Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bersiap untuk lebih banyak perbezaan dan kepelbagaian

Keinginan individu dan masyarakat kepada lebih banyak kepelbagaian dan perbezaan memang tidak lagi boleh dinafikan. Sudahkah kita bersedia untuk menerima dan menghormati setiap yang berbeza itu?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bersiap untuk lebih banyak perbezaan dan kepelbagaian

Tunjuk perasaan menuntut perbezaan dan hak sama rata dihormati.

Tidak lama lagi jumlah kematian akibat pandemik COVID-19 di merata dunia bakal mencecah sejuta orang dengan tiga negara: Amerika Syarikat, Brazil dan India mendahului negara-negara lain dengan jumlah tertinggi..

Bilangan kematian di tiga negara itu membentuk hampir separuh daripada jumlah kematian merata dunia.

Ada pemerhati berpendapat bahawa bukanlah satu kebetulan bahawa ketiga-tiga negara itu juga kini dipimpin oleh para pemimpin seperti Donald Trump, Jair Bolsonaro dan Narendra Modi.

Mereka adalah para pemimpin yang cukup dikenali sebagai pandai menggunakan platform populisme untuk mendapat sokongan daripada rakyat masing-masing.

Wartawan ekonomi Martin Wolf berpendapat bahawa kenaikan kes COVID di negara-negara berkenaan mungkin bukan bersebab daripada ideologi populis ketiga-tiga pemimpin itu.

Tetapi ia lebih disebabkan kerana mereka ini memang tidak cekap atau tidak mahu melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk menangani pandemik tersebut.

Inilah ciri yang biasanya kelihatan pada pemimpin-pemimpin berhaluan populis: mereka lebih mengutamakan apa yang disukai para pengikut mereka daripada melakukan sesuatu yang betul tetapi perit untuk diterima ramai.

Kemunculan pemimpin-pemimpin populis semakin menjadi ketara  sejak kebelakangan ini dengan kejayaan parti-parti berhaluan kanan (biasanya berfahaman ketuanan kulit putih dan anti-pendatang asing) dalam banyak pilihan raya utama di Amerika Syarikat dan Eropah.

POLITIK POPULIS

Dua faktor utama yang kerap disebut-sebut menjadi sebab kemaraan politik populis  ini sejak satu, dua dekad ini. 

Ia adalah faktor keterbukaan dan kepelbagaian kebanyakan masyarakat dunia hasil daripada proses globalisasi dan revolusi digital – yang kedua-duanya memudahkan pergerakan manusia dan pengaliran maklumat dari satu tempat ke tempat lain.

Proses tersebut turut mengakibatkan pertumbuhan ekonomi dunia yang tidak seimbang dengan jurang pendapatan antara satu kumpulan dengan kumpulan lain menjadi semakin luas.

Perubahan mendadak dalam landskap ekonomi dan sosial (terutama dengan kemasukan semakin ramainya pekerja dan pendatang luar) di kebanyakan negara seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, lama kelamaan mencetuskan perasaan marah dan rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah penduduk tempatan.

Sebahagian besar mereka yang terjejas ini, baik di Amerika atau Eropah, terdiri daripada kalangan masyarakat kulih putih dan mereka inilah yang mudah menjadi sasaran ideologi dan diayah populis yang kerap berbau fahaman pelampau kaum yang sempit.

PELBAGAI REAKSI

Fahaman populis mereka itu dibentuk sebegitu rupa agar ia dapat memusatkan perasaan marah dan tidak puas hati penyokong mereka ke arah masyarakat lain – yang mungkin berlainan warna kulit atau lain kepercayaan, agama dan budaya.

Contohnya,  fahaman seperti Islamofobia yang memusatkan perasaan benci dan prejudis terhadap agama Islam dan masyarakat Islam yang menganutinya.

Keadaan ini yang telah berlanjutan berdekad-dekad lamanya,  apabila  tidak ditangani dengan baik menyebabkan meluasnya jurang perbezaan dan perselisihan antara kaum dan agama.

Bagi masyarakat yang menjadi mangsa penolakan dan kebencian ini, ia juga akan bertindak dengan menunjukkan pelbagai reaksi dan langkah balas.

Ada yang bertindak dengan berpaling semula kepada budaya, tradisi dan jati diri asal masing-masing (termasuk dalam tindak-tanduk, berpakaian, pergaulan dan sebagainya), sebagai respons terhadap perasaan disisihkan oleh masyarakat lain.

Dalam proses berpaling semula ini, ada juga yang tersalah berpaut kepada fahaman dan ideologi radikal yang lebih keras demi untuk bertindak balas terhadap masyarakat dan sistem yang dianggap sudah menolak mereka sama sekali.

SEMAKIN MENEBAL

Kewujudan media digital dengan pelbagai platform yang semakin canggih memudahkan garisan perselisihan ini semakin menebal – dengan pelbagai idea dan kandungan bertentangan cepat mendapat perhatian kumpulan sasaran masing-masing.

Inilah kesan-kesan keterbukaan dan kepelbagaian akibat perubahan mendadak sejagat yang dicetuskan oleh globalisasi dan ledakan media digital.

Sebagai sebuah negara terbuka dan kosmopolitan,  Singapura juga memang tidak terlepas daripada tekanan-tekanan globalisasi dan pelbagai ‘gangguan/disrupsi’ teknologi dan ekonomi.

Kesan-kesan perubahan mendadak yang tercetus memang sukar dielakkan oleh mana-mana negara pun.

Kebijaksanaan kepimpinan dan masyarakat terletak kepada kemampuan semua pihak untuk menangani segala kesan perubahan ini dengan mencari keseimbangan yang terbaik mungkin.

DIFAHAMI DAN DIHORMATI

Keinginan individu dan masyarakat kepada lebih banyak kepelbagaian dan perbezaan memang tidak lagi boleh dinafikan.

Apatah lagi masyarakat besar Singapura yang umumnya memang tidak statik bakal terus menghadapi pelbagai perubahan, baik yang datang luar mahu pun yang wujud dari dalam (hasil perubahan gaya hidup, corak pemikiran,  kecenderungan dan aliran kepercayaan).

Para pekerja kelihatan di Raffles Place semasa waktu makan tengah hari pada 2 Jun 2020. (Gambar: Jeremy Long)

Jelasnya bukan sahaja semakin ramai anggota masyarakat yang akan menginginkan lebih banyak pilihan dalam kehidupan, malah mereka juga mahukan setiap pilihan yang dibuat difahami dan dihormati orang lain.

Namun sebagai masyarakat dan negara, kita juga sedari bahawa tidak semua perbezaan, kepelbagaian dan pilihan itu mendatangkan kesan positif kepada kepentingan negara.  

TOLAK ANSUR

Oleh itu adakalanya ia memerlukan banyak tolak ansur dan sikap berlapang dada dari semua, lebih-lebih lagi dalam memahami di mana letaknya kepentingan yang lebih besar untuk semua.

Semangat begini harus terus ditanamkan dalam setiap lapisan masyarakat agar tidak timbulnya apa-apa perasaan tersisih dan kurang berpuas hati yang boleh disalahgunakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Di sinilah peranan dan tanggungjawab kita bersama untuk terus memastikan adanya kematangan dalam kalangan masyarakat dalam membuat pertimbangan dan pilihan terbaik mungkin.

Kuat kematangan kita kuatlah pertimbangan dan pemilihan yang hendak dibuat walaupun berhadapan dengan kepelbagaian dan perubahan yang cukup rumit dan mencabar.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan