Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Dwiabad tulisan Jawi di Kota Singa – bagaimana ia boleh mekar semula di S’pura

Berapa ramaikah warga Singapura, khususnya orang Melayu, yang arif membaca Jawi?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Banyak khazanah dokumen silam Melayu yang berharga tersimpan di merata dunia termasuk di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) Singapura adalah dalam tulisan Jawi. Persoalannya: berapa ramaikah warga Singapura, khususnya orang Melayu, yang arif membaca Jawi? MOHD RAMAN DAUD, mantan wartawan kanan dan aktivis masyarakat, menyelongkar persoalan ini dan membangkitkan tindakan lanjut masyarakat Melayu.

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

JAWI adalah aksara tulisan yang digunakan dalam surat perjanjian yang pertama mengizinkan Kompeni Hindia Timur British membuka loji pertamanya di sini.

Dengan membaca tulisan Jawi, Sultan Hussein Syah dan Temenggong Abdul Rahman telah membubuh cap mohor mereka atau memeterai perjanjian dengan Stamford Raffles pada 6 Februari 1819 – kurang 10 hari selepas Raffles menjejakkan kakinya di sini.

Dokumen bersejarah itu juga mempunyai tulisan Rumi bahasa Inggeris. Dahulu, celik Jawi (tahu membaca dan menulis) amat penting. Sebabnya, kebanyakan urusan catatan seperti surat-menyurat raja dan para pembesar sehingga notis awam di Singapura masih berlaku dalam aksara Jawi sama ada ditulis atau dicetak.

Sebelum jawi, rumpun Melayu Asia Tenggara telah mengenal aksara Pallava dari India, rencong (Aceh), kawi (Jawa kuno) dan sebagainya.

ASAL JAWI

Dipercayainya, para pedagang Arab dan sekaligus mubaligh yang perlu bertutur bahawa Melayu telah menciptakan Jawi iaitu aksara Arab yang digunakan untuk mengeja istilah Melayu.

Kenapa disebut Jawi? Ia mungkin dikaitkan dengan nama ‘Jawa’ iaitu majoriti rumpun Melayu merupakan orang Jawa. Mentelah orang Jawa, khususnya Kerajaan Majapahit, pernah menguasai hampir seluruh gugusan pulau Asia Tenggara atau dipanggil ‘Nusantara’ dalam abad ke-13 hingga 14 Masihi – sebelum munculnya kerajaan Melaka (abad ke-15M).

Kedekatan orang Melayu dan produk dari rantau ini terpapar dalam peristilahan Arab. Misalnya, Quran (Surah Al-Insaan, 76:5) menyebut antara minuman syurga ialah kafur iaitu dari pokok kapur asal dari Barus, Sumatera.

Bahkan ditemui nesan beraksara Arab, Syeikh Mahmud dari Hadramaut yang dipercayai sekitar 34 Hijrah (zaman Khalifah Umar Al-Khattab).

KEDATANGAN ISLAM

Ini bererti Jawi mungkin seusia dengan kehadiran pedagang Arab di rantau ini sebelum kedatangan Islam. Namun, dengan kedatangan Islam, hubungan tadi semakin mekar.

Antara sahabat Nabi saw yang dijamin masuk syurga ialah Sa’ad ibn Abu Waqqas, seorang pedagang, yang pernah melalui jalan laut rantau ini untuk ke China. Ini berlaku dalam abad ke-7 atau 8 Masihi.

Namun, umumnya terdapat semacam kesepakatan para sarjana bahawa Jawi meluas digunakan selepas kerajaan Pasai diasaskan dalam abad ke-13M. Antara nesan tertua dengan tulisan Jawi yang ditemukan sejauh ini ialah Batu Bersurat Terengganu, 1303M.

Oleh itu secara rasmi, antara abad ke-13 sehingga ke-20 Masihi, atau 700 tahun, kebanyakan persuratan Melayu – dari surat dagang sehingga surat raja – bertulisan Jawi.

Namun, penjajah Barat, baik British di Malaya dan Borneo, mahupun Belanda di Hindia Timur (Gugusan Kepulauan Indonesia) tidak senang akan Jawi.

Dalam buku ‘Hikayat Abdullah’ tulisan Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir dan pelbagai catatan lain, ternyata penjajah tidak suka akan Jawi kerana kaitan rumpun Melayu dengan persaudaraan Islam sedunia. Hal ini mungkin ada kaitannya dengan warisan dendam Perang Salib dan sebagainya.

Naskhah Sejarah Melayu edisi Munsyi Abdullah. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

PENGGUNAAN RUMI

Selaku pusat atau hab cendekia dan percetakan Melayu, Singapura memainkan peranan penting dalam penerbitan akhbar, majalah dan buku dalam tulisan Jawi.

Kebanyakan syarikat penerbitan Melayu terdapat di kawasan Kampung Gelam yang juga menampung Istana dan Masjid Sultan, madrasah-madrasah dan Sekolah Melayu Kota Raja yang dianggap semacam Raffles Institution kepada para pelajar aliran Melayu.

Namun yang pasti, Rumi mula berkembang secara perlahan-lahan. Akhbar dan majalah Peranakan Cina seperti akhbar Bintang Timor telah menggunakan bahasa Melayu beraksara Rumi.

Trend ini memuncak ketika Pendudukan Jepun (1942-1945), sejumlah penerbitan Melayu, terutama Fajar Asia, dicetak dalam ejaan bahasa Melayu yang baharu (untuk keperluan pembaca di Malaya dan Sumatera) atau dipanggil Ejaan Fajar Asia.

Apabila Hindia Timur merdeka sebagai Indonesia, dasar mengutamakan aksara Rumi amat meluas. Hal ini menimbulkan semacam kegenjotan hubungan dalam rumpun Melayu yang sebahagian lagi masih menggunakan tulisan Jawi.

Maka keputusan penting terukir pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu 1956 yang berlangsung di Johor Bahru dan kampus Universiti Malaya di Singapura, menurut almarhum Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016).

Antara lain, kongres itu sekata menyeru tulisan rumi digunakan tanpa mengetepikan Jawi untuk keperluan tertentu seperti agama Islam.

Sejak detik itulah, tulisan Jawi kian kelam. Dipercayai majalah bertulisan Jawi yang terakhir dicetak di Singapura ialah Qalam pada 1969. Qalam dipindahkan ke Kuala Lumpur tetapi hanya bertahan sehingga tahun 1971.

DI SEBALIK JAWI

Hakikatnya, minat pada Jawi masih wujud sehingga kini di Singapura kerana adanya kegiatan yang mendukungnya. Misalnya, firma swasta pendidikan Islam, Andalus-Cordova telah lama mengajarkan Jawi untuk para pelajarnya. Di beberapa madrasah, Jawi masih diajarkan.

Malah guru bahasa Melayu yang belajar di Institut Pendidikan Kebangsaan, Universiti Teknologi Nanyang atau mahasiswa Pengajian Melayu di Universiti Sains Sosial Singapura (dahulunya UniSIM) masih dapat belajar jawi.

Memang ketara dan menonjol ialah ketekalan firma Andalus-Cordova yang antara lain, dipengaruhi oleh falsafah pendidikan Islam yang dipelopori Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas (SMN Al-Attas) dan juga antara penasihat firma ini.

Dalam bukunya, Himpunan Risalah (2015), Prof SMN Al-Attas (1931-) menegaskan bahawa Jawi amat akrab dengan jati diri rumpun Melayu yang beragama Islam.

Aksara Arab telah menggantikan beberapa aksara terdahulu seperti kawi dan rencong. Misalnya, pada Batu Bersurat Terengganu (1303M) yang dipahat dengan tulisan Jawi terpapar kekata Sanskerta, Jawa dan Melayu. Malah Islam tersebar dengan aman dan membina di rantau ini menerusi Jawi.

Menurut peristilahan Arab, rumpun Melayu dikenali sebagai Jawi. Bahkan, ada kawasan permukiman Jawi di tanah suci.

Malah, hujah Prof SMN Al-Attas, tamadun Melayu yang termasuk bahasanya, telah dimajukan dengan pengambilan banyak kekata Arab yang disucikan dan terakam dalam Quran, kemudian digunakan secara meluas dalam penyebaran Islam.

Pada Pameran Aksara Melayu 2007 anjuran Lembaga Perpustakaan Negara Singapura, Prof SMN Al-Attas dalam ucap utamanya, telah menegaskan bahawa “akan rugi rumpun Melayu untuk menghargai khazanahnya, jika tidak kembali menguasai jawi”.

MINAT DAN KEPAKARAN

Hari ini tulisan Jawi memang terpencil. Akhbar Melayu bertulisan Jawi, Utusan Melayu, telah lama tutup dan gagal untuk dihidupkan beberapa kali di Malaysia.

Jawi masih digunakan secara terhad di Brunei, Indonesia (dipanggil pegon untuk karya dalam bahasa Jawa atau arab gundul iaitu buku agama atau kitab kuning khususnya digunakan di pesantren atau madrasah berasrama) di Malaysia dan Patani di selatan Thailand.

Dalam suasana langka ini, terdapat sebilangan pakar jawi di peringkat antarabangsa seperti Prof Jan van Puten dari Belanda, Prof Hashim Musa dan Prof Ahmat Adam dari Malaysia tetapi yang paling menonjol ialah mahaguru dari Korea Selatan, Prof Kang Kyong Seok.

Di Singapura, Dr Hirman Khamis yang juga seorang guru bahasa Melayu, merupakan sarjana pertama khusus dalam bidang jawi.

Minat pada Jawi terpapar sejauh Jepun, apabila Universiti Kyoto mendapatkan semua majalah Qalam dari edisi 1950 sehingga penutupannya pada 1969 di Singapura. Projek alih aksara Jawi ke Rumi atau transliterasi telah dilakukan oleh universiti ini dan boleh diakses di laman sawang. Malah pernah terdapat Persatuan Penyelidikan Jawi di Jepun (2001-2009).

Tentulah untuk menyemarakkan semangat mengenali semula Jawi, diperlukan pakar, tenaga pengajar, peminat dan mungkin sebuah badan khas.

Selain institusi seperti Andalus-Cordova, terdapat kegiatan tulisan Jawi yang diusahakan oleh guru pesara dan pensyarah sambilan, Hj Supki Sidek di Darul Quran Masjid Kampung Siglap. Malah terdapat sebilangan penulis khas seperti Haji Basri Sumanee dan mantan guru bahasa Inggeris, Encik Hazrin Mohamad.

BADAN KHUSUS

Menyedari kepentingan tulisan Jawi juga telah mendorong Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) Singapura mengadakan sesi membaca dan tukar aksara Jawi ke Rumi yang diseliakan Encik Mazelan Anuar dan rerakannya.

Setakat ini, beberapa makalah termasuk akhbar Warta Malaya (1930-1941) dan karya Ahmad Luthfi (Edrus Qalam) telah diusahakan dengan baik oleh sebilangan sukarelawan. Malah kegiatan alih aksara ini boleh dilakukan lewat laman sawang NLB.

Oleh itu, wajarkah Singapura menghimpun para pecinta Jawi yang bersungguh-sungguh atau berdedikasi itu?

Menurut Hj Supki, soalan itu telah mendorong pembentukan suatu gagasan. “Kami sedang meneroka pelbagai kemungkinan, termasuk menubuhkan sebuah badan khusus yang dapat menghimpun dan memupuk bakat bukan saja memperkenalkan semula Jawi kepada masyarakat Melayu, tetapi seluruh Singapura.”

Maka itu, kita nantikan peristiwa ‘akan datang’ (bak sebuah iklan filem) bagi gagasan tadi terlaksana.

Namun yang jelas, kalangan orang Melayu akan merindui Jawi apabila mereka menyusuri pameran demi pameran baik yang dianjurkan NLB atau Taman Warisan Melayu di sini, atau ketika melawat negara jiran.

Difahamkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) masih menyediakan teks khutbah dalam tulisan jawi.

Sesetengah ustaz masih dapat membaca dan ini seolah-olah suatu jendela peluang untuk meluaskannya.

PENERUS JAWI

Dengan kecanggihan Singapura dalam teknologi, mungkin suatu masa nanti, aplikasi Jawi di komputer dan telefon bimbit dapat diwujudkan. Dalam pada itu, Singapura juga boleh menyumbang ke arah pembakuan ejaan dan tulisan Jawi serta pembongkaran khazanah dalam tulisan itu untuk keperluan generasi hari muka.

Seyogia selama 700 tahun khazanah Melayu tertinta dalam Jawi tetapi hanya 70 tahun sehingga kini, dalam Rumi.

Perbezaan ini menunjukkan betapa gentingnya khazanah lama digali, dipelajari dan dipaparkan mutiara atau permatanya.

Jika ramai lulusan madrasah yang celik Jawi dapat terus dipupuk, mereka boleh menjadi penerus Jawi di Singapura.

Dan lebih elok lagi, jika ada pertubuhan yang dibentuk untuk tujuan ini, maka Jawi akan dapat mekar di Singapura, walaupun dalam batas yang khusus.

MENGENAI PENULIS:

Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan