Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Dapatkah pemikiran kritis menjamin fahaman agama yang lebih segar

Perbezaan pandangan adalah suatu yang biasa tetapi cara kita menanganinya amat penting dalam memastikan cara pemikiran yang kritis tidak disalahgunakan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Dapatkah pemikiran kritis menjamin fahaman agama yang lebih segar

Umat Islam di sebuah Masjid di China. (Gambar: AFP/Chandran Khanna)

BERITAmediacorp: Setiap agama mempunyai teks yang mengandungi hukum-hakam cara seseorang mengaturi hidupnya di dunia ini.

Teks-teks ini jugalah yang dianggap oleh setiap penganut agama sebagai teks yang suci, bukan ciptaan manusia.

Bagi seseorang Muslim, al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad dijulang sebagai teks-teks yang mengatur setiap gerak-geri kehidupan.

Ia dianggap sebagai panduan yang sempurna dalam mengecapi kehidupan yang bermakna.

Walaupun teks al-Quran diturunkan sekitar 1400 tahun yang lalu, ia bukan satu kitab suci yang dianggap sebagai statik.

Al-Quran berusia 148 tahun di Perpustakaan Negara (NLB). (Gambar: Emillia Amin)

PANDUAN SEPANJANG ZAMAN
Malah, antara mukjizat al-Quran adalah ia dapat memberikan panduan dan hidayah sepanjang zaman.

Dengan itu, pembacaan terhadap agama tidak harus dianggap sebagai sesuatu yang tidak berubah mengikut zaman.

Ini kerana panduan agama bukan sahaja berteraskan teks tetapi berpandukan juga dengan kebijaksanaan serta pengetahuan manusia dari masa ke semasa.

Justeru, pemikiran manusia yang kritis, tajam disertakan hujah-hujah berdasarkan ilmu pengetahuan itu penting dalam memastikan pemahaman agama Islam kekal relevan dalam kehidupan manusia.

KEPELBAGAIAN TRADISI AGAMA
Para ulama tersohor berzaman-zaman menggunakan ilmu yang diperoleh mereka untuk mengeluarkan panduan agama mengikut konteks masing-masing.

Maka timbullah bermacam-macam mazhab, pandangan agama serta aliran Islam yang berbeza mengikut pentafsiran mereka.

Dari segi aqidah, terdapat pelbagai pendirian dan pandangan – dari Asy’ari, Maturidi sehingga ke Mutazilah.

Dari sudut fiqh pula, bermacam mazhab yang dipegang oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia – seperti Syafii, Hanbali, Maliki, Hanafi dan Jaafari.

Kepelbagaian ini terhasil daripada pemikiran manusia yang berinteraksi dengan teks. Dengan itu, pemikiran manusia yang kritis ‘menghidupkan’ teks yang konkrit.

Buku Fatwa-Fatwa Singapura: Jilid 1: Sains, Perubatan & Kesihatan. (Gambar: Nashita Kamir)

BUKTI PEMIKIRAN KRITIS
Penggunaan rasionalisme dan akal manusia memberikan pemahaman yang menyeluruh.

Dengan tiadanya penggunaan akal manusia, kitab suci dan ajaran yang dibawa hanya menjadi satu bahan sejarah yang mungkin sekali tidak dapat disesuaikan dalam keadaan kehidupan masa kini.

Antara satu contoh yang menunjukkan keutamaan pemikiran manusia dalam memahami teks-teks agama sebati dalam kehidupan masa kini adalah wewenang (authority) yang diberikan kepada para cendekiawan Islam dalam mengeluarkan fatwa.

Setiap masyarakat mempunyai seseorang mufti dan beliau, menerusi perbincangan bersama pelbagai pihak, dapat memberikan panduan agama kepada perkara-perkara yang baru, yang hukumnya tidak didapati dalam al-Quran dan Sunnah.

KEADAAN MASA KINI
Mereka bukan sahaja bergantung kepada kitab suci dalam menentukan sesuatu hukum, tetapi dengan ilmu-ilm duniawi dan realiti kehidupan bagi mengeluarkan sesuatu hukum.

Hal ini sejajar dengan kata-kata Ibn Qayyim Al-Jawzi dalam buku beliau I’laam Muwaqqi’in an Rabbil Alamin:

“Tiada seseorang ulama atau hakim boleh mengeluarkan fatwa melainkan mereka mempunyai dua jenis pemahaman.

Pertama, pemahaman konteks dan realiti mengenai sesuatu perkara dengan mengumpulkan fakta sehingga beliau dapat pemahaman yang menyeluruh.

Kedua, memahami kewajipan agama yang berkaitan dengan konteks dan pemahaman hukum Allah yang tertera dalam kitabNya ataupun Sunnah Rasulullah berkaitan situasi ini.”

Dengan perubahan pesat dalam bidang teknologi dan perubatan, serta sistem kewangan yang semakin sulit dan kompleks, para ulama mengeluarkan fatwa dan hukum berdasarkan pemahaman keadaan masa kini yang berlandaskan Maqasid Shariyyah (Matlamat Syariah).

Ini menunjukkan bahawa kitab suci dan panduan agama bukan sesuatu yang konkrit dan tidak berubah, tetapi pemahaman konteks serta pemikiran kritis para ulama menyuntik pembaharuan dalam pemahaman agama Islam.

PERTINGKAT DIRI DENGAN ILMU
Walaupun penggubalan hukum agama untuk menjadikan ia serasi terhadap kehidupan masa kini satu perkara yang hanya dapat dilakukan oleh para ulama, ia tidak bererti kita tidak mempunyai sebarang tanggungjawab.

Tanggungjawab masyarakat Islam adalah untuk mempertingkatkan diri dengan ilmu yang bermanfaat yang dapat memberikan pencernaan dalam pemahaman agama masa kini.

Dan salah satu daripada cara untuk mempertingkatkan diri adalah untuk mencari ilmu – bukan sahaja ilmu agama tetapi juga pelbagai bidang ilmu yang dapat memperkasakan diri kita.

Itulah yang dilakukan oleh para ulama masa lampau. Mereka bukan sahaja menimba ilmu agama tetapi juga mereka berjaya menguasai pelbagai bidang lain.

Ini dapat dilihat pada sekitar abad ke-9 hingga tahun 1258 di Baghdad. Di situlah terletaknya Baitul Hikmah, antara perpustakaan terbesar di dunia sehingga ia dimusnahkan oleh serangan tentera Mongol.

PERKASA PEMAHAMAN ISLAM
Baitul Hikmah adalah pusat intelektual masyarakat Islam pada masa lampau. Para cendekiawan membuat terjemahan teks-teks dari luar kerajaan Islam, seperti dari Rom dan Yunani, dan menggunakannya dalam memperkasakan pemahaman Islam.

Antara salah seorang cendekiawan yang menggunakan kedua-dua ilmu agama dan duniawi adalah Al-Farabi.

Kitab beliau al-Madina al-Fadila menggabungkan idea dari ahli falsafah Yunani, Plato, dengan falsafah Islam dalam memberikan garis pandu dalam mencapai satu bandar (atau negara) yang sempurna.

Masyarkat kita masa kini juga memerlukan penguasaan sedemikian dan salah satu caranya adalah untuk membuka hati dan minda kita dengan memperluaskan pembacaan, tidak kira sumber dan aliran ilmu itu.

Dengan ilmu yang diperoleh masyarkat Islam dapat menghayati dan memahami pendirian yang diambil oleh para ulama.

JANGAN SALAHKAN AKAL
Namun, mungkin segolongan yang tidak bersetuju ataupun tidak selesa dengan menggunakan akal manusia dalam pemahaman agama.

Ini kerana agama itu merupakan sesuatu yang sakral manakala akal manusia, atau rasionalisme, terdedah kepada salah dan silap.

Yang dimaksudkan ini adalah pemikiran yang kritis berdasarkan pembacaan serta ilmu yang diperoleh. Bukan hanya mengikut nafsu dalam pemahaman sesuatu perkara dalam agama.

Menurut cendekiawan Syed Hussein Alatas dalam buku beliau Kita Dengan Islam - Tumbuh Tiada Berbuah, beliau membandingkan rasionalisme itu sebagai satu cawan.

Cawan tersebut boleh kita isi dengan air – perkara yang bermanfaat kepada kesejahteraan manusia, ataupun ia boleh diisi dengan racun yang akan memudaratkan manusia.

Maka dengan itu, umat Islam perlu membezakan yang baik dengan yang buruk dalam menggunakan rasionalisme ataupun pemikiran dalam beragama, bukan menolak penggunaan akal.

TIDAK MEMBELAKANGKAN ULAMA
Penolakan daripada penggunaan akal dalam keagamaan juga tidak selari dengan perintah yang diturunkan oleh Allah kepada umatNya.

Terdapat beberapa ayat-ayat suci al-Quran yang menggesa masyarakat Islam supaya berfikir, bermuhasabah dan merenung kepada ciptaanNya.

Ini tidak dapat dilakukan tanpa menggunakan pemikiran yang kritis dalam beragama.

Terdapat kekhuatiran juga bahawa penggunaan rasionalisme ataupun pemikiran kritis dalam amalan agama boleh memecahbelahkan umat Islam kerana ia membuka ruang kepada aliran pemahaman Islam yang “baru” dan juga ia membelakangi usaha para ulama terdahulu.

Dalam masa yang sama, masyarakat Islam perlu sedar bahawa metodologi pengajian para ulama masa dahulu tidak jauh berbeza dan sejarah dan tradisi intelektual Islam kaya dengan penggunaan akal dan pemikiran.

Justeru ia bukan membelakangi para ulama Islam tetapi ia memberikan proses pemikiran dan juga satu kesinambungan kepada usaha mereka.

CARA MENANGANI PERBEZAAN
Tentu sekali akan terdapat beberapa perpisahan dan khilaf yang akan berlaku tetapi yang menjadikan masalah bukan perbezaan pendapat tetapi cara masyarakat Islam menangani perbezaan ini.

Sudah tentunya kitab-kitab serta perbezaan ada dalam pemikiran keagamaan. Dari bab aqidah, fiqh dan juga tafsir antara lainnya.

Tetapi cara kita menangani perbezaan ini amat penting dalam memastikan cara pemikiran yang kritis tidak disalahgunakan.

Ia tidak sepatutnya digunakan untuk menegakkan pendirian sendiri ataupun untuk menjatuhkan pandangan dan kepercayaan orang lain.

MEMAHAMI TANPA PAKSAAN
Sebaiknya, adalah untuk membawa perbincangan dan memperluaskan pandangan dengan memahami pendapat yang lain, tanpa paksaan.

Perkara ini suatu yang biasa dan bagi masyarkat Islam adalah untuk menggunakan kepelbagaian ini demi mengasah pemikiran yang lebih kritis dan tajam.

Ia sepertimana Imam al-Ghazali dan Ibn Rushd saling ‘berdialog’ antara satu dengan yang lain dengan menulis kitab Tahafut al-falasifah dan juga tahafut at-tahafut dalam membincangkan ketidaksefahaman mereka.

Jika ditinjau semula tradisi intelektual Islam dari zaman dahulu hingga kini, kita tidak boleh memisahkan teks dengan pemikiran manusia sendiri.

Penggunaan akal manusia menjaminkan teks agama hidup sepanjang zaman yang dapat memanfaatkan dan memberikan panduan kepada umat Islam dengan cara yang terbaik.


Pandangan yang dikongsi dalam artikel ini adalah pandangan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan Program Pengajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). 

Mengenai Penulis:

Muhammad Faris Alfiq ialah seorang penganalisis kajian Program Pengajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).  Beliau lulusan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan bidang kajian beliau adalah Islam dalam Politik, Wacana Islam di Indonesia dan Malaysia dan Sosiologi Perundangan Agama.

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan