Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Demi air laut yang terus naik

Pemanasan bumi yang menimbulkan pelbagai kesan buruk di serata dunia memerlukan langkah sepadu dari semua pihak. Bagaimana negara kecil seperti Singapura boleh menyumbang dalam usaha ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Demi air laut yang terus naik

Gambar fail Taman East Coast (Gambar: TODAY)

BERITAmediacorp: Pemanasan bumi yang menimbulkan pelbagai kesan buruk di serata dunia memerlukan langkah sepadu dari semua pihak. Bagaimana negara kecil seperti Singapura boleh menyumbang dalam usaha ini.

Aras air laut sejagat terus naik berdasarkan data mengenainya yang diperolehi sejak dekad 1880-an. Ancaman sedemikian mencengkam seluruh jagat, apatah lagi bagi negara pulau kecil seperti Singapura.

Walaupun fenomena ini bukanlah baru, sejak dua dekad terakhir, ia semakin membimbangkan. Misalnya, rekod satelit menunjukkan antara tahun 1993 dengan 2014, aras air laut naik 6.67 cm atau purata 0.3 cm setahun.

Kalangan pemimpin dunia, termasuk PM Lee Hsien Long pada Rapat Hari Kebangsaan Singapura baru-baru ini, telah menyatakan keprihatinan besar mereka.

Sayangnya, segelintir negara dunia yang gigih mengambil langkah-langkah konkrit untuk menghadapi kenaikan air laut.

Banyak negara terutama yang miskin atau sedang membangun, didapati tidak mampu atau tidak tahu caranya, atau kededuanya sekali.

Misalnya, Kepulauan Maldives (dipanggil ‘Maldewa’ dalam Sejarah Melayu) yang terkenal sebagai tarikan pelancongan di Lautan Pasifik, dilaporkan media sebagai ‘pasrah’ terhadap kemungkinan tiga suku pulau-pulaunya tenggelam!

PEMANASAN JAGAT

Angkara kenaikan air laut ialah pemanasan sejagat. Apabila suhu dunia naik, bermakna kawasan yang bersalju atau menjadi ais, akan mengalami pencairan. Ertinya, cairan tadi akan memasuki laut dan menaikkan arasnya.

(Gambar: Frederic J. Brown/ AFP)

Ini logika yang sudah lama dibahas dan disepakati, termasuk dalam sejumlah perjanjian seperti Protokol Paris yang dimeterai pada 2016, dengan 183 negara mengesahkannya.

Menurut Protokol Paris, negara-negara dunia mesti mengurangi pencemaran udara atau alam. Ia berlaku apabila gas yang bertukar menjadi butiran karbon yang terapung di udara.

Akibatnya, ruang udara yang meliputi bumi (dipanggil atmosfera) menjadi semacam lapisan yang sarat. Ini mengakibatkan suhu meningkat. Antara lain, didapati kian tipis lapisan ozon yang amat penting dalam melindungi bumi daripada pancaran bahaya matahari.

Iklim dunia telah banyak berubah dengan hujan lebat dan taufan yang berlaku secara tidak menentu. Bahkan kawasan yang kian kering terus meluas atau disebut fenomena penggurunan (desertification).

APA DAPAT DILAKUKAN?

Pertama, tentulah menghentikan sama sekali amalan merosak umat manusia ke atas darat, laut dan udara. Hal ini sudah dinyatakan dalam al-Quran (Surah ar-Rum, ayat 41) , iaitu lebih 1,400 tahun lalu:

“Telah ketara kerosakan di darat dan di laut dek perbuatan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat keterlanjuran mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

Perubahan iklim membawa kepada beberapa bencana alam semula jadi. (Gambar: AFP/Jewel Samad)

Oleh itu, ‘perbuatan manusia’ tidak sekadar pada pembebasan gas-gas karbon atau dipanggil juga gas rumah kaca. Pelbagai lagi pencemaran terjadi seperti pembuangan sisa beracun, contohnya terjadi di Pasir Gudang, Johor.

Malangnya, isu memelihara alam sekitar sejagat masih lagi dipolitikkan dengan sikap salah-menyalahkan antara negara iaitu negara maju yang lebih dahulu mengalami perindustrian disalahkan kerana mencemarkan udara.

Negara-negara sedang membangun menuntut ganti rugi atau setidak-tidaknya bantuan daripada negara maju, untuk dapat mengurangi pembebasan gas rumah kaca.

AUDIT SEKITARAN

Protokol Paris menuntut seluruh negara di dunia, perlu menyemak apakah perbuatan yang dianggap ‘merosak’ dalam proses pembangunan mereka. Ini perlu dilakukan sebagai keutamaan teratas dan tertinggi oleh setiap negara.

Asap kelihatan dari kebakaran di satu kawasan hutan Amazon dekat Amazonas, Brazil pada 17 Ogos (Gambar: reuters/Ueslei Marcelino)

Mereka perlu menilai jumlah karbon yang dikeluarkan. Sayangnya, negara ekonomi terbesar dunia, khususnya Pentadbiran Trump, enggan berbuat demikian.

Contoh mudah, Brazil dianugerahi rimba tropika terbesar dunia iaitu rimba Amazon dan dipercayai sumber sepertiga gas oksigen. Malangnya, ketika makalah ditulis, ribuan hektar rimbanya terbakar.

Ia dikatakan yang terbesar dalam sejarah kemanusiaan. Media dunia melaporkan bahawa banyak kota besar Brazil seperti ibu kota Brasilia dan Sao Paolo yang ‘tercekik’ oleh asap tebal (jerebu).

Tidak syak dan sudah nyata bahawa pada saban tahun tindakan syarikat dan pemilik ladang kecil untuk memugar atau membersihkan hutan secara terlarang telah menyebabkan kebakaran hutan. Masalah tadi dirumitkan oleh silap tadbir dan rasuah.

Kedua, mengukuhkan perjanjian rentas sempadan. Asean merupakan contoh baik bagaimana perjanjian pencemaran rentas sempadan cuba dijayakan walaupun berdepan dengan pelbagai halangan.

Antara 1997 ketika berlaku kegawatan ekonomi Asia, Asean mula ditimpa masalah jerebu akibat pembakaran terutama hutan di Sumatera dan Kalimantan sehingga sedikit sebanyak di Thailand.

Singapura telah bertindak tegas untuk mengheret syarikat yang terlibat dalam bencana ini ke mahkamah, mentelah sebahagian mereka memang diasaskan atau beroperasi dari sini.

Langkah itu berjaya menampakkan hasilnya, apatah lagi setelah Presiden Joko Widodo menunjukkan tekad besar untuk menangani pembakaran hutan dan lahan negaranya sejak 2015 .

PEMBANGUNAN MAMPAN

Banyak negara kini mendabik dada dengan menyatakan pembangunannya bersifat mampan (sustainable) iaitu membawa hasil yang baik untuk rakyatnya tanpa menjejas sekitaran.

Namun, mampan yang bagaimana dan apakah ukurtaranya?

Seorang anggota pasukan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memeriksa Stesen Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi pada Februari 2015. (Gambar: IAEA)

Contoh termudah ialah loji nuklear Fukushima di Jepun yang dilanda gempa dan tsunami. Pada awalnya, ia dianggap contoh baik bagaimana loji nuklear dapat dibangunkan untuk kesejahteraan jangka panjang.

Tetapi akibat dwibencana tadi – gempa 8.1 di skala Richter dan tsunami yang melululantak – model Fukushima tidak dapat digunakan lagi.

Yang jelas sejak krisis Fukushima, negara industri seperti Jerman (keempat terpenting di dunia) sudah mula ‘menghapuskan’ loji nuklear dan bergantung pada import gas asli dan minyak. Pada hal, dua bahan api ini juga menimbulkan kesan negatif ke atas alam sekitar.

WIRA SEKITARAN

Sedang isu sekitaran menjadi agenda dunia, muncul selebriti sama ada ahli politik seperti Al Gore, mantan naib presiden Amerika dengan dokumentarinya, Inconvenient Truth sehingga pelakon Hollywood, Leonardo de Caprio, yang cuba menjadi pemuka sekitaran, namun adakah usaha ini berjaya atau sekadar sensasi saja?

Yang jelas terdapat para pejuang kerdil alam sekitar seperti Jadav Payeng dan Mbah Sadiman yang perlu dicontohi.

Mereka terlibat dalam usaha-usaha menanam pokok di negara masing-masing melibatkan kawasan ratusan hektar.

SINGAPURA SEBAGAI CONTOH

Singapura dapat bersyukur kerana sejak merdeka telah ada kesedaran mengenai alam sekitar dari pucuk pimpinan. Ia dipacu oleh Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew yang insaf setelah melihat keadaan ‘gondol’ Singapura dari pesawat yang dinaikinya.

Gambar fail Taman East Coast. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

Pokok pertama yang ditanamnya pada 16 Jun 1963 kini menjadi saksi penting penghijauan Singapura. Sejak itu, Sungai Singapura telah dapat dibersihkan sehingga republik ini menjadi contoh pembangunan mampan di dunia.

Hakikatnya, Singapura pernah belajar tentang penambakan laut daripada Negara Belanda (Netherland).

Kini dengan ancaman kenaikan air laut, Singapura perlu membangun disiplin yang lebih tinggi – bukan saja mempelajarinya daripada Netherland, malah banyak negara lain, serta membangun kepakarannya sendiri.

Mungkin buat jangka pendek Singapura yang kecil tidak dapat mempengaruhi dunia agar sedar bahawa ancaman sekitaran, khusus kenaikan air laut.

Namun jika ia dapat bangkit sebagai contoh cemerlang, lambat-laun kelak banyak negara yang akan sedar dan mencontohinya.

HUKUM ALAM

Alam sekitar mempunyai pelbagai unsur yang saling kait-mengait menurut suatu hukum.

Namun musuh utamanya ialah manusia sendiri dan penyelamat utamanya juga manusia.

Inilah pengajaran daripada bencana alam sekitar, seperti kenaikan air laut.

Betapa pun begitu, jika manusia paling berpengaruh tidak insaf seperti terpapar pada sikap Presiden Trump, bencana berentetan akan menimpa.

Mengenai Penulis:

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

Mohd Raman Daud ialah pesara wartawan dan telah menghasilkan ratusan skrip drama tv dan beberapa drama pentas, esei, cerpen dan puisi serta menyunting sejumlah buku, serta masih lagi aktivis masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan