Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Dunia sibuk selamatkan nyawa tapi ada juga yang perjuangkan porak peranda

Di tengah-tengah orang ramai dalam kelesuan akibat pandemik berpanjangan, ada pihak yang melihatnya sebagai peluang keemasan untuk menyemai kerosakan?

Anggaran Waktu Membaca:

Dua perlumbaan seolah-olah berjalan seiring sedang dunia terus dicengkam pandemik virus korona yang bakal masuk tahun kedua penularannya tidak lama lagi.

Penghasilan vaksin yang menjanjikan kejayaan sehingga 90 peratus memberi harapan pandemik COVID akan akhirnya dapat dibendung – walaupun jutaan lagi manusia masih boleh tewas kepadanya.

Sedang kebanyakan pemerintah dan pakar-pakar kesihatan berlumba untuk menyelamatkan nyawa, satu lagi perlumbaan melibatkan mereka yang mahu menebarkan lagi ideologi ganas dan kebencian.

Kita mungkin menyangka bahawa sepanjang pandemik dengan pelbagai langkah sekatan pergerakan, menghambat teruk gerak langkah kumpulan-kumpulan radikal dan pelampau, terutama dalam usaha mereka merekrut anggota-anggota baharu.

Bagaimanapun, seperti di Britain contohnya, semasa pandemiklah, lebih-lebih lagi ketika perintah sekatan pergerakan dikuatkuasakan merupakan masa yang baik untuk kumpulan-kumpulan pelampau menyebarkan ideologi mereka.

Satu laporan BBC baru-baru ini menyatakan ‘masa berkurung’ itu merupakan peluang yang baik bagi kumpulan-kumpulan tersebut menyasarkan golongan muda bagi mesej-mesej kebencian dan berita palsu untuk mempengaruhi mereka.

Golongan muda ini dengan mudah boleh menjadi mangsa ideologi ganas dan kebencian tanpa perlu keluar rumah, semata-mata dengan menonton secara online bahan-bahan diayah dari bilik tidur masing-masing.

KEJADIAN GANAS

Britain seperti kebanyakan negara Eropah yang lain telah meningkatkan taraf berjaga-jaga ke tahap tertinggi  ekoran beberapa kejadian ganas berkaitan agama di Perancis baru-baru ini.

(Gambar: Isabel Infantes/AFP)

Selain kegiatan ganas berkaitan agama, Eropah dan juga di Amerika Syarikat berhadapan dengan kumpulan-kumpulan pelampau sayap kanan kulit putih.

Mereka ini turut aktif dalam menyebarkan fahaman kebencian terhadap masyarakat pendatang asing seperti pendatanng beragama Islam dan juga rakyat Eropah lain yang beragama Yahudi.

Menurut pihak berkuasa Britain, aduan terhadap kumpulan-kumpulan pelampau sayap kanan kulit putih  juga menunjukkan peningkatan besar dari 10 peratus kepada 24 peratus.

Oleh kerana peningkatan kegiatan melibatkan pelbagai kumpulan pelampau – baik yang berkaitan agama atau kebencian kaum – terdapat keperluan bertambah bagi semua negara meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam mengekang penyebaran ideologi ganas dan melampau menerusi wadah-wadah online dan media sosial.

MENJALANI PEMULIHAN

Satu lagi medan yang perlu dihadapi oleh Eropah dalam peperangannya menentang ideologi radikal dan ekstrem di tengah-tengah pandemik ini adalah kehadiran sejumlah besar rakyatnya yang sudahpun terpengaruh dengan kumpulan-kumpulan ganas seperti ISIS.

Sebahagian daripada mereka yang sudah pulang dari Iraq dan Syria untuk menyertai ISIS, kini menjalani pemulihan di penjara.

Mereka yang masih berada di kedua-dua negara pula ada yang telah membuat permohonan untuk pulang semula ke negara masing-masing.

Pusat Antarabangsa bagi Pengajian Pengganasan ICSR dalam satu kajiannya mendapati bahawa sekurang-kurangnya 10 negara Eropah mungkin menghadapi ancaman radikalisasi yang besar daripada bekas pejuang-pejuang ISIS yang menjalani tahanan sepulangnya mereka dari Iraq atau Syria.

Terdapat kebimbangan bahawa tanpa pemulihan yang teliti mereka ini boleh  menjadi pengaruh kepada tahanan yang lain dalam penyebaran ideologi ganas ISIS.

TAHANAN PENJARA

Mengambil contoh Belgium, laporan itu menyatakan separuh daripada tahanan di pusat-pusat tahanan bekas kumpulan pelampau terdiri daripada mereka yang pernah menjadi pejuang ISIS.

Hampir seperempat daripada mereka pula sebelum itu telah menjadi radikal semasa menjalani hukuman penjara kerana jenayah bukan pengganasan.

Ia menunjukkan bahawa radikalisasi boleh berlaku semasa dalam tahanan penjara dan ini menjadi masalah yang bertambah besar selepas meletusnya peperangan di Syria (ekoran gerakan ISIS merekrut pejuang-pejuang asing dari  Eropah).

Gambar fail bendera ISIS dari bandar Karkamis, Turki, dekat wilayah Gaziantep. (Gambar: Murad Sezer/REUTERS)

Oleh itu ICSR menyarankan pentingnya negara-negara Eropah yang mempunyai rakyat mereka di Iraq atau Syria supaya  mempunyai pelan bertindak yang selaras untuk membawa pulang ribuan rakyat masing-masing dari kedua-dua negara itu.

Sekiranya ramai daripada mereka mahu pulang serentak ia bukan sahaja bakal memburukkan keadaan penjara dan proses pemulihan di negara-negara terlibat.

Malah, terdapat kemungkinan besar bahawa mereka boleh menjadi dalang bagi penyebaran ideologi ganas dan melampau yang dibawa dari ISIS.

Bukan sahaja mereka boleh menyebarkannya kepada tahanan penjara yang lain tetapi juga kepada masyarakat awam yang lebih luas apabila mereka dibebaskan kelak.

TIDAK TERBANTUT

Di rantau sebelah Asia Tenggara pula, pandemik juga tidak menunjukkan tanda penyebaran ideologi radikal dan ekstrem telah terbantut kerana penularan COVID.

Bangunan MHA

Ia termasuklah pendedahan di Singapura bahawa 37 orang telah disiasat berikutan kegiatan dan komen-komen mereka yang berkaitan dengan pengganasan baru-baru ini.

Mereka mungkin tidak terlibat dalam sebarang serangan ganas tetapi pelibatan dan tindak tanduk mereka yang mencurigakan menunjukkan bahawa radikalisasi masih menjadi ancaman kepada negara.

Kalau keadaan di mana penularan wabak gagal menyekat penyebaran pengaruh radikal dan ekstrem, bayangkan pula jika keadaan adalah sebaliknya.

Inilah yang perlu kita terus perhatikan dan berwaspada, lebih-lebih lagi memandangkan musim perayaan akhir tahun semakin dekat.

MESEJ GANAS

Sudah kita maklum bahawa ia sememangnya musim yang amat digemari oleh kumpulan-kumpulan ganas untuk menyampaikan sesuatu mesej mereka dengan aksi-aksi ganas.

Seperti yang kita dilihat di Eropah, dan juga di Amerika Syarikat, di tengah-tengah orang ramai dalam kelesuan dan kealpaan akibat pandemik yang berpanjangan, ia juga adalah peluang keemasan bagi kumpulan-kumpulan pelampau mengeksplotasinya bagi kepentingan ideologi dan perjuangan mereka.

Begitu juga kita di rantau sebelah sini, perlulah kita meningkatkan kewaspadaan dan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga untuk memastikan tiadanya pihak menggunakan keadaan sekarang bagi menyemai fahaman radikal dan ekstrem demi perjuangan mereka yang tidak kena pada tempatnya.  


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan