Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Fahaman ideologi radikal - mengapa ada yang masih terus terpengaruh?

Masyarakat Islam Singapura sekali lagi digegarkan dengan berita penahanan tiga warga Singapura di bawah ISA kerana ingin menyokong kumpulan ISIS. Apakah yang menyebabkan mereka terus terpengaruh dengan ideologi ISIS? Selain soal ideologi, apakah faktor lain yang perlu juga diberikan tumpuan?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Fahaman ideologi radikal - mengapa ada yang masih terus terpengaruh?

Petikan skrin sebuah video ISIS yang menunjukkan Megat Shahdan dari Singapura. (Gambar: Facebook)

BERITAmediacorp: Masyarakat Islam Singapura sekali lagi digegarkan dengan berita penahanan tiga warga Melayu/Islam Singapura di bawah ISA kerana ingin menyokong kumpulan ISIS. Apakah yang menyebabkan mereka terus terpengaruh dengan ideologi ISIS? Selain soal ideologi, apakah faktor lain yang perlu juga diberikan tumpuan untuk mengenalpasti mereka yang mudah terpengaruh?

Gambar hiasan. 

Seperti kes tahanan yang diumumkan baru-baru ini, Imran bin Mahmood yang ditahan oleh ISA, turut mempunyai kepercayaan yang sama. Dia yakin bahawa ia merupakan satu tanggungjawab baginya untuk memenuhi ‘kewajipan yang dituntut agama’ dengan keluar berjihad bersama dengan mana-mana kumpulan yang cuba untuk menubuhkan sistem pemerintahan khalifah di Syria.

KEJAHILAN DAN KEFANATIKAN

Di sini jelas, akar masalah bagi radikalisme masih lagi bergantung kepada tafsiran yang cetek dan menyimpang mengenai konsep-konsep tertentu dalam agama.

Kejahilan dan kesamaraan dalam memahami konsep syariat seperti ‘khilafah’, ‘hudud’, ‘amal maaruf dan nahi mungkar’, serta ‘jihad’ jelasnya mendorong golongan tersebut untuk mempercayai bahawa tafsiran yang didokong ISIS merupakan satu interpretasi yang benar.

Walhal sekiranya konsep-konsep ini difahami dengan teliti, ia jauh daripada mengajak penganut Islam untuk menyakiti, apatah lagi mengorbankan nyawa manusia. Sebaliknya, konsep-konsep tersebut sangat berteraskan kepada keamanan yang turut boleh digunakan sebagai satu mekanisme untuk memelihara nyawa manusia.

Sheikh Abdullah Bin Bayyah memimpin Perisytiharan Marrakesh bagi menggalak perdamaian. (Gambar: Pencinta Imam Abdullah Bin Bayyah/Facebook)

(Dalam buku 'Keganasan Bukanlah Jalan Ke Syurga' ini Shaykh Bayyah memberikan huraian terperinci dalam menyangkal fahaman ISIS. Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Malah, pada zaman Rasulullah dan para khulafa’ al-rasyidin sendiri, pemerintahan mereka itu tidaklah menghancurkan gereja, sinagog dan rumah ibadat yang lainnya, sebaliknya dijalankan atas sifat kasih sayang dan harmoni.

‘TAK ADA KERJA’

Selain melihat kepada faktor agama, penting juga rasanya untuk melihat kepada faktor lain yang mendorong seseorang itu untuk menyokong atau menyertai ISIS, misalnya dengan melihat kepada faktor sosial.

Ketiadaan persekitaran yang baik, seperti sistem sokongan yang kuat, pekerjaan yang tetap, kemurungan boleh mendorong seseorang untuk mencari atau melakukan ‘sesuatu yang baru’ bagi mengisi kekosongan dalam kehidupan mereka atau menjadikan ‘sesuatu yang baru’ itu sebagai mekanisme untuk bergantung dan berpaut dengannya.

Petikan skrin sebuah video ISIS yang menunjukkan seorang anggota pengganas ISIS, Megat Shahdan dari Singapura. (Gambar: Facebook)

(Petikan skrin dari video ISIS menampilkan rakyat Singapura. Gambar: Facebook)

Rakyat Singapura radikal yang ditahan sebelum ini datang daripada latar belakang sebegini. Imran bin Mahmood yang ditahan baru-baru ini tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, rakyat Singapura yang menjadi anggota ISIS, Megat Shahdan juga tidak mempunyai pekerjaan tetap, dan pernah mempunyai beberapa rekod jenayah sebelum ini.

Malah, wanita pertama Singapura yang menjadi radikal sendiri, Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari, ingin menyertai anggota militan ISIS di Syria bagi memenuhi hasratnya untuk menjadi "janda kepada suami yang mati syahid".

Gambar fail. (Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

BANTUAN LEBIH KOMPREHENSIF

Pendekatan alternatif ini penting agar bantuan dan fokus yang diberikan bukan sahaja datang daripada bentuk kaunseling yang amat bercorak agama. Dengan mengenalpasti akar masalah tersebut, pastinya bantuan yang betul dan sewajarnya dapat diberikan apatah lagi sekiranya akar kepada masalah tidak merangkumi persoalan-persoalan agama.

Sebaliknya, bantuan yang diberikan ke atas golongan yang terpengaruh dengan diayah ISIS akan bersifat komprehensif dengan menitikberatkan konteks sosial seseorang itu.

Memahami faktor-faktor lain juga penting dalam mengelakkan pelabelan yang absolut kepada sesuatu perkara. Sekiranya fahaman tentang kerumitan isu radikalisme diperluaskan kepada masyarakat, ia pada masa yang sama juga boleh mengelakkan daripada berlakunya stereotaip terhadap agama Islam, di mana ada pihak yang salah anggap bahawa Islam adalah punca masalah pengganasan.

Sifat generalisasi dan menconteng kesemua jalan penyelesaian atas nama agama perlu diteliti semula agar bukan sahaja stereotaip dapat dielakkan, malah langkah dan program yang proaktif yang berbentuk sosial dapat dilakar terlebih dahulu.

Sekali lagi tidak dapat dinafikan bahawa agama memainkan peranan dan merupakan salah satu faktor pendorong, namun jelasnya terdapat faktor-faktor lain yang turut sama pentingnya untuk diberikan perhatian.

KEWAJIPAN BERSAMA

Lantaran itu, kewajipan menangani masalah radikalisme kini bukan sahaja tertakluk kepada pemimpin agama sahaja. Sebaliknya, usaha menolak radikalisme merupakan tanggungjawab bersama bermula dengan masyarakat sendiri mengambil berat tentang anggotanya yang lain untuk membina sebuah lingkungan yang menyokong dan membangun.

Sebagai sebahagian daripada lawatan tiga harinya, Dr Al-Tayyeb berpeluang mengunjungi Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). (Gambar: MUIS)
Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan