjelaskan bahawa larangan tersebut adalah sebahagian daripada langkah lebih ketat untuk memutuskan rangkaian jangkitan (Circuit Breaker) COVID-19.

APA ISUNYA?

Pengumuman itu menyebabkan ramai peniaga dari rumah harus berhenti operasi kerana ada di kalangan mereka menggunakan khidmat penghantaran ketiga yang tidak dibenarkan di bawah langkah pemutus litar itu.


Ini membuat ramai peniaga yang gusar, kerana mereka bergantung kepada jualan makanan dan minuman untuk menjana mata pencarian seharian.

Lantasan itu, media sosial pun digegarkan kerana ramai warganet mengaitkan larangan pemerintah ini dengan video selebriti yang tular itu.

Kebanyakan mereka merumuskan bahawa jikalau video selebriti itu tidak tersiar, pemerintah tidak mungkin akan mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Ramai yang menyoal niat beliau membuat videonya itu. Bagi mereka, beliau tidak sensitif terhadap keadaan dan keperluan masyarakat dan beliau tidak benar-benar kesal atas apa yang telah terjadi.

JANGAN MUDAH MELATAH

Memang lumrah untuk merasa marah jikalau sumber mencari rezeki kita disekat. Memang lumrah juga untuk kita meluahkan perasaan kita di media sosial, kerana itu sememangnya ruang peribadi kita.


(Perniagaan Nasi Lemak kecil-kecilan. Gambar: Liyana Nasyita)

Keluarga saya sendiri terjejas dek peraturan-peraturan pemerintah. Ibu saya telah memulakan jualan Nasi Lemak dari rumah sejak pemutus litar dikuat kuasakan pada 7 April 2020.

Dengan ketidakpastian yang berlegar, beliau pun bercadang untuk menghentikan jualannya untuk seketika. Ini sudah tentu telah menjejas sumber pendapatan ibu saya.

Sebagai anggaran, penjualan Nasi Lemaknya untuk seminggu boleh menjana pendapatan yang mungkin dapat menampung pembelanjaan dapur untuk dua minggu.

Apapun perasaan kita, janganlah sampai kita hilang timbang rasa apabila meluahkannya. Kemarahan warganet yang meluap-luap tampak jelas daripada komen-komen yang dilontarkan terhadap selebriti ini di ruang siber.

Ada yang sampai menulis kata-kata kesat ketika menghantar komen-komen tersebut. Tanpa kita sedari, perkataan-perkataan kasar yang kita hantarkan, apabila dikongsi semula oleh orang lain berkali-kali akan memberi dampak kepada si yang diperkatakan itu.

KEPUTUSAN KOMPLEKS

Keputusan pemerintah untuk menggesa semua perniagaan dari rumah untuk berhenti tidak mungkin tercetus akibat video selebriti sahaja. Pastinya keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan panggilan masyarakat umum yang lain.

Pada hakikatnya, keputusan untuk meluluskan peraturan-peraturan dalam jangka masa pemutus litar juga amat kompleks. Pelbagai sudut harus dipertimbangkan pemerintah dalam usaha mengekang penularan COVID-19 ini.


Di satu sudut, kesihatan awam menjadi keutamaan pemerintah di mana risiko pendedahan kepada virus di kalangan masyarakat harus dihadkan. Di sudut yang lain, pemerintah juga prihatin tentang penakatan ekonomi rakyat pada waktu ini.

Ramai yang terjejas akibat penutupan tempat kerja dan gusar bagaimana untuk menampung kos kehidupan seharian.

Lantas, janganlah kita bersikap reduktif dan selektif tatkala membuat sesuatu kesimpulan. Pastinya ada pelbagai faktor yang harus dipertimbangkan apabila kita menghuraikan sesuatu isu.

HEMAH DAN CERMAT

Pempengaruh media sosial (social media influencers), juga memainkan peranan penting pada masa kini. Namanya pempengaruh, jadi wajarlah kalau mereka juga mengetengahkan isu-isu ataupun kandungan bermanfaat kepada khalayak dan pengikut mereka.

Dalam masa ini, ia semakin penting untuk menggunakan media sosial dengan hemah dan cermat untuk menangani isu-isu semasa, terutama sekali jika ia berkaitan atau menjejas masyarakat.

Nada ucapan, pemilihan kata dan pemilihan pendekatan semua harus diambil kira sebelum memuat naik sesuatu. Bak kata pepatah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.


Juga penting untuk pempengaruh peka akan persepsi ataupun perasaan khalayak ramai tatkala memuat naik sesuatu.

MASALAH MASYARAKAT

Kesedaran terhadap masalah ataupun keadaan yang membelenggu masyarakat juga amat penting.

Jangan sampai kita terlalu selesa berada dalam kepompong keselesaan sehingga lupa bahawa ada di kalangan masyarakat kita yang tidak bernasib baik, yang mungkin menghadapi kesukaran untuk mencari pendapatan seharian.

Sebaiknya, isu ini harus dilihat daripada sudut yang lebih menyeluruh. Perniagaan Dari Rumah merupakan salah satu bahagian daripada ekonomi tidak rasmi (informal economy) yang mungkin dapat membantu mengurangkan dampak ekonomi kepada masyarakat kita.

Marilah kita berhenti sejenak dan memikir ulang bagaimana kita boleh membantu satu sama lain pada waktu genting sebegini. Adakah terdapat cara yang lebih produktif untuk merungkai isu ini?


Apabila hidup dalam perpaduan,
Beban yang berat menjadi ringan
Apabila hidup tolong menolong,
Sakit senang sama ditanggung
Apabila hidup bertimbang rasa,
Pahit dan manis sama dirasa.


(Tenas Effendy, 2013)


MENGENAI PENULIS
Liyana Nasyita adalah seorang siswazah berkelulusan ijazah Sarjana Muda jurusan Pengajian Melayu dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

 

- BERITAmediacorp/ur

Top