Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Berubah memang tidak mudah tetapi ia tetap mesti kita lakukan

Menjalani perubahan dan berhadapan dengan pelbagai gangguan sudah menjadi suatu kemestian dalam kehidupan hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Berubah memang tidak mudah tetapi ia tetap mesti kita lakukan

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Menjalani perubahan dan berhadapan dengan pelbagai gangguan sudah menjadi suatu kemestian dalam kehidupan hari ini. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan kita perlu menjalani proses perubahan itu dan apakah syarat-syarat yang perlu diamalkan supaya kita dapat menjalani proses tersebut dengan jayannya? Inilah yang dikongsikan oleh mantan AP yang kini pentadbir pendidikan, Zainudin Nordin, dalam sumbangan beliau berikut ini:

BERITAmediacorp: Pada masa kini, istilah dalam Bahasa Inggeris “disrupt” atau gangguan sering didengar dan dilaung-laungkan di setiap sektor industri di merata dunia.

Kita ingin tahu. Kita ingin memahami. Inilah reaksi yang normal.

Tetapi yang lebih menakutkan adalah sebelum kita sempat mendapatkan semua maklumat dan memahami fenomena ini dengan lebih terperinci; kita diminta membuat perubahan.

Ramai yang bertanya dan ingin tahu: “Apakah sebenarnya sedang berlaku dalam landskap ekonomi dunia yang memaksa kita semua untuk membuat perubahan?”

Berubah atau ketinggalan disebabkan kita menjadi tidak relevan. Inilah realiti yang kita hadapi.

PERUBAHAN DAN GANGGUAN 

Kita harus mengubah cara kita berfungsi. Dunia semakin bergolak dan banyak perubahan berlaku di sekeliling kita walaupun tanpa kita sedari.

Mengapakah perubahan gangguan perlu di masa kini? Pilihan yang paling mudah adalah tidak melakukan apa-apa perubahan. Tetapi itulah pilihan yang paling mudarat.

Perubahan organisasi, diri, strategi dan sistem semestinya adalah untuk menghadapi gelombang yang melanda dunia disebabkan perkembangan pesat teknologi dan globalisasi.

(Gambar: AFP)

(Gambar: AFP)

LAKUKAN PERUBAHAN

Selalunya perubahan dilakukan untuk memperbaiki sesuatu.

Bilakah kita harus lakukan ini? Kita selalu sibuk. Kita tiada masa untuk melakukan semua yang diingini. Masa berlalu.

Masa pergi tiada terasa. Bagai sungai yang mengalir tidak kembali. Kita mempunyai satu masa sahaja iaitu sekarang.

Ada yang mengatakan masa adalah wang. Pada pendapat saya, ia lebih berharga dan lebih penting. Jangan tunggu, lakukan perubahan sekarang!

LAKUKAN GANGGUAN

Ada juga langkah yang lebih baik yang boleh kita pilih selain hanya berubah.

Apa yang ingin saya sarankan adalah jangan sahaja berubah untuk memperbaiki sesuatu tetapi melonjak ke paradigma baru untuk melakukan sesuatu yang lebih baik.

Kita harus menyedari bahawa perubahan selalunya dibuat untuk memperbaiki sesuatu. Kita perlu bertanya mengapa?

Contohnya jika kita memilih untuk berkecimpung dalam industri muzik; adakah hanya untuk menjadi seorang penyanyi? Adakah lebih baik jika kita bertujuan untuk mengubah muzik!

BUKA MINDA

Minda seseorang yang ingin menjadi penyanyi berbeda dari seorang yang ingin mengubah muzik. Jika kita boleh memilih dan bercita-cita untuk melakukan sesuatu, bukalah minda dan luahkan impian yang tersimpan di dada.

Perubahan sedikit demi sedikit hanya akan membawa manfaat yang minimum dan sedikit.

Syarikat-syarikat yang melakukan gangguan meraih kejayaan besar dan berjaya. Banyak contoh seperti UBER, Airbnb, Netflix, Amazon, Google, Alibaba dan banyak lagi.

Gambar kedai Amazon Go yang memanfaatkan teknologi di Seattle. (Gambar: Jeffrey Dastin/Reuters) 

Semuanya berjaya dengan menggunakan teknologi, inovasi dan pemikiran baru.

Setiap syarikat ini menjejas industri secara menyeluruh.

BIJAK DAN PROGRESIF

Di sini, saya ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang sudah ditimba dari buku-buku dan artikel mengenai perubahan dan gangguan.

Keinginan untuk melakukan gangguan adalah langkah pertama. Ia tidak mencukupi. Kita juga perlukan minda baru untuk menjayakannya.

(Gambar: Mediacorp)

Minda baru memerlukan pemikiran yang bijak dan progresif.
Melakukan sesuatu yang lain dari yang lain.
Mempunyai dan menggunakan idea-idea yang akan merubah dunia.
Atau sekurang-kurangnya akan merubah dunia anda.

Pemikiran yang bijak dan progresif menpunyai ciri-ciri seperti minda perkembangan, komunikasi yang menyeluruh, inovatif, kreatif, pembinaan perhubungan dan pemikiran.

TIDAK GENTAR UBAH MINDA

Setiap ciri yang tertulis di atas memang mudah difahami tetapi yang penting adalah untuk melakukannya dengan baik dan efektif supaya mencapai objektif yang diingini.

Bagaimanapun, jangan tersalah sangka bahawa walau adanya objektif, tidaklah mudah untuk mengatur langkah dan terus menuju ke destinasi.

Pelbagai arah tujuan yang boleh dilalui. Orang-orang yang bijak memahami bahawa banyak tujuan diperlukan untuk akhirnya sampai ke destinasi yang diinginkan.

Selain itu, di dalam perjalanan untuk melakukan perubahan gangguan dan transformasi, kita tidak harus gentar mengubah minda pada setiap langkah yang diambil.

Perubahan minda adalah perlu setiap kali fakta dan suasana berubah.

Jadi apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapai transformasi melalui perubahan gangguan?

SEGERA BERTINDAK

Organisasi yang mahukan transformasi memerlukan tindakan segera dan secara menyeluruh mempunyai perasaan kecemasan. Jangan menunggu sehingga ada krisis sebelum berubah.

Contoh yang terbaik untuk memahami konsep ini adalah syarikat Kodak. Pada satu masa lebih kurang 20 tahun lalu, Kodak adalah majikan kepada 170,000 pekerja. Kodak juga menjual 85% filem foto yang digunakan di seluruh dunia.

Gambar hiasan. (Gambar: Oliver Berg/AFP)

Apabila teknologi gambar digital muncul, Kodak tidak merasa cemas untuk berubah. Dalam masa yang singkat, iaitu berapa tahun saja, foto digital mengambil alih tempat foto kertas.

Kodak menghadapi masalah yang amat besar dan akhirnya, Kodak menjadi muflis.

Jika kita menunggu sehingga krisis berlaku, mungkin sudah terlambat.

Kepimpinan yang baik juga diperlukan dalam proses perubahan. Semangat berkumpulan yang kukuh dan kepimpinan yang sepadu juga penting unjuk melakukan perubahan yang pesat dan menyeluruh di dalam sesebuah organisasi.

VISI DAN KOMUNIKASI

Pemimpin yang tegas dan jati akan membentangkan visi dan tujuan untuk menyatukan semua yang terlibat.

Satu visi dan arah tujuan yang jelas perlu dibentuk agar strategi-strategi yang dilakarkan adalah bernas.

Kefahaman mengenai visi ini juga penting. Untuk mencapai kefahaman yang tinggi dan baik, cara berkomunikasi amat penting.

Komunikasi yang efektif dan kreatif harus digunakan untuk mencapai kefahaman yang tinggi.

Cara-cara baru untuk berkomunikasi dan menyebabkan perubahan minda ke paradigma baru akan membantu dalam mencetuskan perubahan gangguan.

Setelah melakarkan strategi komunikasi yang menyeluruh dan baik, tibalah masa untuk melakukan kerja dan perubahan. Setiap anggota yang terlibat adalah kunci dan penting.

Setiap yang terlibat perlu diberikan kuasa untuk melakukan kebaikan dan perubahan. Robohkan benteng yang menghalang dan gunakan idea baru, sistem baru dan teknologi yang canggih.

KEPERLUAN PENTING

Dalam melakarkan strategi, kita harus ada pelan atau rancangan.

Rancanglah dengan baik. Objektif-objektif jangka pendek juga perlu ditetapkan. Setiap langkah ke arah perubahan dan pembaikan boleh dan harus diukur.

Konsolidasi juga perlu dilakukan bagi semua langkah yang membawa perubahan positif.

Dalam kita melakukan konsolidasi, pemikiran baru, cara-cara baru, anggota baru dan sistem yang baru akan dikenal pasti sebagai keperluan yang penting.

Ini semua akan menjadi sebahagian daripada organisasi yang telah menjadi perubah.

Akhir sekali, semua proses yang dilalui dari mula yang menyebabkan perubahan pemikiran, cara beroperasi dan sistem baru harus ditetapkan dan digunakan.

Pada setiap langkah yang dilalui, kepimpinan yang kukuh dan selalu memberi motivasi kepada semua yang terlibat adalah amat penting.

KITA MESTI BERUBAH

Kita harus sedar bahawa memanglah tidak mudah untuk berubah. Tetapi kita harus mempunyai keinginan dan jati diri untuk menghadapi perubahan.

Ia adalah kompleks dan kita akan menghadapi pelbagai masalah dalam melakukannya. Tetapi perubahan itu adalah perlu dan ia penting untuk dilakukan.

Railah manfaat darinya dan teruslah menjadi perubah.

Mengenai Penulis:

Zainudin Nordin adalah mantan Datuk Bandar Daerah Tengah Singapura dari 2006 hingga 2011 dan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh dari 2001 hingga 2015. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan