Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Berita Palsu: Bagaimana menilai antara kaca dengan permata

Parlimen Singapura baru-baru ini sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan untuk menangani ancaman berita palsu di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Berita Palsu: Bagaimana menilai antara kaca dengan permata

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: AMP)

BERITAMediacorp: Fenomena berita palsu yang melanda seluruh dunia mampu mencetuskan keretakan dalam keharmonian masyarakat. Singapura tidak terkecuali dalam ancaman ini. Justeru, Jawatankuasa Pilihan telah ditubuhkan untuk mengorak langkah Singapura dalam menangani isu meruncing ini. Kali terakhir sebuah jawatankuasa pilihan ditubuhkan adalah lebih 20 tahun yang lalu; lantas menunjukkan betapa pentingnya isu ini. Rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP, mengupas bukan saja perubahan yang bakal dipertimbangkan dalam rangka perundangan Singapura dan sektor swasta tetapi juga pendekatan dalam memperkasakan masyarakat kita yang majmuk untuk menilai dan mengabaikan berita palsu. 

PARLIMEN Singapura baru-baru ini sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan untuk menangani ancaman berita palsu di negara ini.

Jawatankuasa itu ditugaskan untuk memeriksa dan melaporkan sebab-sebab dan akibat dari kepalsuan online, termasuk perubahan undang-undang yang mungkin diperlukan.

Ia juga meminta maklum balas orang ramai, dan akan mengadakan dialog dengan pakar industri dan sektor swasta. Kali terakhir Pemerintah menubuhkan jawatankuasa pilihan seperti ini adalah lebih daripada 20 tahun yang lalu.

Ini mencerminkan betapa pentingnya isu ini. Pengedaran berita palsu boleh menggugat kerharmonian kaum di kalangan masyarakat kita di tengah-tengah arus sentimen nasionalisme dan ajaran ekstremis dari luar negara.

Ini adalah masa yang tepat untuk menilai semula rangka perundangan kita dalam menangani pengedaran berita dan maklumat palsu.

TEKNOLOGI PENYEBAR KEPALSUAN

Maklumat palsu boleh menular apabila ramai yang menyiarkan dan berkongsi maklumat tersebut.

Kini teknologi melalui "social bots", iaitu sofwe yang menubuhkan pelbagai akaun, boleh berinteraksi seperti manusia di rangkaian media sosial. Ia juga boleh digunakan untuk menyebarkan kepalsuan online dan memberi suatu gambaran bahawa akaun-akaun tersebut adalah individu berasingan yang tiada kaitan dengan satu sama lain.

Jika lebih ramai “orang” yang berkongsi maklumat atau pandangan itu, akan terwujud tanggapan maklumat tersebut sudah disahkan ramai atau ramai yang menyokong pandangan tersebut.

Kini ada juga teknologi yang dapat meniru gerak gaya dan suara seseorang, dengan menggunakan “Kecerdasan Buatan” (Artificial Intelligence). Ini boleh memberi satu tanggapan palsu bahawa orang itu telah membuat ucapan tersebut. Lantas, memburukkan lagi keadaan.

Media sosial juga dapat menyatukan orang-orang yang berkongsi ideologi pada satu platform yang sama. Ini boleh dieksploitasikan oleh pihak-pihak yang sengaja ingin menimbulkan keretakan dalam masyarakat, melalui isu-isu sensitif seperti isu perkauman, agama atau politik. Ini berdasarkan apa yang telah berlaku di negara-negara asing.

(Gambar: Reuters/Kacper Pempel)

Pada bulan Mei 2016, terdapat kumpulan yang berkaitan dengan negara asing yang sengaja melaga-lagakan dua kumpulan bertentangan di Texas, Amerika Syarikat.

“Heart of Texas”, sebuah kumpulan Facebook yang menyokong pemisahan Texas daripada Amerika Syarikat dan mempunyai ratusan ribu pengikut Facebook, telah mengumumkan di salah satu iklannya satu perhimpunan menunjuk perasaan yang bertajuk “Stop Islamification of Texas” di hadapan Pusat Dakwah Islam Houston pada 21 Mei tahun tersebut.

Sebuah kumpulan “United Muslims of America” juga mengadakan sebuah perhimpunan bertajuk “Save Islamic Knowledge” pada tarikh, masa dan tempat yang sama. Ini menimbulkan konfrontasi antara dua kumpulan berkenaan.

Sebenarnya, kedua-dua kumpulan Facebook itu telah ditaja oleh firma asing di luar Amerika Syarikat yang sengaja menjadi batu api. Baru-baru ini pada 5 Januari 2018, dilaporkan di Sweden bahawa terdapat penyebaran artikel berita palsu, termasuk berita yang mendakwa bahawa umat Islam telah merosakkan sebuah gereja di Sweden.

MENIMBULKAN KETEGANGAN DAN PERGOLAKAN SOSIAL

Berita palsu ini disebarkan menggunakan bot dari luar Sweden. Kesemua ini bertujuan menimbulkan ketegangan dan menyebabkan pergolakan sosial dalam masyarakat negara-negara tersebut.

Sekiranya perkara yang serupa berlaku di Singapura, keharmonian masyarakat kita akan diuji. Ini kerana hampir semua warga negara Singapura berhubung di rangkaian media sosial dan lebih 91% rumah di Singapura mempunyai akses Internet.

Kedudukan Singapura sebagai hab kewangan dan Pengerusi ASEAN, juga menjadikan Singapura satu sasaran bagi pihak yang ingin menggugat kestabilan kita atau mempengaruhi kita demi kepentingan dan agenda mereka sendiri.

Sekiranya ia dibiarkan, pemalsuan online dapat menjejaskan kepercayaan rakyat Singapura terhadap institusi-institusi dan perpaduan negara. Oleh itu, sangat penting untuk kita mengelakkan senario sedemikian.

RANGKA PERUNDANGAN

Buat masa ini, di bawah Akta Telekomunikasi (Telecommunications Act), mana-mana pihak yang dengan sengaja menghantar mesej palsu, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda dan penjara.

Akta Perlindungan dari Gangguan (Protection Against Harassment Act) dan Akta Hasutan (Sedition Act), juga merupakan rangka perundangan yang boleh menangkis kepalsuan online sepertimana yang dilihat dalam kes lelaman The Real Singapore, di mana pengasas lelaman tersebut dipenjara kerana sengaja menerbitkan artikel yang menghasut masyarakat.

Undang-undang saman malu (defamation) di Singapura juga boleh menangani penularan berita palsu yang diedarkan online jika ia memalukan seseorang itu dengan sengaja.

UNDANG-UNDANG PERLU DIKEMASKINI

Walau bagaimanapun, dengan teknologi yang semakin canggih dan anasir-anasir asing, rangka perundangan kita juga harus dikemaskini supaya menjadi lebih efektif untuk menangkis berita-berita palsu dan menghukum pihak-pihak yang sengaja menyebarkan berita tersebut untuk memecahbelahkan kita.

Terlebih dahulu, kita perlu memahami motivasi di sebalik rangkaian media sosial dan lelaman web yang menerbitkan artikel-artikel yang mengandungi berita palsu tanpa mengesahkan ketulenan berita tersebut.

Dalam hal ini, United Kingdom yang juga telah menubuhkan Jawatankuasa Parlimen untuk menangani berita palsu online, akan menyarankan undang-undang untuk mengawal iklan online supaya lelaman web dan rangkaian media sosial tidak boleh menggunakan berita palsu untuk menarik lebih banyak “hits” bagi mendapat lebih banyak penaja.

CONTOH LANGKAH YANG BOLEH DIAMBIL

Orang ramai juga harus prihatin tentang siapa yang membiayai kos di sebalik rangkaian media sosial dan lelaman web tersebut dan jika mereka berkaitan dengan ideologi atau agenda tertentu. Ini kerana ia akan mempengaruhi cara pelaporan berita tersebut.

Di Amerika Syarikat, sebuah akta yang memerlukan pendedahan pihak pembiayaan iklan online akan disarankan. Di Jerman pula, undang-undang mereka mengenakan hukuman denda yang berat dan memerlukan rangkaian sosial tertentu untuk memadam berita palsu termasuk ucapan benci daripada lelaman mereka dalam tempoh 24 jam setelah laporan dibuat.

Kesemua contoh yang diberikan boleh diambil kira dan diubah suai mengikut keperluan masyarakat Singapura. Justeru, Jawatankuasa Pilihan telah mengundang masyarakat awam untuk berkongsi pendapat dalam isu kepalsuan online dan berita palsu ini.

Logo Facebook.

KERJASAMA SYARIKAT TEKNOLOGI DAN MASYARAKAT

Perubahan undang-undang hanya berkesan, jika semua pihak memainkan peranan masing-masing. Syarikat-syarikat teknologi seperti Facebook, Google dan Twitter semuanya bertekad untuk menghapuskan dan melaporkan ucapan benci dan maklumat palsu.

Ini biasanya tertakluk kepada terma dan syarat penggunaan platform media sosial itu sendiri. Walaupun ini amat dialu-alukan, penting juga bagi syarikat-syarikat teknologi sedemikian untuk memikir semula peranan yang patut dimainkan rangkaian media sosial.

Rangkaian media sosial seharusnya bertujuan untuk memupuk dan mengekalkan tali silaturahim antara ahli keluarga dan rakan-rakan.

Manyahut seruan tersebut, Mark Zuckerberg, pengasas Facebook, pada awal tahun ini telah mengumumkan bahawa Facebook akan merombak cara pendekatan “News Feed” mereka. Facebook akan menumpukan semula perhatiannya untuk memupuk interaksi yang bermakna antara ahli keluarga dan rakan-rakan.

Dalam pada masa yang sama, Facebook akan mengurangkan kandungan pengiklan dan syarikat media. Oleh itu, video dan artikel berita daripada syarikat media akan dikurangkan.

INTEGRASI SOSIAL ADALAH KUNCI KEJAYAAN 

Namun, jika mereka sering berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan sendiri (yang mungkin berkongsi artikel dan berita yang selaras dengan pendapat atau ideologi mereka sahaja), ini boleh mewujudkan "echo chambers" dan menyebabkan lebih ramai yang berkeras dengan pemikiran mereka sendiri dan tidak toleran dengan pendapat yang berbeza.

Perbezaan ini lebih ketara jika adanya jurang sosial dan tiada ruang untuk berinteraksi antara satu sama lain di luar alam siber. Dalam hal ini, menurut kajian 2017 oleh Institut Kajian Dasar (IPS) tentang “Modal Sosial di Singapura”, jurang sosial dalam masyarakat kita semakin ketara dan para penyelidik menyarankan diambil lebih banyak lagi dasar yang boleh menggalak interaksi antara semua lapisan masyarakat di Singapura.

Orang ramai di kawasan Orchard Road, Singapura. (Gambar: TODAY)

SOKONGAN BASMI BERITA PALSU

Kita harus membina masyarakat yang lebih berdaya tahan dan mengenal berita palsu. Tinjauan Pemerintah pada 2017 menyimpulkan bahawa lebih daripada 90% warga Singapura menyokong undang-undang yang memastikan pembasmian berita palsu.

Namun, dua pertiga rakyat Singapura akur bahawa mereka tidak dapat membezakan berita palsu dan seperempat daripada mereka pernah berkongsi maklumat yang kemudiannya didapati palsu.

Hanya sekitar separuh daripada mereka yakin mereka dapat mengenal pasti berita palsu. Ini menunjukkan bahawa selain perubahan undang-undang dan kerjasama daripada syarikat-syarikat teknologi, kita masih perlu meningkatkan pendidikan literasi media antara masyarakat kita untuk membasmi berita palsu.

Singapura telah lama membina sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama yang harmoni, dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk bekerjasama dalam memelihara cara kehidupan kita bagi generasi yang akan datang.

Kuncinya adalah untuk membina sebuah masyarakat yang bukan sahaja berdaya tahan sosial tetapi memupuk budaya online di mana kebenaran dan kepercayaan dijaga rapi.

Di mana kaca tidak akan dikelirukan dengan permata. Di mana kebenaran ditegakkan dan kemungkaran dan kebatilan dihapuskan. Di mana kepalsuan tidak akan mudah dipercayai seperti bau busuk tidak berbangkai. 

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: AMP)

MENGENAI PENULIS:

Zhulkarnain Abdul Rahim adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan