Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bermula sebagai keperluan asas, kini sebagai budaya dunia yang perlu dilestarikan

Suatu amalan biasa di mana kita semua boleh dikaitkan adalah kegemaran kita terhadap makanan dan juadah yang terdapat di pusat-pusat penjaja yang kini diiktiraf sebagai warisan penting budaya dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bermula sebagai keperluan asas, kini sebagai budaya dunia yang perlu dilestarikan

Pusat Penjaja Pasar Geylang Serai. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BERITAmediacorp: Suatu amalan biasa di mana kita semua boleh dikaitkan adalah kegemaran kita terhadap makanan dan juadah yang terdapat di pusat-pusat penjaja yang kini diiktiraf sebagai warisan penting budaya dunia.

Saya sempat mengunjungi tempat saya dibesarkan minggu lalu, Tanglin Halt. Kawasannya sudah banyak berubah dengan bangunan lebih tinggi yang dibina menggantikan yang lama.

Pelbagai projek peningkatan juga sudah selesai untuk memberikan nafas baru kepada sebuah daerah yang telah wujud selama lebih enam dekad.

Berjalan-jalan di kejiranan itu mengembalikan kenangan yang tidak dapat saya lupakan terutama sekali cara pergaulan antara jiran dengan penuh toleransi, sikap ambil berat membantu satu sama lain dan meriahnya musim perayaan tanpa mengira bangsa dan agama.

Pengalaman-pengalaman tersebut telah sedikit sebanyak membentuk pemikiran awal dan pandangan saya terhadap corak hidup.

Boleh dikatakan identiti kita sebagai satu masyarakat berasal dari kluster kediaman yang terdapat di merata negara kita.

Walaupun setiap gagasan penduduk mempunyai budaya tersendiri, namun ada beberapa budaya yang telah menakrifkannya sebagai “Uniquely Singapore”.

KEGEMARAN RAMAI

Antara amalan biasa di mana kita semua boleh dikaitkan tanpa ragu-ragu dan dengan rasa bangga adalah kegemaran kita semua terhadap makanan dan juadah yang terdapat di pusat penjaja.

Sering kelihatan di pelosok mana pun di sini, jika ada pusat penjaja, keadaan di sekeliling dan yang berdekatan dengannya akan lebih bersemangat.

Amat ketara sekali minat kita mengunjungi dan makan di pusat-pusat penjaja sehinggakan amalan tersebut telah diisytiharkan sebagai satu budaya yang unik buat kita.

Tanggal 16 Disember 2020 adalah hari yang bersejarah bagi Singapura dengan Budaya Penjaja atau Hawker Culture telah dicatatkan dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO.

IMBAS KEMBALI

Sebenarnya, pada awal-awalnya penjaja makanan di sini tidak mempunyai gerai yang tetap seperti yang kita lihat sekarang.

Penjaja pada zaman dulu bertungkus lumus menolak atau menarik warung bergerak mereka dan ada juga yang memikul alat-alat jualan dan makanan mereka dari satu tempat ke tempat lain.

Kegiatan menjaja itu menyebabkan ia digelar “hawker” dalam Bahasa Inggeris. Ia menimbulkan pelbagai masalah, bukan hanya dengan membebankan para penjaja dari segi kesihatan, logistik, tidak ketentuan cuaca yang menjejas pencarian, dan pertelingkahan antara para penjaja akibat batasan masing-masing yang kurang jelas.

Malah ia juga menimbulkan unsur keselamatan terhadap pelanggan kerana taraf kebersihan makanan mereka yang sukar dijamin.

Segmen penjaja dari sektor makanan dan minuman (F&B) ada kaitan sejarah yang kuat di negara kita. Ia memainkan peranan penting kerana pada masa itu Singapura berada dalam zaman yang penuh cabaran sebagai sebuah negara muda.

Pada ketika itu, pergelutan yang kita hadapi adalah pada tahap keperluan asas; ia adalah satu-satunya cara untuk menyara hidup bagi mereka yang kurang berpelajaran dan kemampuan dan juga sebagai sumber makanan yang harganya berpatutan.

Pendek kata, hakikat sebenar pada awalnya makanan penjaja, atau hawker food, adalah satu keperluan yang muktamad.

Kini ia telah menjadi satu kegiatan yang lebih kepada memenuhi kegemaran dan tidak lagi sebagai keperluan asas setelah masyarakat kita semakin makmur.

CABARAN BERTERUSAN

Walaupun rintangan untuk menyertai perniagaan seperti ini tidak begitu tinggi, malangnya kadar pengunduran atau ‘keciciran’ bagi mereka yang sudah memulakannya ternyata lebih pantas daripada kadar penggantian.

Jika kita renung kembali amat sukar untuk mengekalkan para penjaja terutama sekali dalam kalangan bakat muda yang baru dalam bidang ini kerana cabaran-cabaran yang sedia menunggu.

Antara cabarannya: dari segi pengurusan aliran tunai, pengendalian mutu masakan, aktiviti pemasaran tarik pelanggan hinggalah kepada pengurusan inventori dan seterusnya.

Tambahan pula, buat masa kini terdapat banyak peluang pekerjaan sebagai mata pencarian alternatif dari menjaja.

Disebabkan keprihatinan terhadap kemampanan warisan ini, pemerintah telah memperkenalkan beberapa inisiatif sebagai langkah-langkah sokongan kepada sesiapa yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini.

PEMBANGUNAN PENJAJA

Program pembangunan penjaja adalah hasil gabungan antara Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dengan SkillsFuture Singapore (SSG) di mana ia berupa satu latihan perantisan atau internship.

Kurikulum yang berstruktur ini disusun buat julung-julung kalinya setelah pihak pemerintah menerima banyak maklum balas daripada penjaja muda yang memerlukan bimbingan dari penjaja mapan.

Walaupun tumpuan Program Pembangunan Penjaja ini adalah untuk mempersiapkan mereka yang ingin berkecimpung dalam arena menjaja makanan, penjaja yang sudah berada dalam sektor ini juga boleh memanfaatkan latihan dan pendedahan yang diberikan oleh NEA yang terbagi kepada tiga tahap berikut:

• Tahap pertama berjalan selama lima hari. Setiap peserta akan mempelajari tentang keselamatan dan kebersihan makanan, cara memasak, teknik perniagaan dan pemasaran di alam media sosial dan aplikasi penghantaran makanan.

• Tahap kedua, setiap penjaja-pelajar akan dipadankan dengan penjaja yang berpengalaman untuk menjalani latihan perantisan selama dua bulan. Setelah menjalani modul ini, penjaja-pelajar itu tadi boleh meneruskan melalui dua cara:

• Menyertai Program Gerai Inkubasi iaitu Stall Incubation Program atau
menawarkan untuk menyewa gerai melalui tender bulanan NEA

• Tahap ketiga adalah peringkat menguji bakat di mana peserta penaja-pelajar akan mula menjalankan perniagaan mereka melalui antara satu dari dua cara yang mereka pilih semasa di penghujung tahap kedua mereka. Di tahap terakhir ini, penjaja-pelajar akan terus menerima bimbingan dan sokongan daripada penjaja berpengalaman bagi tempoh selama tiga bulan.

GERAI INKUBASI

Program ini menawarkan peluang kepada para penjaja baru untuk mengambil gerai dengan sewa yang dikurangkan sebanyak 50% selama 9 bulan dan 75% selepas itu selama 6 bulan kemudian.

Yang amat menggalakkan adalah, setiap gerai dalam program ini telah diubah suai dan siap dipasang lengkap dengan perkakas-perkakas gerai.

Sokongan ini akan dengan secara langsung mengurangkan modal permulaan yang perlu disediakan oleh penjaja baru. Ternyata, program ini akan memberi manfaat besar kepada setiap mereka yang menyertainya.

GERAN DAYA PENGHASILAN

Untuk menggalak para penjaja supaya menggunakan alat-alat berautomasi dan teknologi, Geran Produktiviti Penjaja telah diperkenalkan di mana ia dilaksanakan melalui model pembiayaan bersama atau co-funding.

Setiap alat berautomasi yang dibeli oleh penjaja di bawah program ini mendapat pembiayaan melaui geran tersebut sebanyak 80%.

Dengan pelbagai program sokongan yang disediakan bagi membantu mereka yang ingin menembusi sektor F&B, bakat muda akan berasa lebih bersedia dan berani untuk mencuba dengan menyedari bahawa mereka tidak bersendirian.

PENGALAMAN MANIS

Sebagai anak seorang penjaja, saya amat gembira dengan pelbagai usaha yang telah dilancarkan dan diterajui oleh beberapa agensi pemerintah untuk membangunkan dan mengembangkan lagi bidang menjaja ini.

Terkenang saya ketika itu, saya sering menolong di gerai orang tua saya “Queenstown Nasi Ayam” pada petang Sabtu setelah saya pulang dari menghadiri kegiatan luar darjah (ECA) sekolah.

Walaupun pada ketika itu saya masih berusia remaja, saya sudah mula memupuk minat berniaga setelah menyaksikan orang tua saya menguruskan perniagaan mereka.

Saya amat kagum dengan populariti jualan mereka sehinggakan mereka mempunyai pelanggan sehingga sejauh Kuala Lumpur dan utara Semenanjung Malaysia.

Setiap bulan mereka menyinggah gerai orang tua saya untuk membeli nasi ayam dan membawa pulang berbungkus-bungkus banyaknya.

Pada fikiran saya, jika program-program sokongan ini disediakan pada zaman orang tua saya masih aktif menguruskan gerai mereka, saya yakin ramai lagi antara anak buah orang tua saya akan dengan rela mengambil alih perniagaan orang tua masing-masing demi menyambung warisan keluarga.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan