Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Cerita Badang dan S’pura – apa yang boleh kita pelajari darinya

Ada aneka pelajaran yang menarik boleh kita perolehi daripada Badang, seorang tokoh misterius yang pernah berkhidmat di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Cerita Badang dan S’pura – apa yang boleh kita pelajari darinya

(Gambar-gambar: NDPeeps/YouTube)

BERITAmediacorp: Walaupun hanya tokoh yang hidup dalam mitos Sejarah Melayu, tetapi jika diteliti dengan mendalam cerita Badang sebenarnya mengandungi beberapa pengajaran yang tetap relevan sehingga hari ini.

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

ADA aneka pelajaran yang menarik boleh kita perolehi daripada Badang, seorang tokoh misterius yang pernah berkhidmat di Singapura.

Kita mungkin hanya mengetahui beliau sebagai seorang hulubalang, dan memiliki kuasa yang luar biasa hebat. Akan tetapi, selain dari kegagahan dan kekuatan tenaga Badang, beliau juga seorang seorang perunding (atau dialoguer).

Siapakah Badang?

Beliau berasal dari Sayong, dan ketika itu tiada sempadan negara bangsa seperti hari ini, yang mana manusia bebas keluar masuk melintasi batas negara atau kerajaan purba sedia ada.

Di dalam Sejarah Melayu, beliau disebutkan berasal dari tanah besar yang mana membawa kita kepada Sayong di Hulu Sungai Johor.

Terdapat kemungkinan yang sangat besar, Badang adalah berketurunan Orang Asli. Bahkan sehingga hari ini daerah tersebut masih diduduki oleh ramai masyarakat Orang Asli Sayong Pinang.

Sayong adalah sebahagian dari daerah Kota Tinggi dan dapat dianggap sebuah kawasan terpencil pada ketika itu, yakni dalam tahun-tahun 1352 ke 1375, semasa pemerintahan Raja Seri Rana Wikerma.

(Gambar-gambar: NDPeeps/YouTube)

HAMBA HARTAWAN

Berdasarkan cerita rakyat, kita mengetahui Badang adalah hamba seorang lelaki hartawan yang namanya ‘Orang Kaya Nira Sura’ berasal dari Seluang.

Salah satu tugas yang diamanahkan untuk Badang adalah menerangkan kawasan hutan. Dalam masa rehat, Badang membuat dua kerja (ini mencerminkan kepintaran dan kerajinan beliau) iaitu menahan lukah di Sungai Besisek.

Saya percaya, sungai ini akan dikenali kemudian sebagai Sungai Linggiu. Pun Badang sering berasa kecewa kerana lantaran lukahnya sering sahaja hampa, bukan kerana tiada ikan, bahkan kerana yang tinggal hanyalah tulang dan sisik ikan. Itu menjadi tanda, tangkapannya sudah dikebas orang.

(Gambar-gambar: NDPeeps/YouTube)

MUNTAH HANTU

Kita mengetahui rasa ragu dan curiga Badang sangat tinggi yang membawanya kepada satu idea, iaitu bersembunyi di dalam semak, dan menghendap siapakah yang memakan ikan-ikan hasil tangkapan tersebut.

Kita diberitahu di dalam Sejarah Melayu, yang mencuri habuan Badang itu adalah seekor jembalang atau hantu yang matanya merah dan rambut mengerbang, selain janggut dan jambangnya memanjang santak ke pinggang.

Barangkali, dalam hal ini, bukan hantu sebenarnya yang menjelma; akan tetapi Badang ditawarkan mengambil susuk.

Tentu sukar untuk kita mempercayai yang Badang telah menelan muntah hantu untuk menjadi kuat apabila mengancam hantu tersebut kerana mencuri hasil tangkapan.

Apabila hantu menawarkan segala kesaktian, Badang memilih untuk menjadi gagah agar dia dapat mencabut pohon ke akarnya, menerangkan hutan belukar dan menebang pokok dengan sebelah tangan.

(Gambar-gambar: NDPeeps/YouTube)

PENGAJARAN PENTING

Kisah ini membawa kepada satu pengajaran yang penting. Badang melakukan penawaran dan pengancaman: anda mengambil barang saya, saya perlu mengambil sesuatu daripada anda.

Ia adalah satu pendekatan manipulasi, khusus untuk meraih keuntungan laba bagi pihaknya.

Tentu kekuatan Badang itu digunakan untuk menerangkan hutan dan ia mengejutkan tuannya.

Badang tidak membohongi tuannya, dan kerana (mungkin lantaran tuannya juga takut) insiden itu, Badang dilepaskan; “Shahdan, Badang itu pun dimerdehekakan oleh tuannya.”

Pengarang Sejarah Melayu menggunakan kata ‘merdeka’, yang membolehkan kita faham yang ia bukanlah satu doktrin moden.

Tentu pula Raja Singapura ketika itu, Sri Rana Wikerma mendengar khabar kehebatan Badang lalu menjadikannya salah seorang hulubalang istana.

(Gambar-gambar: NDPeeps/YouTube)

Tugas pertama beliau sebagai ‘penjawat awam’ (ingat Badang sudah dimerdekakan), adalah melengkapkan rantai di muara sungai sebagai sebahagian dari kerja perapian dan pembesaran pelabuhan.

Tugas beliau seterusnya adalah mencarikan – ulam kuras – dari Kuala Sayong sebagai salad diraja.

Kita mengetahui dari Sejarah Melayu yang Badang memanjat pokok kuras, tetapi kemudian terjatuh dan menyebabkan batu di bawah pokok itu retak.

Badang menyusur sungai di kawasan pedalaman itu setelah membina sebuah perahu dari pokok kempas.

Badang berjaya mendapatkan ulam kuras dan ketika pulang dari Kuala Sayong pada hari yang sama telah memuatkan perahunya dengan pisang dan keladi, sebelum pulang ke Singapura.

Gambaran ini semua bertujuan untuk menggambarkan tenaga Badang, memandangkan Kuala Sayong di Johor dan Singapura itu berjarak jauh pada waktu itu.

Pemakanan Badang iaitu keladi sebagai makanan ruji dan pisang menjelaskan tenaga Badang memandangkan keladi dikenali hari ini sebagai makanan ‘antioksidan’.

(Gambar-gambar: NDPeeps/YouTube)

LAMBANG BESAR

Tugas ketiga Badang adalah membantu raja melancarkan kapal yang gagal ditolak oleh dua tiga ratus hulubalang ke dalam sungai. Ini kerana terlalu berat dan besar.

Badang hanya melakukan sekali, malah menolak kapal besar itu melampau tebing sungai.

Jika kita membayangkan zaman klasik waktu itu kita akan dapat menghubungkan insiden ala Olimpik di mana dua jaguh peninju diadukan.

Ini berlaku kepada Badang apabila beliau diminta bertarung dengan jaguh dari Kalingga. Kekuatan dan kegagahan Badang nampaknya telah merentasi benua dan tiba ke pengetahuan Raja negeri tersebut.

Janjinya; jika jaguh India yang menang pertarungan, isi tujuh kapal akan bertukar tangan. Pun jika Badang yang menang, muatan tujuh kapal dari India akan beralih kepada Raja Singapura.

Kita mesti meletakkan dalam kepala bahawa isi tujuh kapal diraja bukanlah calang-calang dan ia merupakan satu lambang besar yang Singapura sudah diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

(Gambar-gambar: NDPeeps/YouTube)

ANUGERAH HARTA

Seperti yang kita tahu, Badang berjaya mengalahkan juara Kalingga itu dan dalam pusingan akhir kedua-dua wira ini diminta melempar batu.

Wira Kalingga bagaimanapun hanya berupaya mengangkat batu di hadapan istana sekadarnya tetapi Badang bahkan melontar batu sejauh muara Kuala Singapura.

Ini membolehkan muatan tujuh kapal dari India berpindah tangan sebagai hadiah. Tentu, seperti perlawanan tinju; kemenangan satu gelaran akan membawa kepada gelaran yang lain. Kali ini Badang akan diacukan dengan jaguh dari Perlak pula.

Jaguh dari Perlak itu bernama Benderang. Beliau dihantar bersama-sama Tun Perpateh Pandak ke Singapura dan dinyatakan jika Benderang tumpas segudang harta akan dianugerahkan, sebaliknya jika Badang yang berjaya, hal sama akan berlaku.

(Gambar-gambar: NDPeeps/YouTube)

KEPAKARAN MEMBUJUK

Di sinilah, kebalikan dari pendekatan mengancam yang dipaparkan ketika memanipulasi hantu jembalang. Badang menggunakan kepakaran mempengaruhi dan membujuk.

Benderang adalah juara tersohor dan Badang belum tahu apa yang akan dijangkakan. Maka dengan retorika yang berkesan, Badang menjelaskan kepada Raja Sri Rana Wikerna bahawa jika dalam gusti itu Benderang menang, makanya Singapura akan mendapat aib.

Untuk itu Badang cuba meyakinkan agar beliau dapat ditemukan lebih awal sebelum perlawanan dengan jaguh Perlak tersebut dan diberi kesempatan menguji kegagahan sebenarnya.

Jika ternyata Benderang lebih kuat, adalah baik sahaja perlawanan itu tidak terjadi.
Negosiasi dan pujukan sebegini harus dikatakan adalah begitu langka dalam era tersebut.

(Gambar-gambar: NDPeeps/YouTube)

BIJAK, KREATIF DAN TERBUKA

Badang di sini ditampilkan seorang yang diplomatik, bijak, kreatif, terbuka, tetapi setia dan ini menunjukkan kebolehan beliau, memainkan seni manipulasi secara ancaman mahupun secara bujukan.

Dalam dunia dan masyarakat yang tepu feudalisme tatkala itu, kebolehan Badang ini harus dipandang tinggi malah melongokan.

Sukar untuk kita tidak membayangkan yang Raja tidak menghukum dan membunuh Badang kerana terlalu banyak kira-kira dan banyak perhitungan.

Apa yang berlaku adalah Tun Perpateh Pandak, dan Benderang diundang ke istana untuk sedikit hiburan dan jamuan yang mana minuman keras dan daging dihidangkan.

Ini membolehkan Badang menguji kekuatan Benderang. Oleh sebab mereka duduk bersebelahan, kedua-duanya tidak membincangkan secara mesra tentang berapa ramai perempuan ayu dalam hangat dakapan, atau berapa ekor gajah berjenama yang mereka miliki, atau berapa kerap pula pelayaran ke luar negara harus ditempuhi.

(Gambar-gambar: NDPeeps/YouTube)

KEPERKASAAN BADANG

Badang dan Benderang mulai menindih paha satu sama lain. Tatkala Benderang menekan paha Badang, wira Singapura ini berupaya mengangkatnya. Dan apabila Badang pula menekan paha Benderang ternyata jaguh Perlak itu berpeluh jantan.

Insiden tersebut tidak disedari oleh ahli rombongan dan hanya kedua-duanya mengetahui rahsia tersebut.

Tentu peristiwa itu meyakinkan Badang yang dia boleh mudah mengalahkan Benderang tetapi bayangkan jika Benderang yang lebih gagah, tidakkah Badang akan berdepan kemurkaan raja; mungkin sahaja ia dihukum dan dibunuh kerana terlihat menderhaka.
Perlawanan itu ternyata dibatalkan dan Benderang memaklumkan kepada Tun Perpateh Pandak betapa perkasanya Badang.

Atau jika diteruskan, Perlak akan mendapat malu. Maka Raja Sri Rana Wikerma pun akur dan gusti tinju itu dibatalkan.

Sepulang Benderang dan Tun Perpateh Pandak ke Perlak, setelah perarakan gajah, takala hidangan diraja sedang beredar, Tun Perpateh Pandak membisikkan perihal antara Badang dan Benderang yang membuatkan pemerintah Perlak terkesima dan terdiam.

KUAT TENAGA DAN MINDA

Tidak seperti zaman sekarang, ciapan tunggal di Twitter akan mengaibkan sebuah negara; Badang berjaya meyakinkan secara bertamadun Raja agar mengelakkan perlawanan ini. Diplomasi ala Badang ini tentu sahaja menggambarkan betapa kebolehan beliau bukan sahaja kekuatan tenaga tetapi juga kekuatan minda.

Saya berpandangan imejan Badang dalam Sejarah Melayu ditampilkan dengan tujuan tertentu.

Badang bukanlah juara tinju seperti Muhammad Ali, seorang jaguh hak asasi manusia dan dalam masa yang sama boleh menyatakan pembelaan untuk orang tertindas.
Tetapi kebolehan dan skil Badang tadi sangat penting difahami yang membolehkan beliau diberi penghormatan sejauh dari Kalingga.

LEGASI BADANG

Apabila Badang meninggal dunia, legasi beliau diiktiraf dengan penghantaran satu batu nisan dari India untuk pusaranya di Buru.

Episod di atas, yang dipetik dari cerita rakyat dan berisi penuh mitos dan keajaiban adalah satu pelajaran penting untuk menghuraikan bagaimana Melayu pernah berunding, dan menguasai seni mengancam serta memujuk.

Ia juga adalah paparan kehebatan dialog sebagai kuasa tengah dan pengimbang.
Kisah-kisah Badang ini juga menampilkan kewarasan Sri Rana Wikerna sebagai raja.
Selepas kematian Badang, raja ini memerintah selama 13 tahun lagi dan digantikan oleh puteranya Dam Raja, yang dikenal dengan gelar Paduka Sri Maharaja, yang juga berketurunan Raja Iskandar.

(Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:
Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan