Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Dapatkah Muhyiddin Yassin kekalkan agenda membasmi rasuah & perjuangkan hak Melayu

Walaupun pelantikannya sebagai perdana menteri berlaku di tengah-tengah kemelut politik, mungkinkah Tan Sri Muhyiddin seorang yang layak meneruskan agenda membasmi rasuah di samping memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan Islam?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Dapatkah Muhyiddin Yassin kekalkan agenda membasmi rasuah & perjuangkan hak Melayu

Encik Muhyididn Yassin menandatangani satu dokumen pada hari pertama beliau di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. (Gambar: Hazlina Tajuddin/AFP/Jabatan Maklumat Malaysia)

BERITAmediacorp: Walaupun pelantikannya sebagai perdana menteri berlaku di tengah-tengah kemelut politik, mungkinkah Tan Sri Muhyiddin seorang yang layak meneruskan agenda membasmi rasuah di samping memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan Islam?

Muhyiddin Yassin diluar kediaman beliau di Kuala Lumpur pada 1 Mac 2020 sebelum pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

Pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia yang kelapan minggu lalu (Ahad, 1 Mac) akan meredakan keadaan di negara itu buat sementara waktu.

Perikatan Nasional yang dianggotai beliau sebahagian besarnya dikuasai ahli politik Melayu – diterajui parti-parti pembangkang sebelum ini iaitu UMNO, Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan sebuah segmen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Ia akan menubuhkan kerajaan gabungan dengan Persatuan Cina Malaysia (MCA), Kongres India Se-Malaysia (MIC) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sementara itu, usaha saat-saat akhir oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menentang pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri menemui jalan buntu.

Akhirnya, persaingan untuk mengisi jawatan perdana menteri tertumpu kepada dua pemimpin tertinggi PPBM: pengerusinya Dr Mahathir Mohamad dengan presidennya Muhyiddin Yassin.

Ahli-Ahli Parlimen PPBM kini pula berpecah kepada dua kumpulan yang menyokong pemimpin pilihan masing-masing.

DOLAK-DALIK DAN PENGKHIANATAN

Pada pandangan para pengamat politik Malaysia, peristiwa baru-baru ini berselirat dengan dolak-dalik dan pengkhianatan.

Setibanya pilihan raya umum dalam jangka tiga tahun akan datang, para pengundi akan mengimbau kembali peristiwa Sheraton.

Semasa majlis makan malam di Hotel Sheraton di Petaling Jaya pada Ahad (23 Feb), satu perhimpunan ahli-ahli politik memutuskan supaya Perikatan Nasional menggantikan kerajaan PH.

Sehingga hari ini, masih belum jelas sama ada keputusan untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri ditentukan semasa perhimpunan di situ.

Ini memandangkan orang awam dimaklumkan bahawa keputusan itu diambil untuk mencegah rampasan kuasa dari Dr Mahathir oleh para penyokong Anwar Ibrahim.

PERBEZAAN PANDANGAN

Terdapat dua naratif yang muncul berikutan peristiwa itu. Naratif pertama berkenaan dengan perjuangan membasmi kleptokrasi.

Naratif kedua berkisar dengan perlindungan hak-hak kaum Melayu dan keagungan agama Islam.

Naratif pertama yang bertujuan membongkar kebenaran di sebalik skandal 1MDB merupakan pegangan pemimpin-pemimpin PH.

Naratif kedua pula berhasrat untuk mencabar PH yang dianggap kurang menitikberatkan Islam dan institusi-institusi Melayu. Inilah usaha yang sedang diperjuangkan Perikatan Nasional.

Dr Mahathir Mohamad (kanan) dan Muhyiddin Yassin di sidang media di Kuala Lumpur pada 4 Mac 2016. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)

Perpecahan antara Muhyiddin dengan Dr Mahathir kini menjadi lebih ketara. Sebelum upacara angkat sumpah jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri, Dr Mahathir mendedahkan perbezaan pandangannya dengan bekas rakan-rakan seperjuangannya.

Dr Mahathir berkata beliau enggan bekerjasama dengan UMNO sedang perbicaraan rasuah terhadap pemimpin-pemimpin UMNO masih dijalankan.

Beliau lebih cenderung bekerja dengan para Anggota Parlimen UMNO yang bersih daripada tuduhan rasuah.

Sebaliknya Muhyiddin lebih terbuka kepada jalinan kerjasama dengan UMNO kerana terdapat golongan pengundi yang tidak bersetuju dengan penyertaan PPBM dalam kerajaan gabungan yang turut melibatkan parti majoriti Cina, Parti Tindakan Demokratik (DAP).

SENTIMEN ANTI-DAP

Sejak Januari 2019, UMNO dan PAS berganding bahu untuk meraih kemenangan dalam lima pilihan raya kecil, iaitu di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis.

Kedua-dua parti menggalakkan sentimen-sentimen anti-DAP yang dipersetujui para pengundi Melayu yang tidak berpuas hati dengan dasar-dasar PH berhubung identiti Islam dan kemelayuan.

DAP dianggap mempunyai pengaruh besar dalam pentadbiran PH. Antara isu-isu tumpuan termasuk tanggapan bahawa sebilangan pemimpin DAP menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Sokongan parti itu terhadap Konvensyen Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) dan penolakan saranan PH untuk mewajibkan mata pelajaran Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Yang idealnya, kerajaan Malaysia perlu meneliti kepentingan semua kumpulan etnik dan mereka perlu diwakili di parlimen dan kabinet. Setakat ini, PH mengetengahkan imej gabungan parti berbilang kaum.

Gambar fail Anwar Ibrahim,  Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Wan Azizah Wan Ismail (Gambar: ROSLAN RAHMAN / AFP)

Namun, para pengundi bukan hanya mengundi berdasarkan kaum semata-mata. Bahkan mereka juga mengambil kira keupayaan untuk melaksanakan dasar-dasar dan janji-janji.

Pentadbiran Muhyiddin mesti berusaha untuk melaksanakan janji-janji secara berkesan kepada orang ramai.

Meskipun terdapat pelbagai kritikan terhadap Muhyiddin, masih terlalu awal untuk menilai keupayaan ahli politik veteran itu.

Beliau mungkin muncul sebagai orang yang layak menangani keprihatinan orang Melayu dan sekali gus membasmi rasuah.

RASUAH & HAK MELAYU

Pertama, Muhyiddin perlu berpendirian tegas mengenai perbicaraan 1MDB dan perbicaraan rasuah yang lain.

Empat tahun lalu, Muhyiddin dipecat daripada UMNO kerana mengkritik perdana menteri pada ketika itu, Najib Razak.

Perkara yang wajar dilakukan Muhyiddin adalah untuk memenuhi hasrat Dr Mahathir, iaitu untuk memastikan agar kedaulatan undang-undang kekal dijunjung.

Kedua, usaha mempertahankan hak-hak kaum Melayu dan agama Islam bukan semestinya sesuatu yang bercanggah dengan pembasmian rasuah. Malah, agama menegakkan nilai-nilai penting seperti integriti dan keadilan.

Tambahan lagi, kesamaan sosial perlu ditekankan dalam menggalak nilai-nilai Islam. Bantuan perlu dihulurkan kepada golongan rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan, kebanyakannya dari kaum Melayu.

Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 Sep 2019. (Gambar: BERNAMA)

Ketiga, kerajaan Muhyiddin tidak mungkin akan memperjuangkan hak-hak dan agenda Melayu dan Islam secara keterlaluan.

Jika mereka melakukan demikian, mereka mungkin akan kehilangan sokongan parti-parti Sarawak yang tidak mengongsi kepentingan sedemikian.

Muhyiddin benar-benar peka bahawa parti-parti Sarawak dan Sabah dalam kerajaan gabungannya merupakan dalang politik atau “kingmaker” dan sokongan mereka didambakan bagi membentuk kerajaan persekutuan.

KOMITMEN MEMADAI

Yang pastinya, pelantikan Muhyiddin merupakan hasil kemelut politik berikutan tindakan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Dan juga kerana kegagalan para Anggota Parlimen untuk mencapai kata sepakat mengenai calon pilihan mereka untuk menggalas jawatan perdana menteri.

Muhyiddin berupaya menjawab kritikan-kritikan terhadap pelantikannya jika beliau mengisytiharkan niatnya dari mula lagi.

Berhubung perjuangan hak-hak kaum Melayu, terdapat kaedah-kaedah untuk memastikan agar ia tidak diusahakan dengan keterlaluan.

Pemimpin baru itu hanya perlu menunjukkan komitmennya yang memadai untuk melakukan demikian.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat Zamil ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau juga penulis buku The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia (Amsterdam University Press).

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan