Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Grand Prix F1 – Pengalaman berguna bukan sahaja kepada S’pura tetapi juga bagi ramai sukarelawannya

Perlumbaan Grand Prix Formula 1 Singapura 2018 yang berakhir baru-baru ini merupakan pengalaman saya yang kesebelas menyertai acara tahunan itu sebagai seorang marsyal sukarela.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Grand Prix F1 – Pengalaman berguna bukan sahaja kepada S’pura tetapi juga bagi ramai sukarelawannya

Hamilton mendahului perlumbaan Grand Prix Singapura. (Gambar: Kim Hong-Ji/Reuters)

BERITAmediacorp: Perlumbaan F1 yang berlangsung di Singapura baru-baru ini adalah yang kesebelas ia diadakan di Kota Singa ini. Karyawan IT Raziff Hamid mengongsi pengalaman beliau sebagai seorang marsyal sukarela bagi perlumbaan sebelah malam pertama di dunia yang menjadi perlumbaan ikonik dalam sejarah F1.

Perlumbaan Grand Prix Formula 1 Singapura 2018 yang berakhir baru-baru ini merupakan pengalaman saya yang kesebelas menyertai acara tahunan itu sebagai seorang marsyal sukarela.

Titik permulaan pengalaman ini bermula dari tahun 2008, pertama kalinya perlumbaan Formula 1 menjejakkan kaki di kota Singa.

Sebelas tahun sebagai sukarela telah membawa saya ke merata lokasi perlumbaan seperti Melbourne, Adelaide dan Darwin di Australia serta bandar Yongam di Korea Selatan.

Kami telah dibawa ke bandar-bandar perlumbaan di Australia bagi menyertai acara bekerja sambil belajar di litar perlumbaan dalam masa sedekad lalu yang ditaja oleh Grand Prix Singapura.

BELAJAR DARI LUAR

Tradisi sukan bermotor di negara kita tidak sehebat jika dibandingkan dengan negara seperti Australia. Oleh itu, kita seharusnya menimba pengalaman dari negara luar.

Selama lebih sepuluh tahun, saya menceburkan diri dalam sukan ini dari segi keselamatan perlumbaan.

Tugas kami sebagai marsyal adalah bersiap sedia di tepi litar dengan sumber-sumber tenaga dan peralatan untuk memberi pertolongan kecemasan jika berlakunya insiden perlumbaan di sektor yang dimaksudkan.

Pegawai perlumbaan seperti marsyal bendera bertugas untuk memberi isyarat kepada pelumba lain, sementara marsyal litar pula, membersihkan litar apabila berlaku insiden.

Para pegawai perubatan dan pengendali kren pula merupakan sumber-sumber tenaga lain di sesebuah sektor atau selekoh perlumbaan.

PROTOKOL PERLUMBAAN

Selepas sebelas tahun perlumbaan, kami telah dapat mengubah suai serta meningkatkan lagi protokol keselamatan yang diadaptasikan dari Australia. Ia diubah suai mengikut keadaan di litar jalan raya yang unik di Marina Bay.

Kalau pada tahun pertama, para pengendali kren merupakan ahli pengendali kontraktor, namun hari ini, mereka terdiri daripada para marsyal sukarela yang sudah berpengalaman lebih daripada 3 tahun.

Bezanya adalah mereka dapat memahami protokol perlumbaan dan dapat beraksi dengan lebih berkesan.

Latihan untuk menghadapi perlumbaan diadakan setiap tahun, dalam masa 3 bulan sebelum perlumbaan bermula.

Pelatih-pelatih merupakan kumpulan marsyal kanan yang berpengalaman seperti saya yang menyiapkan sendiri bahan-bahan latihan.

Dalam mesyuarat bulanan para pelatih, kaedah latihan baru sentiasa diutarakan untuk meningkatkan lagi prestasi.

SKUAD PELAPIS

(Gambar: Raziff Hamid)

Kami juga mencipta laluan kerjaya bagi marsyal baru yang merupakan skuad pelapis kepada para pegawai marsyal kanan yang telah lama berkecimpung menerusi pelan penggantian.

Mereka merupakan golongan yang lebih muda yang akan mengambil alih teraju utama carta organisasi di masa hadapan.

Seorang daripada mentor kami dari Australia, Ashley Hall pernah berkata, "Pasukan GP Singapura tidak saja mempelajari selok belok mengendalikan perlumbaan dengan cepat, malah mereka telah dapat mengubah suai protokol latihan untuk menghasilkan prestasi yang lebih baik lagi."

TALI PERSAHABATAN

(Gambar: Raziff Hamid)

Selanjutnya, kami juga dapat mengekalkan purata sukarelawan yang kembali mendaftarkan diri hampir setiap tahun yang berjumlah 90 peratus, selama sepuluh tahun berturut-turut.

Para sukarelawan yang bergiat sebagai pegawai perlumbaan datang dari segenap lapisan masyarakat termasuk suri rumah, pegawai korporat, guru sekolah dan para pelajar.

Dari pengalaman saya, mereka yang menceburi diri bukan saja meminati sukan bermotor, tetapi mereka juga didorong oleh pertalian persahabatan antara pegawai serta semangat kekeluargaan yang dipupuk selama sedekad lalu.

DARI LUAR NEGERI 

Kita semua disertai sama oleh para sukarelawan dari luar negara yang turut kembali ke Singapura pada setiap tahun.

Sebilangan besar daripada mereka adalah sukarelawan dari Australia, Kanada dan England. Ini tidak termasuk warga asing yang menetap di Singapura yang turut menyumbang tenaga.

Faktor kedua ialah pengalaman berada di barisan hadapan di litar perlumbaan dan memastikan keselamatan para pelumba.

Sumbangan tenaga serta kelincahan para pegawai perlumbaan untuk bertindak begitu penting dalam arena sukan bermotor.

Tahap kewaspadaan yang diharapkan adalah begitu tinggi demi keselamatan pelumba dan diri kita sendiri.

CIRI KESELAMATAN 

Dari masa ke semasa, ciri-ciri keselamatan juga diubah suai untuk meningkatkan tahapnya melalui protokol keselamatan para pegawai serta peraturan perlumbaan dan spesifikasi kereta lumba.

Buat tahun ini, sebuah spesifikasi baru telah diperkenalkan pada kereta lumba F1 iaitu peralatan Halo. Ia merupakan sistem perlindungan kokpit pemandu bagi menjaga keselamatan pelumba.

Walaupun ia menerima banyak kritikan terutama dari pelumba sendiri, hasilnya dapat diraih dalam dua perlumbaan lalu, iaitu di Belgium.

Para pengamat sukan F1 dapat menghela nafas lega apabila insiden di awal permulaan menyebabkan kereta pelumba Fernando Alonso ‘terbang’ dan terkena kokpit pemandu Charles Leclerc.

Dengan adanya Halo, Alonso terselamat daripada risiko berpotensi tinggi dari segi kesannya. Ini membuat para pelumba lebih lega dengan adanya alat keselamatan Halo.

PERLUMBAAN TERUNGGUL 

Namun tak dapat dinafikan bahawa tarikan utama F1 di Singapura adalah perlumbaan waktu malam yang unggul.

Jika ditonton dari kaca TV, kita dapat merakamkan keindahan kota Singa termasuk Gardens by the Bay, Marina Bay Sands, Bendungan Marina serta bangunan-bangunan berdekatan.

Ramai pelancong dan penonton yang hadir merupakan pelancong asing yang berbelanja untuk ke sini supaya dapat menikmati suasana perlumbaan yang unik ini.

Mereka dilihat merakamkan keriangan semasa sedang menantikan perlumbaan untuk bermula dengan nyanyian dan sorakan serta menonton konsert-konsert daripada penghibur termasyur yang disediakan oleh pihak penganjur.

Gambar penulis, selaku ketua sektor di selekoh 14 bergambar bersama pengarah F1 FIA, Encik Charlie Whiting, sebelum perlumbaan Grand Prix F1 Singapura 2018. (Gambar: Raziff Hamid)

Dari kaca mata marsyal perlumbaan pula, kami dapat mengundang keluarga serta sahabat handai kerana diberikan 2 tiket secara percuma sebagai tanda penghargaan pihak penganjur terhadap para sukarelawan.

Namun bukan ini saja ganjaran daripada pihak penganjur. Kepada sukarelawan Islam, mereka juga ada menyediakan kemudahan untuk bersolat Jumaat kerana kami melaporkan diri pada pukul 12.00 tengah hari dari Jumaat hingga Ahad.

KEMUDAHAN SOLAT 

(Gambar: Raziff Hamid)

Pada hari Jumaat, tempat solat telah disediakan di lobi berhawa dingin tempat letak kereta The Esplanade.

Ini termasuk kelulusan khas untuk imam dan bilal dari Masjid Haji Yusof masuk ke kawasan acara supaya dapat mengimamkan solat yang diikuti lebih kurang 60 jemaah yang kebanyakannya terdiri daripada sukarelawan perlumbaan.

Ada juga pekerja-pekerja Islam lain yang ikut solat bersama seperti pekerja berseragam, pegawai keselamatan dan kakitangan pekerjaan lain di sekitar kawasan litar.

Kemudahan bagi umat Islam bersolat sudah disediakan sejak tahun 2008 memandangkan jumlah sukarelawan Islam begitu ramai. Kami sangat-sangat berbesar hati kepada pihak penganjur atas kemudahan yang disediakan.

DAPAT BERTERUSAN 

Harapan saya semoga perlumbaan F1 ini dapat terus dianjurkan kerana kesan ekonominya yang amat berharga kepada Singapura.

Acara ini juga berkesan untuk rakyat Singapura umumnya kerana ia menyemarakkan lagi budaya kerja sukarela serta menjalin persahabatan yang erat dalam kalangan pegawai yang berbilang kaum.

Saya cukup bersetuju dengan kenyataan pengasas perlumbaan F1, Bernie Ecclestone, yang bermaksud, “Perlumbaan Malam di Singapura menyerupai permata di mahkota F1”.

Mengenai Penulis:

Marsyal Sukarela Raziff Hamid mula berminat dalam bidang sukan bermotor sejak kecil lagi. Beliau sudah berkhidmat sebagai marsyal sukarela sejak Grand Prix F1 Singapura pertama kali diadakan di sini. Sebagai tanda penghargaan atas dedikasinya, Singapore GP telah menaikkan pangkat beliau sebagai ketua sektor.

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan