Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Fahami gambaran lebih luas mengapa teknologi kesan kontak penting lawan pandemik

Kejayaan TraceTogether bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan masyarakat kita semua.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Fahami gambaran lebih luas mengapa teknologi kesan kontak penting lawan pandemik

Token TraceTogether berfungsi dengan saling bertukar isyarat Bluetooth dengan token berhampiran (Gambar: Gov.sg)

BERITAmediacorp: Data menjejak kontak penting dalam mengekang wabak COVID-19 dan juga boleh membantu polis menyiasat sesetengah jenayah. Bagaimana memastikan adanya keseimbangan antara keperluan awam dengan perlindungan privasi individu.

Menyusuli pencerahan Pemerintah bahawa data TraceTogether tidak terkecuali daripada Kanun Prosedur Jenayah, Parlimen kini telah meluluskan pindaan pada Akta COVID-19 (Langkah Sementara).

Ia bagi memastikan bahawa data pengesanan kontak seperti TraceTogether dan SafeEntry, hanya dapat digunakan untuk tujuan pengesanan kontak, kecuali untuk penyiasatan tujuh kategori jenayah serius yang telah ditetapkan.

Kejayaan TraceTogether bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan masyarakat kita semua. Perbahasan tentang isu ini telah menjelaskan bagaimana kuasa penyiasatan Polis yang menggunakan data TraceTogether dan SafeEntry akan dihadkan untuk jenayah serius sahaja.

Rang Undang-Undang ini menetapkan bahawa semua data peribadi yang dikumpulkan tidak boleh digunakan oleh pegawai awam mana pun kecuali untuk tujuan pengesanan kontak.

Satu-satunya pengecualian adalah untuk penyiasatan Polis dan ini juga terhad kepada tujuh kategori jenayah serius sahaja. Kesalahan yang ditetapkan berkaitan dengan penggunaan atau pemilikan senjata berbahaya, kesalahan berkaitan pengganasan, pembunuhan, penyeludupan dadah yang dikenakan hukuman gantung, penculikan dan kesalahan seksual yang serius.

Pengekangan kuasa penyiasatan ini menunjukkan bagaimana Parlimen mengimbangi hak privasi data individu dengan kepentingan melindungi keselamatan dan kesihatan orang awam.

Token TraceTogether. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

PENTINGNYA PENGESANAN KONTAK

Selain daripada vaksin, pemakaian pelitup dan jarak sosial, penyiasatan kes yang komprehensif dan pengesanan kontak merupakan benteng pertahanan kita untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dalam masyarakat kita.

Di United Kingdom (UK), pada pertengahan bulan Julai tahun lalu, sistem pengesanan kontak secara konvensional mereka menghadapi pelbagai cabaran. Di London, hanya 47% orang berisiko yang dapat dihubungi.

Kerajaan UK telah menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 80% kenalan orang yang dijangkiti harus dihubungi dan diberitahu untuk mengasingkan diri dalam tempoh 48 hingga 72 jam. Jikalau tidak, pengesanan kontak dan pengekangan wabak COVID-19 tidak akan menjadi efektif.

AMAT PENTING

Justeru, pengesanan kontak digital diperkenalkan oleh beberapa negara di seluruh dunia dalam pelbagai bentuk. Ini merangkumi penggunaan amaran kepada individu dalam sekitaran yang tertentu atau pengesanan lokasi bagi individu yang dikenakan perintah kuarantin.

Di Singapura, TraceTogether telah membantu agensi-agensi negara kita untuk mengenal pasti dan mengekang penularan kelompok COVID-19 tempatan dengan pantas dan berkesan seperti yang kita lihat dengan kelompok Polis Para-Vet dan Industri Kallang baru-baru ini.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa pengesanan kontak seperti TraceTogether amat penting dalam memerangi wabak ini dan dengan lebih ramai orang menggunakan aplikasi atau token TraceTogether, semakin berkesan usaha pengesanan kontak di negara kita.

(Gambar: TODAY)

TEKNOLOGI TraceTogether

TraceTogether menggunakan teknologi Bluetooth dan adalah salah satu cara penjejakan kontak yang tidak invasif. Data yang dikumpul tidak boleh dibaca dengan mudah (encrypted) dan disimpan di dalam token atau aplikasi TraceTogether itu sendiri.

Ia tidak memberi maklumat tentang lokasi seseorang itu dan data yang dikumpul akan luput secara automatik dalam tempoh 25 hari. Program aplikasi tersebut juga dibangunkan secara terbuka (open source code) untuk penilitian orang ramai.

Malah, segolongan penyelidik Jerman telah mengkaji TraceTogether untuk mengusahakan aplikasi yang sepadan dengan Peraturan Perlindungan Data Umum di Kesatuan Eropah (EU).

KUASA SIASATAN POLIS

Pihak Polis dan agensi penguatkuasaan undang-undang negara kita sudah lama berkesan dalam mencegah jenayah dan ancaman terhadap keselamatan awam.

Dengan perundangan dan sistem keadilan jenayah kita yang mantap, kita telah membina reputasi sebagai negara yang aman dan patuh kepada undang-undang.

Namun, keamanan boleh berubah dengan sekelip mata.

Baru-baru ini, kita dikejutkan oleh berita mengenai seorang budak lelaki berusia 16 tahun yang merancang untuk menyerang masjid-masjid di Singapura.

Dengan kecekapan pihak-pihak tertentu, rancangan ini telah digagalkan.

Untuk ancaman dan jenayah serius yang mungkin kita hadapi pada masa akan datang, pihak Polis patut menggunakan semua alat dan data yang sedia ada untuk mengesan dan mencegah jenayah.

Undang-undang jenayah di negara kita seperti Kanun Prosedur Jenayah sudahpun memberi bidang kuasa kepada Polis untuk mengambil dokumen atau benda apa pun bagi tujuan penyiasatan jenayah. Ini termasuk merampas komputer atau telefon bimbit tertuduh.

PENGGUNAAN TERHAD DATA

Namun dengan pindaan undang-undang ini, kuasa penyiasatan pihak Polis untuk menggunakan data TraceTogether atau SafeEntry terhad.

Undang-undang ini adalah kompromi sementara sehingga wabak ini berakhir.

Ia juga menjelaskan maklumat apa yang boleh digunakan oleh pihak Polis dalam penyiasatan dan hanya untuk kes-kes jenayah serius sahaja.

Bagi seseorang yang sedang disiasat atas kesalahan jenayah serius, pihak Polis harus terdahulu mengambil telefon bimbit atau token TraceTogether individu yang disiasat, sebelum mengakses datanya.

Oleh kerana data tersebut disimpan di dalam telefon atau token, langkah untuk mengaksesnya bukanlah sesuatu yang tersembunyi atau tidak diketahui oleh individu berkenaan.

Tambahan pula, undang-undang baru ini juga akan menyediakan badan khusus (bebas daripada pihak Polis) untuk menyiasat sebarang aduan tentang pelanggaran akses data TraceTogether oleh mana-mana pihak.

Aplikasi TraceTogether (Gambar: Hanidah Amin)

MENERAPKAN LAGI KETELUSAN

Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak, Dr Vivian Balakrishnan telah menjelaskan semasa sidang Parlimen pada 2 Februari, bahawa Pemerintah akan melaporkan jika ada penggunaan data TraceTogether atau SafeEntry oleh pihak Polis untuk penyiasatan kes-kes jenayah serius dari masa ke masa.

Ia bagi menerapkan lagi ketelusan sistem pengesanan kontak kita.

Semua langkah ini adalah untuk mempertimbangkan hak privasi data individu dan memberi keyakinan secara tidak langsung kepada masyarakat untuk terus menggunakan token atau applikasi TraceTogether, mahupun SafeEntry.

Pucuk pangkalnya, perbahasan isu ini bukan mengenai memerangi jenayah. Ia mengenai memerangi wabak COVID-19 secara bersama sebagai sebuah negara.

Walau bagaimanapun, kedua-dua matlamat ini tidak saling eksklusif.

Walaupun terdapat pengecualian terhadap penggunaan data, saya percaya bahawa ramai masyarakat kita mempunyai keyakinan yang besar terhadap TraceTogether dan SafeEntry.

Ini adalah kerana ia telah membantu kita untuk mengekang penularan wabak di negara kita dengan berkesan.

PERANGI BERSAMA

Janganlah isu privasi data ini mengalihkan perhatian kita, sehingga kita terlepas pandang akan apa yang dipertaruhkan di sini.

Kita harus ingat gambaran yang lebih besar iaitu kita masih berhadapan dengan jalan yang begitu jauh dalam memerangi pandemik ini, walaupun kita sudah memulakan program vaksinasi seluruh negara.

Kita harus berjuang bersama-sama dan tidak membiarkan benih keraguan menular di masyarakat kita yang akan mengikis kepercayaan terhadap usaha negara dalam mengatasi wabak ini dan memerangi jenayah bersama.

Menerusi kerjasama ini dapatlah kita mencapai apa yang disebut pepatah “muafakat membawa berkat”.

MENGENAI PENULIS:

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: AMP)
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan