Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bukan sahaja perlukan penyesuaian, Aidilfitri kali ini juga ada natijah lain

Bagaimana sambutan Hari Raya yang istimewa ini boleh dijadikan pemangkin bagi usaha kita menutup segala kekurangan dalam masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bagaimana sambutan Hari Raya yang istimewa ini boleh dijadikan pemangkin bagi usaha kita menutup segala kekurangan dalam masyarakat.

Berhari raya kali ini dalam suasana kita menangani musibah wabak COVID-19 tentunya menimbulkan banyak perasaan sedih.

Tidak seperti masa-masa lalu, tahun ini kita tidak boleh menyambut perayaan yang penuh bermakna ini sebagaimana yang diamalkan dalam masyarakat Melayu.

Gambar hiasan.

Misalnya mengadakan majlis kenduri arwah bersama keluarga dan jiran tetangga pada malam raya, bertakbir dan melakukan solat Aidilfitri di masjid dan menziarahi saudara-mara dan jiran tetangga.

Sebelum ini, langkah-langkah penting dan berjaga-jaga yang diambil pemerintah untuk mengekang penularan wabak ini juga menjejas segala persiapan hari raya seperti membeli baju baru atau perkakas rumah di bulan Ramadan.

Namun di sebalik kesedihan ini, kita boleh mengambil iktibar daripada apa yang berlaku apabila kita melihatnya dari sudut positif: Syukur kita masih diberi kesempatan untuk beraya!

ERA DIGITAL

Apabila kita sebut tentang Hari Raya di Singapura, tentu sekali banyak perkara yang terkait dengan amalan-amalan agama dan budaya.

Sebenarnya, COVID-19 ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada usaha-usaha kita melangkah ke era digital.

Kebelakangan ini, pemerintah telah berusaha mentransformasikan negara kita untuk menjadi sebuah negara bijak. Penggunaan teknologi, kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat (IT) amat ditekankan.

Sebagai contoh, tahun ini, bagaimana kita menunaikan bayaran zakat kita? Kita telah memanfaatkan bayaran zakat fitrah dan harta menerusi talian demi mematuhi dasar-dasar yang menghadkan pergerakan.

Encik Muhammad Radziyani antara mereka yang membayar zakat gunakan kaedah elektronik (Gambar: MUIS)

Tambahan lagi, dengan penutupan masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan, kelas-kelas agama juga terjejas dan ini sekali gus menjejas mata pencarian asatizah kita.

TERUSKAN PENYESUAIAN

Larangan ibadah di masjid-masjid tidak ada kena-mengena dengan orientasi agama yang progresif kerana ia satu tindakan yang perlu dan dilakukan di semua negara yang terjejas akibat COVID-19. Mereka juga mengurangkan dengan banyaknya jemaah di Masjidil Haram (Makkah), Masjid Nabawi di Madinah, dan Masjid Al-Aqsa di Palestin.

(Gambar: Petikan skrin FB Live Masjid Al-Ansar)

Namun asatizah kita meneruskan kelas-kelas mereka dalam talian, walaupun mereka harus berkongsi ruang dengan pendakwah-pendakwah dari Indonesia dan Malaysia. Bagi mereka yang gemar pada ceramah-ceramah agama dalam bahasa Inggeris, mereka akan ikut ceramah-ceramah dari pendakwah-pendakwah dari seantero dunia.

Saya fikir kita boleh meneruskan penyesuaian ini buat amalan-amalan agama dan budaya yang lain. Sepanjang masa pemutus lingkaran, pertemuan atau mesyuarat dijalankan lewat wadah-wadah dalam talian seperti Zoom atau Skype.

Justeru, kita masih boleh tetap mengamalkan kegiatan agama kita lewat teknik yang serupa. Apa salahnya membaca doa beramai-ramai melalui wahana-wahana tersebut?

Ini adalah lanjutan pada khutbah-khutbah dalam talian yang disampaikan asatizah-asatizah kita. Ini memastikan aspek-aspek kerohanian tidak ditinggalkan dengan penggunaan teknologi, cuma konsep ruang (space) berubah.

CARA ALTERNATIF

Bagi mereka yang baru sahaja mahu berjinak-jinak dengan teknologi dalam mengamalkan agama, ini baru detik permulaan. Tentu sekali setiap permulaan memerlukan penyesuaian sebelum ia menjadi lumrah atau normal.

Pernah satu ketika, penggunaan kamera dilarang di masjid-masjid di Arab Saudi tetapi sekarang sudah menjadi perkara biasa. Malah kita boleh tonton masyarakat Islam bertawaf di Baitullah 24 jam sehari melalui Internet.

Penggunaan Zoom dan Skype juga boleh dilanjutkan ke aspek budaya terutama pada musim raya tahun ini. Tentu sekali ia tidak dapat menggantikan pertemuan secara muka dalam sesi-sesi kunjung-mengunjung.

Namun, kita boleh menyapa saudara-mara kita melalui teknologi. Jika ada keprihatinan tentang pembahagian duit raya kepada anak-anak kecil dan orang-orang tua, bolehlah kita lakukannya melalui urusan perbankan dalam talian.

Yang jelas, ada cara-cara alternatif yang kita boleh lakukan dalam Hari Raya tahun ini. Walaupun cara amalan boleh berubah, makna dan prinsip amalan-amalan tersebut dalam masyarakat kita kekal utuh.

Kita masih boleh menghormati orang tua, menjalin keharmonian kekeluargaan dan semangat masyarakat dan persaudaraan.

KESEDIAAN DAN PERSEDIAAN

Walaupun banyak cara yang boleh dilakukan demi meneruskan musim perayaan tahun ini, cabaran utama buat kita adalah kesediaan dan persediaan. Saya berpendapat bahawa aspek kesediaan sudah dipenuhi seperti mana masyarakat kita mematuhi larangan-larangan pemerintah dan tidak mempertikaikannya.

Misalnya, masyarakat kita terima hakikat tidak boleh solat Jumaat. Ini bermakna bukan sikap atau budaya Melayu yang harus dipersalahkan jika mereka tidak mendakap wadah-wadah alternatif ini.

(Gambar: AP)

Namun, aspek persediaan masyarakat kita perlu dinilai dengan lebih lanjut. Bak kata mudah, bukan
mereka tidak mahu, tetapi mereka tidak boleh kerana sebab-sebab tertentu.

Huraiannya perlu difikirkan bersama pihak wewenang, badan-badan bukan pemerintah dan golongan kelas menengah dan elit.

JURANG DIGITAL

Saya rasa masyarakat kita masih terbelenggu dengan jurang digital, jurang mereka yang mahir dalam penggunaan teknologi dengan mereka yang mungkin belum celik komputer. Aspek sosio-ekonomi kita yang terkebelakang juga menjejas keupayaan kita untuk maju ke hadapan.

Apabila pemerintah mengumumkan pembelajaran di rumah sepanjang tempoh pemutus rangkaian dilaksanakan, ada yang mempunyai kepayahan membuat penyesuaian kerana tidak cukup peralatan komputer riba atau bagi keluarga yang lebih besar, berkongsi dengan adik-beradik.

Soal keselesaan juga adalah satu isu bagi mereka yang tinggal di rumah-rumah pangsa yang kecil dan mempunyai ramai penghuni. Ini menjejas pembelajaran dari rumah dan berbeza buat mereka yang menghuni rumah-rumah privet dan banglo.

Inilah saat kita fikirkan tentang nasib golongan yang memerlukan dan mempunyai empati terhadap golongan ini.

Kadangkala, kedudukan kita yang berbeza menyebabkan kita tidak bersimpati dengan golongan ini dan merasakan apa yang baik buat kita tentunya baik buat mereka. Sebagai contoh, tidak semua dalam masyarakat kita boleh bekerja dari rumah.

SALURKAN SUMBER

Selain memikirkan tentang golongan yang kurang berkemampuan, demi mencari huraian masalah masyarakat, kita perlu fikirkan cara terbaik menyalurkan sumber buat kemahiran-kemahiran penting.

Misalnya, COVID-19 mengajar kita perlunya kita menyumbang kepada sains dan teknologi. Di sini, badan-badan dan institusi-institusi masyarakat seperti MUIS, Mendaki dan badan-badan Melayu/Islam mesti memberikan isyarat penting agar masyarakat kita menyalurkan dana, geran, biasiswa ke arah sedemikian.

Kita tidak seharusnya membantu satu golongan dan ketepikan golongan yang lain. Semoga di Hari Raya yang istimewa ini dijadikan pemangkin bagi usaha kita menutup segala kekurangan dalam masyarakat.

Adalah diharapkan juga agar kita mendapat natijah yang baik di masa-masa akan datang jika dibebani dengan cubaan yang sedemikian hebat.

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau penulis The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan