Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Fahami sejarah Singapura kita dengan sifat kritikal

Nama Raffles kini suatu jenama di Singapura, namun ini tidak bermakna warga Singapura tidak boleh membuat kajian kritikal terhadap beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Fahami sejarah Singapura kita dengan sifat kritikal

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

BERITAMediacorp: Dua tahun lagi, iaitu tahun 2019 bakal menjadi satu tahun bersejarah bagi Singapura. Kenapa? Kerana ia menandakan sudah 200 tahun peristiwa Sir Stamford Raffles menjejakkan kakinya ke bumi Singapura ini. Ya, nama Raffles kini suatu jenama di Singapura, namun ini tidak bermakna warga Singapura tidak boleh membuat kajian kritikal terhadap beliau.

Masyarakat Melayu mula juga perlu secara proaktif mengadakan bank maklumat dan naratif sejarah mereka sendiri agar wujud “perspektif alternatif tentang masyarakat Melayu”. Demikian antara hujah-hujah anjuran Zamil ISEAS – Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, dalam artikel KOMENTAR yang dikirimkan kepada BERITAMediacorp ini:

Gambar fail Sir Stamford Raffles statue yang sedang menjalani kerja-kerja pembersihan. (Gambar: TODAY)

BARU-BARU ini, timbul satu perdebatan hangat tentang peranan Sir Thomas Stamford Raffles dan pembentukan sejarah moden Singapura. Dalam buku-buku teks sekolah, kita dikenalkan kepada Raffles sebagai seorang perintis dan bapa pemodenan negara.

Sebenarnya, Raffles memanfaatkan konflik politik antara dua beradik, iaitu Tengku Hussein Mohamed Shah dan Abdul Rahman. Menurut catatan sejarah, Tengku Hussein sepatutnya mewarisi takhta kerajaan Kesultanan Johor milik ayahnya, Sultan Mahmud Shah, kerana beliau adalah anak sulung.

Namun, taKhta kerajaan itu diberikan kepada adiknya Abdul Rahman, dan ini disokong oleh pihak Bugis dan Belanda. Raffles kemudian berjaya menaikkan semula Tengku Hussein ke takhta kerajaan Johor. Pada masa yang sama, meluaskan kekuasaan Inggeris di Singapura, menjadikan pulau ini sebagai salah satu jajahannya.

PANDANGAN ALTERNATIF MENGENAI RAFFLES

Ada sejarawan dan intelektual yang memberikan pandangan alternatif tentang sumbangan Raffles. Perbahasan-perbahasan mereka ini mengajak masyarakat memikir semula keperibadian Raffles dan peranan Inggeris di Singapura. Bagi golongan ini, Raffles, yang mengepalai Syarikat Hindia Timur (East India Company), sebenarnya berusaha melebarluaskan pengaruh kapitalisme Inggeris ke atas seluruh tanah jajahannya.

Agenda pemodenan bukan asas utama, tetapi wujud demi memenuhi agenda yang lebih besar itu. Buat Inggeris, Singapura merupakan satu kepentingan strategik dari segi geografinya. Bukan sahaja ia mempunyai perairan yang dalam, sesuai buat kapal-kapal besar untuk berlabuh, ia juga berada di sudut Selat Melaka, yang menghubungkan dunia Barat dan Timur. Dengan menguasai Singapura, Inggeris boleh meraih keuntungan perdangangan antara kuasa-kuasa Eropah dan juga Cina.

Salah seorang intelektual yang memberikan perspektif yang berbeza tentang Raffles adalah Allahyarham Professor Syed Hussein Alatas dalam bukunya Thomas Stamford Raffles 1781-1826: Schemer or Reformer? (Thomas Stamford Raffles 1781-1826: Perencana atau Pembaharu?). Professor Alatas menghuraikan falsafah politik Raffles, sesuatu yang belum pernah ditinjau oleh penulis-penulis biografi Raffles. Sebelumnya, wacana tentang Raffles seringkali mengagung-agungkan beliau. Ini berbeza daripada pendekatan Alatas, yang memberikan perspektif yang lebih menyeluruh dan kritikal terhadap penjajahan.

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

MEMBANGKITKAN PERDEBATAN ILMIAH

Perspektif Alatas ini membangkitkan satu perdebatan ilmiah yang sihat tentang sejarah penjajahan di tanah Melayu. Secara amnya, kesarjanaan pasca-kolonial lebih mekar di Indonesia berbanding Malaysia dan Singapura. Walaupun nama Raffles menjadi nama jenama di negara kita, ini tidak bermakna kita tidak boleh melakukan satu kajian yang kritikal terhadap beliau.

Ini boleh menjadi pemangkin kepada pembelajaran sejarah lebih menyeluruh di negara kita ini. Misalnya, ada naratif yang menyatakan bahawa sebelum datangnya Raffles, Singapura hanyalah sebuah kampung nelayan yang sepi. Benarkah hal ini? Adakah ini bermakna kitab-kitab Melayu klasik, seperti Sulalatus Salatin, yang menceritakan tentang masyarakat Melayu Singapura tidak sahih?

PANDANGAN SEIMBANG TENTANG PENJAJAHAN
Justeru, masyarakat harus mempunyai pandangan seimbang tentang peranan Inggeris di Singapura ini. Tidak dinafikan sumbangan pihak Inggeris banyak kepada Singapura. Misalnya, infraStruktur yang wujud di Singapura ini banyak sekali yang dibangunkan semasa zaman penjajahan.

Inggeris juga mengasaskan beberapa institusi penting dalam negara, terutama sekali dari sudut pentadbiran seperti ketenteraan, polis, jabatan awam, dan juga kepimpinan politik. Satu lagi sumbangan Inggeris kepada negara adalah penggunaan bahasa Inggeris, yang menjadi bahasa utama di dunia global hari ini.

Kita perlu peka dengan kesan penjajahan terhadap masyarakat Melayu, misalnya dalam sudut pendidikan, pekerjaan, dan juga kepimpinan politik. Walaupun ramai orang Melayu yang mendapat akses kepada institusi-institusi pendidikan di Singapura, majoriti dipinggirkan dan kekal dalam sekolah-sekolah traditional.

Tambahan lagi, banyak sekali stereotaip tentang masyarakat Melayu yang bermula daripada penulisan penjajah, termasuk Raffles. Sebagai contoh, persepsi bahawa masyarakat Melayu bersifat “malas” bermula daripada mereka.

Pihak Inggeris pula memulakan satu projek berunsur kapitalisme demi mangaup keuntungan menerusi industri timah dan getah. Di sini masyarakat Melayu dipinggirkan kerana tidak terlibat serta dalam industri-industri tersebut.

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

USAH LENYAPKAN SEJARAH MELAYU LAGI

Penghayatan sejarah akan lebih bermakna jika kita dapat melihat pandangan-pandangan alternatif dan sumber-sumber yang bukan konvensional. Kita boleh salah tafsir sejarah jika hanya bergantung kepada sumber-sumber penulisan kolonial. Banyak yang boleh digali lewat penulisan-penulisan klasik Melayu dan kitab-kitab lama yang mungkin diperlekehkan oleh sejarawan masa kini sebagai kitab syair, kolot, atau hikayat-hikayat mistik. Sebaliknya, sumber-sumber sebegini membenarkan kita memahami orientasi pemikiran elit Melayu satu masa dahulu.

Pendekatan yang digunakan Professor Alatas juga perlu ditimbangkan. Beliau mencari sumber-sumber yang tidak diketemukan oleh sejarawan-sejarawan lain, seperti melihat surat-surat Raffles. Beliau juga menemukan dokumen-dokumen lama yang ditulis dalam bahasa Melayu yang tidak dipakai oleh sejarawan-sejarawan Barat.

Malah, beliau mengambil sifat ingin memberikan pandangan sejujurnya tentang keperibadian seseorang tanpa mengagung-agungkannya. Sifat suka memuji inilah yang menjadi masalah besar dalam banyak penulisan tentang sorang tokoh sejarah, di mana kita tidak boleh beri penilaian jujur.

Justeru, masyarakat kita perlu lebih giat dalam mendokumentasikan sejarah. Salah satu usaha yang boleh dilakukan oleh anak-anak muda kita adalah dengan melakukan sejarah berbentuk oral. Tidak semua orang boleh menulis sejarah, namun, kita boleh berusaha untuk merakamkan sejarah dengan mewawancara orang-orang tua kita.

Mereka mungkin ada pengalaman-pengalaman sendiri tentang sejarah Singapura yang tidak terakam. Misalnya, apakah pandangan mereka terhadap kisah-kisah sebelum Singapura mencapai kemerdekaan? Siapakah gologan elit yang berpengaruh bagi mereka?

Dalam usaha-usaha sebegini, kita dapat bangunkan satu bank maklumat tentang sejarah Melayu di rantau ini, terutama sekali di Singapura. Semoga dengan usaha-usaha sebegini, perspektif alternatif tentang masyarakat Melayu dan sejarah Singapura tidak lenyap lagi.

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat adalah Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau adalah anggota Jawatankuasa Sejarah Lisan Masyarakat Melayu yang diterajui oleh Dr Azhar Ibrahim dari Universiti Kebangsaan Singapura, NUS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan