Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bina kepakaran tentang Singapura pra moden dan arkeologi

BERITAmediacorp: Usaha memperingati sejarah panjang Singapura membuka peluang untuk meningkatkan lagi 'kecelikan sejarah' di kalangan rakyat umumnya dan masyarakat Melayu sendiri khasnya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Usaha memperingati sejarah panjang Singapura membuka peluang untuk meningkatkan lagi 'kecelikan sejarah' di kalangan rakyat umumnya dan masyarakat Melayu sendiri khasnya.

Pada 9 Ogos ini, Singapura menyambut hari kemerdekaannya yang ke-54 tahun.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini lebih bermakna kerana tahun ini juga kita memperingati 200 tahun ketibaan Sir Thomas Stamford Raffles di Singapura.

Satu masa dahulu, tahun 1819 digunakan sebagai ukuran bermulanya Singapura moden. Ada sejarawan dan pemimpin politik menganggap kemajuan Singapura disebabkan kedatangan Raffles, kerana sebelum itu, ia hanyalah sebuah pulau nelayan yang sepi.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa ada usaha terbaru untuk memikir ulang peranan Raffles sebagai tokoh yang menemukan Singapura atau pengasas Singapura moden.

Malah usaha memperingati dwiabad ini menjangkau lebih daripada 200 tahun dan kita diajak merenung sejarah Singapura sepanjang 700 tahun lalu.

Ini bermakna mengenang kembali sejarah Singapura sejak zaman Sang Nila Utama. Tidak dapat dinafikan, peranan Sang Nila Utama memang dikenang dan diajarkan dalam buku-buku teks sajarah di sekolah-sekolah.

Namanya pernah menjadi nama sekolah menengah sebelum ditiadakan. Tetapi, status Sang Nila Utama, pertalian kekeluargaannya dan kedudukan dalam alam Melayu, dibincang sekali lalu sahaja.

Pemerintah telah menubuhkan Pejabat Dwiabad Singapura (Singapore Bicentennial Office) untuk mengendalikan usaha-usaha merenung kembali kedatangan Raffles di Singapura. Ia juga menguruskan pameran dwiabad yang gah dan menarik di Fort Canning, yang dahulunya disebut sebagai Bukit Larangan.

Bukit tersebut menempatkan sebuah keramat yang dikatakan tempat persemadian seorang berketurunan raja di Singapura. Malah ada yang mengatakan ia adalah makam Sultan Iskandar Shah.

NARATIF ALTERNATIF

Menariknya, mesej-mesej yang disampaikan dalam pameran-pameran di Fort Canning ini berbeza dengan wacana yang sering diperdengarkan sebelum ini.

Peranan Raffles tidak begitu diperbesarkan dan peranan William Faquhar kini diiktiraf sebagai pentadbir utama Singapura di zaman penjajahan. Yang penting adalah Singapura bukanlah sebuah kota sepi tetapi pusat perdagangan penting di rantau Asia Tenggara yang menghubungkan dunia Barat dan Timur.

Singapura juga menjadi sasaran kuasa-kuasa besar terutama sekali bagi kuasa yang ingin memanfaatkan perairan strategiknya.

Dalam cuba memberikan naratif yang alternatif ini, sejarawan sudah mula menilai bahan-bahan sastera Melayu, seiring dengan rekod-rekod sejarah Barat dan catitan-catitan perantau China, Arab dan juga Eropah.

Dahulunya, sastera-sastera Melayu, sepertri Sejarah Melayu dan hikayat-hikayat dianggap kurang rasional dan saintifik dan tidak boleh dianggap sebagai bahan sejarah yang tulen.

PERANAN SASTERA MELAYU

Sempena memperingati sambutan dwiabad Singapura, Kwa Chong Guan, Derek Heng, Peter Borschberg dan Tan Tai Yong menerbitkan buku Seven Hundred Years: A History of Singapore (Tujuh Ratus Tahun: Sejarah Singapura). Dalam buku terbaru berkenaan Singapura ini, ada usaha untuk menilai naskah-naskah Melayu.

Buku tersebut menggambarkan betapa luasnya peranan Singapura pada kurun ke-14 sebagai satu bandar besar. Pada kurun selepasnya, ia menjadi salah satu pelabuhan bagi Melaka.

