Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: COVID-19, corak pemikiran dan pengajaran dari kisah Ibn al-Khatib

Sejauh mana reaksi utama masyarakat Islam terhadap COVID-19 mencerminkan pemikiran yang membina atau sebaliknya? Bagaimana ini berlaku dan apa yang boleh dibuat untuk membaikinya?  

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: COVID-19, corak pemikiran dan pengajaran dari kisah Ibn al-Khatib

Seorang kakitangan perubatan memeriksa rekod pesakit di hospital Jinyintan di Wuhan, China. (Gambar: Reuters)

Ibn al-Khatib merupakan antara orang pertama yang mengusulkan ‘teori jangkitan’ (contagion). Menggunakan kaedah empirikal, beliau menolak pandangan dominan yang dikenali sebagai ‘teori miasma’.

Teori miasma yang dipelopori oleh Galen, seorang pemikir Yunani abad ke-2, mengatakan bahawa seseorang mendapat sakit kerana ‘udara kotor’. Pada waktu itu, kewujudan kuman dan bakteria belum diketahui. Namun, Ibn al-Khatib berani menolak teori ‘udara kotor’ dan mengusulkan teori jangkitan.

Ini membuat golongan agamawan waktu itu marah kerana mereka berpegang kepada penjelasan teologi yang menganggap penyakit adalah kehendak Tuhan dan mereka yang mendapat sakit sedang diuji oleh Tuhan. Hadis di dalam Sahih Bukhari dan Muslim yang berbunyi, “Tidak ada jangkitan (‘adwa)” sering dikutip oleh ulama waktu itu.

Bagi mereka, mengatakan wujudnya jangkitan akan merosakkan akidah kerana tidak ada kuasa atau benda lain yang boleh membuat seseorang sakit kecuali Tuhan. Makanya, seorang yang mati akibat wabak bergelar syahid, menurut sebuah hadis riwayat Abu Hurairah yang banyak dikutip oleh ulama klasik, termasuk Ibn Qayyim al-Jawzi (1292-1350) di dalam kitabnya, Al-Tibb al-Nabawi (Perubatan Kenabian).

Tanpa menafikan kesahihan hadis-hadis ini, Ibn al-Khatib menolak interpretasi secara literal terhadap hadis-hadis ini. Beliau menulis:

Bahawasanya jangkitan wujud dibuktikan melalui pengalaman, kajian, renungan, penglihatan dengan mata kasar dan berita-berita sahih. Inilah perkara yang menunjukkan bukti.

Oleh kerana kritikan tajamnya terhadap golongan ulama, dan atas sebab-sebab permusuhan politik, Ibn al-Khatib dituduh sesat, dikurung dan kemudiannya dicekik sehingga mati di dalam penjara pada tahun 1375.

Tiga ratus tahun kemudian, teori jangkitan Ibn al-Khatib terbukti benar dengan penemuan kuman yang dapat dilihat menggunakan mikroskop oleh tokoh sains Belanda, Antonie van Leeuwenhoek pada tahun 1676. Momen ini kini dianggap sebagai permulaan sains moden mengenai wabak penyakit atau epidemiologi.

DUA CORAK PEMIKIRAN

Apakah yang dapat kita pelajari dari kisah Ibn al-Khatib?

Jelaslah bahawa sejarah ketamadunan Islam menunjukkan dua corak pemikiran yang saling bertembung.

Pertama ialah corak pemikiran yang bermula dari postulat agama dan kemudian menjelaskan segala hal dari sudut pandang teologi mahupun fikah.

Kedua ialah corak pemikiran yang terbuka kepada kajian empirikal dan siasatan rasional sehingga jawapannya mengalir dari bukti dan bukan atas dasar penerimaan secara dogmatik.

Meminjam istilah pemikir Maghribi, Mohammed Abed al-Jabri (1935-2010) di dalam karyanya Naqd al-‘Aql al-‘Arabi (Kritik Akal Arab), corak pemikiran pertama boleh kita sebut sebagai ‘al-bayan’ (penjelasan) yang melahirkan tradisi ilmu keagamaan; sementara corak pemikiran kedua boleh kita sebut sebagai ‘al-burhan’ (pembuktian) seperti yang terserlah di dalam pendekatan sains alam (natural sciences).

(Gambar hiasan: TODAY/Hans Reniers/Unsplash)

Bagi corak pemikiran al-bayan, segala sesuatu sudah ada dan jelas di dalam ajaran Islam, maka kita hanya perlu mencari dalil-dalilnya atau mengaitkannya kepada makna mengapa sesuatu terjadi dan apa yang dapat kita pelajari darinya.

Sebagai contoh, Ibn al-Lubb, Mufti Granada dan guru kepada Ibn al-Khatib sendiri, menolak teori jangkitan atas hujah tiadanya sifat alami di dalam penyakit yang dapat mengakibatkan jangkitan.

Bagi beliau, hanya kuasa Tuhan yang menentukan seseorang itu mendapat penyakit atau tidak. Ini bersesuaian dengan pandangan teologi yang bergelar ‘occasionalism’ seperti yang diasaskan oleh Imam Abu’l Hasan al-Ash’ari (874-936) dan menjadi teologi dominan di dalam Islam Sunni.

Mempercayai adaya agen penyebab (causative agent) di dalam penyakit yang mengakibatkan jangkitan, samalah seperti mempercayai adanya kuasa selain Tuhan dan ini merupakan pandangan syirik.

Bagi corak pemikiran al-burhan pula, kita bermula dari persoalan yang belum ada jawapannya dan akal sihat menjadi panduan di dalam mencari, mengkaji, menilai, menyaring, menginterpretasi dan memformulasikan jawapan mengikut bahan dan bukti yang tersedia.

DIFIKIRKAN SEMULA

Sekiranya ia bertentangan dengan pandangan keagamaan yang sedia ada, maka pandangan keagamaan tersebut harus difikirkan semula dan interpretasi terhadap dalil-dalilnya disemak.

Inilah yang dilakukan oleh Ibn al-Khatib serta beberapa pemikir awal Islam lainnya seperti Ibn Khaldun (1332-1406) yang mempelopori ilmu peradaban masyarakat, Ibn Sina (908-1037) yang tersohor dengan ilmu perubatan dan Ibn Rushd (1126-1198) yang menyatukan falsafah dan agama mengikut prinsip-prinsip rasional.

Arca Ibn Khaldun di Tunis, Tunisia 

(Arca Ibn Khaldun)

Menarik jika kita perhatikan bagaimana dua corak pemikiran ini wujud dan berseberangan sepanjang sejarah umat Islam. Sebagai contoh, pernah suatu ketika umat Islam di India menolak undang-undang kuarantin yang disarankan oleh pemerintah British untuk mengekang penularan penyakit yang berjangkit pada lewat abad ke-19 sehingga awal abad ke-20.

Mereka berpendapat memisahkan seorang anak yang dijangkiti wabak dari orang tuanya, merupakan usaha British untuk memusnahkan sistem keluarga Islam. Sewaktu telefon pertama kali dicipta pada abad ke-19, ada di kalangan ulama konservatif yang menganggapnya sebagai tipu daya jin yang menyerupai suara orang yang cuba dihubungi melalui telefon.

Corak pemikiran ini menginterpretasi setiap perkara atau penemuan yang baru dari lensa apa yang telah mereka ketahui dan yakini. Akibatnya, tidak ada lagi sifat ingin tahu akan sebab-musabab; hanya sifat ingin menjelaskan sesuatu menurut lensa agama yang mereka fahami.

SEMANGAT BERFIKIR

Inilah perkara yang menyebabkan masyarakat Islam mundur, menurut Jamaluddin al-Afghani, seorang pemikir pembaharuan pada abad ke-19. Di dalam ceramahnya pada tahun 1882 di Calcutta, beliau membidas sebahagian golongan ulama yang tidak berminat untuk mengetahui sebab terjadinya tenaga elektrik dan ciptaan baru seperti kapal api dan keretapi yang menggunakan wap.

Mereka ini, kata al-Afghani, rajin mengkaji kitab-kitab lama dari petang hingga ke pagi di bawah sinar lampu minyak tanah tetapi tidak pernah ingin tahu mengapa asap timbul jika sarung kaca lampu itu diangkat dan lenyap jika sarung itu dipasang kembali.

(Gambar Facebook) 

Menurut Profesor Syed Hussein Alatas, inilah contoh hilangnya semangat berfikir yang kemudiannya menghambat kemajuan masyarakat Islam. Di dalam bukunya, Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah, beliau membedah rintangan-rintangan terhadap semangat berfikir.

Bagi beliau, beberapa ciri penting harus diwujudkan dahulu di dalam masyarakat. Antaranya ialah sifat ingin tahu akan seluruh rangkaian sebab-sebab yang meliputi sesuatu persoalan, menghormati cara-cara ilmiah dan menggunakan akal seluas-luasnya.

Inilah corak berfikir al-burhan yang telah melahirkan banyak cerdik-pandai sepanjang sejarah Islam di dalam segala bidang termasuk sains dan falsafah yang kemudiannya dilanjutkan oleh bangsa Eropah sehingga hari ini. Corak berfikir ini dikenali sekarang sebagai pemikiran saintifik.

RESPONS TERHADAP COVID-19

Apakah kaitan Ibn al-Khatib dengan persoalan masa kini?

Jika kita perhatikan, pertentangan corak pemikiran al-bayan dan al-burhan masih berlaku di dalam masyarakat Islam. Ini dapat kita lihat dari tanggapan-tanggapan umum yang muncul sewaktu krisis atau bencana melanda masyarakat, termasuklah wabak COVID-19 yang sedang kita hadapi sekarang ini.

Ketika muncul keresahan di dalam masyarakat akibat wabak yang menular, perbincangan dan wacana umum di dalam masyarakat Melayu lebih menjurus kepada tiga perkara.

Pertama, mencari-cari sebab mengapa Tuhan menurunkan wabak, sama ada kerana mahu menghukum, menguji manusia ataupun sebagai petanda akhir zaman.

Kedua, mengambil kesempatan sewaktu krisis untuk mensyarahkan kebenaran hukum pemakanan Islam dan anjuran berwuduk seperti membasuh tangan.

Ketiga, mengeluarkan doa-doa yang dapat membantu mencegah jangkitan sementara mengambil lewa saranan wewenang sivil yang berlandaskan pendekatan saintifik dan perspektif kesihatan awam (public health).

Jemaah semasa solat Jumaat pada 24 Jan. (Gambar: Zainal Abidin Omar)

Namun begitu, mujurlah tunggak kepimpinan masyarakat seperti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengambil pendekatan rasional dan saintifik seperti mengeluarkan nasihat mengelakkan bersalaman, walaupun bersalaman sudah menjadi kebiasaan di masjid-masjid terutama selepas bersembahyang.

Nasihat MUIS ini selari dengan saranan Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan wabak yang kini mengancam dunia dengan lebih 75,000 jangkitan dan sekitar 2,000 yang menjadi korban.

PANDANGAN DOGMATIK

Namun, seperti golongan yang menentang Ibn al-Khatib pada abad ke-14, ada juga di kalangan masyarakat Islam Singapura yang memperlekehkan nasihat MUIS. Mereka inilah golongan yang berpegang kepada corak pemikiran al-bayan.

Antara lain, mereka berhujah: kenapa amalan yang sudah sebati dengan agama harus mengikut arahan berlandaskan pendekatan sekular? Apakah kita tidak yakin kepada kudrat Tuhan untuk melindungi umatnya?

Apakah kita tidak sedar bahawa wabak ini suatu ujian sejauh mana kita memperkuatkan keyakinan Islam kita dan bukannya melunturkannya? Bukankah penyakit itu berfungsi untuk menghapuskan dosa-dosa maka tidak perlu kita berlebihan melakukan pencegahan sehingga jangan bersalaman atau menjauhi keramaian agama?

Infografik daripada Pemerintah yang turut diletakkan di Masjid Sultan. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pandangan dogmatik seperti ini tidak akan membantu masyarakat menangani dan mengatasi krisis yang ada.

Masyarakat perlu mengambil iktibar bahawa pandangan agama itu sendiri sering melalui proses saringan dan interpretasi yang terkait dengan konteks masa, tempat dan latar.

Sebagai contoh, sekiranya Ibn al-Khatib wujud di abad ke-20, dia tidak lagi akan dianggap sesat dan para ulama akan mengutip hadis-hadis lainnya untuk menegakkan pandangan mengenai wujudnya jangkitan, seperti yang dilihat di dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Darul Ifta’ dan Muslim World League semenjak pertengahan abad yang lalu.

Hadis sahih dari Muslim – “Apabila kamu mengetahui adanya penyakit itu (wabak taun) di sebuah tempat janganlah kamu masuk ke tempat itu; dan apabila kamu berada di tempat yang ada penyakit tersebut janganlah pula kamu lari keluar darinya” – kini digunakan untuk diselarikan dengan perspektif kesihatan awam yang menyarankan pengasingan dan kuarantin.

Dan hadis sahih dari Bukhari – “Larilah dari orang yang berpenyakit kusta seperti kamu lari dari singa” – kini menjadi bukti adanya jangkitan kuman.

CORAK PEMIKIRAN DOMINAN

Namun, ada satu persoalan yang harus kita ajukan: Apakah corak pemikiran yang dominan di kalangan pemimpin masyarakat kita?

Di dalam komentarnya baru-baru ini, Ummu Rabbisyfina meluahkan rasa kesal akan sikap dan reaksi negatif yang “datang dari golongan kepimpinan yang berpengaruh.” (Beritamediacorp, 16 Feb)

Saya setuju dengan penilaiannya dan harus ada usaha untuk membendung corak pemikiran yang akan menghambat kemajuan masyarakat dari kalangan yang berpengaruh.

Tugas ini tidak mudah dan memerlukan budaya kritis yang dapat membezakan corak pemikiran yang maju dan yang mundur. Ia juga memerlukan budaya tidak taksub terhadap apa jua golongan dan menilai segala hujah dengan saksama, tidak kira dari mana ia datang.

Hanya dengan pendekatan rasional dan saintifik – atau mengutip pesan Nabi Muhammad sendiri, “Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu” – kita akan dapat membangun semangat berfikir yang menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan dunia umumnya.

Dan ia haruslah ditunjukkan oleh golongan yang kita angkat sebagai pemimpin masyarakat, sama ada di dalam bidang agama, politik mahupun kebudayaan.

MENGENAI PENULIS

Mohamed Imran Mohamed Taib ialah pengarah Pusat Pemahaman Silang Agama (CIFU) dan editor Budi Kritik, sebuah kompilasi tulisan mengenai isu-isu Melayu Islam di Singapura dan rantau ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan