Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Cabaran Joe Biden kembalikan keunggulan Amerika

Sesudah pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang sengit dan nyaris memecahbelahkan rakyatnya, apakah laluan selanjutnya untuk bakal presiden ke-46 negara adikuasa itu?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Cabaran Joe Biden kembalikan keunggulan Amerika

Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. (Gambar: AP/Carolyn Kaster)

BERITAmediacorp: Sesudah pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang sengit dan nyaris memecahbelahkan rakyatnya, apakah laluan selanjutnya untuk bakal presiden ke-46 negara adikuasa itu?

Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. (Gambar: AFP/Jim Watson)

Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. (Gambar: AFP/Jim Watson)

PELBAGAI cabaran besar dan perih menanti Encik Joseph Robinette Biden (Joe Biden), 77 tahun, sesudah mengatasi pencabarnya, Presiden bertahan Donald Trump, 73 tahun, yang masih tegar untuk mengaku kalah, dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat minggu lalu.

Kejayaannya meraih 290 undi perwakilan (berbanding 213 oleh Trump) hanyalah berdasarkan unjuran rangkaian media pada Sabtu lalu (waktu Amerika). Lazimnya, Suruhanjaya Pilihan Raya Amerika memerlukan tempoh agak lama untuk mengesahkan seluruh pengundian di negara seluas 9.16 juta km persegi (keempat terbesar di dunia) dengan 330 juta penduduk.

Pilihan raya itu berlaku sedang Amerika menjadi negara amat teruk dicengkam pandemik COVID-19. 10 juta rakyatnya terjejas dan hampir 240,000 jiwa terkorban. Krisis kesihatan inilah antara isu yang telah melemahkan Encik Trump (tokoh ketiga selepas Jimmy Carter dan George Bush Sr, yang gagal untuk kekal dalam penggal kedua sebagai presiden).

(Gambar: Getty Images)

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. (Gambar: Getty Images)

Dengan mendedahkan kegagalan tragik pencabarnya, Encik Biden berikrar untuk mengutamakan sains dan kepakaran Amerika dalam mengatasi pandemik ini sebaik saja mengangkat sumpah pada 20 Januari depan.

DI SEBALIK DWIPARTI

Langkah pertama Encik Biden bak digariskannya dalam ucapan pertama selaku bakal presiden ialah menyatukan seluruh warga Amerika.

“Kita perlu membezakan antara pencabar dan musuh. Kita semua warga Amerika,” katanya dalam huluran salam kepada Encik Trump dan hampir 71 juta pengundi yang menyokong pencabarnya.

Hakikatnya AS sudah lama dicorakkan oleh sepak terajang dua parti politik utama iaitu Democrat (diasaskan pada 1828) dan Republican (sejak 1854). Jalur ini menentukan bukan saja undian dasar iaitu warga, bahkan sehingga kedudukan pegawai tinggi seperti hakim mahkamah agungnya.

Namun sejak 10 tahun terakhir ini, terutama dalam penggal Trump, jurang tadi kian melebar sehingga adakalanya tercetus suasana permusuhan yang melemahkan AS sendiri.

Gambar fail Rumah Putih di Washington. (Gambar: REUTERS/Yuri Gripas/Files)

Gambar fail Rumah Putih di Washington. (Gambar: REUTERS/Yuri Gripas/Files)

Selain menguasai Rumah Putih kini, Parti Democrat masih lagi menguasai Dewan Perwakilan dengan kedudukan di Dewan Senat pula bakal ditentukan dalam pengundian semula di Georgia. Dewan Perwakilan dan Senat membentuk Kongres Amerika sebagai institusi semak dan imbang terhadap kuasa Presiden.

Oleh itu, untuk melaksanakan perubahan besar, Encik Biden perlu meraih sokongan setiap jenjang kuasa di AS. Hal ini amat mencabar kerana banyak beban sejarah peninggalan para presiden terdahulu, termasuk Encik Trump, yang perlu disantuni.

HUBUNGAN KAUM

Dalam ‘menyembuhkan’ luka hati rakyat Amerika yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, Encik Biden bertekad untuk menjadi jambatannya.

Antara lain, beliau popular kerana menyokong kempen ‘Black Lives Matter’ yang bertujuan menuntut reformasi ke atas sistem polis yang dinilai sering menzalimi suspek minoriti, terutama kaum kulit hitam.

Itulah sebabnya strategi Democrat untuk menampilkan seorang wanita yang berdarah Afrika-India sebagai naibnya dianggap penting. Mentelah Encik Biden perlu ‘membalas budi’ para penyokong kulit hitam (Afrika-Amerika) khususnya Senator Tim Scott dari wilayah Carolina Selatan.

(Gambar: AFP)

(Gambar: AFP)

Dari segi kependudukan atau demografi, kini 60 peratus warga Amerika merupakan kulit putih. Namun dalam beberapa tahun menjelang, angka ini akan merosot.

Lantaran itu, terdapat tuntutan yang bersifat radikal daripada serpihan majoriti kulit putih seperti gerakan White Supremacy (Ketuanan Kulit Putih) untuk cuba terus berkuasa. Kononnya, gerakan sedemikian disokong Encik Trump walaupun kalangan penasihatnya telah menafikan.

REFORMASI

Encik Biden perlu dilihat dalam melaksanakan reformasi dari segi perundangan dan pelaksanaannya di AS khususnya layanan dalam membela minoriti atau golongan memerlukan tanpa terlalu membebankan golongan majoriti.

Misalnya dari segi kesihatan, sistem Akta Kesihatan Dimampui atau Obamacare dinilai amat ihsan tetapi diselar kerana memaksa setiap orang mempunyai insurans dengan premium tinggi.

Akibatnya, majikan enggan menggajikan pekerja menurut waktu kerja demi mengelak membayar caruman kepada dana kesihatan ini. Oleh itu, pasukan Encik Biden perlu menyemak Obamacare agar lebih berdaya tahan.

Perubahan iklim membawa kepada beberapa bencana alam semula jadi. (Gambar: AFP/Jewel Samad)

Gambar hiasan, perubahan iklim. (Gambar: AFP/Jewel Samad)

Dari segi sekitaran, Encik Trump telah menarik keluar Amerika Syarikat dari Perjanjian Paris yang membela kesejahteraan alam sekitar jagat. Encik Biden berjanji untuk mengembalikan AS sebagai pembela utama sekitaran. Namun ini perlu terlebih dahulu dijayakan di AS sendiri dari segi mengurangkan pengeluaran karbon sehingga mencegah pembakaran, termasuk kawasan hutan di California.

Amerika Syarikat mempunyai golongan terkaya tertinggi di dunia. Namun jurang kaya miskin atau kesenjangan juga amat ketara. Oleh itu, bak kata bakal Naib Presiden Kamala Harris, Amerika perlu menyusun strategi cukai demi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

PERIUK NASI

Soal ‘bread and butter’ (periuk nasi) merupakan isu terdekat pada hati rakyat AS dan di negara mana pun. Pentadbiran Trump yang menggunakan cogan kata ‘America First’ telah cuba menyekat syarikat Amerika daripada melabur keluar ke pasaran yang murah atau disebut penyumberan luar (outsourcing).

Mentelah Amerika mengalami defisit atau kurangan dagangan besar dengan banyak negara, terutama sekali dengan China. Kononnya, cara Trump didakwa telah mengurangi kadar pengganguran dalam negeri dan ini antara kekuatan kempen siasahnya. Namun gambaran ini silap. Bahkan defisit dagangan AS dengan China terus meningkat.

Pemansuhan tarif adalah syarat penting bagi China dan AS mencapai fasa pertama perjanjian perdagangan. (Gambar: Aly Song/Reuters)

(Gambar: Aly Song/Reuters)

Oleh itu, Encik Biden perlu realistik demi memastikan ketegasan pentadbirannya terhadap China walaupun tidak setegar pentadbiran pendahulunya. Hakikatnya sejak 2019 menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), China (1.42 bilion penduduk) telah bangkit mengatasi AS sebagai ekonomi terbesar dunia.

KEPIMPINAN JAGAT

Amerika Syarikat muncul sebagai pemimpin utama dunia sejak tamat Perang Dunia Kedua – menggantikan Britain yang pernah mempunyai empayar luas.

Dalam apa jua perikatan antarabangsa, peranan AS amat diperlukan dalam kemuafakatan termasuk memelihara peranan badan jagat seperti Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehinggalah badan-badan di bawah naungannya seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Namun pentadbiran Trump telah memilih untuk bertindak sepihak (unilateral) dengan menyalahkan China sebagai punca COVID-19 dan mengutuk WHO kerana bersengkokol dengan China. AS telah keluar daripada WHO.

Ibu pejabat WHO di Geneva. (Gambar: Fabrice COFFRINI/AFP)

Ibu pejabat WHO di Geneva. (Gambar: Fabrice COFFRINI/AFP)

Seyogia menurut para pengamat ternama dunia seperti Prof Kishore Mahbubani dari Singapura, paksi jagat kini amat ditentukan oleh jalinan Amerika dan China.

Namun perang dagang antara mereka sehingga isu China ingin menegaskan kedaulatannya ke atas Laut China Selatan (yang turut dituntut kalangan negara ASEAN), telah mengeruhkan suasana jagat.

Oleh itu, Amerika pimpinan Encik Biden pasti berdepan dengan isu-isu antarabangsa yang sukar, khususnya China bak naga yang sedang kembang sayap.

Perhitungan dimensi ini akan menentukan apakah zaman kehebatan AS atau Pax Americana berterusan atau tidak.

KESIMPULAN

Ketika menyambut sorakan ramai untuk menyaksikan ucapan sulungnya, Encik Biden tampak berlari anak di pentas – melambangkan ‘tenaga mudanya’ di sebalik usia lanjut.

Memang beliau luas pengalaman sebagai diplomat jagat dan pentadbir cekap, namun dikhuatiri masa mungkin tidak menyebelahinya dalam maraton perih kepimpinan Amerika dan jagat.

Adakah Cik Harris dapat mengisi kekosongan andai berlaku kejutan?

Raman Daud. (Gambar: Raman Daud)

MENGENAI PENULIS
Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan