Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Erti 1819- Menyongsong 200 Tahun Singapura

Tahun depan genap 200 tahun Sir Stamford Raffles menjejakkan kakinya ke Singapura. Ini sedang banyak yang sudah berkembang berhubung pengajaran sejarah Kota Singa ini. Buku teks sejarah Singapura untuk sekolah-sekolah misalnya sudah meletakkan bermulanya sejarah Singapura pada zaman Sang Nila Utama.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Erti 1819- Menyongsong 200 Tahun Singapura

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

BERITAMediacorp: Tahun depan genap 200 tahun Sir Stamford Raffles menjejakkan kakinya ke Singapura. Ini sedang banyak yang sudah berkembang berhubung pengajaran sejarah Kota Singa ini. Buku teks sejarah Singapura untuk sekolah-sekolah misalnya sudah meletakkan bermulanya sejarah Singapura pada zaman Sang Nila Utama, selaku pengasasnya.

Dalam artikel KOMENTAR ini yang dikirimkan kepada BERITAMediacorp, penulis mapan Mohd Raman Daud merenung tentang peranan Raffles yang positif mahupun yang “banyak kesilapan”nya. Sedalam manakah tahun 1819 harus diperingati? Ini hujah-hujah beliau:

Gambar fail Sir Stamford Raffles statue yang sedang menjalani kerja-kerja pembersihan. (Gambar: TODAY)

(Gambar: TODAY)

Ada kalangan kita tertanya-tanya: mengapa Singapura perlu menyambut sejarah 200 tahun sempena Thomas Stamford Raffles (1781-1926) menjejakkan kakinya di nusa ini untuk membuka loji bagi syarikatnya, Hindia Timur British, pada 1819.

Catatan penjajah British memberikan semacam gambaran bahawa kononnya Singapura setelah sekian lama ‘terbiar’. Ia tidak lebih sebagai sebuah kampung nelayan.

Sejarah mencatatkan bahawa visi dan kegigihan Raffles telah membolehkan Singapura dibangunkan semula sehingga menjadi pelabuhan penting di rantau ini. Itulah sebabnya ada dua patung Raffles dipersadakan di tebing Sungai Singapura dan di depan Dewan Peringatan Victoria.

Sebelum Raffles, kisah silam Singapura sudah tercatat dalam buku, Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang. Tetapi sesetengah sejarawan beranggapan buku ini lebih berisi mitos kerana ia tanpa tarikh dan sumber.

Justeru, sebahagian besar buku mengenai sejarah Singapura ditulis dengan mengambil 1819 sebagai tarikh permulaan. Namun, sejak lewat 1980-an, terdapat penilaian semula akan hal ini.

KAJI PURBA

Ini kerana penafsiran daripada hasil kaji purba atau arkeologi di nusa, termasuk kawasan yang dipercayai ‘kaya sejarah’ seperti Bukit Larangan (Fort Canning) yang pernah menempatkan istana, Padang sehingga Kampong Gelam.

Usaha rintisan kumpulan pimpinan Prof Dr John N. Miksic dari Jabatan Sejarah Universiti Nasional Singapura (NUS) telah mendedahkan penemuan yang menakjubkan – serpihan logam, tembikar sehingga barang kemas berharga. Semuanya menunjukkan Singapura pernah menjadi pusat penting perdagangan dan tamadun lama sebelum kedatangan Raffles.

Photo: Koh Mui Fong/TODAY

(Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

Daripada kajiannya yang rinci, Dr Miksic telah menghasilkan sebuah buku ilmiah, ‘Singapore – The Silk Road of the Sea, 1300-1800’ (2013). Bukunya membuktikan bahawa Singapura terbukti berperanan besar sebagai pelabuhan penting dalam Laluan Sutera Laut yang menghubungkan Eropah, rantau Arab, India dan China. Pengaruh bukunya amat besar sehingga mendorong buku teks sejarah untuk sekolah ditulis semula.

Peranan kelautan Singapura berterusan selama ratusan tahun, termasuk ketika nusa ini diperintah Laksamana Hang Tuah dan kemudian ditadbir oleh Kerajaan Melayu Riau.

SINGAPURA DAN HANG TUAH

Singapura mulai ‘terabai’ hanyalah selepas Kerajaan Johor-Riau mengalami masalah pucuk pimpinannya. Namun, ia masih dihuni majoriti orang Melayu yang diketuai Temenggung Abdul Rahman serta sejumlah kecil pedagang dan pekebun gambir Cina serta Orang Laut menjelang lawatan Raffles itu.

Dalam satu wawancara dengan penulis pada 2014 di NUS, Dr Miksic memberitahu dalam bahasa Melayu:

“Buku ‘Sejarah Melayu’ tetap berguna. Salah satu yang diceritakan ialah perihal Sang Nila Utama tertarik datang ke mari selepas berburu. Dia ternampak pasir putih berkilauan.

“Semasa saya dan pasukan saya menggali di Padang, kami terjumpa pasir putih. Ia bertepatan dengan gambaran daripada Sejarah Melayu.”

Malah Dr Miksic dan seorang lagi sejarawan terkenal, Prof Dr Leonard Y. Andaya pernah ditukil oleh akhbar setempat, Berita Harian (30 April 2012), sebagai menegaskan bahawa tokoh Hang Tuah bukanlah mitos tetapi memang tokoh sejarah yang penting.

Antara kawasan yang ditadbir Hang Tuah, selaku Laksamana Melaka, ialah Singapura. Catatan mengenai Hang Tuah terdapat dalam arkib Okinawa yang dipelihara kerajaan Jepun.

BUKTI DAN ANDAIAN

Sejarah bukan saja ditulis berdasarkan bukti tetapi juga tafsiran ke atas bukti dengan sejumlah andaian, menurut sejarawan termasyhur Arnold J. Toynbee (1889-1975) yang juga pengagum adikarya Ibn Khaldun (1332-1406), Muqaddimah mengenai bangun jatuh kerajaan.

Penemuan Dr Miksic telah mendorong buku teks sejarah Singapura untuk sekolah setempat meletakkan bermulanya sejarah Singapura pada zaman Sang Nila Utama, selaku pengasasnya – apabila nusa ini bertukar namanya daripada Temasek kepada namanya seperti kini.

Namun usaha ini tentulah tidak berhenti di sini saja.

Dua tamadun besar dunia iaitu China dan India mungkin menyimpan catatan mengenai Singapura, selain daripada tamadun rantau ini seperti Nagarakertagama tulisan Mpu Prapanca dalam zaman Empayar Majapahit dalam pertengahan abad ke-14 Masihi. Malah diari Afonso de Albuquerque (1453-1515), penguasa Portugis yang dapat menakluki Melaka pada 1511, juga dikatakan kaya dengan catatan mengenai rantau ini, termasuk kaitan Hang Tuah dan Singapura.

Yang nyata banyak tulisan sejarah silam Asia Tenggara ditulis oleh para pentadbir Barat termasuk Raffles sehingga R.O Winstedt (1878-1966) yang namanya diabadikan di Singapura. Merekalah yang memberikan tafsiran sejarah rantau ini, termasuk teori asal usul orang Melayu yang kononnya berasal dari selatan China iaitu Yunan.

Kajian sejarah kian cenderung pada bidang kebakaan yang berdasarkan DNA (singkatan bagi deoxyribonuclei acid) iaitu bahan yang mengandungi maklumat baka dalam setiap hidup-hidupan. Ia lebih saintifik.

Menggunakan kaedah DNA, kumpulan sejarawan pimpinan Prof Wan Hashim Wan Teh dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menolak teori asal Yunan itu. Kini kumpulan dari Universiti Sains Malaysia turut memanfaatkan kajian DNA pada penghijrahan keluar orang rumpun Melayu dari rantau ini.

AbeBooks

(Gambar: AbeBooks)

IMEJ RAFFLES

Imej tahun 1819 seolah-olah menonjolkan Raffles semata sebagai tokoh berwawasan besar, jujur lagi bijak merancang dan melaksanakan tugasnya. Benarkah demikian?

Soalan ini digemakan oleh almarhum Prof Syed Hussein Alatas (1928-2007), mantan ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura menerusi bukunya, Thomas Stamford Raffles (1781-1926) – Schemer or Reformer. Setelah mengkaji tindakan Raffles dalam serangan dan pembunuhan beramai-ramai di beberapa daerah di rantau ini, terutama Bangkahulu dan di Jawa, Prof Alatas merumuskan bahawa Raffles bukanlah tokoh pembaharuan tetapi perancang sulit dan jahat.

Seorang lagi sejarawan dari Australia, Nadia H. Wright, telah menghasilkan buku William Farquhar And Singapore: Stepping Out From Raffles' Shadow yang mendedahkan sikap Raffles sebagai ‘bos’ yang berhati kaudu, mementingkan diri sendiri dan menindas orang bawahannya termasuk William Farquhar, residen pertama British di Singapura.

Buku ini telah dilancarkan dalam sebuah majlis di Singapura dan dirasmikan oleh Duta Kelana Profesor Tommy Koh dan Pesuruhjaya Tinggi British (The Straits Times, 31 Mei 2017).

Walaupun Raffles yang mendapatkan Singapura daripada Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman, namun Farquhar yang telah berhempas-pulas memastikan Singapura dapat dibangunkan dengan dana yang kecil dan sukar diperolehi.

Chen Jiaxi Bernard FB

(Gambar: Chen Jiaxi Bernard/ Facebook)

PERUBAHAN PERSPEKTIF

Sebaliknya, Raffles telah melakukan banyak kesilapan dan merugikan syarikatnya. Malah apabila Farquhar hendak meninggalkan Singapura, para pedagang Eropah, Cina, Arab dan Melayu telah memberikan hadiah besar kepadanya demi mengenang jasanya.

Catatan rekod syarikat Hindia Timur British menunjukkan Raffles bertindak dengan membekalkan ratusan wanita dari Jawa di tangkap untuk diberikan kepada Alexander Hare, seorang penguasa British di Borneo dan disahkan kaki perempuan.

Jelaslah, terpulang kepada para sejarawan setempat untuk menilai kedudukan Raffles dengan jujur dan adil. Sebagaimana Dr Miksic telah menemukan bukti yang membawa perubahan perspektif pada penulisan sejarah Singapura, hal serupa juga boleh berlaku pada mana-mana tokoh dan peristiwa dalam sejarah nusa kita.

(Gambar: Mohd Raman Daud)

MENGENAI PENULIS:

Penulis ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan