Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Digugat tetapi utuh mengorak zaman; bagaimana Thaipusam menangani cabaran perubahan

Thaipusam kekal disambut besar-besaran di Singapura dan Malaysia walaupun ada ketikanya ia menghadapi cabaran; mencerminkan kecekalan sebuah masyarakat yang mahu meneruskan tradisi tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Digugat tetapi utuh mengorak zaman; bagaimana Thaipusam menangani cabaran perubahan

Sambutan Thaipusam di Batu Caves Malaysia pada 1997 (Gambar: Francis Silvan/AFP)

BERITAmediacorp: Thaipusam kekal disambut besar-besaran di Singapura dan Malaysia walaupun ada ketikanya ia menghadapi cabaran; mencerminkan kecekalan sebuah masyarakat yang mahu meneruskan tradisi tersebut.

Sambutan Thaipusam di Singapura pada 2010 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Sambutan Thaipusam di Singapura pada 2010 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

PADA 23 Januari 1932, akhbar The Straits Times di Singapura melaporkan sebuah berita kecil yang penting; ia memperihalkan Dr Bruening, Canselor Reich di Jerman mengutus sepucuk surat kepada Hitler. Beliau memberitahu Hitler bahawa kerajaan Jerman mahu kekal berkuasa dan enggan mengalah kepada pihak Nazi.

Berita inilah yang menggerhanai sambutan Thaipusam pada 24 Januari tahun tersebut. Komuniti Chettiar Nattukkottai yang meraikan Thaipusam di Kuil Chettiar, Jalan Tank mengamati perkembangan itu dengan penuh waspada. Komuniti Chettiar bergantung penuh kepada lingkungan yang aman agar bisnes peminjaman wang mereka berjalan lancar tanpa gangguan.

Bahawa Perang sedang mengancam seluruh dunia. Masyarakat Chettiar mulai resah.

Makanya tidaklah menghairankan, sedekad kemudian, dilaporkan pada 11 Februari 1941 dalam akhbar yang sama bagaimana satu doa khas dibacakan di Kuil Chettiar ketika perayaan Thaipusam.

DIRAI PENUH DEBAR

Di sebalik lidah yang dicucuk, tubuh yang ditujah besi tajam, dan pikulan kavadi berat dari kuil Perumal di Seranggon membawa ke kuil Chettiar di Jalan Tank, Thaipusam dirai penuh debar.

Doa khas itu adalah harapan agar Inggeris menang dalam peperangan yang sedang meletus: ‘Prayers for a British victory were said at the Chettiar Temple yesterday, when Thaipusam was celebrated in the traditional manner in Singapore.’

Doa itu tidak dimakbulkan. Singapura jatuh ke tangan Jepun. Malah komuniti Chettiar menerima bahana ekonomi yang dahsyat ekoran pendudukan Jepun tersebut kerana urus niaga peminjaman wang mereka sama sekali tidak lagi berguna.

Secara umumnya, jika kita menggali akhbar lama seputar perayaan Thaipusam di Singapura kita mendapati ia sudah dilihat penting sejak seawal tahun 1923 di mana pada 24 Januari tahun tersebut, dilaporkan komuniti Tamil menuntut konsesi perjalanan keretapi dari kerajaan Inggeris untuk bergerak menghadiri Thaipusam.

MENELITI SAMBUTAN

Pada 21 Februari 1925, tandu perak yang dihela di hadapan Bangunan Union menarik perhatian seluruh masyarakat kosmopolitan di Singapura ketika Thaipusam. Kemudian sepanjang dekad 1930-an, membawa kepada doa khas di Kuil Chettiar tersebut, orang Inggeris meneliti sambutan Thaipusam dengan penuh minat.

Sambutan Thaipusam di Kuala Lumpur pada Februari 1996 (Gambar: Francis Silvan/AFP)

Sambutan Thaipusam di KL pada Februari 1997 (Gambar: Francis Silvan/AFP)

Pun, ia dilakukan dari kaca mata mereka sendiri; gambaran mengenai Thaipusam selalunya ‘noisy’, ‘self-tortured ’ dan tentu pesona kepada perarakan kavadi dan ‘silver chariot’ yang mendatangkan kepelikan.

Biasanya penonton atau saksi keraian akan bertumpu di Kuil Sri Senpaga Vinayagar di Jalan Ceylon, Katong; atau di Sri Srinivasa Perumal Serangoon; dan yang paling meriah ialah di Kuil Thandayuthapan di Jalan Tank.

Tentu sambutan di Singapura tidak sebesar dan sehebat di Batu Caves, Malaysia namun demikian sejak Singapura dibawah pentadbiran Inggeris lagi, obsesi terhadap perarakan untuk persembahan Dewa Murugan di saat bulan penuh dengan membawa susu dan kavadi sejauh empat kilometer sudah mendorong geger yang amat.

Sebagai contoh, ketika akhbar masih nipis dan jumlah halaman kertas amat terhad, Morning Tribune 10 Februari 1936 memberikan halaman 8 untuk foto penganut Hindu memikul kavadi. Sebelumnya, pada 20 Januari 1935 di Sunday Tribune, foto kereta perak kala perarakan Thaipusam menghias besar di halaman 20.

Tandu perak itu berharga lebih $50,000. Tentu akhbar yang sedikit menghukum ayat-ayatnya adalah The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser. Sebagai contoh pada 22 Januari 1935 di halaman 6 membesarkan ayat atau ungkapan menyeksa diri sendiri dengan kavadi.

PALING GETIR

Manakala pada 17 Januari 1938, masih akhbar serupa memanggil Thaipusam sebagai satu perayaan yang ‘cukup menarik untuk digambarkan tetapi menyakitkan; ‘picturesque but painful’. Thaipusam adalah pengalaman melongokan untuk orientalis.

Sambutan Thaipusam di Singapura pada 2003 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Sambutan Thaipusam di Singapura pada 2003 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Cuma pada tahun itu juga, dalam keadaan getir perang yang sedang mencengkam, peguam-peguam Pertubuhan Chettiar melaporkan tiada pertunjukan bunga api ketika Thaipusam itu.

Meskipun tanpa bunga api, Thaipusam tidak sekali-sekali dibiar sepi, akhbar Malaya Tribune bertarilh 17 Januari 1938 menyatakan perarakan Thaipusam diadakan di New World siap dengan perarakan kereta memperagakan model India sebagai putera dan puteri seraya menjulang foto Nehru dan Gandhi.

Dekad-dekad 1950-an barangkali paling getir untuk Thaipusam. Pada tahun 1949, K.R Thangavelu mewakili sebuah pertubuhan bernama Dravidar Kazhakam (dikatakan mewakili komuniti Selatan India di Singapura) menulis kepada Setiausaha Kolonial agar Thaipusam jangan terlalu dibesarkan, lantaran ia ‘hanyalah perayaan masyarakat Chettiar’.

Ulangan nada yang sama dilontarkan, kali ini oleh Pertubuhan Reformasi Tamil pada 23 Februari 1951 menyebutkan betapa perayaan Ponggal harus diberi keutamaan kerana ia adalah Tahun Baharu. Ponggal menurut persatuan itu harus diberi status cuti umum, dan bukannya Thaipusam.

Apakah isu yang dipertengkarkan di atas? Terdapat dua kemungkinan.

Sambutan Thaipusam di Singapura pada 2001 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Sambutan Thaipusam di Singapura pada 2001 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Pertama, rasa iri terhadap masyarakat Chettiar yang berasal dari Chettinad di Tamil Nadu, India. Mereka adalah masyarakat yang berjaya secara kewangan menguasai sektor peminjaman wang. Mereka juga dirujuk sebagai Nattukottai Chettiar atau Nagarathar.

Ungkapan “chettiar” itu juga adalah satu label kasta. Mereka dikenali dengan busana yang berbeza dan merupakan kelas saudagar.

Gelombang pertama kehadiran imigran Chettiar ini di Singapura adalah sekitar tahun 1820-an. Tumpuan mereka adalah di sekitar lembangan Sungai Singapura sepanjang Jalan Chulia dan Jalan Pasar.

Jika kita membaca novel Mohamed Latiff Mohamed berjudul ‘Batas Langit’ akan terdapat adegan Adi menurut bapanya meminjam wang daripada ceti dengan bunga tinggi. Malah secara tidak adil, meskipun bapanya sudah meninggal dunia; beban hutang dengan bunga yang tidak munasabah itu terpaksa ditanggung anak tersebut yang masih remaja.

KUAT BERAGAMA

Pun, masyarakat Chettiar adalah komuniti yang dikatakan kuat beragama. Justeru tumpuan mereka diberikan kepada pelbagai keraian agama secara khusus, perayaan Thaipusam. Ketika berada di Singapura dalam tahun-tahun 1850-an mereka mulai membina rumah ibadat sendiri. Salah satu yang paling besar adalah Kuil Sri Thendayuthapani Temple di Jalan Tank dalam tahun 1859 dengan dedikasi kepada Dewa Muruga.

Amalan sambutan Thaipusam yang didominasi masyarakat Chettiar ini mungkin menimbulkan rasa kurang senang. Hal ini dilaporkan dalam The Singapore Free Press bertarikh 18 April 1950 apabila A.P Rajah dari sebuah Majlis Penasihat Hindu menegur beberapa perlaksanaan perjalanan Thaipusam.

Beliau menyentuh tentang kurangnya dititikberatkan adab seperti tidak membasuh kaki sebelum melangkah masuk ke dalam ruang kudus di dalam kuil. Bukan itu sahaja, upacara membawa kavadi turut disanggah keras. Ini membawa kepada kemungkinan seterusnya di bawah.

LAKUKAN REFORMASI

Gauri Parimoo Krishnan kurator kanan di Muzium Peradaban Asia, Singapura ada menulis sebuah makalah akademik yang penting bertajuk ‘Following Murukan: Tai Pucam in Singapore’. Beliau menjelaskan pada bulan Jun tahun 1932 sebuah persatuan yang penting ditubuhkan dengan nama ‘The Tamil Reform Association’ atau TRA.

Ia diasaskan dengan nekad untuk melakukan reformasi berdasarkan identiti Dravidi di Tamil Nadu, India. Ia mendapat sambutan daripada orang Tamil yang berpendidikan, dan dibuka kepada semua mengatasi kasta, jantina dan kepercayaan.

Namun ahli yang berpendidikan Inggeris dan berkasta Brahmin melihat Hinduisme di Malaya memerlukan reformasi dan pembersihan dari bid’ah.

KURANG SESUAI

Sambutan Thaipusam di KL pada 2001 (Gambar: Jimin Lai/AFP)

Sambutan Thaipusam di KL pada 2001 (Gambar: Jimin Lai/AFP)

Terdapat pengisian ibadah ketika Thaipusam itu dirasakan kurang sesuai. Mereka malah menulis kepada pemerintah British, seperti terzahir dalam laporan akhbar di atas.

Gauri menulis begini: ‘There was a perceived need to 'cleanse' Hinduism in Malaya of supposed superstitions and outmoded practices or beliefs such as self-immolation in Tai Pucam and Tīmiti, the sacrifice of animals, and the performance of elaborate rituals and ceremonies.

‘The TRA appealed to the colonial government to bring about some changes and tried to legislate a ban on the celebration of the aforementioned festivals and sacrifice of animals in temple rituals. The TRA was unsuccessful in their efforts to ban both Tai Pucam and Tīmiti’.

Kedua-dua, TRA dan A.P Rajah dari Majlis Penasihat Hindu di atas menyatakan suatu reformasi harus dilakukan terhadap perjalanan upacara Thaipusam yang menurut mereka semacam telah berlebih-lebihan.

Reformasi yang ingin dilakukan mereka ternyata tidak kesampaian.

KEKAL DISAMBUT

Justeru, Thaipusam utuh. Kekal disambut besar-besaran di Singapura, dan Malaysia; meski sedikit asing di India sendiri. Ia disambut dalam bulan Tamil bernama Thai sekitar Januari atau Februari.

Berhala Murugan akan diarak dalam tandu perak ke Kuil Sri Layan Sithi Vinayagar di 73 Jalan Keong Saik dan berpatah semula pada senjanya diikuti dengan kavadi Chettiar. Perarakan inilah yang disaksikan sejarah seperti dinyatakan dalam artikel ini sebagai Punar Pusam atau Chetty Pusam di Singapura.

Tentu, bahagian yang paling dinanti-nanti bukan sangat pembayaran nazar dengan kavadi itu tetapi makanan lazat yang percuma dinamakan ‘annathanam’. Ia diagih pada waktu puncak tengahari hari Thaipusam itu dalam perkarangan kuil.

Itumban kadaman vara
Itukodi velan vara

Itulah sedikit dari lagu perarakan kavadi yang biasanya kedengaran terngiang-ngiang ketika perjalanan tandu perak. Ia sudah didendang sejak kurun lalu, dan melampaui kurun ini. Ia kembali kedengaran dalam sambutan tahun ini.

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan