Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Daesh kalah di Timur Tengah: Kenapa rantau ini perlu bimbang pengaruhnya akan menular

Apakah sebenarnya pengertian kemunculan pengganas ISIS Singapura bernama Megat Shahdan atau Abu Uqayl? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Daesh kalah di Timur Tengah: Kenapa rantau ini perlu bimbang pengaruhnya akan menular

Encik Haziq (kiri) dan Encik Jasminder (kanan). (Gambar: Haziq Jani, Jasminder Singh)

BERITAMediacorp: Apabila ISIS kalah di Syria dan Iraq, dibimbangi bahawa kumpulan pengganas yang juga dikenali sebagai Daesh itu, mungkin akan lebih ketara di rantau-rantau lain. Salah satu rantau yang menjadi sasaran untuk dijadikan sarang besarnya yang terbaru ialah Asia Tenggara.

Apakah yang perlu difahami tentang natijah daripada kekalahan ISIS di Timur Tengah? Apakah sebenarnya pengertian kemunculan pengganas ISIS Singapura bernama Megat Shahdan atau Abu Uqayl? Di manakah tapak-tapak yang perlu diberi perhatian lebih kerana berpotensi ‘dibakar’ oleh Daesh? Dua penyelidik dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Muhammad Haziq Jani dan Jasminder Singh memberikan kupasannya dalam artikel KOMENTAR yang disumbangkan kepada BERITAMediacorp ini:

Petikan skrin sebuah video ISIS yang menunjukkan Megat Shahdan dari Singapura. (Gambar: Facebook)

Petikan skrin sebuah video ISIS yang menunjukkan Megat Shahdan dari Singapura. (Gambar: Facebook)

PADA akhir bulan September 2017, kumpulan pengganas Daesh menerbitkan rakaman video yang menonjolkan seorang rakyat Singapura, Megat Shahdan Abdul Samad alias Abu Uqayl.

Dengan berpakaian tentera, Shahdan mengajak penyokong-penyokong Daesh atau ISIS serantau untuk menyertai keganasan bersama kumpulan tersebut. Video yang mungkin dirakamkan di Syria itu mengandungi tiga mesej bagi pengganas-pengganas Daesh dan penyokong-penyokong kumpulan itu.

Pertama, ia mendorong para pengganas Daesh untuk tabah menghadapi kekalahan-kekalahan mereka di Timur Tengah. Kedua, ia menggesa golongan yang bercita-cita untuk menjadi pengganas supaya berhijrah ke kawasan-kawasan yang dikuasai Daesh.

Ketiga, ia merayu kepada para penyokong mereka untuk menyertai keganasan di Filipina ataupun di negara-negara Timur Tengah seperti Iraq, Syria, Yaman, Libya, Afghanistan atau Afrika Barat.

LEBIH BANYAK PENGERTIAN SEJAK KEKALAHAN DI RAQQA

Mesej-mesej ini membawa pengertian yang lebih semenjak kekalahan Daesh di Raqqa yang mengakibatkan pengurangan kekuatan kumpulan itu secara ketara.

Para pengganas Daesh kini hanya wujud dalam kumpulan-kumpulan kecil di merata Iraq dan Syria dan sejumlah mungkin telah melarikan diri ke negara-negara yang lain sebagai “pengganas asing”.

Menurut Kementerian Dalam Negari (MHA), Shahdan, 39 tahun, meninggalkan Singapura pada tahun 2014 untuk bekerja di Timur Tengah. Dia menjadi lebih radikal di sana. Agensi-agensi keselamatan sedar tentang kehadirannya di Syria dan kerap memantau kegiatannya di sana.

Tambahan lagi, MHA mendedahkan bahawa Shahdan tercicir dari persekolahan dan mempunyai latar belakang jenayah. Dia pernah disabitkan dengan kesalahan-kesalahan dadah dan jenayah ketika menjadi ahli sebuah kumpulan kongsi gelap.

Gambar fail seorang lelaki memakai topeng menunjukkan simbol kumpulan militan ISIS. (Gambar: AP)

Gambar fail seorang lelaki memakai topeng menunjukkan simbol kumpulan militan ISIS. (Gambar: AP)

PENGERTIAN DI SEBALIK VIDEO SHAHDAN

Daesh merupakan antara kumpulan pengganas yang berjaya mengeksploitasi wadah media sosial secara strategik. Menurut definisi, aksi keganasan merupakan satu cara untuk menyebarkan propaganda. Kumpulan-kumpulan pengganas juga menggunakan media sosial untuk operasi-operasi propaganda yang menyebarkan idea-idea mereka.

Maka, para pengganas licik dalam mencari kelebihan disebalik pelbagai keganasan yang dilakukan mahupun situasi yang dihadapi mereka.

Contohnya, jika seorang pengganas berjaya dibunuh, mereka membuat anggapan sesat bahawa dia pasti mencapai syurga. Padahal, pembunuhan dan kerosakan yang dilakukannya terkeluar dari ajaran agama.

Meskipun mereka dikalahkan dan penipuan mereka ditonjolkan, ada sahaja alasan yang diberikan Daesh bagi memalsukan kekuasaan atau pengimbangan mereka. Dalam konteks ini, propaganda Daesh di wadah media sosial akan mendatangkan lebih banyak cabaran pada masa akan datang.

RAKAMAN VIDEO UNTUK PELBAGAI KEGUNAAN

Bagi Daesh, rakaman-rakaman video yang berunsur propaganda mempunyai pelbagai kegunaan. Pertama, mereka mahu memberitahu para penyokong mereka bahawa khilafah laknat mereka itu masih wujud dan menuju kejayaan, walaupun mereka dikalahkan berkali-kali pada tahun yang berlalu ini.

Kedua, video-video ini merupakan sebahagian daripada kempen merekrut pengganas-pengganas baru bagi menambah lagi kedudukan kumpulan mereka yang semakin berkurangan dan meningkatkan semangat antara para pengganas yang lelah.

Akhir sekali, video-video ini menyebarkan naratif ekstremis Daesh sebagai cara peperangan ideologi mereka dan maklumat-maklumat tentang cara-cara melakukan serangan keganasan.

MESEJ UNTUK TONTONAN SERANTAU & DUNIA

Video Shahdan menyampaikan mesej-mesej ini bagi tontonan tempatan, serantau dan sedunia kerana penggunaan Bahasa Inggeris. Dahulu, video-video Daesh bagi tontonan serantau hanya menggunakan Bahasa Melayu atau Indonesia.

Tambahan lagi, rakyat Singapura tidak pernah ditonjolkan di dalam video-video propaganda Daesh mahupun di dalam rancangan-rancangan kumpulan pengganas tersebut.

Oleh itu, dengan menunjukkan keahlian seorang rakyat Singapura Melayu-Muslim, Daesh mahu memperagakan bahawa ada lagi di antara kita yang tertarik dengan ideologi sesat Daesh dan ada juga yang masih mencari jalan untuk berhijrah ke Syria dan Iraq terutamanya dari negara-negara Timur Tengah.

Bendera ISIS. (Gambar hiasan: DADO RUVIC/REUTERS)

(Gambar: DADO RUVIC/REUTERS)

DAESH MAHU TUNJUKKAN IA MASIH PUNYA KESAN

Daesh masih belum serik mengisytiharkan bahawa mereka mempunyai kesan yang global dan ideologi sesat dan semangat keganasan mereka masih dieksport ke seluruh dunia.

Video itu juga menegaskan struktur organisasi “jihad” sesat yang tidak beribu pejabat di Iraq mahupun Syria, tetapi didesentralisasi ke pelbagai bahagian dunia dari Afrika Barat ke Asia Timur.

Selain itu, dengan kehilangan kubu kuat mereka di Mosul dan ibu kota mereka di Raqqa, Daesh sedang menandakan permulaan zaman “Kekhilafahan di Alam Maya”, sebuah kekhurafatan yang menekankan keganasan di serata dunia.

“JIHAD” DAESH SAMA DENGAN STRATEGI AL QAEDA

Penyesatan “jihad” ini sama sahaja dengan strategi Al-Qaeda pasca-9/11. Kumpulan pengganas Al-Qaeda juga mengubah struktur organisasinya dengan memberikan autonomi kepada sekutu-sekutunya di Yaman, Sahel dan Maghreb.

Seperti Al-Qaeda, Daesh juga mewakilkan kuasa dan autonomi kepada kumpulan-kumpulan dan individu-individu yang berbeza untuk meneruskan kedurjanaan.

Tidak seperti dahulu, di mana penyokong Daesh akan berhijrah ke Syam – kononnya kerana perang di akhir zaman – mereka digesa untuk ke mana-mana lubang sembunyian pengganas di Yaman, Afghanistan, Libya, Afrika mahupun Afghanistan.

BERSAING DENGAN AL QAEDA UNTUK PENGARUH DI MYANMAR

Dengan ini, pihak-pihak berkuasa di Asia Tenggara harus memberi lebih perhatian kepada konflik di Mindanao dan krisis kemanusiaan yang menjejaskan golongan Rohingya di Myanmar.

Jika Daesh mengeksploitasi krisis kemanusiaan di Myanmar, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mereka telahpun menyebut tentang isu Rohingya dalam terbitan mereka. Kumpulan-kumpulan pro-Daesh juga wujud dan beroperasi di Bangladesh. Mereka bersaing dengan Al-Qaeda di Benua India untuk memperolehi pengaruh di Myanmar.

Panggilan Shahdan ke arah kesesatan di dalam videonya merupakan peringatan tentang peri perlunya pengawasan yang tinggi dan berterusan terhadap ajaran ekstremis dan propaganda pengganas di dunia yang nyata serta dunia siber yang keruh.

SEDIA HADAPI ANCAMAN DAESH

Rantau ini perlu bersedia untuk menghadapi ancaman Daesh yang akan menular di alam maya kerana kekalahan mereka di Raqqa. Usaha-usaha untuk mengatasi radikalisasi dan keganasan pelampau mesti dilanjutkan bersamaan dengan tindakan-tindakan kinetik bagi mengalahkan pengganasan.

Perhatian khusus harus diberikan kepada perkembangan di Mindanao dan Arakan untuk mengelakkan apa sahaja peningkatan yang boleh dieksploitasi oleh para pengganas.

MENGENAI PENULIS:

Muhammad Haziq Jani dan Jasminder Singh adalah penyelidik bidang pengganasan di Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Kajian Pengganasan (ICPVTR), RSIS.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan