Images
  • virus (5)
    (Gambar: TODAY/Yong Jun Yuan)

KOMENTAR: Cabaran virus korona COVID-19; banyak juga peluang kukuhkan perpaduan

BERITAmediacorp: Seperti yang pernah kita lalui semasa penularan virus SARS, virus korona COVID-19 juga menimbulkan pelbagai ujian dan cabaran ke atas masyarakat S’pura yang berbilang kaum dan agama.


Krisis penularan virus korona COVID-19 menguji tahap persiapan infrastruktur dan rangka perundangan negara kita termasuk persiapan mental dan perpaduan sosial rakyat kita yang berbilang kaum dan agama.

Ia juga mengembalikan kenangan pahit semasa negara kita dilanda wabak virus SARS pada 2003. Namun, pengajaran SARS dapat mengajar kita mengharungi krisis baru ini.

Seperti virus COVID-19, SARS juga menjejas prestasi ekonomi Singapura dengan ketibaan pengunjung dan pendapatan dalam sektor penjualan terjejas. Pemandu-pemandu teksi melaporkan penumpang yang berkurangan dan lebih ramai orang kehilangan pekerjaan mereka.

Semasa suku April-Jun 2003, kadar pertumbuhan ekonomi Singapura turun secara mendadak sebanyak 4.2 peratus jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Kunci kejayaan adalah pendekatan holistik oleh pemerintah dan semangat bersatu masyarakat pada masa itu dalam menangani isu bersama.

Strategi pemerintah Singapura dalam menangani SARS melibatkan pengesanan awal dan pengasingan kes jangkitan yang disyaki. Langkah-langkah itu termasuk mendidik orang ramai mengenai gejala virus tersebut dan bagaimana ia boleh dijangkiti.

Pemerintah juga mengedarkan lebih daripada 1 juta termometer. Pemeriksaan suhu badan juga dijalankan di sekolah-sekolah dan tempat kerja. Kementerian Kesihatan (MOH) juga menggunakan Akta Penyakit Berjangkit pada 24 Mac 2003 untuk mengkuarantin dan memantau pesakit SARS.

BANTUAN SEMASA SARS

Untuk mengelakkan penyebaran penyakit melalui teksi dan sistem pengangkutan awam, perkhidmatan ambulans swasta khusus telah ditugaskan untuk membawa pesakit yang disyaki ke hospital.

Dari segi ekonomi pula, pemerintah mengumumkan pakej bantuan bernilai S$230 juta pada 17 April 2003, khususnya untuk membantu industri yang terjejas termasuk rebat cukai diesel untuk teksi.


Rakyat Singapura juga menunjukkan semangat masyarakat mereka semasa krisis ini berlaku. Sukarelawan tampil ke hadapan untuk membantu menjalankan pemeriksaan suhu badan semasa acara-acara awam dan membantu mereka yang telah dikuarantin di rumah.

Individu-individu dan organisasi yang murah hati menderma kepada Dana Keberanian (Courage Fund), yang ditubuhkan untuk membantu pekerja penjagaan kesihatan dan mangsa SARS.

TINDAKAN TEGAS

Kini, untuk menentang wabak COVID-19, pemerintah Singapura juga mengambil tindakan yang tegas, tangkas dan tepat.

Sejurus selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dimaklumkan tentang kes-kes di Wuhan pada 31 Disember 2019, pemerintah mengumumkan pemeriksaan suhu badan untuk semua penerbangan yang tiba dari Wuhan di Lapangan Terbang Changi pada 2 Januari 2020.

Pada 22 Januari 2020 pula, Singapura menubuhkan Jawatankuasa Berbilang Kementerian untuk menyelaras rancangan yang merentasi agensi-agensi kementerian untuk menghadapi ancaman virus ini.

Menyusuli itu, pemerintah meningkatkan pelbagai langkah keselamatan. Pemerintah mengeluarkan nasihat perjalanan ke China, dan memperluaskan pemeriksaan suhu badan di lapangan terbang untuk semua penerbangan masuk dari China.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) tidak lagi mengeluarkan visa baru kepada mereka yang mempunyai pasport China. Pekerja-pekerja yang pulang dari China dikenakan cuti ketidakhadiran (leave of absence / LOA) selama 14 hari.

Perintah ini dikuatkuasakan dengan ketat. Pada 9 Februari 2020, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah membatalkan pas kerja 4 individu dan 6 majikan yang telah melanggar syarat LOA. Individu-individu tersebut dihantar pulang ke negara masing-masing dan diharamkan bekerja di Singapura untuk selamanya.

LANGKAH KESELAMATAN

Sekolah-sekolah juga meningkatkan langkah keselamatan dengan menghentikan perhimpunan beramai-ramai dan aktiviti-aktiviti luar darjah. Rangkaian klinik swasta, poliklinik dan hospital juga meningkatkan pemantauan mereka untuk mengesan kes-kes baru.

Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) juga telah mengumumkan bahawa tindakan membersihkan tempat-tempat dan pengangkutan awam akan dipertingkatkan lagi.

Setelah adanya kes-kes jangkitan virus korona di Singapura yang tiada kena-mengena dengan kes-kes import daripada China, pemerintah meningkatkan tahap amaran DORSCON (Sistem Keadaan Penularan Penyakit) ke warna Jingga pada 7 Februari 2020.

DORSCON Jingga hanya bermaksud bahawa walaupun penyakit ini mudah merebak, ia masih terkawal dan langkah-langkah keselamatan harus diambil.

Ini juga bukan pertama kali Singapura berada di DORSCON Jingga. Kali terakhir adalah semasa penularan influenza H1N1.

PERANGAI BURUK 

Namun menyusuli kenaikan DORSCON itu, ramai orang telah membanjiri pasar raya di Singapura untuk membeli beras dan barangan seharian yang lain, sehinggakan banyak stok kehabisan.

Oleh itu pemerintah mengumumkan bahawa bekalan beras dan barangan seharian lebih daripada mencukupi dan tiada sebabnya untuk kita menimbun bekalan di rumah. Ini juga berlaku dengan bekalan pelitup apabila ramai orang membeli pelitup, termometer dan barangan pembersih sehinggakan tiada stok lagi di kedai. Ada juga peruncit yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga yang tidak berpatutan.


Di samping itu, ada sebahagian masyarakat yang menyebar berita palsu dan khabar angin melalui gambar atau pesanan; ada yang mengulas tentang situasi ini tanpa beralas dan berhemah, dengan menghina kaum yang lain dan memberi komen yang berbaur perkauman.

Ada juga yang mempolitikkan keadaan ini dengan mengaitkan penularan wabak dengan balak yang ditimpa ke atas sesuatu kaum.

TUNJUKKAN PERPADUAN 

Inilah masanya untuk kita menunjukkan perpaduan dan saling bekerjasama dalam menghadapi krisis ini. Pertama, diskriminasi yang berlandaskan kaum tidak ada tempatnya. 

Secara jujurnya, virus korona baru ini tidak membezakan antara kedudukan, kaum atau agama, sama seperti virus-virus yang terdahulu.

Antara mangsa SARS termasuk orang Melayu (13.2%) dan India (11.6%). Umpamanya tidak semua umat Islam yang ke Timur Tengah untuk melakukan ibadah haji dan umrah adalah pembawa virus MERS. Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan atau mengasingkan sesuatu kaum. Sebaliknya, kita harus menunjukkan sifat keihsanan kepada mereka yang terjejas.

Kedua, kita tidak seharusnya panik dengan membeli bekalan secara mendadak. Ini menjejas ramai orang dan badan-badan kebajikan yang lebih memerlukan kerana stok berkurangan dan harga barangan mungkin meningkat.

JANGAN AMBIL KESEMPATAN
Di Singapura, beras adalah bahan terkawal di bawah Perintah Kawalan Harga (Beras) 1990 dalam Akta Kawalan Harga. Pengimport beras harus menyimpan sebahagian bekalannya di gudang yang ditetapkan oleh pemerintah.

Pemerintah berhak memperoleh beras (dengan bayaran pampasan) dalam keadaan darurat atau krisis. Oleh itu, bekalan barangan seharian seperti beras adalah mencukupi untuk rakyat Singapura.

Tambahan pula, Agensi Makanan Singapura (SFA) yang ditubuhkan pada 1 April 2019 untuk mengawasi keselamatan makanan (food security) juga akan memastikan bekalan makanan ke Singapura tidak terganggu.

Ketiga, kita harus memastikan krisis ini tidak memecahbelahkan kita terutamanya melalui ancaman di media sosial. Dengan rangka undang-undang berita palsu (POFMA), pemerintah dapat menyekat penularan berita palsu.

Namun, kita juga bertanggungjawab untuk menyemak dan mengenal pasti kesahihan sumber berita itu dengan merujuk kepada maklumat rasmi dari pihak kementerian. Bagi mereka yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan daripada krisis ini, kita boleh membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Singapura (CASE) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

MENYATUKAN RAKYAT

Krisis ini berpotensi untuk menyatukan kita bersama. Setelah pemerintah mengumumkan pengagihan lebih 5 juta pelitup untuk penduduk Singapura dua minggu lalu, ramai anggota akar umbi dan sukarelawan tampil ke hadapan untuk menyumbang.

Ada yang mengambil cuti dari pekerjaan dan berkhidmat bersama keluarga untuk mengagihkan pelitup kepada jiran tetangga mereka. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan agama; rakyat Singapura dan penduduk tetap yang berasal daripada negara lain.


Inilah semangat perpaduan dalam masyarakat kita. Dalam masa-masa yang mencabar ini, marilah kita menunjukkan keprihatinan kepada mereka yang terjejas.

Janganlah kita “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”; hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Biarlah kita bersikap “seikat bak sirih, serumpun bak serai”; bersatu hati menghadapi krisis ini bersama. 


MENGENAI PENULIS 

Zhulkarnain Abdul Rahim adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP. 

- BERITAmediacorp/tq

Top