Walaupun usaha untuk mengiktiraf naskhah-naskhah Melayu ini baik, usaha-usaha memperdalam penulisan-penuluisan klasik ini telahpun dipelopori oleh para akademik pengajian Melayu seperti Syed Hussein Alatas, Syed Naquib Al-Attas, Shaharuddin Maaruf, Hadijah Rahmat dan Azhar Ibrahim.

Hanya kita kurang membaca karya-karya mereka. Penulis-penulis lokal ini tidak sesekali terlibat dalam percubaan untuk mengagung-agungkan zaman feudal di alam Melayu, satu masalah berasingan yang juga wujud dalam sekumpulan akademik.

Sebaliknya, mereka menilai ideologi yang dikembangkan golongan kekuasaan dalam menghasilkan penulisan-penulisan Melayu itu secara objektif.

Kita perlu meningkatkan usaha ini dan tidak menyatakan bahawa pembelajaran pengajian Melayu tidak relevan dan tidak penting. Malah penguasaan kitab-kitab klasik ini penting agar penilaian sejarah khusus bagi masyarakat Melayu itu dilakukan dengan adil.

BOLEH DIKEMBANGKAN

Usaha yang dilakukan penulis-penulis buku dwiabad ini baik kerana mereka membincangkan Singapura dan kaitannya dalam politik dan percaturan strategik kuasa-kuasa besar, termasuk Melaka, Aceh, Johor-Riau, China, Portugis, Belanda, Sepanyol dan Inggeris.

Tetapi, keterkaitan sejarah Singapura dan kesultanan Johor ini masih boleh dikembangkan lagi.

Malah terus terang saya katakan banyak penulisan sejarah berdasarkan bahan-bahan Eropah dan China kekal dominan.

Sudahkah kita menilai bahan-bahan Timur Tengah, India dan juga naskhah-naskhah Melayu yang lain? Kita tidak pasti sama ada wujud rekod-rekod sedemikian tetapi mungkin peta-peta lama atau rekod-rekod sastera boleh dikaji dengan lebih mendalam.

Kuasa-kuasa bukan Barat ini juga pernah berdagang di alam Nusantara, malah beratus tahun sebelum kedatangan kuasa Eropah. Tambahan lagi, walaupun tidak ada dalam catatan, bahan-bahan sejarah alternatif boleh juga dinilai secara objektif: seperti kajian salasilah yang dikuasai masyarakat Arab dan sejarah lisan.

SEJARAH PRA MODEN

Buat masa kini, kita masih kurang kepakaran dalam sejarah pra moden dan juga arkaeologi. Saya yakin, dengan kebolehan menelaah kitab-kitab klasik, kita boleh menyumbang kepada penulisan sejarah Singapura dan rantau ini.

Tambahan lagi, dengan penguasaan bahasa Arab, Sanskrit dan Bahasa Melayu, kita mampu menghasilkan sejarawan bermutu. Sejarawan ini bukan hanya memerlukan penguasaan bahasa, linguistik, tetapi juga sejarah ketenteraan, strategik dan politk rantau ini.

Sekarang ini, kita banyak berbincang tentang pekerjaan dan kerjaya dan bidang-bidang tertentu. Ada yang membincangkan membina kelas profesional dan agamawan, tetapi kita tidak harus pinggirkan bidang yang cukup penting, iaitu sejarah, terutama sekali sejarah pra moden.

KEPAKARAN ARKEOLOGI

Masyarakat kita juga belum ada pakar arkeologi. Ilmu sedemikian memerlukan penguasaan bidang penggalian tanah, geologi dan analisa artefek.

Sekumpulan arkeologis ISEAS-Institut Yusof Ishak telah menemukan bahan-bahan arkeologi yang membincangkan wujudnya perdagangan di Singapura dengan China, menerusi penemuan piring-piring lama.

Bagaimana pula perspektif interaksi kuasa-kuasa kerajaan Melayu masa lampau? Bagaimana kita mahu menemukan bahan-bahan bukti tanpa kepakaran yang sesuai?

Akhir kata, kita harus membina satu masyarakat yang celik sejarah. Bukan sahaja tentang kajian sejarah masa lampau, tetapi bagaimana kita mengumpul bahan-bahan sejarah buat generasi mendatang.

Marilah kita sama-sama memerhatikan bidang yang penting ini, dan sama-sama merakamkan sejarah kita menerusi penulisan, pengumpulan artifek dan juga sejarah lisan.
MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

Dr Norshahril Saat ialah Zamil Institut ISEAS-Yusof Ishak. Beliau juga Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF). 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan