Images
  • haji (3)
    (Gambar: BERITAmediacorp)

KOMENTAR: Dari ibadah Haji ke Hijrah – pengertian yang boleh dipelajari

BERITAmediacorp: Dengan segala pembaharuan infrastruktur dan proses yang melancarkan perjalanan haji tahun ini, sejauh manakah ia melambangkan penghijrahan diri dari minda yang lama kepada yang baru?

Ibadah haji adalah salah satu tiang agama dan sudah menjadi impian masyarakat Islam kita agar berpeluang untuk menunaikannya.

Mengikut statistik terkini Kementerian Haji Arab Saudi, hampir 2.5 juta jemaah menunaikan haji tahun ini, dengan hampir 75% merupakan jemaah antarabangsa.

Walaupun jumlah jemaah antarabangsa pada 3 tahun yang lepas adalah hampir sama (kira-kira 1.8 juta), jemaah haji daripada Asia meningkat lebih 7% dan adalah golongan jemaah yang terbesar jumlahnya (1.12 juta) untuk 2019.

Kuota haji Singapura adalah 0.1% daripada penduduk masyarakat Islam Singapura mengikut Perjanjian 1987 Pertubuhan Muktamar Islam (OIC), iaitu anggaran 680 sahaja pada tahun 1987.

JEMAAH KALI PERTAMA

Lebih 90% jemaah haji Singapura tahun ini merupakan bakal jemaah haji kali pertama.


Perasaan syukur tak terhingga pastinya tersemat di dalam hati setiap jemaah yang mendapat undangan sebagai tetamu Allah pada tahun ini.

Walaupun Singapura mendapat kuota tambahan haji pada tahun ini, tidak pasti sama ada visa tambahan akan diperuntukkan pada tahun-tahun yang akan datang.

Justeru, oleh kerana masa menunggu yang panjang dan suasana global yang tidak menentu, anak-anak muda Muslim kita harus digalakkan untuk mendaftarkan diri lebih awal lagi untuk menunaikan haji semasa mereka masih ada kesihatan, kemampuan dan kelapangan.

TEKNOLOGI CANGGIH

Haji tahun ini juga menonjolkan lebih banyak pembaharuan baik dari segi penggunaan teknologi dan juga peningkatan infrastruktur di Tanah Haram. Semua ini menaikkan mutu keselamatan, keselesaan dan manfaat bagi jemaah haji.


Tahun ini, visa haji diluluskan secara elektronik; lantas tidak lagi memerlukan jemaah haji untuk hadir sendiri ke Kedutaan Arab Saudi dan pemeriksaan immigresen di Terminal Haji juga dapat diproses dengan lancar.

Pihak Arab Saudi juga menjalankan projek perintis yang melibatkan 25,000 jemaah haji Arab Saudi. Mereka dilengkapi dengan gelang tangan elektronik yang mengandungi butiran peribadi dan berfungsi untuk menjejak lokasi mereka.

Data yang dikumpul boleh membantu ramalan pergerakan orang ramai; lantas mengelak kesesakan yang berbahaya.

Satu lagi teknologi yang diumumkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi semasa musim haji musim ini adalah robot yang boleh memudahkan konsultasi dan pemeriksaan perubatan dari tempat yang jauh.

Semua pembaharuan inovatif ini tidaklah datang sekelip mata, tetapi setelah penelitian beberapa tahun dan pelaburan jutaan dolar.

Dalam perancangan juga adalah aplikasi dalam pelbagai bidang, seperti kesihatan, keselamatan dan lalu lintas yang menggunakan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence).

Tahun lalu, Kerajaan Arab Saudi menganjurkan “Hajj Hackathon 2018” untuk membina aplikasi dan perkhidmatan yang dapat menyelaraskan lagi proses haji.

Pemenang Hackathon tersebut terdiri daripada kumpulan wanita Arab Saudi yang telah membuat aplikasi pintar untuk membantu jemaah haji menterjemah papan tanda bahasa Arab tanpa menggunakan Internet.

MELINDUNGI SEKITARAN

Di Arafah pula, jemaah Singapura ditempatkan di khemah yang lebih dekat dengan tapak jamrah jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Khemah-khemahnya dilengkapi dengan alat hawa dingin serta tilam dan perkhidmatan makan minum untuk para jemaah disiapkan secara bufet.


Dari segi persekitaran pula, perubahan iklim dan pemanasan bumi boleh menimbulkan bahaya jika suhu purata mencecah lebih daripada 52 darjah Selsius ketika musim haji serentak dengan musim panas pada tahun 2047.

Oleh itu, pihak Arab Saudi kini amat prihatin tentang isu persekitaran dan mengurangkan sisa dan pengeluaran karbon. Dalam tinjauan 2014 sebanyak 17 tan sampah telah dikumpul pihak jabatan kebersihan semasa tempoh 4-5 hari pada musim haji di Mina sahaja.

Pihak Arab Saudi sedang dalam perancangan untuk mengitar semula sisa jemaah haji, terutamanya plastik, untuk dijadikan bahan yang berguna. Ini selaras dengan tanggungjawab kita sebagai orang Islam terhadap alam sekitar.

REFLEKSI DIRI

Hampir tiga juta orang Islam menyahut lambaian ke Baitullah setiap tahun. Haji bukan sahaja menerapkan nilai rohani tetapi ia juga menyatukan umat Islam dan menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan antara kita berdasarkan kekayaan, bangsa, doktrin agama, bahasa atau negara.

Jemaah haji berkumpul di tempat yang sama dan menjalankan ibadah yang sama; lantas mencerminkan perpaduan dan disiplin. Semua jemaah haji juga memakai Ihram yang sama, membawa mesej kesamarataan dan persaudaraan dalam agama.

Mesej inilah yang telah disampaikan dalam khutbah terakhir Nabi Muhammad s.a.w pada Hari Arafah pada tahun 10 Hijrah, semasa satu-satunya ibadah Haji yang dilakukan Rasulullah s.a.w.

Dalam khutbah Haji Wada Rasulullah itu baginda menegaskan kesamarataan semua manusia, dengan seorang Arab tidak memiliki kelebihan ke atas seorang yang bukan Arab, dan seorang yang bukan Arab tidak memiliki kelebihan ke atas orang Arab.

Menghayati khutbah tersebut dan mendalami ibadah haji, saya tersentuh dengan perjalanan dan pengalaman haji yang bukan sahaja menemukan saya dengan jemaah dari semua pelusuk dunia tetapi menyedarkan saya tentang usaha dan penglibatan pelbagai pihak dalam dan luar negara pada setiap langkah.

PENGHIJRAHAN MINDA

Setiap tahun peningkatan baru yang berlaku adalah untuk manfaat jemaah haji. Selain daripada pembaharuan secara infrastruktur dan proses, haji melambangkan penghijrahan diri daripada minda yang lama.


Haji membentuk perspektif kita yang hidup bermasyarakat apabila pulang ke tanah air. Ia mengingatkan saya bahawa walaupun ibadah ini adalah rukun agama setiap individu Muslim, kita bukan keseorangan dalam perjalanan ini.

Jasa dan budi baik mereka yang telah membina dan mendukung kita sehingga berjaya menunaikan rukun Islam kelima ini, tidak dapat terbalas.

Mungkin dengan kita bersambung bakti dengan membantu orang lain yang memerlukan tanpa mengira bangsa, kaum atau agama, kita boleh menghormati sumbangan semua yang telah berjasa kepada kita.

Dengan tamatnya musim haji ini dan dengan bermulanya tahun baru hijrah, marilah kita sematkan azam ini.

Ihram terpakai di jasad di hati,
Doa dipanjat: mabrur haji.
Syukur di hati atas baik budi,
Balasan jasa: pulang berbakti.

Mengenai Penulis:


Zhulkarnain Abdul Rahim yang melakukan haji buat kali pertama tahun ini adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP.  

- BERITAmediacorp/na

Top