Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Cabaran dunia semakin berat atau kita semakin ganas

Dunia belum sebulan dalam 2021, kita sudah digemparkan dengan pergolakan di sana sini .  Apakah punca sesetengah pergolakan yang sukar sekali dibendung?  

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Cabaran dunia semakin berat atau kita semakin ganas

Pihak berkuasa suraikan penunjuk perasaan dari Capitol AS pada 6 Jan 2021 (Gambar: AP Photo/Jacquelyn Martin)

Kita mungkin baru saja ingin menghela nafas yang sedikit panjang selepas setahun bergelut dengan pandemik COVID.

Penemuan dan pengagihan penawar bagi membendung virus yang cukup liat ini, membuatkan kita meletak harapan yang agak tinggi bagi 2021.

Kita mengharapkan dunia bakal dapat kembali kepada kehidupan sedia kala apabila vaksin yang dinanti-nantikan  ini mula menunjukkan ‘keajaibannya’. 

TANDA TANYA BESAR

Tetapi apa yang berlaku sejak kebelakangan ini seharusnya membuatkan kita berfikir beberapa kali tentang apa sebenarnya yang menantikan kita dalam tahun 2021.

Bukan sahaja dari segi pandemik, malah juga perkembangan politik dan kesenjangan ekonomi global,  masih memberikan kita tanda tanya besar mengenai jangkaan bagi tahun ini.

Selain pandemik COVID, salah satu petanda besar bahawa 2021 mungkin terus mencabar adalah apa yang berlaku di Washington, Amerika Syarikat minggu lepas.

Seorang penyokong Trump cuba melepasi hadangan polis di luar Capitol AS pada 6 Jan 2020 (Gambar: AP/Julio Cortez)

‘Serangan dan pertempuran’ oleh segerombolan anggota kumpulan-kumpulan pelampau pro-Donald Trump ke atas bangunan penggubal dasar Amerika, Capitol Hill – bukanlah satu peristiwa sekelip mata yang bakal lesap dari penglihatan dan pemikiran kita dengan begitu sahaja.

TUMPUAN SERANGAN

Menurut sejarah, peristiwa Rabu lalu merupakan kali pertama sejak lebih 200 tahun, bangunan Dewan Kongres itu menjadi tumpuan serangan.

Kali terakhir ia telah diserang oleh tentera British yang terlibat dalam perbuatan membakarnya, semasa perang Amerika-Britain tahun 1812.

Yang menjadikan peristiwa minggu lalu lebih memeranjatkan daripada 1812, adalah kerana pelibatan ketua negara Amerika sendiri dalam menghasut puluhan ribu pengikutnya supaya ‘memberontak’ dan menunjukkan kekerasan – semata-mata kerana  tidak puas hati dengan kekalahannya dalam pilihan raya November lepas.

Kesan dan gegaran akibat ‘serangan’ tempoh hari di Washington itu masih boleh dirasakan, malah tentunya bakal meninggalkan ‘parut  luka’ yang agak mendalam kepada sejarah dan tradisi politik Amerika.

Apakan tidak, dakwaan Kongres ke atas Trump dalam usul terbaru penyingkiran ke atasnya, jelas menyebut perbuatan Trump dalam ‘menghasut’ para penyokongnya, tidak lain melainkan satu ‘hasutan pemberontakan.’   

Kalau kita tidak boleh mengingati sebarang perisitwa yang sama di mana seorang presiden negara demokrasi besar dikenakan dakwaan sedemikian, memanglah kita tidak salah  menganggap bahawa ia tidak pernah berlaku dalam sejarah.

LUAR BIASA

Memanglah tidak salah juga untuk kita melihat peristiwa tersebut sebagai agak ganjil dan cukup luar biasa bukan sahaja bagi rakyat Amerika tetapi bagi kita semua.

Peristiwa kebakaran bangunan parlimen Reichstag, Jerman (1933, Wikipedia) 

Kalau kebakaran bangunan parlimen Jerman, Reichstag pada tahun 1933, menjadi alasan bagi Adolf Hitler untuk membolehkan parti Nazinya berkuasa di Jerman – yang kemudian mencetuskan Perang Dunia Kedua – bayangkan apa akan berlaku kepada dunia jika demokrasi Amerika Syarikat akhirnya runtuh akibat permainan politik tokoh-tokoh tidak bertanggungjawab.

Kini Trump sudahpun didapati bersalah oleh Dewan Perwakilan Amerika dan menantikan kelulusan Dewan Senat  untuk ‘penyingkirannya’.

Ada mungkin melihatnya satu tindakan menabur air di daun keladi  kerana tempoh khidmatnya tinggal kurang seminggu sahaja.

Namun kesalahan serius yang telah beliau lakukan memang perlu dicatatkan dengan jelas dalam sejarah sebagai titik hitam yang tidak harus dibenarkan berlaku lagi, demi kelangsungan demokrasi yang sihat.

SEPERTI SEDIAKALA

Walaupun pentadbiran baharu Joe Biden bakal mengambil alih kuasa dalam beberapa hari lagi – di mana Amerika dan sebahagian besar dunia, mengharapkan ketenangan dan kewarasan politik pulih seperti sediakala – tiada siapa yang boleh beri jaminan bahawa 2021 akan menjadi lebih tenang dibandingkan tahun sebelumnya.

Mungkin juga ekoran peristiwa Rablu lalu, sistem demokrasi Amerika yang sudah berusia lebih 200 tahun bakal menjadi lebih kuat dan lebih kalis terhadap sebarang gangguan pada masa-masa akan datang.

Mungkin sistem politik dan rakyatnya akan menjadi lebih matang lagi sehingga dapat mengelakkan kegenjotan dan pergolakan yang dicetuskan orang seperti Trump.

Kita boleh mengharapkan sedemikian dan terus bersikap optimistik bahawa sesuatu yang lebih baik akan muncul daripada pergolakan dan keadaan politik yang cerca merba sejak empat tahun lalu itu.

ZAMAN MARAH-MARAH

Bagi ramai pemerhati pula – termasuk ramai yang melihat zaman kita hari ini sebagai zaman marah-marah (Age of Anger) seperti yang diungkapkan oleh penulis kelahiran India, Pankaj Mishra.

Beliau melihat banyak trend keganasan dan kekerasan di sana sini, di mana kumpulan,  malah juga orang biasa, mudah sekali terpengaruh dengan fahaman dan tindak tanduk keras setiap kali dihasut oleh para pemimpin mereka.

PENGARUH KUAT

Bagi pengamat British, Martin Wolf pula, ketegangan politik sebagai antara beberapa ‘pengaruh kuat’ (political forces) - selain daripada perubahan teknologi, deglobalisasi, ketidaksamarataan dan beban hutang berleluasa – yang akan mempengaruhi perubahan dunia untuk beberapa tahun akan datang.

Maksud beliau adalah kalau pun bukan kerana pandemik COVID,  landskap sejagat kita memang sudah pun dipenuhi dengan pelbagai tekanan dan pancaroba yang sentiasa menguji ketabahan dan daya tahan kita semua.

TIDAK TERLEPAS

Oleh itu dalam kita mendengar atau terbaca pergolakan di sana sini, seperti pergolakan yang tidak dijangkakan ketika peralihan kuasa di Amerika Syarikat, kita tidak harus menganggap ia hanya boleh berlaku  di negara orang lain sahaja.

Hakikatnya, selagi kita semua sebahagian daripada rangkaian masyarakat sejagat, kita tidak akan terlepas daripada pelbagai tekanan hebat dari setiap pelusuk kehidupan.

Dan jika semua tekanan ini tidak ditangani dengan baik, ia juga bakal menjerumuskan kita ke dalam kancah pergolakan yang dilalui orang lain.



Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan