Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Gangguan COVID-19 juga peluang bagi kita manfaatkan Kecerdasan Buatan

Gangguan yang dicetuskan oleh COVID-19 seharusnya menyedarkan syarikat dan peniaga supaya merubah strategi ke arah penggunaan teknologi digital yang lebih meluas.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Gangguan yang dicetuskan oleh COVID-19 seharusnya menyedarkan syarikat dan peniaga supaya merubah strategi ke arah penggunaan teknologi digital yang lebih meluas.

COVID-19 mendatangkan implikasi serius bagi perniagaan di Singapura dan juga di seluruh dunia.

Syarikat-syarikat dan para peniaga perlu menyesuaikan diri dengan 'normal baru' dalam mengendalikan organisasi atau perniagaan mereka dari ‘jarak jauh’.

Beberapa fungsi perniagaan mungkin dapat meraih manfaat daripada teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sedang kita semua dibelenggu dengan pandemik virus korona.

Memang tidak pernah dijangkakan dalam sejarah bahawa interaksi dan pelibatan perniagaan dunia beralih dan berubah dengan pesatnya ke ruang dalam talian atau online.

Oleh itu, inilah masanya untuk para peniaga dan syarikat-syarikat menyemak kembali strategi mereka mengenai penggunaan teknologi online masing-masing.

Kesan COVID-19 yang sangat meluas mengakibatkan apa yang dianggap sebagai amalan biasa seperti perjumpaan dan penjualan secara fizikal, pada umumnya tidak lagi menjadi pilihan.

BERALIH KE DIGITAL

Ini telah mencetuskan suatu keperluan untuk para peniaga beralih ke teknologi digital demi memastikan perniagaan mereka masih dapat bertahan.

Akan tetapi, pendekatan menerusi dalam talian ini bukanlah sesuatu yang baru – memandangkan kita telahpun berada dalam linkungan Revolusi Perindustrian 4.0 sejak beberapa tahun yang lalu.

Keputusan pemasaran yang penting kini ditentukan oleh ‘data besar’ atau Big Data yang terkandung di alam siber.

Secara umumnya, data besar adalah set data yang lebih luas, lebih kompleks dan diperolehi daripada sumber data baru.

Kumpulan data ini sangat besar sehinggakan mesin komputer data tradisional tidak dapat menguruskannya.

Tetapi jumlah data yang banyak ini dapat digunakan untuk mengatasi masalah perniagaan dan pemasaran yang tidak akan dapat ditangani oleh manusia sebelumnya.

BANTU BUAT KEPUTUSAN

Di sinilah masanya teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dapat memainkan peranan dalam menghasilkan pandangan yang dapat membawa kepada keputusan perniagaan dan strategi yang lebih baik.

Penerapan teknologi yang tepat boleh meningkatkan kualiti proses membuat keputusan dan sekali gus dapat memberikan perincian demografik yang lebih tepat dan padat.

Platform iklan sesebuah syarikat sebagai contoh, menjana banyak data untuk dianalisakan, termasuk tera yang dapat diukur, kadar klik tayang, tahap tawaran, demografi dan banyak lagi.

Manusia tentunya memiliki kemampuan untuk menghasilkan iklan yang baik, mengukur kadar penerimaan iklan tersebut dan meningkatkan mutu iklan berkenaan berdasarkan apa yang mereka pelajari melalui Data.

Tetapi, pengiklanan digital di seluruh saluran carian, kandungan dan media sosial memberi kita kemampuan yang hampir tidak terbatas untuk menghasilkan data mengenai apa yang sederhana dan apa pula yang dapat diperbaiki.

(Gambar hiasan: Rami Al-zayat/Unsplash) 

Di sinilah manfaatnya dalam penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan.

Dengan data yang tepat, alat iklan bertenagakan AI dapat mengesan skala dalam data iklan sesebuah syarikat, meramalkan perubahan pada kempen yang diutarakan dan dapat meningkatkan prestasi pencapaian sesuatu matlamat atau KPI tertentu.

Ini semua dapat dilakukan dalam masa sedetik, bukan jam, hari atau minggu yang mungkin diperlukan manusia untuk menganalisis, menguji dan melakukan lelaran di seluruh kempen digital.

APLIKASI PENGIKLANAN

Iklan digital memakan banyak belanja terutamanya jika anda menjual produk atau perkhidmatan yang tidak menghasilkan pulangan segera.

AI untuk aplikasi pengiklanan mempunyai kemampuan meningkatkan pulangan kepada perbelanjaan iklan (pendapatan) dan mengurangkan jumlah kos yang dibelanjakan pihak syarikat untuk masa kakitangan dan anggaran iklan yang tidak berkesan.

AI sebenarnya boleh memberikan syarikat- syarikat peluang untuk melangkah lebih jauh lagi.

Misalnya, sistem pengiklanan bertenaga AI benar-benar membantu sesuatu jenama menemui dan memperluaskan jumlah pelanggan, mendapatkan pelanggan baru, yang dahulunya tidak pernah dijangkakan.

Jadi di sinilah pentingnya untuk sesebuah syarikat menyemak kembali strategi siber masing-masing, supaya ia meraih keuntungan pada jangka masa panjang.

PERMINTAAN DAN PENAWARAN

Teknologi Kecerdasan Buatan juga amat berguna kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk memadankan permintaan dengan penawaran.

Ini menjadi sangat kritikal lagi apabila krisis pandemik sekarang ini beransur pulih.

Apa yang menggalakkan lagi adalah terdapat lebih banyak data luaran yang tersedia berdasarkan permintaan.

Sebagai contoh, sebuah syarikat keluaran besi besar mempunyai maklumat mengenai pelbagai faktor yang mempengaruhi permintaan besi, seperti permintaan untuk pembuatan kenderaan.

Langkah-langkah permintaan ini bergantung kepada data luaran yang digunakan untuk menyesuaikan dengan apa yang dapat dihasilkan oleh rantaian bekalan mereka.

Maklumat ini adalah penting agar sesebuah syarikat itu tidak menghasilkan lebih banyak daripada apa yang diperlukan untuk memenuhi permintaan dan tidak mengabaikan atau membiarkan sahaja mana-mana permintaan yang tidak dapat dipenuhi.

PANDUAN LEBIH BAIK

Teknologi AI dapat menganalisis data luaran ini, walaupun ia amat bergantung kepada data dari masa lalu, sedangkan krisis COVID-19 belum pernah terjadi sebelumnya.

(Gambar: Reuters)

Oleh itu, syarikat-syarikat juga harus pandai memastikan bahawa mereka menggunakan data yang menunjukkan situasi yang sebenarnya.

Diramalkan bahawa di dalam beberapa industri, data dari masa lalu akan memberikan panduan yang lebih baik bagi aktiviti sekarang dan juga pada masa depan.

TUGAS DI BALIK TABIR

Fungsi kognitif yang berkuasa AI dapat melaksanakan tugas di balik tabir syarikat. Ini termasuk memesan kad kredit baru, mengeluarkan bayaran balik ataupun membatalkan pesanan.

Apabila pembantu kognitif AI tidak dapat menangani tugas kerana kerumitannya, ini dapat diserahkan kepada kakitangan manusia untuk dikendalikan dengan lebih lancar.

Ia bermakna lebih banyak masa kakitangan di pejabat dihabiskan untuk menyelesaikan masalah yang paling mencabar, di samping menambahkan nilai kepada proses pekerjaan.

Proses ini sering disebut sebagai Automasi Proses Robotik (RPA) dan semakin digabungkan dengan ‘pembelajaran mesin’.

Ini merangkumi segala macam operasi layanan “back-office”, yang selama ini adalah tugas berstruktur, seperti mengautomasikan proses tuntutan syarikat insurans atau bank.

OPERASI PEKERJAAN

Walaupun krisis COVID-19 sekarang mungkin menyebabkan kemelesetan yang teruk, tetapi ini juga masaya di mana syarikat-syarikat dapat menyelaraskan operasi pekerjaan.

Mereka juga boleh memperkayakan para pekerja mereka dengan kemahiran baru seperti penguasaan digital yang kuat.

Dengan ini para pekerja mereka boleh memainkan peranan yang lebih tinggi dan kritikal dalam sesebuah syarikat.

BERFIKIR JANGKA PANJANG

Bagaimanakah syarikat-syarikat dapat mengharungi masa yang genting seperti ini?

Krisis COVID-19 jelas menunjukkan bahawa sudah tiba masanya bagi para pemimpin industri berfikir secara jangka masa panjang dan mengubahsuaikan pendekatan perniagaan mereka.

Walaupun cabaran yang dihadapi sekarang adalah besar sekali, mereka janganlah berpatah semangat.

Sebaliknya, inilah masanya bagi mereka membuat penyesuaian pada pekerjaan yang dilakukan dan meneruskan perjuangan masing-masing bagi mengembangkan perniagaan mereka.

MENGENAI PENULIS:

Hamidah Aidillah adalah Pengasas Parrot Social – firma Analitik Data yang menggunakan Kecerdasan Buatan untuk membantu perniagaan dan institusi memahami dengan mendalam media sosial dan trend-trend masa hadapan.   

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan