Images
  • nama jalan

KOMENTAR: Erti melestari nama Sang Nila Utama

BERITAmediacorp: Selain mengabadikan nama mereka di jalan atau dalam buku, apakah langkah lain yang boleh diambil untuk mengekalkan semangat tokoh silam seperti Sang Nila Utama dan Tun Seri Lanang.


Gemuruh tepukan hadirin menyambut pengumuman Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat bahawa nama Sang Nila Utama akan diabadikan pada dua nama jalan di estet perumahan Bidadari kelak.

Pertemuan semula yang gah bagi bekas pelajar dua sekolah menengah aliran Melayu, Sang Nila Utama dan Tun Seri Lanang, awal November, akan tertinta dalam sejarah.

Tapi bagaimana dengan nama Tun Seri Lanang? Demikian tanya sebahagian hadirin.

PENDIDIKAN ALIRAN MELAYU

Pengumuman terbaru itu dibuat ketika kita mengenang 200 tahun wakil Kompeni Hindia Timur British Thomas Stamford Raffles menjejakkan kakinya di tebing Sungai Singapura pada 1819.

Sejak itu, bermula zaman pemodenan nusa ini. Pendidikan aliran Melayu atau sekolah vernakular Melayu bermula di Singapura dengan terbukanya Sekolah Melayu Teluk Belanga pada 1856.

Menurut catatan Dr Kamsiah Abdullah (rujuk e-buku, Yang Terukir, Majlis Bahasa Melayu Singapura, 2015), terdapat 27 sekolah aliran Melayu di Singapura.

Kelas tertinggi setakat Darjah 7 di beberapa sekolah, termasuk Sekolah Melayu Kota Raja yang dianggap seperti ‘Raffles Institution’ bagi aliran Melayu. Begitu terbatasnya laluan bagi aliran Melayu kerana tiada sekolah menengah Melayu ketika itu.

Apabila kerajaan British mengutarakan rancangan Orientasi Semula pada 1951, para guru Melayu termasuk sejumlah badan Melayu telah membantah. Usaha ini seolah-olah menamatkan zaman pendidikan aliran Melayu.

Mereka pun bergabung untuk membentuk Majlis Pelajaran Melayu (MPM) yang ahli pengasas terakhirnya ialah Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016).


MPM telah menampilkan tuntutannya kepada parti-parti politik yang bertanding sedang Singapura digegar oleh seruan menuntut kemerdekaan daripada British.

Ternyata Parti Tindakan Rakyat (Petir atau PAP) yang berjaya membentuk pemerintahan bersendiri pada 1959, amat bersimpati dengan perjuangan MPM.

Maka pada 15 Oktober 1961, Menteri Pelajaran Encik Yong Yuk Lin telah merasmikan Sekolah Menengah Sang Nila Utama. Sekolah Menengah Tun Seri Lanang dibuka dua tahun kemudian.

MULA PUPUS

Kewujudan aliran Melayu tentulah mengambil kira suasana Singapura yang menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963. Namun apabila Singapura dipisahkan daripada Malaysia, yang membawa kepada kemerdekaannya pada 9 Ogos 1965, suasana tadi mula berubah. 

Pendidikan aliran Inggeris menjadi amat penting demi penakatan Singapura.
Selain pendidikan aliran Melayu, sekolah Cina dan Tamil turut terjejas dek perubahan dasar pendidikan yang mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kerja, perhubungan dan ilmu.

Sikap pragmatik ibu bapa di Singapura memang dijadikan antara sebab hal ini berlaku. Aliran Melayu pupus pada pertengahan 1980-an. Dek sokongan elit pendidikan Cina, sembilan sekolah aliran Cina dikekalkan dengan bantuan pemerintah.

ELIT ALIRAN MELAYU

Ramai lulusan aliran Melayu berjaya mencapai tingkat prestasi yang membanggakan. Misalnya, dua mantan Anggota Parlimen, Hj Yatiman Yusof, 73 tahun, dan Hj Mohd Maidin Packer Mohamed, 62 tahun, pernah belajar di SNU.

Hj Yatiman dan Hj Wan Hussin Zoohri, 82 tahun, (mantan guru kanan SNU dan pengetua TSL) telah disebut-sebut oleh DPM Heng sebagai tokoh yang melobi agar nama Sang Nila Utama diabadikan.


Lobi mereka ‘mengena’ ketika nusa ini mengenang dwiabad pemodenanannya (1819-2019).

MERUNGKAI SEJARAH

Asalnya, Sang Nila Utama (SNU) dianggap sebagai tokoh dongeng atau mitos belaka. Namanya disebut dalam sumber utama iaitu Sulalat-us-Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu susunan Tun Seri Lanang (gelar bagi Bendahara Johor yang nama sebenarnya Tun Muhammad bin Tun Ahmad, hidup antara abad ke-16 dan ke-17 Masihi).

Malah buku ini sering dipertikaikan kesahihan faktanya.Namun menurut Prof Dr John Miksic, mahaguru sejarah di Universiti Kebangsaan Singapura, setelah diadakan penggalian di beberapa tempat ‘bersejarah’ di Singapura termasuk di Padang dan Bukit Larangan (Fort Canning), terdapat kebenaran pada penceritaan Sejarah Melayu.

Dalam beberapa ceramah mengenai pelbagai artifak yang ditemui beliau dan pasukannya, antara yang mengejutkan ialah ‘pasir putih’ .

Menurut Sejarah Melayu, kilauan pasir putih itulah yang menarik perhatian Sang Nila Utama yang sedang belayar di Selat Singapura.


Malah hasil kajian Dr Miksic dan para sejarawan lain, sejarah silam Singapura akhirnya telah dapat dirungkai – bahawa ia adalah sebahagian Jalan Laut Sutera dalam perdagangan antara Timur Tengah, India dan China.

Dipendekkan cerita, buku sejarah Singapura yang digunakan di sekolah, tidak lagi bermula sejak kedatangan Raffles, tetapi sejak Temasik dinamakan Singapura.

TAHAP SELANJUTNYA

Peranan Tun Seri Lanang (TSL) memang cukup penting lewat Sejarah Melayu. Namanya diabadikan pada anugerah Tun Seri Lanang yang diberikan kepada tokoh persuratan setempat oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura sejak 1993.

Namun, boleh saja nama jalan atau tempat dinamakan sempena beliau. Hakikatnya, nama TSL pun luas digunakan di Malaysia dan juga di Sumatera, terutama Aceh – termasuk tempat persemadiannya di Samalanga.

Tentulah kelak akan terbit pula sebuah buku kenangan mengenai dua sekolah yang menampung nama dua tokoh silam tadi. Tapi, cukupkah setakat ini?

Pada pertemuan lalu, sumbangan $50,000 kepada Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud diberikan oleh bekas pelajar SNU Dr Abdul Rahman Saad, seorang peguam, untuk membantu pendidikan anggota keluarga alumni SNU dan TSL.

Tentulah ini bak membentuk semacam kesan gandaan, apabila dana daripada derma tadi disuburkan menerusi pelbagai kegiatan alumni itu.

Yang utama semangat SNU dan TSL telah membolehkan semacam revolusi fikir dalam masyarakat Melayu.

Kisah wanita Melayu tidak dapat bersekolah atau terperuk di dapur pernah dipaparkan dalam zaman awal pemodenan Singapura. Misalnya, dalam noveletnya ‘Sarah Pengarang Kecil’ (1960), MAS (Dr Muhd Ariff Ahmad), mendedahkan peri penting mengejar ilmu untuk meningkatkan maruah wanita Melayu.

Dalam dekad 1960-an, ketara sekali anak perempuan Melayu mula menyerlah dalam pendidikan. Lejangan (momentum) ini begitu kental kerana sejak 1980-an, didapati lebih ramai wanita Melayu berbanding dengan lelaki Melayu berjaya di institusi pengajian tinggi.

Yang utama, seruan dan ikhtiar para pendiri Majlis Pelajaran Melayu (cikal bakal atau pendahulu Yayasan Mendaki (1982), telah membolehkan bukan saja aliran pendidikan Melayu dapat berhasil, malah kesan memburu dan meraikan ilmu dapat digarap oleh masyarakat kita sehingga kini.

DIMENSI LEBIH CANGGIH

Mungkin boleh dilaksanakan semacam siri drama (dulunya dipanggil sandiwara) mengenai kisah dan kesan SNU dan TSL ke atas minda dan citra masyarakat Melayu Singapura.

Pendekatan ini boleh mengambil iktibar daripada sikap kalangan generasi muda yang dapat menghargai seniman besar seperti P Ramlee kerana ada filem dan lagu klasiknya di wadah Youtube dan sebagainya.

Bak kata pepatah ‘tak kenal, maka tak cinta’, maka itu lejangan daripada pertemuan semula yang gah SNU-TSL perlu memasuki dimensi yang lebih canggih, sesuai dengan perubahan teknologi yang pesat. Sanggupkah para ahli alumni atau anak cucu mereka meneruskannya?


MENGENAI PENULIS:

Penulis ialah mantan penulis skrip tetap Perbadanan Penyiaran Singapura (kini Mediacorp 1980-84), wartawan Berita Harian (1984-2016), aktivis masyarakat, penulis kreatif dan editor puluhan buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

- BERITAmediacorp/ha

Top