Images
  • Haniff Hassan
    Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan. (Gambar: RSIS)

KOMENTAR: Boleh bahagi harta sama rata kepada anak lelaki, perempuan dalam Islam?

BERITAMediacorp: Secara konvensional, masyarakat muslim tahu bahawa dalam pembahagian harta mengikut hukum faraid, anak lelaki mendapat 2 bahagian harta berbanding anak perempuan.

Namun dalam masyarakat moden yang semakin kompleks dan menekankan kesaksamaan, apakah boleh dibahagikan harta peninggalan mengikut pengagihan sama rata? Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan mengupas persoalan tersebut secara terperinci dalam artikel KOMENTAR yang beliau sumbangkan kepada BERITAMediacorp ini:


(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

PEMBAHAGIAN pusaka orang Islam di Singapura tertakluk pada peruntukan undang-undang dalam Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla). Seksyen 121 dari Akta ini pula memperuntukkan bahawa bahawa harta Muslim yang berdomisil di Singapura yang meninggal dunia tanpa berwasiat hendaklah dibahagi mengikut undang-undang Islam. Dalam keadaan seperti ini pembahagian pusaka akan bergantung pada hukum faraid dalam sijil pusaka dari Mahkamah Syariah Singapura.

Kadar bahagian waris yang layak mewarisi berbeza bergantung pada senarai waris yang ada. Anak-anak lelaki dan perempuan akan berkongsi baki dari harta yang diberi kepada waris-waris yang mempunyai bahagian yang ditentukan seperti separuh, seperempat atau sepertiga. Anak-anak lelaki pula akan menerima dua bahagian dari baki harta itu dan anak-anak perempuan pula satu bahagian.

Sebagai contoh, jika baki harta warisan setelah dibahagi kepada waris yang mempunyai bahagian yang tetap berjumlah S$100,000 dan si mati meninggalkan seorang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan, harta baki itu akan dibahagi kepada lima bahagian seperti berikut: Anak lelaki mendapat S$40,000 (2 bahagian), dan setiap anak perempuannya mendapat S$20,000 seorang (1 bahagian).

Berikutan dari keadaan sebegini, sering kali timbul persoalan dari ibu bapa yang ingin membahagikan pusaka mereka kepada anak-anak lelaki dan perempuan secara sama rata, sama ada ia dibolehkan oleh Islam atau sama ada ada ruang untuk melakukan sedemikian di bawah undang-undang Islam.

Artikel ini bertujuan untuk memberi jawapan positif bagi persoalan ini dan menunjukkan jalan untuk melakukannya sesuai dengan kehendak syarak, tanpa prejudis terhadap niat dan tujuan untuk melakukannya.

Hal ini adalah kerana artikel ini berpremis bahawa pembahagian pusaka secara sama rata antara anak-anak lelaki dan perempuan secara dasarnya memang dibenarkan jika ia menggunakan instrumen yang sah dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak juga.

Selain itu, tiada dalil dalam Islam yang melarang pembahagian pusaka secara sama rata kepada anak-anak lelaki dan perempuan, bahkan kepada semua waris-waris yang layak juga.


(Gambar fail: BERITAMediacorp)

SALAH TANGGAP TENTANG HUKUM WARISAN ISLAM

Salah tanggapan pertama ialah harta warisan seorang Muslim hanya boleh dibahagi kepada waris yang layak melalui hukum faraid sahaja yang mana kadar bagi setiap waris ditentukan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad dan kadar ini tidak boleh diubah.

Yang benar ialah pembahagian harta warisan dalam Islam untuk waris-waris yang layak bukan hanya terhad pada hukum faraid sahaja.

Hukum Islam mengandungi pelbagai instrumen lain seperti hibah dan wakaf bagi pembahagian pusaka. Setiap satu boleh diguna pakai di samping faraid selama mana ia memenuhi syarat masing-masing.

Faraid hanya menjadi kaedah pembahagian pusaka yang mutlak apabila si mati tidak meninggalkan wasiat yang mengandungi penggunaan instrumen lain bagi pembahagian pusaka. Hikmahnya ialah untuk mengelakkan perbalahan antara waris di samping keadilan bagi semua yang berhak apabila tiada wasiat yang menentukan kadar yang berbeza.

Hal ini juga diakui oleh peruntukan dalam Amla (Seksyen 110-2) yang menetapkan pembahagian pusaka Muslim di Singapura hendaklah berdasarkan “Muslim law” (Undang-undang Islam), yang memberi makna lebih luas dan bukan secara khusus rujuk pada hukum faraid.

SALAH TANGGAPAN KEDUA

Salah tanggapan kedua ialah Muslim tidak boleh menyalahi kadar yang telah ditetapkan oleh hukum faraid bagi waris-waris yang layak kerana melakukan sedemikian sama seperti mengubah hukum Tuhan.

Selain itu, segala apa yang ditetapkan oleh faraid pastilah adil dan bagus kerana Allah Maha Adil, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana tentang apa yang baik untuk makhlukNya.


(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Dengan itu juga, sikap Muslim dalam soal pembahagian harta warisan hanyalah berserah sahaja pada ketentuan Tuhan dan pasif.

Tidak perlu melakukan apa-apa yang lain kecuali jika melibatkan bukan waris yang tiada bahagiannya dalam hukum faraid.

Yang benar ialah Islam sebenarnya memberi kuasa (empower) yang luas kepada Muslim untuk membahagi pusaka kepada waris-waris yang berhak.

Buktinya ialah kewujudan pelbagai instrumen selain faraid bagi pembahagian pusaka dalam kitab-kitab fiqih.

Bahkan Islam menggalakkan Muslim untuk aktif dalam pembahagian pusakanya bagi memastikan keadilan yang dikehendaki syarak dapat dicapai, bukan bersikap pasif dan berserah kepada hukum faraid sahaja.

Hal ini dapat dilihat dari anjuran Islam terhadap Muslim untuk memastikan ia ada berwasiat dan selalu memperbaharui wasiatnya sesuai dengan keadaan kerana wasiat adalah instrumen asasi bagi Muslim menggunakan instrumen pembahagian warisan selain dari faraid.

CONTOH APABILA ANAK PEREMPUAN TERENCAT AKAL

Sikap seperti ini sama sekali tidak bermakna seseorang itu meragui keadilan dan kebijaksanaan hukum faraid kerana walaupun faraid disyariatkan, itu tidak bermakna penggunaannya di peringkat mikro (kes khusus) tidak boleh menatijahkan yang sebaliknya.

Kes-kes sebegini biasanya mengandungi unsur-unsur bersifat pengecualian yang mana penggunaan hukum biasa boleh menyalahi ruh syariat, iaitu keadilan.

Contoh kes ialah seorang bapa yang mempunyai tiga orang anak. Salah seorang dari mereka ialah anak perempuan yang terencat akal. Manakala yang dua lagi ialah anak lelaki yang berprofesi sebagai seorang doktor perubatan dan peguam.

Oleh kerana kededua anak lelaki ini sudah berkerjaya yang baik. Si bapa berpendapat adalah lebih wajar untuk memberi anak perempuannya yang istimewa bahagian harta warisan yang lebih dari apa yang ditentukan oleh faraid bagi menjaga kebajikannya di masa akan datang dan supaya dia tidak juga membebankan anak-anak yang lain.

Setelah memahami salah tanggapan di atas, di bawah ini dinyatakan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan bagi mewasiatkan pembahagian harta warisan secara sama rata kepada anak-anak lelaki dan perempuan.

SECARA PERSETUJUAN BERSAMA

Harta warisan boleh dibahagikan sama rata kepada anak-anak lelaki dan perempuan melalui persetujuan bersama.

Perkara ini difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Muis dalam buku Kumpulan Fatwa 3 terbitan tahun 1998: “Pembahagian harta hukum asalnya adalah mengikut hukum faraid. Setiap waris perlu mengetahui bahagian saham masing-masing mengikut hukum Islam. Tetapi sekiranya waris-waris bersetuju untuk membahagi sama rata harta tersebut, maka hukum pembahagian tersebut adalah dibolehkan.” (Soalan 50, ms. 33).

Ini adalah cara terbaik bagi mencapai tujuan yang dibicarakan kerana ia satu cara yang bersifat konsultatif yang memang dianjurkan oleh Islam dan bermanfaat bagi mengelakkan perbalahan di kemudian hari.

Perkara ini boleh dicapai melalui dua senario.

Pertama, ibu bapa mendapatkan persetujuan semua anak-anak. Setelah itu merakamkan hasratnya dalam surat wasiat dan merakamkan pula persetujuan semua anak-anak itu dalam satu dokumen yang dijadikan saksi dan bukti di masa akan datang. Nasihat peguam diperlukan bagi menghasilkan wasiat dan persetujuan yang boleh mengikat pihak-pihak yang terbabit.

Kedua ialah senario yang mana ibu bapa tidak meninggalkan wasiat agar harta dibahagikan secara sama rata, tapi ia adalah inisiatif dari anak-anak yang mewarisi.

Baki harta warisan untuk anak-anak setelah pembahagian bagi waris-waris lain, jika ada, boleh dibahagi secara sama rata atas persetuan bersama.

Jika ada anak-anak yang tidak bersetuju, dia berhak mendapat bahagiannya mengikut ketentuan faraid dan yang baki boleh dibahagi sama rata antara yang bersetuju.

Sekiranya persetujuan bersama semua anak-anak tidak dapat diperolehi sama ada kerana tiada persetujuan dapat dicapai atau sukar mengumpulkan anak-anak untuk mendapatkan persetujuan atau atas apa jua sebab, langkah seterusnya boleh dilakukan.

SECARA WASIAT NAZARIYAH

Wasiat nazariyah adalah wasiat yang mengandungi pengakuan pemilik harta bahawa ia bernazar untuk memberi harta miliknya kepada semua anak-anaknya secara sama rata dan pembahagian ini berkuat kuasa tiga hari atau sejam sebelum kematiannya.

Wasiat ini difatwakan sah oleh Jawatankuasa Fatwa Muis yang terdapat dalam buku Kumpulan Fatwa 3 (soalan 42 – 44, ms. 28-9). Penggunaannya juga dapat dilihat dalam fatwa berkaitan pemilikan bersama (joint tenancy) rumah pada tahun 2008.

Namun perlu dimaklumkan walau pun wasiat nazariyah dianggap sah dalam Islam oleh Jawatankuasa Fatwa Muis tetapi ia tidak diakui oleh Mahkamah Tinggi Singapura dalam keputusan kes Mohamed Ismail bin Ibrahim dan lain lawan Mohammad Taha bin Ibrahim (2004, 4 SLR 756-783).

Dalam kes ini, mahkamah menolak pelaksanaan wasiat nazariyah apabila ia dicabar oleh salah seorang waris dan menuntut pusaka yang diwasiatkan itu dibahagi mengikut sijil pusaka dari Mahkamah Syariah. Mahkamah membenarkan tuntutan waris berkenaan.

Nasihat dari asatizah dan khidmat peguam pula sebaiknya didapatkan untuk melakarkan wasiat nazariyah yang menepati syarat-syaratnya di sisi syarak dan undang-undang.

Bagi mengelak masalah pelaksanaan, instrumen ini hanya patut digunakan sekiranya risiko dicabar oleh pihak waris yang berhak atas pusaka amat rendah. Jika tidak, langkah seterusnya boleh diambil.

SECARA HIBAH RUQBA 

Hibah ruqba adalah satu pemberian melalui surat wasiat yang mengatakan si pemilik harta memindahkan milik (hibah) harta pusaka yang ditentukan secara sama rata kepada anak-anaknya sekiranya dia meninggal dunia dahulu. Tapi jika mana-mana anaknya meninggal dahulu, pemilikan harta itu kembali kepadanya dan tidak boleh dibahagikan kepada para waris anak yang meninggal itu.

Hibah ruqba sebagai satu instrumen bagi pemindahan hak milik harta diakui dan diguna pakai sekian lama dalam industri kewangan Islam.

Di Singapura, penggunaannya telah disahkan oleh Jawatankuasa Fatwa Muis bagi mengesahkan pemindahan hak pemilik bersama (joint tenant) rumah kepada pemilik bersama yang lain apabila salah seorang dari mereka meninggal dunia dan bagi pemindahaan milik harta CPF melalui penamaan (nomination) kepada penama (nominee).

Perlu dinyatakan bahawa penggunaan instrumen ini bukan bermakna ia selamat jika dicabar di mahkamah kerana dianggap menyalahi faraid. Namun, belum ada kes duluan yang mengikat (binding precedent case) yang membatalkan hibah ruqba sebagaimana wasiat nazariyah.

Sebaiknya juga nasihat dan khidmat asatizah dan peguam diperolehi bagi penyediaan dokumen yang menepati syarak dan undang-undang.

PENUTUP

Sepanjang artikel ini, fokus perbicaraan ialah pembahagian sama rata pusaka antara anak-anak lelaki dan perempuan.

Hal ini kerana pembahagian tidak sama rata antara anak-anak dalam hukum faraid hanya berlaku dalam situasi si mati mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan. Jika semua anak-anaknya lelaki atau perempuan sahaja, mereka secara automatik berkongsi kadar yang ditetapkan oleh hukum faraid secara sama rata.

Walaupun artikel ini berbicara tentang pembahagian pusaka secara sama rata kepada anak-anak, langkah-langkah yang dinyatakan boleh diguna untuk pelbagai tujuan lain juga seperti menentukan bahagian pusaka bagi anak angkat, anak tidak sah taraf atau mana-mana pihak lain yang dirasakan wajar terutama jika ia membabitkan kadar yang melebihi dari sepertiga nilai pusaka.

Ia juga boleh diguna pakai untuk melebih atau mengurangkan bahagian waris jika pemilik harta rasa berkeperluan melakukan semikian.

Akhir sekali, artikel ini bermula dengan pernyataan tiada prejudis terhadap niat pihak yang ingin membahagikan pusaka berbeza dengan kadar yang ditentukan oleh hukum faraid.

Namun, peringatan wajar diberi kepada pembaca bahawa keharusan langkah-langkah yang dinyatakan di atas tertakluk pada niat dan tujuan yang murni - ia dilakukan bagi mencapai keadilan dan maslahat yang diakui oleh syarak, bukan kerana ingin menafikan hak orang lain kerana dengki atau kebencian atau kerana pilih kasih.

Oleh itu adalah penting mendapatkan nasihat dari asatizah sebelum mengambil langkah-langkah yang dinyatakan sebagai satu mekanisme memeriksa diri dari niat dan tujuan yang tidak diakui syarak.

MENGENAI PENULIS:

Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura. Seorang lulusan Ijazah Kepujian dalam bidang Syariah Islam dan Undang-undang Sivil dari Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau kemudian melanjutkan pendidikan dan meraih ijazah PhD dalam bidang Pengajian Strategik dari NTU. 

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top