Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Berbakti sebagai sukarelawan – bagaimana hendak menarik lebih ramai ke depan

Mengapa hanya satu pertiga penduduk S’pura kini berbakti sebagai sukarelawan? Sekitaran bagaimana yang perlu diwujudkan supaya lebih ramai tertarik untuk menabur bakti.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Mengapa hanya satu pertiga penduduk S’pura kini berbakti sebagai sukarelawan? Sekitaran bagaimana yang perlu diwujudkan supaya lebih ramai tertarik untuk menabur bakti.

Sukarelawan inisiatif 'hotmeals' Masjid Darul Makmur. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Kadar sukarelawan di Singapura perlu dipertingkatkan. Menurut satu kajian Pusat Sukarelawan dan Dermawan Kebangsaan (NVPC) baru-baru ini, hanya 29% rakyat Singapura melakukan kerja-kerja sukarelawan. Ini berbanding dengan 35% pada tahun 2016.

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) bagaimanapun ingin cuba meningkatkan kadar ini hingga mencecah 70% pada tahun 2023.

Bagaimanakah agaknya matlamat ini boleh dicapai?

Sebelum kita menjawab soalan ini, mungkin kita boleh mengupas mengapa kadar sukarelawan amat rendah walaupun Singapura mempunyai banyak agensi perkhidmatan sosial (SSA) yang menerajui dan menyokong pelbagai tujuan yang bermakna.

Pelajar-pelajar juga digalakkan untuk menyertai program penglibatan masyarakat yang diterapkan di dalam kurrikulum sekolah.

FAKTOR SEBAGAI SUKARELAWAN 

Apakah faktor-faktor yang boleh mempengaruhi seseorang untuk menceburkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan?

Adakah kita terlalu sibuk menjalani kehidupan sehingga tidak dapat meluangkan masa untuk mempertimbangkan bagaimana, bila, atau apa kita harus sumbangkan tenaga dan masa kita?

Adakah kita terlalu mengutamakan kerjaya dan aktiviti-aktiviti sosial yang lain?

Para sukarelawan Masjid Darul Makmur mengagihkan makanan 'panas-panas' kepada penduduk di Yishun. (Gambar: Masjid Darul Makmur/Facebook)

Hakikatnya adalah sumber-sumber yang dimiliki SSA seperti AMP begitu terhad, dan dengan itu, sebahagian tenaga kerja boleh dilaksanakan oleh sukarelawan.

Pada masa kini, peluang untuk menjadi seorang sukarelawan tidak hanya terhad kepada mereka yang ingin menyumbang masa dan tenaga tetapi mereka juga boleh menawarkan kemahiran.

Misalnya, jika seseorang itu merupakan seorang jurugambar ataupun penulis, kemahiran mereka itu boleh digunakan untuk menyumbang kepada sesebuah badan kebajikan.

BERASASKAN KEMAHIRAN

Usaha ini boleh dianggap sebagai skills-based volunteerism (SBV) ataupun sukarelawan berasaskan kemahiran. Pastinya golongan karyawan dapat menyalurkan kemahiran, tenaga dan idea-idea mereka dengan lebih fokus untuk memenuhi keperluan SSA.

Tambahan pula, peluang sukarelawan sebegini mungkin tidak memerlukan komitmen jangka masa panjang kerana sumbangan boleh dilakukan berdasarkan projek-projek yang dikendalikan oleh SSA.

Para karyawan juga boleh cuba untuk mendekatkan diri dengan kerja-kerja sukarelawan dengan mengenal pasti teras-teras yang ditekankan oleh setiap SSA.

Selanjutnya, mereka boleh mengeratkan hubungan di antara agensi-agensi ini dengan menawarkan kemahiran dan rangkaian sosial mereka sebagai satu sumbangan.

PEKERJA DAN SUKARELAWAN

Bagaimana pula dengan badan-badan korporat? Mereka juga boleh menerapkan nilai-nilai sukarelawan di kalangan pekerja-pekerja mereka dengan bekerjasama dengan sesebuah SSA.

Ini bukan sahaja boleh dilakukan menerusi bantuan kewangan tetapi juga dengan memberikan peluang bagi para pekerja mereka melakarkan program-program yang bermakna bagi penerima-penerima bantuan.

Dengan cara ini, ia bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan di antara badan korporat itu dengan SSA berkenaan, malah ia juga dapat memberikan pendedahan yang baru kepada para pekerja mereka.

Badan korporat tersebut pula mungkin dapat memperkukuhkan imej dan reputasi mereka jika mereka kelihatan mempunyai “jiwa kemasyarakatan”.

UNSUR-UNSUR KREATIF

Bagi pihak SSA pula, mungkin sudah tiba masanya untuk badan-badan ini cuba memperkenalkan unsur-unsur kreatif di mana tenaga sukarelawan boleh dimanfaatkan sebagai satu ciri program yang boleh menarik perhatian mereka yang berminat.

Misalnya, bolehkah kita melakarkan satu program di mana sesebuah keluarga boleh melakukan kerja sukarelawan bersama?

Mungkin lebih banyak masa dan kajian harus diperuntukkan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang boleh mewujudkan sekitaran yang kondusif dalam mengalakkan lebih ramai orang tampil ke hadapan sebagai sukarelawan.

Jika kita sebuah masyarakat yang murah hati, tentu sekali segunung manfaat akan kita kecapi.

MENGENAI PENULIS:

Zarina Yusof adalah Timbalan Pengarah Eksekutif AMP. Beliau berpengalaman dalam bidang penyiaran, pendidikan dan jagaan kesihatan awam. Di samping berpengalaman melakar strategi-strategi khusus, beliau juga menyelia banyak program kemasyarakatan yang direka khas untuk menggalak kesejahteraan dan anjakan minda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan