Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Fikirlah - Mudahnya cipta nama kerana media sosial

Dunia media sosial dan internet adalah satu dunia ‘kemungkinan’. Segalanya boleh berlaku. Baik untuk tujuan baik ataupun buruk. Yang buruk boleh jadi popular, dan yang baik boleh menjadi ‘Bintang segera’ (instant star) dalam sekelip mata.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Fikirlah - Mudahnya cipta nama kerana media sosial

Penyanyi Najwa Latif yang popular menerusi Youtube. (Gambar: Najwa Latif/Facebook)

BERITAMediacorp: Dunia media sosial dan internet adalah satu dunia ‘kemungkinan’. Segalanya boleh berlaku. Baik untuk tujuan baik ataupun buruk. Yang buruk boleh jadi popular, dan yang baik boleh menjadi ‘Bintang segera’ (instant star) dalam sekelip mata.

Dalam ruangan KOMENTAR ini, BERITAMediacorp mengetengahkan pandangan wartawan agensi Bernama, Erda Khursyiah Basir, yang antara lain berpendapat, masyarakat dan pihak media tidak sepatutnya “mempopularkan mereka yang tidak sepatutnya”. Ini hujah beliau:

(Gambar: Elizabeth Tan/Facebook)

INTERNET dan media sosial memainkan peranan besar hari ini termasuk untuk menjadikan seseorang itu terkenal. Tidak kiralah popular dalam bentuk positif atau negatif, kedua-dua perantara ini mampu mengangkat nama seseorang sehingga ke peringkat antarabangsa.

Contohnya, mereka yang berkongsi bakat menyanyi dan berlakon dalam media sosial. Mana tahu jika ramai yang suka dan banyak pula dapat butang 'share', mungkin akan ada komposer atau pengarah yang menyunting. Maka jadilah penyanyi atau pelakon ternama.

Lihat saja nama-nama seperti Najwa Latif, Ainan Tasneem, Tasha Manshahar, Elizabeth Tan dan Nana Sheme. Mereka semuanya lahir dari YouTube dan kini bukan sahaja melakar nama sebagai artis bahkan mempunyai ramai pengikut sendiri.

Pendek kata, sesiapa pun boleh berkongsi apa sahaja dalam media sosial dan jika bertuah adalah pihak tertentu yang akan melonjakkan nama mereka ke peringkat yang lebih tinggi, sekali gus menempa nama dalam bidang yang diminati.

Dalam hal ini, tidak perlu bersusah payah menyertai pertandingan nyanyian seperti Bintang RTM, rancangan realiti TV seperti Akademi Fantasia atau Mentor.

Dengan adanya YouTube, Facebook dan Instagram, semuanya ini boleh menjadi pangkalan untuk mempromosi diri. Dalam kata lain, sebagai jalan pintas untuk jadi popular dalam masa yang singkat.

(Gambar: REUTERS/Regis Duvignau/Files)

(Gambar: REUTERS/Regis Duvignau/Files)

Tanpa syarat ketat seperti tidak perlu masuk kelas vokal, tidak perlu mengeluarkan wang ringgit, tidak perlu mengerah tenaga dan tidak perlu menebal muka pergi uji bakat sana sini, tiba-tiba sahaja nama meletup dan terus jadi terkenal.

Masih ingat Bobo dan Cikgu Shida yang popular di YouTube kerana video parodi mereka suatu ketika dahulu yang menjadi tular dan mencetus fenomena dalam kalangan netizen?

Parodi merujuk kepada karya sastera, seni dan sebagainya yang meniru gaya pengarang atau pencipta lain dengan cara yang melucukan atau menyindir. Sejak fenomena itu, ramai yang terpengaruh menghasilkan video parodi masing-masing dalam pelbagai rupa dan versi.

Ada yang okay, ada yang jelek, ada yang melampau dan ada juga yang boleh dikategorikan sebagai syok sendiri. Seolah-olah konsepnya "laman sosial ini aku punya, suka hati akulah nak buat apa, siapa tak suka boleh mereput!" (Penulis cuba meniru lenggok gaya percakapan budak-budak sekarang).

'Demam parodi' rakyat negara ini seterusnya disemarakkan lagi dengan aplikasi 'Dubsmash' yang mempopularkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Ucop sebagai Raja Dubsmash Malaysia. Boleh disimpulkan Ucop jadi popular kerana dubsmash beliau yang meniru mimik muka dan karektor artis terkenal menjadi tular dalam laman sosial, seterusnya menjadi ikutan para netizen.

Dubsmash sama seperti 'miming' cuma lebih menarik kerana ia adalah aplikasi mesej video yang membolehkan pengguna menambah suara atau runut bunyi untuk video yang dirakam pada telefon pengguna. Runut bunyi boleh menjadi suara dari filem. lagu, lawak dan banyak lagi.

Khabarnya Bobo, Cikgu Shida dan Ucop mendapat tawaran menjadi artis. Bahkan, Ucop kini bergelar pelakon dan semakin dikenali.

(Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

Tidak kurang juga aksi 'smule' yang merujuk kepada aplikasi karaoke secara dalam talian yang boleh dilakukan secara solo mahupun berduet.

Raja Smule Malaysia, Khai Bahar, hari ini semakin selesa bergelar artis gara-gara nyanyian beliau melalui aplikasi itu yang mendapat perhatian masyarakat. Nampak tidak bagaimana media sosial boleh memberi keuntungan jika dimanfaat sebaiknya lebih-lebih lagi jika anda benar-benar berbakat?

Kehadiran individu-individu seperti ini meskipun bukanlah disenangi oleh seluruh masyarakat, namun tidak dinafikan menjadi penyeri dunia hiburan tempatan.

Secara peribadi penulis juga berpendapat mereka ini tidaklah sampai ke tahap melampau, terlalu jelek atau memberi impak negatif. Daripada sekadar untuk suka-suka dan menghibur dengan sedikit bakat yang ada, tanpa disangka menjadi popular.

Dalam masa yang sama ada perkara yang membuatkan penulis berasa kurang senang iaitu banyak pihak yang seolah-olah sengaja mengangkat dan mengetengahkan golongan yang tidak sepatutnya. Golongan ini kononnya cuba membawa 'kelainan' dengan sengaja mempromosi diri mereka dalam media sosial untuk dijadikan subjek atau 'bahan' agar tular dan dikenali masyarakat.

Contohnya, ada individu menampilkan gaya dan lenggok percakapan serta penggunaan bahasa serta perkataan yang 'kurang molek' semata-mata mahu meraih perhatian masyarakat. Akibatnya ramai netizen yang bertindak memparodikan individu berkenaan untuk tujuan menyindir.

Namun, sama ada sedar atau tidak tindakan netizen berbuat demikian secara tidak langsung menambah populariti si polan yang dikecam tadi.Le bih malang, si polan ini menjadi semakin popular kerana turut diberi ruang oleh stesen televisyen termasuk akhbar, untuk berkongsi perasaannya apabila dihentam netizen.

Sudahlah ibarat 'tin kosong' dan tanpa motif untuk diketengahkan, kemudian diberi peluang pula untuk bercakap mengenai dirinya yang penulis rasakan langsung tidak sesuai walaupun hanya untuk tujuan suka-suka sekalipun!

Kita selalu cakap cukuplah "jangan menjadikan orang bodoh itu menjadi terkenal.” Kita juga akui kita tidak suka, namun dalam masa sama kita turut membantu menaikkan nama mereka.

Dalam isu ini, pihak media juga tidak terkecuali ibarat 'menangguk di air keruh' apabila sengaja mengundang individu berkenaan dalam program atau berita mereka untuk tujuan menaikkan kadar kepopularan atau melariskan jualan akhbar.

Hakikatnya, apakah nilai yang ingin dikongsi? Wajarkah mereka ini kita ketengahkan walaupun sekadar untuk tujuan suka-suka?

Berhentilah mempopularkan mereka yang tidak sepatutnya kerana ramai lagi di luar sana yang lebih layak, punya bakat dan pencapaian yang boleh dibanggakan.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis) 

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan