Images
  • MUIS 2
    Encik Masagos berinteraksi dengan belia-belia di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri. (Gambar: MUIS)

KOMENTAR: Gemilang dalam Berbilang – bagaimana masyarakat Melayu Islam/S’pura maju ke depan seiring dengan negara

BERITAmediacorp: Seperti Singapura sendiri, masyarakat Melayu/Islam juga sedang mengarah kepada matlamat menjadi Masyarakat Gemilang. Ia adalah suatu proses yang berterusan sehingga setiap generasi anak Melayu/Islam lebih maju daripada generasi yang sebelumnya. 

Dalam ucapannya di satu dialog CNA-Reach baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat telah membentangkan wawasannya untuk melihat kerjasama yang berterusan antara pucuk pimpinan Generasi Keempat, 4G, dengan semua lapisan masyarakat.

Kerjasama tersebut adalah penting dalam kita mengatasi cabaran-cabaran akan datang dalam fasa kemajuan yang baru bagi Singapura.

Beliau menghasratkan penglibatan yang lebih mendalam antara rakyat dengan pemerintah melalui perkongsian idea dan wadah yang akan lebih memperkasakan rakyat dalam mencari penyelesaian masalah yang membelenggu masyarakat.


(Gambar fail Timbalan Perdana Menteri)

Beliau mengungkapkan frasa “democracy of deeds” iaitu merakyatkan tindakan bagi manfaat masyarakat.

Encik Heng mengulangi seruannya untuk membina “democracy of deeds”, seminggu kemudian di sebuah Persidangan Antarabangsa Persatuan Cohesive.

Beliau berkata di bawah masyarakat “democracy of deeds” semua orang berpeluang untuk menyumbang mengikut kekuatan dan hasrat masing-masing bagi membina masyarakat yang kita boleh banggakan.

MERAKYATKAN TINDAKAN

Namun konsep “democracy of deeds” ini sudah lama wujud. Ia pertama kali disebut oleh mendiang S Rajaratnam, Menteri Luar Singapura yang pertama, dalam satu ucapannya kepada sekumpulan pemimpin akar umbi pada Ogos 1971.

Dalam ucapan itu, Rajaratnam menggambarkan suatu demokrasi di Singapura yang menumpukan perhatian pada penyelesaian masalah secara praktikal iaitu “democracy of deeds” - bertentangan dengan “democracy of words” atau demokrasi kata-kata, yang melibatkan retorik dan konfrontasi politik yang tidak membina.

Visi DPM Heng untuk membina “democracy of deeds” yang lebih luas, tepat pada masanya kerana ia mungkin boleh memberi suntikan tenaga bagi belia kita untuk bangkit dan melibatkan diri dalam pembangunan dasar negara kita.

Tetapi pada masa yang sama, pemerintah harus lebih bersikap terbuka dan meluaskan minda dalam menghadapi kritikan yang membina dan pandangan atau pendekatan yang mungkin tidak konvensional.

PELUANG BAGI MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Dengan arah masa depan Singapura yang menumpukan kesatuan dalam bekerjasama, inilah peluang bagi masyarakat Melayu untuk menunjukkan pada warga negara Singapura yang lain bahawa kita berpotensi untuk bukan sahaja boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

Kita juga boleh mengorak langkah sebagai Masyarakat Gemilang yang bukan sahaja membina bangsa kita sendiri tetapi membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Singapura.

Sekaligus, kita boleh mencerminkan nilai-nilai teras masyarakat kita yang boleh dijadikan kayu ukur untuk masyarakat minoriti yang lain di seluruh dunia.


Di sini, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli telah menggariskan tiga dasar masyarakat Melayu/Islam Singapura yang berpandukan 3-K: Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan.

Tidaklah sempurna hidup kita, jika kita tidak menunjukkan keperibadian dan akhlak yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri.

Tidaklah kita berjaya dalam kerjaya kita, jika kita tidak menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang dianugerahkan pada kita itu untuk menyumbang pada golongan yang lebih memerlukan.

Tidak akan maju bangsa kita, jika kita sebagai suatu kaum tidak mencerminkan sifat keihsanan dan kewarganegaraan untuk menyemai kepercayaan antara kaum dan agama demi mencipta kemakmuran bagi semua masyarakat di Singapura.

MENGUBAH PERSEPSI

Untuk mencapai wawasan ini, pertama kali kita harus merubah persepsi kita terhadap masyarakat kita sendiri. Masyarakat kita bukan masyarakat yang bermasalah sahaja.

Walaupun masih jauh lagi perjalanan kita, kita harus akur bahawa telah banyak kemajuan dan kejayaan yang kita telah kecapi bersama selama ini.

Masyarakat Melayu pada keseluruhannya telah membuat kemajuan besar. Sekarang terdapat lebih banyak perniagaan Melayu/Islam yang matang dan juga sebagai syarikat pemula startups.


Lebih banyak syarikat Melayu/Islam kini menjana pendapatan dan keuntungan dari luar negara.

Dengan sasaran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk memupuk sekurang-kurangnya 10 SME Melayu/Islam yang mencapai pendapatan tahunan sebanyak $100 juta dalam tempoh 10 tahun, ini akan merancakkan lagi daya ekonomi masyarakat kita.

PROFIL TENAGA KERJA

Dalam Tenaga Kerja pula, profil pendidikan tenaga kerja Melayu telah pun meningkat - 70% daripada tenaga kerja pada tahun 2005 mencapai kelayakan menengah dan tinggi, berbanding 19% pada tahun 1980.

Pada tahun 1980, hanya 7.2% orang Melayu memegang pekerjaan pentadbiran dan pengurusan, profesional, dan teknikal (PMET) yang berkaitan. Kini angka ini sudah mencecah lebih 21%.


Kita juga telah melihat peningkatan yang ketara dalam prestasi pendidikan masyarakat kita. Lebih ramai pelajar Melayu di setiap kumpulan memperoleh sekurang-kurangnya lima kelulusan peringkat “O-Level”, yang membolehkan mereka untuk terus melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

PENCAPAIAN PENDIDIKAN

Kadar ini telah meningkat secara mantap dari 16% pada tahun 1980 kepada 66% pada tahun 2017. Kadar pelajar Melayu dari golongan kohort darjah satu yang berjaya memasuki institusi pasca menengah (Institut Pendidikan Teknikal, Politeknik, Maktab Rendah) pula meningkat lebih dari dua kali ganda, dari 36% pada tahun 1990 kepada 94% pada tahun 2017.

Pada peringkat antarabangsa pula, pelajar Melayu Singapura melaporkan prestasi yang lebih baik dalam Matematik dan Sains daripada pelajar dari kebanyakan sistem pendidikan yang lain. Ini jelas daripada Kajian Trend dalam Matematik dan Sains Antarabangsa 2003 (TIMSS) yang membandingkan hasil pendidikan antara 49 negara maju dan membangun.


Kementerian Pendidikan menganggarkan bahawa pelajar Melayu Singapura menduduki antara tangga ke-5 dan ke-6 dalam Matematik (meningkat dari tangga ke-6 dan ke-7 pada tahun 1999), dan ke-15 dan ke-16 dalam Sains (dari tangga ke-19 dan ke-20 pada tahun 1999). Kedudukan ini jauh melebihi purata antarabangsa.

MAMPU MENGATASI MASALAH

Baru-baru ini dilaporkan bahawa kadar kebentanan di kalangan penagih dadah Melayu telah turun lebih 13% dalam masa 5 tahun - daripada 41.6% pada 2011 kepada 27.8% pada 2016.

Kadar kebentanan di kalangan tahanan Melayu di penjara juga merosot dari 34.7% pada 2011 kepada 28.9% pada 2016. Walaupun masih banyak lagi yang boleh kita lakukan, pencapaian untuk menurunkan kadar kebentanan ini adalah satu pencapaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Di kebanyakan negara lain, masalah kebentanan dalam jenayah dan dadah dalam masyarakat minoriti tetap tinggi dan tidak dapat diturunkan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita mampu untuk mengatasi masalah dan meningkatkan kemajuan.

BERSIKAP POSITIF

Kita tidak patut memeluk tubuh dan meratap akan masalah yang membelenggu masyarakat kita, walaupun ada juga isu atau masalah yang sudah wujud berdekad atau bergenerasi lamanya. Sebaliknya, kita harus menyingsing lengan dengan sikap positif untuk mengubah nasib kita sendiri.

Walaupun kita harus akur akan cabaran yang sedia ada, kita tidak harus terlupa atas apa yang kita sudah kecapi dalam usaha kita. Ini bukanlah untuk bermegah-megah dan bukan pula bermaksud bahawa kita sudah tiba di destinasi wawasan kita.

Tetapi kita harus mengiktiraf pencapaian dan kejayaan masyarakat kita bersama agar kita dapat menjadikannya sebagai batu loncatan untuk terus cermerlang dan tidak gentar menghadapi cabaran yang akan datang.

Biarpun jumlah kita sedikit dan masyarakat kita kaum minoriti, ini tidak pula menjadi hambatan bagi kita untuk membuat impak yang positif pada masyarakat.

PROSES BERTERUSAN

Pendekatan M3 di mana karyawan dan sukarelawan berkhidmat untuk masyarakat dan negara adalah satu wadah yang penting untuk melestarikan sifat 3-K dan konsep “democracy of deeds” yang boleh menjanakan idea yang berbilang dan menggembleng tenaga yang membina.


Inilah yang dimaksudkan dengan Masyarakat Gemilang, suatu proses yang berterusan sehingga setiap generasi anak Melayu/Islam kita akan lebih maju daripada generasi yang sebelumnya dan prestasi mereka menjadi inspirasi pada masyarakat yang lain.

Kita boleh melaksananya bersama. Biarlah kita seperti “pahat dengan pemukul” yang saling membantu antara satu sama lain. Janganlah kita seperti “rumah siap, pahat berbunyi”; melontarkan kritikan tanpa memerah otak mahupun keringat.


MENGENAI PENULIS:
Zhulkarnain Abdul Rahim adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP.  

- BERITAmediacorp/ur

Top