Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Cabaran zaman AI dan Robotik – bagaimana ibu bapa dapat perkasa anak-anak

Salah satu cabaran besar dalam mengharungi zaman Kecerdasan Buatan A.I adalah untuk mempersiapkan generasi muda supaya memiliki "minda pertumbuhan". Bagaimana ini boleh dilakukan? 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Salah satu cabaran besar dalam mengharungi zaman Kecerdasan Buatan A.I adalah untuk mempersiapkan generasi muda supaya memiliki "minda pertumbuhan". Bagaimana ini boleh dilakukan?

Teknologi masa kini mungkin membuatkan orang berasa sedikit lebih ‘kecil’ kerana ia seolah-olah dapat melakukan perkara-perkara yang kita mungkin tidak dapat lakukan.

Sekarang, kita boleh bertanyakan soalan kepada “Smartphone”; kita juga menggunakan GPS untuk panduan jalan raya. Nampaknya, keajaiban semalam telahpun menjadi harapan hari ini.

Oleh itu, bertemakan keadaan semasa, apakah kemahiran yang harus dilakukan oleh ibu bapa untuk mengajar anak-anak demi mempunyai peluang berjuang di masa hadapan yang dikuasai oleh robot dan Kecerdasan Buatan (A.I)?

Pada asasnya, ahli psikologi kanak-kanak umumnya bersetuju bahawa ia berdasarkan mengasah kemahiran yang tidak diperolehi oleh robot, iaitu rasa ingin tahu dan kreativiti.

PUPUK KREATIVITI & INOVASI 

Gambar fail kanak-kanak prasekolah. 

Penerimaan bahawa zaman dan situasi telah berubah adalah langkah pertama.

Oleh itu, membina rasa ingin tahu dan memupuk kreativiti anak anda adalah langkah seterusnya yang penting ke arah menyediakan mereka untuk masa hadapan.

Kerana, teknologi telah melakukan dua perkara pada masa kini: 1) ia telah menjadikan suasana persekitaran kita membangun dengan pesatnya, dan 2) ia memberi manusia lebih banyak pilihan dan persaingan.

Oleh itu, perasaan ingin tahu akan diperlukan untuk bersaing dengan perubahan teknologi hari esok. Kreativiti kemudiannya akan membolehkan kanak-kanak memanfaatkan pilihan tambahan yang disediakan oleh teknologi untuk mengubah alam sekitar mereka.

Dengan kata lain, Robot mungkin mampu mengangkat berat ribuan kilogram, melakukan pengiraan yang kompleks dengan cepat, dan menjangkau pengetahuan manusia, tetapi ia akan mengambil masa yang lama sehingga Robot dapat berfikir dangan kreatif dan berinovasi seperti manusia.

Justeru itu, perasaan ingin tahu yang diperlukan untuk mencapai tahap kreativiti sedemikian, akan memisahkan pemikiran anak-anak anda dari Robot.

RASA INGIN TAHU

Gambar hiasan. (Gambar hiasan: Edric Sng)

Saya yakin ramai ibu bapa hari ini sudah pun mencuba mengajar anak-anak kita tentang perasaan ingin tahu dan konsep kreativiti. Tetapi, itu sahaja tidak mencukupi.

Yang lebih penting adalah bagaimana kita melakukannya yang akan memberi mereka ketangkasan mental untuk mengharungi setiap cabaran pada masa akan datang.

Pertama sekali, berbincang mengenai perubahan pada Alam Persekitaran dengan anak kita.

Ini adalah taktik keibubapaan yang dapat membuat sesuatu situasi yang biasa, kelihatan luar biasa atau istimewa.

Contohnya, kedai runcit atau pasar raya mungkin tidak kelihatan begitu menarik, tetapi ada suatu masa dahulu di mana manusia perlu menternak semua makanan mereka dan/atau memburu dan membunuh haiwan untuk mengelakkan kelaparan.

Sekarang, kita hanya perlu masuk dan membeli makanan dari kedai atau pasar serbaneka.

Garis pemikiran ini membolehkan anak-anak menyedari bahawa perkara-perkara tidak selalu seperti ini.

Terdapat permulaan, pengakhiran dan proses evolusi. Menormalkan pemikiran seperti ini adalah penting.

HARGAI PROSES PEMBELAJARAN

Kanak-kanak di Tadika MOE yang terletak di Punggol View. (Gambar fail: MCI)

Terangkan kepada mereka akan daya tarikan iklan. Sebagai contoh, ibu bapa harus mula mengajar anak-anak memahami apabila mereka dimanipulasi dan bagaimana proses ini dilakukan.

Menggunakan TV sebagai contoh: Tunjukkan apa yang digunakan oleh para pengiklan untuk membuat anda membeli sesuatu produk.

Kita boleh bertanyakan soalan-soalan seperti ini: “Mengapakah mereka bermain muzik yang menyeronokkan dan menunjukkan warna-warna cerah? Adakah ia untuk menjadikan barang yang dijual ini kelihatan lebih menghiburkan?" Atau, "Adakah memaparkan model-model yang cantik benar-benar dapat membuat sesuatu makanan itu benar-benar rasa lebih sedap?"

Dapatkan anak-anak untuk menghargai proses pembelajaran: Secara umum, memupuk perasaan ingin tahu datang dari membenarkan anak-anak kita menghargai proses pembelajaran.

Kanak-kanak mungkin berhadapan dengan masalah pada masa akan datang jika mereka cuba untuk mendapatkan jawapannya dengan serta-merta tanpa mempunyai disiplin untuk mengasuh ilmu pengetahuan itu.

Oleh itu, ajarkan mereka untuk rajin menelaah dan menanyakan soalan-soalan untuk menjana semangat pembelajaran. Dari itu, mengimbangi impuls ini akan menjadi kunci dalam dekad yang akan datang.

SOKONG DAYA KREATIF

Kanak-kanak dan ibu bapa melukis bersama-sama. 

Sebenarnya, kreativiti bermula dari rumah. Kanak-kanak belajar dari mencontohi ibu bapa mereka sendiri. Salah satu cara untuk memupuk daya kreativiti anak anda adalah ketika mereka sedang melukis atau membina ataupun mewarna.

Jadi, ini adalah masa yang unggul untuk bersama anak kita. Pendekatan ini dapat memberikan peluang yang baik untuk ibu bapa memupuk ikatan yang kuat dengan anak-anak mereka di samping menikmati masa yang menyeronokkan.

Melakarkan ruang di mana anak kita boleh melahirkan rasa kreatif mereka di rumah adalah penting. Tetapi ini tidak bermakna kita harus mempunyai ruang yang mewah.

Sebaliknya, kita hanya memerlukan sudut kecil dengan karung LEGO atau kotak pakaian untuk menjana masa bermain bersama anak-anak kita. Kuncinya adalah untuk anak kita berasa seperti mereka mempunyai kuasa ke atas ruang mereka.

DERIA IMAGINASI

Taman permainan bertema di Muzium Negara Singapura. (Gambar: Muzium Negara Singapura)  

Mendedahkan anak-anak kita kepada dunia supaya mereka dapat menggunakan semua deria mereka adala satu cara untuk memupuk kuasa imaginasi mereka.

Dan ini tidak bermakna ia memerlukan sesuatu benda yang mahal atau rumit. Bawalah mereka ke perpustakaan, muzium, atau taman di luar rumah anda.

Minta mereka bayangkan perasaan mereka apabila mereka dapat pergi ke tempat yang jauh, seperti safari Afrika, atau tempat-tempat yang jauh.

Minta mereka bayangkan haiwan-haiwan yang akan mereka lihat. Apakah sekitaran yang mungkin kelihatan seperti Safari? Apa yang dapat dihidu di Safari? Apakah bunyi yang akan dibuat oleh haiwan itu? Imaginasi membantu untuk menerjahkan dan membuka kunci minda kreatif anak anda.

SEMANGAT KENTAL MANUSIA

Walaupun A.I dan Robotik mungkin hebat pada dasarnya, tetapi kekuatan minda kita dan semangat kental manusia tidak dapat disangkalkan juga.

Selagi anak muda kita tetap ingin tahu, bersemangat dan kreatif, saya percaya mereka akan memiliki kesungguhan dan keupayaan intelektual untuk memacu inovasi dan perubahan pada abad yang akan datang.

Mungkin kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku, tetapi kita boleh mempersiapkan anak muda kita untuk memiliki "minda pertumbuhan" (Growth mindset) untuk melayari cabaran hari esok.

MENGENAI PENULIS:

Hamidah Aidillah adalah Pengasas Parrot Social – firma Analitik Data yang menggunakan Kecerdasan Buatan (A.I) untuk membantu perniagaan dan institusi memahami dengan mendalam tentang media sosial dan trend-trend masa hadapan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan