Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Dua pemimpin Arab, Algeria dan Sudan, tumbang dalam masa sebulan – apa terjadi?

Seorang dipaksa meletak jawatan dan seorang lagi dikenakan tahanan tentera; bagaimana dua pemimpin lama dunia Arab akhirnya terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Dua pemimpin Arab, Algeria dan Sudan, tumbang dalam masa sebulan – apa terjadi?

Mantan Presiden Bouteflika bagi Algeria dan Omar al Bashir bagi Sudan

Dalam bulan April yang baru berlalu, sedang kita di Asia sibuk dengan perkembangan di rantau ini (Pilihan raya Indonesia, pilihan raya Thailand, perbicaraan mantan PM Malaysia), dua pemimpin negara Arab terpaksa ‘gulung tikar’ dan meninggalkan istana presiden dalam keadaan tergesa-gesa.

Di Sudan, Presiden Omar al-Bashir, 75 tahun, dipecat dan ditahan pihak tentera setelah 30 tahun memerintah negara Arab-Afrika itu menyusuli rampasan kuasa tentera pimpinannya sendiri.

Di Algeria, Presiden Abdelaziz Bouteflika meletakkan jawatan selepas 20 tahun memerintah juga atas desakan pihak tentera.  

Kedua-dua mereka terpaksa mengundurkan diri  atau dipaksa meletakkan jawatan menyusuli bantahan dan tunjuk perasaan awam selama beberapa minggu lamanya.

Al-Bashir kini diletakkan tahanan dalam rumah selepas pihak tentera yang mengambil alih kuasa di Sudan merampas jutaan wang dolar Amerika dari kediaman beliau di ibu kota Khartoum.

Bouteflika, 82 tahun, juga dipaksa meletak jawatan atas desakan pihak tentera dan para elit politik selepas keputusan beliau untuk bertanding bagi penggal kelima sebagai presiden, menerima bantahan besar-besaran daripada rakyat Algeria.

BAHAYA KERUNTUHAN

Seperti di Sudan dan Algeria, pucuk pimpinan kedua-dua negara dikuasai oleh para elit politik, tentera dan perniagaan yang menjaga kepentingan satu sama lain di bawah pemerintahan seorang pemimpin autokrat.

Pucuk pimpinan di kedua-dua negara bimbang bahawa sekiranya Bashir dan Bouteflika dibenarkan untuk terus memerintah, terdapat kemungkinan kedua-dua negara Arab itu akan mengalami keruntuhan.

Dunia Arab seperti yang berlaku semasa Kebangkitan Arab atau ‘Arab Spring’  tahun 2011, memang tidak asing daripada pergolakan politik dan konflik besar-besaran ini.

Oleh itu pucuk pimpinan tentera kedua-dua negara tidak mahu sejarah berulang semula apabila kegelisahan awam yang meluas semasa ‘Arab Spring’ akhirnya menumbangkan pemimpin-pemimpin besar di Mesir, Libya, Tunisia dan Yaman. 

Ia juga menggugat kestabilan negara-negara seperti Bahrain, serta mencetuskan pula peperangan di Syria dan Yaman – yang berterusan sehinggalah hari ini.

Inilah yang membezakan apa yang berlaku di Sudan dan Algeria dengan pergolakan ‘Arab Spring’ lapan tahun lalu.

Pengunduran, pengusiran atau pun pemecatan kedua-dua al-Bashir dan Bouteflika berlaku tanpa pertumpahan darah atau konflik bersenjata besar-besaran seperti yang pernah berlaku sebelum ini yang mengakibatkan ratusan, malah ribuan orang terkorban.  

TUNTUTAN RAKYAT

Di Sudan, pertumpahan darah dapat dielakkan kerana pihak tentera dikatakan enggan memihak kepada ketua negara mereka dan membelakangkan tuntutan rakyat.

Selepas bantahan-bantahan berterusan yang enggan menerima kepimpinan al-Bashir, pihak tentera akhirnya bertindak dengan mengusir beliau dan meletakkannya dalam tahanan.

Sikap tentera yang kini membentuk pemerintah sementara di bawah majlis tentera pimpinan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, dipuji kerana meletakkan ‘patriotisme’ dan ‘nasionalisme’ jauh lebih utama daripada kepentingan pihak elit tentera sendiri.

Tunjuk perasaan awam di Khartoum, Sudan, 14 April (Reuters)

BANTAHAN AWAM

Keputusan golongan cendekiawan Sudan seperti para hakim dan pucuk pimpinan kesatuan sekerja untuk menyertai bantahan-bantahan awam juga membantu dalam memastikan ‘peralihan aman’ ini.

Di Algeria, peralihan  juga berlaku kerana negara sebelah maghrib itu memang mempunyai tradisi bantahan pro-demokrasi yang agak lama, sejak lewat tahun-tahun 80an dan juga sejarahnya menentang penjajahan.

Buat masa ini peralihan kuasa dipegang oleh ketua dewan senat Algeria, Abdelkadir Bensalah, sebagai pemangku presiden, seorang yang dipercayai sekutu kepada Bouteflika.

Ia bukanlah langkah ideal yang memenuhi tuntutan ribuan penunjuk perasaan negara itu kerana mereka bimbang ini akan menjejas peralihan demokratik dan pilihan raya bebas yang dijanjikan.

Namun, buat masa ini bagi kebanyakan rakyat Algeria, langkah mengusir Bouteflika sudah pun cukup memuaskan dalam usaha negara itu mula merombak sistem pentadbiran dan ekonominya yang tercemar dengan pelbagai penyalahgunaan kuasa.

ISYARAT RAKYAT

Dalam kedua-dua kes, faktor utama yang mencetuskan pergolakan politik terbaru adalah rasa rakyat Algeria dan Sudan yang tidak puas hati dengan keadaan ekonomi mereka.

Sepanjang pemerintahan kedua-dua al-Bashir dan Bouteflika, Sudan dan Algeria menghadapi banyak cabaran ekonomi yang menjadi bertambah berat dengan meluasnya penyalahgunaan kuasa dan rasuah di kalangan pucuk pimpinan.

Bagi Sudan, masalah ekonominya diburukkan dengan kehilangan dua pertiga sumber pendapatan minyaknya sejak perpisahan wilayah Selatan Sudan lapan tahun lalu serta kegagalannya menambah hasil pertanian negara.

Akibatnya kenaikan harga barang makanan yang terlalu tinggi ditambah pula dengan masalah pengangguran mencetuskan kemarahan meluas baik di peringkat rakyat biasa hinggalah kepada golongan karyawan dan cendekiawan.

HILANG SABAR

Rakyat Algeria dan Sudan yang telah hilang sabar tentang keadaan mereka menyuarakan rasa tidak puas hati dengan bantahan-bantahan meluas mendesak penyingkiran kedua-dua orang pemimpin.

Langkah pihak tentera yang akhirnya terpaksa tunduk kepada tuntutan supaya para pemimpin sedemikian disingkir menunjukkan bahawa ada kalanya bantahan-bantahan awam boleh membawa perubahan.

Ada juga pemerhati yang melihat perkembangan di Algeria dan Sudan sebagai memberi harapan bahawa suara rakyat tidak boleh diketepikan sama sekali walaupun di bawah sistem autokrat di mana pemimpin teratasnya mempunyai banyak kuasa mutlak.

Betapa berkuasa sekali pun seseorang itu jika ia gagal mentadbir negara dengan betul, malah memburukkan lagi dengan menyalahgunakan kuasa, ia pasti mencetuskan kemarahaan rakyat yang akhirnya membawa kepada penyingkiran mereka.  

BERTOLAK ANSUR  

Buat ketika ini keadaan nampaknya terkawal di Algeria dan Sudan kerana adanya kesediaan kedua-dua pihak rejim tentera dan masyarakat sivil untuk bertolak ansur demi mengelakkan suasana huru hara berterusan.

Di pihak penentang pemerintah termasuk ribuan penunjuk perasaan mereka menunjukkan kematangan politik dan kesediaan untuk menerima jalan keluar yang diambil oleh pemerintah sementara kedua-dua negara, bagi menggantikan ketua negara masing-masing.

Tetapi apa yang sebenarnya diinginkan oleh rakyat Sudan dan Algeria adalah rombakan besar-besaran sistem pemerintahan politik dan pengurusan ekonomi mereka.

Mereka mahu melihat berakhirnya sistem pemerintahan kronisme yang bertanggungjawab bagi pelbagai penyalahgunaan kuasa dan rasuah meluas yang telah membebani rakyat untuk sekian lama.

BELUM BERAKHIR

Tidak dapat dinafikan bahawa kemelut di Algeria dan Sudan belum lagi terhurai sepenuhnya; banyak hal boleh berlaku yang akan menggagalkan pembaharuan politik yang ingin diinginkan rakyatnya.

Apakah yang berlaku pada April lalu itu menjanjikan perubahan besar yang diharap-harapkan rakyat sebagai satu lagi gelombang  kebangkitan ‘Arab Spring’ seperti lapan tahun lalu?

Atau adakah ia hanya sekadar ombak kecil yang akan berakhir dengan satu lagi ‘Arab Winter’ – kedinginan mengecewakan untuk satu lagi tempoh yang panjang.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan