Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Cara kita tangani COVID-19, bagaimana ia mencerminkan kekuatan atau kelemahan kita

Sedang kita sibuk bertungkus lumus melawan virus baru seperti COVID-19, kita tidak perlu panik dan tidak perlu juga kita bersikap prejudis terhadap mana-mana kaum.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Cara kita tangani COVID-19, bagaimana ia mencerminkan kekuatan atau kelemahan kita

Gambar fail seorang lelaki memegang pelitup muka di Singapura pada 1 Feb 2020 di tengah kebimbangan penularan virus korona baru (Gambar: Reuters/Feline Lim)

BERITAmediacorp: Sedang kita sibuk bertungkus lumus melawan virus baru seperti COVID-19, kita tidak perlu panik dan tidak perlu juga kita bersikap prejudis terhadap mana-mana kaum.

Kebelakangan ini penularan virus korona baru COVID-19 mencetuskan panik dalam kalangan sebahagian masyarakat. Ada pula golongan yang cenderung menganggap COVID-19 sebagai suatu masalah yang berbaur perkauman.

Rencana berikut menyusuri peristiwa-peristiwa bersejarah untuk mengenal pasti punca tanggapan sedemikian dan kesannya terhadap usaha membendung COVID-19.

Laporan krisis penularan virus korona baru 2019 (COVID-19) telah mencetuskan dua jenis perbincangan sejak awal lagi, iaitu perbincangan objektif dan saintifik berhubung virus itu dan puncanya serta kaedah pembendungan.

Sebaliknya, perbincangan kedua lebih bersifat emosional dan kadangkala berbaur politik tentang makna di sebalik penularan COVID-19 dan kesannya pada masa akan datang.

Penularan berita palsu dan pernyataan komen yang menakut-nakutkan bukanlah perkara yang baru. Peristiwa kejadian panik yang berleluasa dalam kalangan masyarakat pernah berlaku sejak zaman dahulu dan menjejas masyarakat-masyarakat di merata dunia.

(Gambar hiasan: TODAY)

PERISTIWA PANIK

Apabila dunia mula-mula mendapat tahu tentang kewujudan dan penularan virus kurang daya tahan manusia (HIV), laporan-laporan awal menyatakan bahawa virus itu berasal dari Afrika.

Mereka yang mengimbas kembali pengalaman pada tahun-tahun 1980-an pasti ingat betapa pantas HIV disifatkan sebagai “penyakit Afrika” dan kekhuatiran terhadap orang Afrika yang melakukan perjalanan ke benua-benua lain seperti Eropah, Amerika dan Asia.

Kemudian semasa penularan Ebola, tanggapan Afrika sebagai “benua gelap” yang berbaur prejudis Orientalis terhadap orang Afrika dan Asia, kembali mencetuskan perasaan takut terhadap orang Afrika dan sekali lagi sesuatu penyakit disangkutpautkan dengan satu-satu kaum.

Wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) juga mencetuskan panik terhadap penularan virus dari suatu bahagian dunia ke yang lain, dan ketakutan terhadap mereka yang mempunyai wajah orang Timur Tengah atau pernah ke Timur Tengah.

DIKAITKAN KAUM TERTENTU

Kes-kes jangkitan seperti HIV, SARS dan MERS dikaitkan dengan kaum-kaum tertentu – orang Afrika, Asia dan Arab – dengan begitu pantas.

Berbagai pendapat yang tiada kena-mengena dengan penyakit berkenaan dan perjudis terhadap masyarakat-masyarakat tertentu turut diwujudkan.

Kebanyakan prejudis sedemikian – termasuk tanggapan benua Afrika sebagai “gelap” atau orang Asia sebagai “kotor” – berpunca dari era penjajahan dan dibentuk oleh tanggapan penjajah yang menyifatkan Asia dan Afrika sebagai tempat-tempat yang ketinggalan, kuno dan kotor yang perlu diselamatkan dengan campur tangan kuasa penjajah.

MAKNA DI SEBALIK PENYAKIT

Penyakit sering diberi makna sosial tersendiri seperti mana barah pada suatu ketika dahulu dianggap sebagai laknat, sesuatu yang memalukan atau tidak patut diperbualkan secara terbuka.

Perbincangan tentang sesuatu penyakit dalam kalangan satu-satu masyarakat memberi gambaran tentang prejudis yang dipegang masyarakat berkenaan yang tiada kaitan dengan penyakit itu sendiri.

Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 Kuala Lumpur di Sepang. (Gambar: Mohd RASFAN / AFP)

Kolera masih dianggap sebagai penyakit “Dunia Ketiga” yang terkait dengan isu-isu struktur ekonomi seperti hasil pendapatan rendah dan pembangunan yang lemah, dan penularannya terhad kepada negara-negara kurang membangun dan yang mempunyai mobiliti sosial yang rendah.

Perasaan panik yang tercetus oleh penularan COVID-19 pula bersangkut paut dengan keprihatinan lebih luas terhadap globalisasi berhubung dengan kesangsian terhadap pergerakan rentas sempadan, warga asing dan sebagainya.

BERDEPAN DENGAN KETAKUTAN

Dalam usaha menangani masalah panik dan budaya menakut-nakutkan yang berleluasa, karya Furedi boleh dijadikan panduan.

Ketakutan sering kali merupakan hasil rekaan.

Manusia dilahirkan tanpa perasaan takut tetapi diasuh untuk mengalami perasaan takut. Lantaran itu kita perlu memahami punca dan sebab di sebalik ketakutan yang tercetus.

(Gambar: Unsplash/Christian Bowen)

(Gambar: Unsplash)

Laporan-laporan mengenai kelakuan berbaur perkauman bersahaja di sesetengah negara Barat yang menindas mana-mana orang Asia – tidak mengira negara asal, termasuk orang Asia yang sudah lama bermastautin di negara-negara Barat – membayangkan bagaimana negatif masa lalu mengenai perbezaan antara kaum telah dihidupkan kembali dan “dibolehkan” atas keprihatinan kesihatan.

Seperti mana orang Afrika pernah dicerca semasa penularan awal HIV, orang Asia hari ini dipandang dengan syak wasangka dan perasaan takut meskipun krisis yang dihadapi kini perlu dibincangkan secara tenang dan rasional.

TIDAK KENAL BANGSA

Penyakit tidak mengenal kerakyatan mahupun identiti sesebuah kaum. Usaha bersama oleh semua negara didambakan untuk menyekat penularan COVID-19 buat masa ini.
Namun ia merupakan suatu usaha yang perlu dilakukan dengan fikiran terbuka dan bukan dengan terlalu mengikut perasaan.

Langkah-langkah pembendungan dan pemencilan juga perlu dilaksanakan tetapi ia tidak perlu diiringi oleh kata-kata prejudis atau kebencian.

Pengagihan pelitup di salah satu RC di Singapura di tengah penularan virus korona (Gambar: Rauf Khan)

Kita hidup dalam dunia yang kompleks dan cabaran-cabaran dunia serba globalisasi perlu ditangani dengan fikiran rasional dan bukan dengan emosi yang diikut-ikutkan.

Jika respons terhadap setiap krisis baru adalah untuk menyalahkan mangsa dan memprofilkan individu berdasarkan kaum, pecah belah antara manusia tidak akan pernah dihuraikan.

Kita perlu ingat bahawa tiada penyakit yang boleh ditewaskan oleh perasaan panik, dan tiada masyarakat yang boleh membangunkan kebingkasan dengan perasaan takut.

MENGENAI PENULIS:

Dr Farish Noor adalah seorang profesor madya di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). Bidang kajiannya meliputi sejarah politik dan gerakan agama-politik di Asia Tenggara. Beliau juga adalah seorang anggota Panel Pakar Mengenai Agama dan Politik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan