Images
  • msia kl
    Suasana di Kuala Lumpur selepas berlakunya COVID-19. (Gambar fail: Reuters) 

KOMENTAR: Budaya politik M’sia - antara memaafkan dan melupakan

BERITAmediacorp: Budaya melompat parti dalam kalangan sesetengah pemimpin politik menunjukkan identiti dan ideologi parti sudah tidak lagi penting? Yang menjadi dorongan mereka hanyalah di mana adanya kuasa?


(Gambar fail: AFP)

Pada bulan Februari lalu, politik Malaysia digegarkan dengan peletakan jawatan secara mendadak Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana Menteri.

Tindakan itu diambil sejurus “Langkah Sheraton” apabila ada beberapa ahli parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang bertindak keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Golongan ini disertai beberapa pemimpin kanan PKR (Parti Keadilan Rakyat) seperti Azmin Ali dan Zuraidah Kamaruddin.

Hasil daripada tindakan ini adalah keadaan tidak menentu selama beberapa hari, sehingga memerlukan campur tangan Yang di-pertuan Agong Malaysia.

Campur tangan Istana ini berakhir dengan penamaan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan dan tertubuhnya kerajaan PN (Perikatan Nasional) dengan sokongan UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), PAS, dan (GPS) Gabungan Parti Sarawak.

Episod ini seakan-akan bakal berulang lagi setelah pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim mengadakan satu sidang media (Rabu lalu) dan mengisytiharkan bahawa beliau sudah mempunyai sokongan yang mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan baru.


Beliau akan menghadap Yang Di-pertuan Agong dalam masa terdekat untuk menyatakan hasrat beliau membentuk kerajaan tersebut, walaupun enggan memberikan senarai penyokong beliau.

Jika benar kata Anwar itu, ini bermakna kerajaan Muhyiddin adalah yang tersingkat dalam sejarah Malaysia.

BUKAN KALI PERTAMA

Namun, ini bukan kali pertama Anwar menyatakan beliau meraih sokongan untuk membentuk sebuah kerajaan.

Ramai yang tentu masih ingat setelah pilihan raya 2008, Anwar juga membuat pengumuman yang serupa, bahawa beliau akan membentuk kerajaan pada tarikh 16 September.

Tarikh itu signifikan kerana itulah tarikh sempena pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963, di mana Sarawak, Sabah dan Singapura masuk Malaysia.


Pilihan raya 2008 juga detik permulaan di mana kerajaan BN (Barisan Nasional) tidak memperolehi dua pertiga kerusi di parlimen, sesuatu yang pasti pada pilihan raya sebelum itu. Namun, hasrat Anwar itu tidak menjadi.

PELUANG TERAKHIR

Ini mungkin peluang terakhir Anwar untuk menjadi perdana menteri Malaysia. Jika beliau tidak dapat membuktikan sokongan yang dikatakan beliau telah dapat ini, maka persepsi rakyat terhadap kredibiliti beliau akan terjejas teruk.

Ibarat kisah kanak-kanak tentang seorang gembala kambing dan serigala, di mana percubaan si penggembala memperolok-olok orang kampung akan ancaman serangan serigala akhirnya memakan diri sendiri.

Orang kampung tidak percaya pada si gembala lagi setelah dua kali beliau melakukan helah yang sama. Setelah kali kedua membuat pengumuman besar ini, ia diharapkan berlaku.

Jika tidak, ini hanya akan menguatkan lagi kenyataan seteru politik beliau, termasuk Mahathir sendiri, bahawa Anwar hanya bercita-cita untuk menjadi perdana menteri.


(Gambar fail: Lim Huey Teng/REUTERS)

Ada juga yang menyatakan tindakan Anwar yang membuat sidang media ini apabila Malaysia sedang dilanda krisis COVID-19, yang menjejas ekonomi dan pekerjaan rakyat, dianggap sebagai tidak sensitif.

Mentelah, kerajaan Muhyiddin dan penjawat awam bermati-matian melawan pandemik ini. Bagi rakyat biasa, ini bukanlah masanya untuk berpolitik.

Tindakan ahli-ahli politik yang mementingkan kuasa juga akan membebankan kos sara hidup rakyat, lebih-lebih lagi jika negara perlu menjalani satu lagi pilihan raya umum dalam masa dua tahun.

BUDAYA POLITIK

Secara umumnya, tingkah laku tokoh-tokoh politik mencerminkan budaya politik sesebuah negara. Keupayaan mereka memerintah juga akan menjadi tatapan kepada rakyat, dan akan menjadi perbualan bagi generasi-generasi mendatang.

Kelakuan yang baik dan berprinsip tentu akan menjadi teladan yang baik buat rakyat. Malah budaya politik yang ingin ditonjolkan penting agar kepercayaan terhadap pemimpin dan fungsi institusi-institusi politik di mata rakyat kekal kukuh.


(Gambar fail: Saeed Khan/AFP)

Sebaliknya, jika kelakuan pemimpin hanya demi kuasa dan pangkat, ia akan memberi kesan negatif buat tatapan masyarakat.

Yang lebih berbahaya, ia akan juga menjadi budaya etika di peringkat mikro: seperti di peringkat kepimpinan negeri, tempat kerja, atau dalam keluarga. Lebih malang jika ahli-ahli politik tidak menolak sekeras-kerasnya rasuah.

Politik yang murni akan membuat pemerintahan negara lebih terarah. Ia memberikan tanggungjawab besar kepada para pemimpin yang berupaya memikirkan hal-hal berskala makro, dan bukan perkara-perkara remeh.

BUDAYA MEMAAFKAN

Dasar-dasar negara perlu memanfaatkan rakyat secara umum, dan bukan hanya yang segelintir. Pada dasarnya, semua kerajaan yang ada di Malaysia berjaya memartabatkan kehidupan rakyat.

Banyak kemajuan yang telah dicapai sejak negara tersebut merdeka pada tahun 1957. Namun, budaya personaliti dalam politik masih ketara.

Setiap negara perlukan seorang negarawan, yang akan sentiasa menegur pemimpin yang tidak berada di landasan yang betul.

Walaupun perbezaan pandangan adalah perkara biasa, namun sifat balas dendam bukanlah satu perkara yang baik dalam berpolitik.


(Gambar fail: Malay Mail) 

Malah, jika kita lihat, budaya melompat parti dengan amat kerap menunjukkan bahawa identiti parti-parti politik sudah semakin menurun, dan ideologi sudah tidak lagi penting dalam pembentukan perjuangan politik. Kini, pergerakan dalam politik hanya berlandaskan di mana adanya kuasa.

Kalau direnung sejenak, budaya memaafkan amat kuat dalam politik Malaysia. Apakah ini satu perkara yang baik atau buruk?

TIDAK JELAS

Pada dasarnya, prinsip memaafkan itu baik, kerana ia berlandaskan ajaran Islam. Tetapi adakah memaafkan seseorang itu kerana kuasa atau atas landasan perjuangan?

Misalnya, Mahathir dan Anwar pernah menjadi seteru kuat selama dua dekad, kemudian berbaik semula sebelum pilihan raya 2018. Kini, pergeseran antara kedua-dua tokoh wujud lagi setelah Pakatan Harapan tumbang.

Polemik antara dua individu ini hanya akan membantutkan usaha agar pemimpin muda dapat ke hadapan.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga menampakkan usaha berbaik-baik semula dengan seteru kuatnya iaitu UMNO pada satu masa dahulu.

Namun, apakah ini bermakna perbezaan prinsip yang diperjuangkan sudah sama? Ini masih belum dijelaskan. Bagaimana pula tindakan pemimpin dahulu yang sampai kafir-mengkafirkan satu sama lain?

Jelas, bagi sesetengah pihak, dalam usaha untuk memaafkan seseorang, belum pasti boleh melupakan.


MENGENAI PENULIS
Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau penulis buku The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia (Amsterdam University Press, 2018) 

- BERITAmediacorp/aq

Top