Images
  • singapore
    Gambar fail para pekerja di kawasan Raffles Place. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

KOMENTAR: Cabaran penakatan pekerja Melayu - bantuan sentiasa ada untuk dimanfaatkan

BERITAmediacorp: Para pekerja termasuk pekerja Melayu kini berdepan dengan pelbagai cabaran seperti saingan semakin sengit mendapatkan pekerjaan. Bagaimana mereka dapat dibantu untuk menjamin penakatan pekerjaan.

Pasti ada yang sering mendengar keluhan rakyat Singapura tentang cabaran mencari kerja sejak beberapa tahun ini.

Daripada pekerja berkolar biru, hinggalah para lulusan baru institusi pengajian tinggi serta golongan PMET yang mempunyai kelulusan ijazah dan sarjana, ramai kini berdepan dengan pelbagai cabaran pekerjaan.

Bagi yang sudah mempunyai pengalaman bekerja, bukan sahaja mengeluh bahawa mereka harus menerima gaji yang lebih rendah, tetapi mereka juga jarang menerima panggilan untuk ditemuduga.

Walaupun ramai yang akur perubahan ekonomi dunia dan industri menjejas sektor pekerjaan Singapura, masih ada segelintir yang menyalahkan kemasukan ramai pekerja asing dalam industri pekerjaan setempat dan diskrimansi kaum dalam pengambilan pekerja menjadi antara penyebab utama.


Dalam menyiapkan edisi khas DETIK sempena Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, saya sempat mendapatkan pandangan beberapa orang pekerja dan juga karyawan daripada PMET Central, sebuah badan yang cuba menangani isu-isu pekerjaan di kalangan golongan karyawan, pengurus, usahawan dan teknisyen Melayu.

KEMAHIRAN DAN LATIHAN SEMULA

Dalam tinjauan rambang kami dengan orang ramai, hampir 70 peratus yang kami temui menggariskan kepentingan untuk mendapatkan latihan dan latihan semula untuk kekal relevan dalam alam pekerjaan.

Hal sama turut ditekankan oleh Dr Mohamad Shamsuri Juhari, Zamil Penyelidik daripada Insitut Pengajian Dasar, Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew.


Daripada kajian yang dijalankan mengenai keadaan sosio-ekonomi para pekerja Melayu/Islam di Singapura, Dr Mohamad Shamsuri mendapati bahawa ada segelintir anggota masyarakat Melayu yang kurang inspirasi dan motivasi untuk meningkatkan diri.

Masalah masa, isu penjagaan anak dan tidak mahu mengambil peperiksaan merupakan antara alasan yang sering diberikan oleh pekerja Melayu tentang mengapa mereka kurang minat untuk menjalani latihan pekerjaan.

Beliau menekankan betapa pentingnya untuk para pekerja meningkatkan kemahiran dan ilmu yang mempunyai kitan dengan pekerjaan mereka.

KURSUS BERKAITAN

Malah beliau menggalakkan para lulusan ITE dan politeknik untuk mengambil kursus-kursus yang berkaitan dengan industri yang mereka ceburi sambil bekerja.

Masalahnya, kata Dr Shamsuri, apa yang kita pelajari ketika di sekolah dan kelas, mungkin tidak lagi kena dengan industri yang kita ceburi.

“Industri bergerak dengan pantas. Bagi yang berpendidikan lebih tinggi seperti yang mempunyai ijazah, yang baru keluar universiti, mereka harus terima kenyataan yang sekarang ini, apa yang mereka pelajari di kelas-kelas universiti, mungkin tidak lagi kena dengan industri,” tambah Dr Shamsuri.

Oleh itu mereka harus menerima atau cari pekerjaan, mungkin yang tidak tepat sangat dengan apa yang mereka pelajari tetapi mungkin ada kena mengena dan relevan dengan industri hari ini, tegas beliau lagi.

PEKERJAAN MASA HADAPAN

Dalam ucapannya di Rapat Hari Buruh baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat turut menekankan pentingya para pekerja kita menyiapkan diri bagi pekerjaan masa hadapan melalui pendidikan sepanjang hayat.

Walaupun pentingnya pendidikan sepanjang hayat sudah ditekankan oleh pihak Pemerintah sejak beberapa tahun lalu, ia menjadi lebih mendesak sekarang memandangkan bakal ada industri dan peluang-peluang pekerjaan baru memasuki pasaran pekerjaan kita di masa yang akan datang.

Pastinya, ekonomi digital dan pendigitilan industri bakal merubah lanskap pekerjaan kita.

ERA DIGITAL 4.0

Salah satu pekerjaan yang semakin dikehendaki pasaran buruh adalah dalam bidang pendigitalan. Menurut Ketua Strategik dan salah seorang pengasas PMET Central, Encik Idham Ahmad, kursus Skills Future For Digital Workplace diterima baik oleh masyarakat Singapura amnya.


(Gambar-gamber: Murni Md Yusoff)

Hampir 80 peratus pesertanya adalah bukan pekerja Melayu dan mereka melihat pentingnya kursus sedemikian untuk pekerjaan.

Beliau berkata kursus sedemikian menyiapkan golongan bawah sehingga golongan atas PMET untuk mempersiapkan diri bagi era Digital 4.0.

Mereka diberikan asas yang kukuh untuk persiapkan diri termasuk mengambil kursus keselamatan siber, analisis data, ‘blockchain’ (blok rantaian) dan sebagainya.
Bagaimanapun semasa ia diperkenalkan kepada masyarakat Melayu, ramai yang mengatakan mereka tidak faham kursus yang diadakan dalam bahasa Inggeris.

Inilah salah satu bidang yang boleh dipelopori oleh badan seperti PMET Central, untuk mencari jalan bagi membantu para pekerja Melayu mengikuti kursus-kursus yang diperlukan untuk ‘pekerjaan masa hadapan.’

PMET CENTRAL

PMET Central ditubuhkan oleh sekumpulan PMET Melayu/Islam setelah satu perbincangan tentang kajian dan keadaan PMET Melayu/Islam yang dibentangkan oleh Dr Mohamed Shamsuri di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew.

Bimbang tentang hasil kajian itu, para anggota PMET berasa perlu diadakan semacam gerakan dan usaha untuk golongan ini. Maka terbentuklah badan PMET Central sebagai satu perusahaan sosial pada 1 Januari 2019.


Dr Mohamed Shamsuri juga merupakan salah seorang penasihat PMET Central.
Kerana tidak mahu pekerja Melayu/Islam ketinggalan dalam era digital, PMET Central telah memperkenalkan kursus Skills Future for Digital Workplace (SFDW) dalam bahasa Melayu sejak April lalu.

Kursus dua hari dalam Bahasa Melayu, yang pertama bagi kursus SFDW, dijalankan dengan kerjasama Training Vision di lima buah pusat di sekitar Singapura.

Antara topik yang dibincangkan dalam kursus yang mendapat sambutan yang baik di kalangan para pekerja Melayu, terutamanya yang kurang mahir berbahasa Inggeris, termasuklah apa itu ‘Internet of Things’ (IOT) dan keselamatan siber.

Dengan kerjasama yang dijalankan dengan Training Vision, badan keusahawanan sosial itu dapat menawarkan pelbagai kursus yang lebih sesuai untuk golongan PMET – daripada kursus sijil kemahiran jangka pendek sehinggalah diploma, diploma lanjutan, ijazah dan sarjana dengan universiti-universiti antarabangsa.

PROGRAM MENTOR

Selain kursus-kursus, PMET Central turut mengadakan program mentor bagi industri dan sesi rangkaian untuk memberi peluang kepada PMET-PMET berinteraksi dengan para CEO.

Sesi rangakaian ini memberikan para pekerja Melayu peluang untuk mengenali pekerjaan-pekerjaan yang ada dalam pasaran dan peluang-peluang yang ada.


Ini penting kerana pekerja Melayu sering ketinggalan peluang disebabkan kurangnya golongan Melayu/Islam yang terlibat dalam industri sumber daya manusia.

Disebabkan pengalaman dan kemahiran yang ada pada pekerja Singapura, Encik Idham dan Dr Shamsuri juga menggalakkan PMET Melayu memberanikan diri dan meneroka pasaran luar negara.

PMET Central, yang ingin menyemai ekosistem PMET di Nusantara ini, berwawasan untuk mewujudkan program bekerja di luar negara bagi lulusan universiti, politeknik dan ITE apabila ekosistem ini sudah kukuh kelak.

Ini untuk membolehkan para lulusan tersebut menimba pengalaman belajar ataupun bekerja dengan MNC-MNC di luar negara untuk menimba pengalaman dan kembali ke Singapura untuk mencurahkan pengalaman.

Salah satu kelebihan yang ada pada para PMET Melayu adalah kebolehan mereka berintegrasi dengan para pekerja rantau ini kerana mempunyai persamaan daripada segi bahasa, agama, adat dan budaya.

SENTIASA BERUBAH

Ekonomi kita akan sentiasa berubah. Globalisasi menjadikan dunia tanpa sempadan. Dan pastinya akan terdapat persaingan daripada dunia luar bagi pekerjaan yang sama.


DPM Heng Swee Keat (Gambar: Mediacorp)

Seperti kata DPM Heng untuk memastikan pekerja Singapura mendapat kehidupan yang lebih baik, ekonomi kita perlu melalui transformasi.

Gerakan buruh kerap menganjurkan kursus-kursus peningkatan kemahiran untuk membantu para pekerja bergerak seiring dengan kemajuan teknologi.

Tentu sekali buat pekerja Melayu/Islam, mereka tidak harus ketinggalan dalam merebut peluang-peluang latihan dan bantuan yang diberikan Pemerintah untuk memajukan diri.

JANGAN LEPASKAN PELUANG

Mereka tidak harus melepaskan peluang untuk mengikuti program-program seperti yang dikendalikan oleh Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) untuk mendapatkan pekerjaan.


Jika mereka lebih selesa berurusan dengan masyarakat sendiri, pertubuhan seperti PMET Central dan Mendaki Sense boleh membantu dalam memberikan peluang dan latihan yang diperlukan.

Seorang guru saya pernah berkata sewaktu di sekolah dahulu, kita perlu DUIT untuk menjalani hidup.

DUIT bukan setakat wang ringgit; selain Doa, perlu ada Usaha, Ikhtiar dan Tawakkal dalam menghadapi cabaran ekonomi – apatah ekonomi yang cepat berubah hari ini. 

- BERITAmediacorp/tq

Top