Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Dalam mengejar cita-cita, peningkatan sukatan pelajaran ITE memperdalam kemahiran pelajar

Dengan peningkatan pada struktur sukatan pelajaran dan program-program Institut Pendidikan Teknikal (ITE), para pelajar boleh meningkatkan kemahiran dan memenuhi cita-cita akademik serta kerjaya masing-masing dalam persekitaran yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Dalam mengejar cita-cita, peningkatan sukatan pelajaran ITE memperdalam kemahiran pelajar

Kolej Barat ITE. (Gambar: Google Street View)

BERITAmediacorp: Dengan peningkatan pada struktur sukatan pelajaran dan program-program Institut Pendidikan Teknikal (ITE), para pelajar boleh meningkatkan kemahiran dan memenuhi cita-cita akademik serta kerjaya masing-masing dalam persekitaran yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

Kebelakangan ini saya mengikuti prestasi Team Singapore di Sukan Olimpik Tokyo dan jantung saya berdebar setiap kali menonton jaguh-jaguh kita beraksi.

Setiap kali keputusan diumumkan, tidak kira jika mereka berjaya merangkul pingat atau sebaliknya, saya berbangga dengan pencapaian para atlit kita dan jurulatih mereka. Fikirkanlah tentang pengorbanan mereka sepanjang beberapa tahun yang lalu semata-mata untuk melayakkan diri ke temasya sukan tersebut, apatah lagi bagi menempah tempat di podium juara-juara. Bagi ramai atlit, ia merupakan impian sepanjang hayat.

Atlit-atlit kita menunjukkan bagaimana kesungguhan serta semangat yang berkobar-kobar dan tidak kenal lelah boleh memacu kita untuk mencapai aspirasi kita.

Sebagai Menteri Kedua Pendidikan, saya bertemu dengan pelajar-pelajar secara tetap dan saya amat berbesar hati setiap kali mereka menunjukkan semangat dan kesungguhan yang sama dalam mereka menempuh perjuangan masing-masing.

Saya teringat kisah Amirul. Sejak menyertai kelab robotik bagi Kegiatan Ko-Korikular (CCA) di sekolah rendah, beliau begitu tekun menelaah ilmu mekanik sambil menanam azam dalam bidang kejuruteraan. Apabila beliau mendaftar untuk memasuki Institut Pendidikan Teknikal (ITE) selepas peperiksaan peringkat ‘N’, beliau ditawarkan tempat dalam kursus Teknologi Maklumat. Meskipun kursus itu ada kaitannya dengan teknologi, ia tidak berhubung kait dengan teknologi mesin yang diminatinya.

Berpandukan nasihat bapanya, Amirul mengukuhkan tekadnya untuk menyertai kursus yang benar-benar dikehendakinya. Beliau memohon sekali lagi dan kali ini berjaya menempah tempat dalam kursusSijil ITE Nasional (Nitec) Jurusan Mekatronik. Beliau juga memilih untuk mengikuti program model Pelatih, di mana beliau berpeluang bekerja sambil belajar.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran sehingga meraih Diploma Jurutera Teknikal bagi Teknologi Mesin di ITE Kolej Tengah. Berbekalkan kelayakan Diplomanya itu, Amirul, 23 tahun, berjaya mendapat jawatan sebagai Pereka Bentuk Mekanikal dengan sebuah syarikat pengilangan pada April tahun ini.

Saya berbangga dengan semangat pembelajaran sepanjang hayat yang ditunjukkan Amirul untuk kekal relevan. Saya difahamkan beliau berhasrat untuk memperdalamkan lagi kemahiran teknikalnya dengan mengejar ijazah dalam bidang Mekatronik yang dapat membantu untuk memperluas sumbangannya kepada industri ini sebagai seorang jurutera.

LALUAN DIPERCEPAT, PERJALANAN DIPERKAYA

Pelajar-pelajar seperti Amirul memberi ilham kepada saya dan rakan-rakan kerja di MOE apabila kami meneliti keperluan pembelajaran yang berpelbagai dan aspirasi para pelajar kita serta permintaan bagi kemahiran lebih mendalam dan lebih sesuai bagi industri-industri kita.

Pada bulan April Amirul telah memulakan jawatan barunya, pada bulan itu juga saya telah mengumumkan peningkatan kepada struktur sukatan pelajaran ITE, terutamanya struktur kurikulum yang membolehkan pelajarnya memperoleh sijil NITEC Lanjutan (Higher Nitec) dalam tempoh tiga tahun.

Di bawah struktur sekarang, kursus-kursus Nitec dan Nitec Lanjutan lazimnya mengambil masa empat tahun dan hanya pelajar-pelajar yang mencapai gred ditetapkan di peringkat Nitec layak untuk melanjutkan pelajaran ke Nitec Lanjutan.

Gambar fail para penuntut Institut Pendidikan Teknikal. (Gambar: MOE)

Struktur baru tersebut memberi peluang kepada semua pelajar ITE untuk menggenggam segulung Sijil Nitec Lanjutan dan menimba kemahiran lebih mendalam yang relevan bagi keperluan industri serta merebut peluang-peluang pekerjaan lebih baik.

Kami inginkan setiap pelajar ITE, tidak kira latar belakang, memulakan perjalanan di ITE dengan aspirasi lulus dengan kelayakan Nitec Lanjutan. Pada masa yang sama, kita akan menyediakan sokongan yang diperlukan untuk mereka mencapai matlamat ini.

Bagi memastikan mereka mendapat pendedahan amali di tempat kerja yang lebih mendalam, di bawah struktur baru tersebut, para pelajar akan menjalani dua tempoh latihan amali yang bersepadu, di mana tempoh latihan amali kedua merupakan lanjutan kepada tempoh latihan yang pertama.

Kumpulan Kolej Tengah ITE ini hasilkan pendakap kaki yang inovatif. (Gambar: BERITAmediacorp)

Pelajar-pelajar ITE yang menjalani latihan amali juga akan dibimbing oleh karyawan industri, membina keyakinan diri dan dilengkapi lebih banyak kemahiran di tempat kerja. Dengan ini, mereka akan lebih mampu memulakan tugas sebaik saja mereka tamat pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan.

Struktur sukatan pelajaran yang dipertingkat itu akan dilaksanakan sepenuhnya bagi kesemua jurusan bagi para pelajar yang memasuki ITE mulai 2026. Namun terdapat sebuah lagi perkara tentang ITE yang sentiasa menarik perhatian saya - ia adalah persekitaran membina dan menyokong untuk menggalakkan prestasi terbaik bagi setiap pelajar. Ini adalah penting memandangkan profil pelajar-pelajar ITE begitu berpelbagai. Setiap pelajar disokong berdasarkan keperluan tersendiri.

Nuraini meraih manfaat daripada persekitaran membina ini di ITE. Bapa beliau meninggal dunia ketika Nuraini masih kecil dan beliau belajar untuk hidup berdikari supaya tidak membebankan keluarga.

Setelah meraih sijil Nitec Lanjutan dalam Keselamatan Siber dan Rangkaian, beliau bertekad untuk melanjutkan pelajaran dengan mengikuti Kursus Diploma Bekerja dan Belajar ITE (Work Study Diploma), yang membolehkan Nuraini untuk membawa pulang gaji bulanan dan mendapat faedah sebagai seorang pekerja sambil menjalani latihan di tempat kerja.

Kini, pemegang Diploma Kejuruteraan Sistem Keselamatan itu bertugas sebagai penganalisis keselamatan siber dan amat menghargai para pensyarahnya di ITE kerana telah memberikan sokongan dan tunjuk ajar sehingga tamat pengajian.

Salah seorang lagi pelajar ialah Danish, yang membanting tulang sebagai pekerja penghantaran pada hujung minggu sambil menjalani kursus Nitec Lanjutan dalam Khidmat Kewangan. Kita sering mendengar kisah-kisah tentang pelajar-pelajar seperti Danish, yang perlu bekerja sambilan pada hujung minggu untuk menanggung perbelanjaan sendiri dan keluarga.

Dr Maliki di upacara penyampaian ijazah ITE pada 28 Jul 2021. (Gambar: Dr Maliki Osman/Facebook)

Bagi pelajar-pelajar dalam keadaan seperti Danish, para pensyarah, guru dan kaunselor di ITE akan membantu untuk mendapatkan bantuan kewangan menerusi pelbagai geran dan skim biasiswa. Sokongan sedemikian berhasil membantu Danish untuk lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran dan kegiatan sekolah. Beliau kini menyumbang kembali kepada ITEnya dengan berkhidmat sebagai Presiden Majlis Pelajar dan membantu rakan-rakan sekolahnya untuk meneroka dan mengenal pasti cita-cita mereka.

Pelajar seperti Amirul pula ingin berbakti kepada ITE pada suatu hari kelak sebagai seorang pensyarah – menjadi inspirasi kepada para pelajar dan membimbing pembangunan mereka sebagai belia.

Pelajar-pelajar ini membuktikan persekitaran membina yang diwujudkan para pendidik dan kakitangan ITE mampu menyentuh dan memberi kesan positif terhadap kehidupan pelajar menerusi tunjuk ajar dan bimbingan.

Bersama-sama kita dapat terus membina sebuah masyarakat penuh ihsan bagi belia kita, memberi inspirasi kepada mereka dan berganding bahu untuk menyokong pelajar kita dalam perjalanan mereka menimba ilmu sepanjang hayat dan menjadikan impian mereka satu kenyataan!

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan