Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bermain di luar negara baik bagi para pemain S’pura

Dalam artikel KOMENTAR yang disumbangkan kepada BERITAMediacorp, bekas kapten Singapura, Aide Iskandar, berkongsi pandangannya dan mengupas pengertian fenomena ini kepada arena bola sepak tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bermain di luar negara baik bagi para pemain S’pura

Aide Iskandar. (Gambar: Wee Teck Hian)

BERITAMediacorp: Sejak akhir-akhir ini, begitu ramai pemain bola sepak Singapura menyerantau dan bermain dengan kelab-kelab luar negara seperti di Thailand, Malaysia dan Indonesia. Misalnya Baihakki Khaizan, Zulfahmi Arifin, Hassan Sunny dan Izwan Mahbud bermain di Thailand. Ridhuan Muhammad pula menyarung jersi Borneo FC di Indonesia. Manakal ramai yang lain bermain dengan kelab-kelab Malaysia seperti Hariss Harun, Safuwan Baharudin, Hafiz Sujad dan Shahdan Sulaiman.

Apakah makna perkembangan ini kepada dunia bola sepak Singapura sendiri? Apakah dengan bakat-bakat tersebut ‘keluar’, ini akan bermakna mutu permainan dalam Liga tempatan sendiri akan ‘lemau’? Apakah ini perkembangan baik atau ada hikmah di sebaliknya? Dalam artikel KOMENTAR yang disumbangkan kepada BERITAMediacorp, bekas kapten Singapura, Aide Iskandar, berkongsi pandangannya dan mengupas pengertian fenomena ini kepada arena bola sepak tempatan.

Aide Iskandar. (Gambar: FAS)

(Gambar: FAS)

TAJUK-tajuk berita sejak akhir-akhir ini yang menyentuh tentang para pemain bola sepak kita di Singapura - mendapat kontrak profesional atau bermain di luar negara dengan kelab-kelab di Malaysia, Thailand dan Indonesia – sekali lagi merancakkan semula dan menyinarkan arena bola sepak tempatan.

Secara peribadi, tajuk-tajuk berita seperti itu memberikan para peminat bola sepak Singapura bahan dan ‘isi menarik’ untuk diperbualkan dalam perbincangan kedai kopi dan juga semasa peminat bola bermain secara santai di padang.

Saya masih ingat semasa saya kanak-kanak lagi (dalam tahun 80-an dan 90-an), betapa sangat gembiranya saya membaca berita tentang Fandi Ahmad (idola saya) mengikat kontrak dengan FC Gronigen di Holland (awal tahun 1980-an). Berdiri bulu roma saya menyambut perkembangan tersebut walaupun saya masih lagi seorang anak kecil.

Saya juga kagum apabila membaca berita tentang kejayaan trio pemain handalan Singapura – Malek Awab, K Kanan dan Fandi Ahmad – bermain untuk pasukan Kuala Lumpur dan mereka berjaya membantu kelab tersebut menjulang banyak piala bagi kelab Malaysia itu.

Seorang lagi pemain yang saya benar-benar sanjung pada tahun-tahun 1990-an ialah Hasnim Haron, yang bermain untuk Johor FA. Beliau mempunyai gerak kaki yang seolah-olah menarik yang mampu memperdaya dan menggelecek sebarang pemain pertahanan dalam era itu. Bagi saya, memang sentiasa seronok menonton aksi beliau di Stadium Negara. Pendeknya, para pemain itu betul-betul mendorong dan menaikkan semangat saya dan ramai pemain muda lain yang bercita-cita menjadi pemain professional dan mewakili Singapura sebagaimana contoh yang mereka tunjukkan.

ERA 1990-AN MEMBERI HARAPAN

Bagaimanapun pada tahun 1996, dengan munculnya Liga S, ia memberi sekelumit harapan dan sinar kepada dunia bola sepak dan para peminat bola sepak tempatan. Ini kerana ia mewujudkan sebuah wadah untuk peminat menyokong para pemain kegemaran mereka yang akan bermain di padang sendiri. Ia juga menyaksikan berakhirnya penyertaan Singapura dalam Piala Malaysia setelah berdekad-dekad pasukan Singa berentap dengan kelab-kelab seberang tambak.

Disebabkan adanya Liga S jugalah, berlaku semacam penjedaan, di mana tiada pemain kita bermain di luar negara kerana mereka fokus kepada Liga S. Liga tempatan ini dapat menghasilkan beberapa perkembangan positif bagi bola sepak Singapura kerana ia menawarkan takungan bakat yang lebih besar, yang dapat bermain secara profesional. Ia juga membolehkan ramai pemain lebih muda menjadi pemain sepenuh masa.

Satu lagi hasil positif Liga S adalah kejayaan Singapura menjulang kejohanan antarabangsa pada tahun 1998 – Piala Tiger. Malah memenangi empat kali kesemuanya jika dicampur dengan kejayaan tahun 2004, 2007 dan 2012.

Aide Iskandar. 

(Gambar: Jason Quah/TODAY)

PERHATIAN DARI KELAB-KELAB ASING

Dengan Singapura memenangi kejuaraan serantau secara konsisten pada zaman itu, ia secara semula jadi membuatkan kelab-kelab asing memberikan perhatian lebih mendalam kepada para pemain Singapura. Hasilnya, muncul satu gelombang baru di mana para pemain kita mula bermain di luar negara sekali lagi mulai tahun 2006. Saya sendiri, dan Ahmad Latiff menyarung jersi Johor FA pada tahun 2006.

Baihakki Khaizan, Shahril Ishak, Khairul Amri, Ridhuan Muhammad dan Noh Alam Shah pula diburu oleh kelab-kelab di Indonesia selepas Singapura merangkul kejuaraan Piala Suzuki 2007. Inilah antara fenomena yang membuatkan para peminat berasa bangga apabila mereka perbualkan tentang dunia bola sepak tempatan. Iaitu para pemain kita bukan sahaja menang kejohanan luar negara, malah para pemain kita juga mahu ‘dipinang’ kelab-kelab luar negara.

Mengenai tajuk-tajuk berita akhir-akhir ini tentang banyak pemain kita bermain di luar negara, saya rasa keadaannya sedikit unik. Ini kerana adanya pelaksanaan kuota ASEAN dalam liga Thailand dan Malaysia. Ia memberikan peluang keemasan kepada para pemain kita dalam erti kata – membuatkan kelab-kelab asing ‘menyauk’ para pemain kita! Mentelah lagi pasukan kebangsaan kita kurang berprestasi baik sejak memenangi Piala Tiger tahun 2012.

Jurulatih Singapura Aide Iskandar meletak jawatan. (Gambar: Ngau Kai Yan)

(Gambar: Ngau Kai Yan)

PERKEMBANGAN UNIK BAGI PARA PEMAIN

Satu lagi kes unik adalah perkembangan melibatkan pemain seperti Hassan Sunny, Izwan Mahbud, Madhu dan Baihakki, yang berjaya mendapat kontrak tanpa perlu melalui ujian terlebih dahulu. Ini memberangsangkan. Para pemain seperti Shahdan Sulaiman, Hafiz Sujad, Faris Ramli dan Zulfahmi Ariffin juga boleh berbangga kerana mendapat kontrak bermain di luar negara setelah menjalani dan lulus ujian!

Sejujurnya, bagi saya tajuk-tajuk berita seperti ini memberangsangkan bagi masa depan bola sepak Singapura kerana ia menandakan dua faktor: (1) Pengiktirafan dan (2) Kemajuan para pemain Singapura.

Para pemain tersebut akan ‘mewakili Singapura’ dalam kelab masing-masing di luar negara. Percayalah, bahawa pengalaman mereka bermain di luar negara akan menjadikan mereka para pemain yang lebih baik. Berdasarkan pengalaman saya sendiri bermain di luar negara, ia banyak menguji dan membina kekuatan mental dan daya bingkas saya. Mengapa? Kerana adanya jangkaan yang tinggi di bahu saya sebagai ‘bakat asing’ untuk membuktikan kemampuan saya. Mentelah lagi saya ketika itu juga merupakan kapten pasukan kebangsaan Singapura.

Namun demikian, walaupun adanya tekanan tinggi, saya mampu menyesuaikan diri saya dengan pasukan Johor FA yang rata-rata lebih muda dan membimbing para pemainnya untuk akhirnya mencatat kedudukan baik di pertengahan senarai liga. Pengalaman yang saya raih sebenarnya di luar jangkaan saya dan ia akan selamanya menjadi salah satu pengalaman paling manis bagi saya.

Bagi para pemain kita, semestinya mereka akan teruji semasa bermain di luar negara, dalam sekitaran yang ‘lasak’. Kekuatan mental mereka akn sentiasa tercabar agar mereka mencapai prestasi optimum. Sekitaran yang kadangkala tiada ‘belas kasihan’ itu, dicampur dengan para peminat yang ‘bipolar’ dan perjalanan jauh untuk pertarungan di padang lawan, secara semula jadi akan membina kekentalan dalam diri para pemain kita. Semua kekuatan yang diraih semasa bermain di luar negara akan menjadikan mereka pemain lebih baik dan contoh (role model) apabila mereka kembali ke tanah air untuk bermain dengan pasukan kebangsaan.

(Gambar: CNA)

(Gambar: CNA)

PENYULUH JALAN BAGI PEMAIN LAIN

Satu lagi faktor positif bagi saya adalah – ia akan membuka jalan dan mendorong lagi para pemain lain dalam sistem-sistem lain seperti para pemain belia, Liga Bola Sepak Kebangsaan dan Liga S. Terutama para pemain muda akan mendapat peluang bermain dalam liga tersebut. Mentelah lagi dengan adanya peraturan baru Liga S di mana kelab-kelab perlu mempunyai pemain bawah 21 tahun bagi musim 2018.

Hasilnya, lebih ramai pemain muda akan mendapat peluang untuk ‘menggantikan’ tempat yang ‘dikosongkan’ oleh para pemain yang ‘berjihrah’ ke kelab-kelab luar negara. Hasilnya, ini satu perkembangan positif untuk para pemain dan juga para jurulatih.

Saya secara peribadi menyifatkan ini sebagai ‘masalah yang menggembirakan’ (happy problem) kerana jika dilihat secara jangka panjang, ia memberi manfaat kepada bola sepak Singapura. Pertama, para pemain kita mendapat pengalaman berharga bermain di luar negara. Kedua, para pemain baru pula dapat diasuh semasa bermain dalam Liga S.

Dalam pada itu, para pemain yang dieksport ke luar negara itu akan berusaha untuk bermain dengan baik bagi kelab masing-masing selama mungkin, serta ‘buat duit’ sebanyak mungkin, sebelum mereka kembali bermain dalam Liga S. Semua ini hasil yang saling menguntungkan semua pihak. Pendeknya, jika kitaran ini berjaya, ia akan membuka peluang kepada kumpulan baru pemain muda untuk juga bermain di luar negara, malah mungkin membuka peluang kepada para jurulatih tempatan untuk dipikat pula oleh kelab-kelab asing.

KOMEN-KOMEN NEGATIF

Semestinya, akan ada komen-komen negatif tentang mutu liga luar negara. Atau pengalaman silam yang menjadi percakapan di mana pemain kita yang kembali dari luar negara bersikap ‘primadonna’. Namun saya yakin, kita tidak boleh hanya pukul rata sahaja kesemua pemain. Memang ada satu dua pemain yang ada masalah disiplin. Tapi ini suatu masalah lumrah di mana-mana di serata dunia.

Saya juga pernah membaca komen bahawa dengan ramai pemain kita menumpu perhatian ke luar negara, ia akan ‘mencairkan’ mutu Liga S kita sendiri, yang sekarang berdepan dengan cabaran untuk menarik jumlah penonton yang ‘hidup segan mata tak mahu’, semasa perlawanan-perlawanan berlangsung.

Sebagai seorang yang prakmatik dan optimis, saya secara peribadi menyokong supaya para pemain kita bermain di luar negara, kerana seperti yang saya sebutkan di atas, ia baik untuk mereka. Mereka akan menimba pengalaman, meluaskan jangkauan, membina kekuatan mental dan pada akhirnya membina ketahanan kewangan masing-masing. Saya sentiasa mengingatkan para pemain muda semasa saya aktif bermain atau semasa saya menjadi jurulatih, bahawa jangka hayat seseorang pemain bola sepak adalah pendek! Maka itu, manfaatkan sepenuhnya apa sahaja peluang yang muncul untuk mereka dan jangan sia-siakan!

MENGENAI PENULIS:  

Aide Iskandar adalah bekas pemain bola sepak profesional Singapura dan pernah mewakili negara lebih daripada 120 kali. Beliau juga pernah bermain dengan kelab-kelab Home United, Tampines Rovers dan Geylang United. Selaku pemain pasukan kebangsaan, Aide tiga kali membantu Singapura menjulang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) - iaitu pada tahun 1998, 2004 dan 2007 - dua daripadanya selaku kaptem pasukan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan