Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Dilema dan cabaran dalam fasa seterusnya usaha menundukkan COVID-19

Keadaan mungkin mula reda tetapi jangan tersilap langkah bahawa semuanya akan berakhir dengan mudah.  

Anggaran Waktu Membaca:

Hampir sebulan selepas Singapura melaksanakan langkah pemutus rantaian jangkitan atau Circuit Breaker, kita dimaklumkan  dengan beberapa kelonggaran dalam seminggu mendatang.

Mungkin anehnya antara beberapa sekatan baru itu – seperti larangan perniagaan dari  rumah dan larangan khidmat gunting rambut - diumumkan hanya seminggu yang lalu sahaja.

Satu kesilapan dasar, mungkin ada yang berpendapat?  Tapi lebih mungkin lagi kerana perubahan keadaan yang semakin bertambah baik, yang tidak dijangkakan sebelum ini?

TAHAP KEDUA SAINGAN

Kini dunia seolah-olah memasuki tahap kedua persaingannya dalam menundukkan virus korona baru ini.

Bagi sebahagian besar negara termasuk negara-negara besar di hemisfera utara, mereka semua agak hati-hati untuk menyatakan virus merbahaya itu telah berjaya ‘dijinakkan’ buat masa ini.

Berdasarkan data-data jangkitan dan jumlah kematian di negara masing-masing, kebanyakan mereka agak yakin bahawa ‘garis lenkung’ yang sebelum ini meningkat melambung tinggi, sudah berjaya dilandaikan.

(Gambar: Eduardo Munoz/REUTERS)

LANGKAH BERHATI-HATI

Namun seperti juga di Singapura dan Malaysia walaupun sekatan mungkin dikurangkan, Eorpah dan Amerika Syarikat masih tetap melaksanakan langkah-langkah pencegahan penting seperti penguatkuasaan ‘jarak selamat’, pembukaan tempat kerja yang terbatas, tanggungjawab sosial dan langkah kebersihan diri yang ketat.

Ini semua perlu dilakukan selagi vaksin COVID-19 belum berjaya dihasilkan dengan cukup berkesan untuk penggunaan meluas, mungkin seawal-awalnya pada tahun hadapan.

Bagi negara-negara yang mahu ‘membuka semula’ ekonomi mereka dan kembali kepada keadaan sediakala secepat mungkin, nasihat pakar-pakar seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO, adalah jelas sekali.

Laksanakannya dengan berhati-hati dan sentiasa bersedia untuk menghadapi penularan semula virus tersebut.

NASIHAT WHO

Berdasarkan perangkaan yang sudah dikaji dengan teliti di peringkat antarabangsa, WHO menasihatkan supaya perhatian istimewa diberikan kepada kelompok tertentu yang dikhuatiri amat mudah terdedah kepada jangkitan virus ini.

Ia termasuklah kelompok pesakit tua dan warga senja di rumah-rumah jagaan, golongan penduduk atau pekerja yang tinggal dalam kawasan penginapan yang cukup padat (seperti dormitori pekerja asing), penjara atau pusat-pusat tahanan.

Seperti yang telah diluahkan oleh banyak negara dan pakar-pakar ekonomi, pandemik virus korona ini bukan sahaja krisis kesihatan kemanusiaan, tetapi juga krisis ekonomi genting sejak Kelemesetan Besar-besaran pada tahun-tahun 1930-an.

Setakat ini seluruh dunia sudahpun membelanjakan lebih 10 trilion dolar untuk menangani kesan-kesan ekonomi dan sosial akibat kelemesetan dan kehilangan jutaan pekerjaan di merata dunia.

Itupun setelah semua langkah ini diambil ekonomi dunia diramalkan akan tetap menguncup di bawah paras sifat 3 peratus – kehilangan penghasilan trilion dolar lagi disamping jutaan orang hilang pekerjaan dan mata pencarian.  

KRISIS LEBIH BERAT

Untuk mengelakkan kesan yang lebih buruk lagi ke atas ekonomi dan kesejahteraan dunia umumnya, memanglah boleh difahami mengapa ramai pihak mahukan semua kegiatan ekonomi digiatkan semula secepat mungkin.

Pada masa yang sama segala bantuan pemerintah untuk menyokong ekonomi dan pekerjaan agak terbatas, bermakna setiap kali krisis ini berpanjangan keperitan ramai pekerja dan syarikat akan juga semakin dirasai.

Tetapi boleh juga difahami seperti yang dijelaskan oleh pakar-pakar kesihatan bahawa sebarang langkah membuka ekonomi secara mendadak boleh mencetuskan krisis jangkitan yang lebih berat dalam masa terdekat.

Sekiranya dunia mula leka dan gagal berwaspada secukupnya penularan yang lebih hebat akan melumpuhkan sistem kesihatan banyak negara – seperti apa yang hampir  berlaku di Itali, Sepanyol dan mungkin juga apa yang akan berlaku di Jepun.

Kedai-kedai yang ditutup di pasar Tsukiji ekoran penularan COVID-19 di Tokyo, Jepun, pada 28 Apr 2020. (Gambar: Kim Kyung-Hoon?/REUTERS)

DILEMA BESAR

Inilah dilema besar yang perlu ditangani dengan baik oleh semua negara hari ini.

Di manakah keseimbangan sebaiknya yang boleh dicapai (antara kembali semula kepada keadaan biasa dan kawalan ketat untuk menyekat penularan) tentunya memerlukan kebijaksanaan seberapa ramai pemimpin dan pakar yang memahami di mana duduknya cabaran masing-masing.

Silap langkah hadapilah beban baru yang perlu ditanggung dalam masa-masa akan datang.   

Jika kesilapan itu mengakibatkan penularan besar-besaran berlaku lagi, kita umpama kembali semula ke garisan permulaan dalam saingan untuk menundukkan virus kejam ini.

Tetapi kali ini saingannya mungkin lebih hebat lagi kerana dunia sudah lemah dan tidak terdaya lagi (setelah banyak sumber kewangan dihabiskan dalam pusingan pertama).

Lantaran itu dalam kita mengalu-alukan keadaan yang mungkin agak reda pada masa ini, gunakanlah masa ini sebagai peluang untuk menggembleng sumber dan tenaga bagi pusingan saingan seterusnya.

Seperti yang telah kerap kita dinasihatkan bahawa ini adalah satu perlumbaan yang masih jauh untuk menentukan siapa bakal sampai dahulu ke garis penamatnya.  


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan